29 Jul 2010

kucing jalanan 2

"jadi apa yang perlu kita buat?" suara serak-serak basah sameon kontot memecah tembok diam itu.

tok ketua diam seketika.dia menggaru telinga yang gatal. kurap di celah ketiaknya juga digaru perlahan. tiba-tiba dia melompat ke atas baldi yang sudah terlungkup. cuba mencari tempat yang tinggi. tempat yang boleh untuknya melihat dengan lebih mesra wajah-wajah anak buahnya. dia terbatuk kecil membetulkan suara paraunya.

"aku dah buat satu keputusan," dia berhenti mengabil nafas. anak-anak buahnya setia menanti. mereka benar-benar pengikut setia.

"aku dah buat keputusan yang semua kucing yang jantan akan ikut aku menyiasat perihal suara tangisan yang misteri ini,"

"kucing betina dan kucing jantan yang belum mumaiyiz duduk diam di sini,"

kucing-kucing sekalian mengangguk tanda setuju. mereka juga sangat ingin tahu gerangan apa yang bertangis tangisan di tengah malam ini.

"lagi lima minit kita bertolak," ujar tok ketua lantas melompat turun dari buntut baldi pentas ucapannya itu.

seluruh koloni kucing jalanan tersebut bersiap-siap bagai mahu turun ke gelanggang pertempuran. ada yang mengasah kuku pada batu. ada yang menelan maajun ubat kuat. ada mengambil makanan tambahan dan bebagai lagi persiapan yang dirasakan perlu. cukup masa maka mereka bergerak turun ke arah semak di belakang tempat pembuangan sampah itu di pimpin oleh tok ketua. suara tangisan semakin nyaring tanda mereka semakin hampir. tiba-tiba, tok ketua menegakkan ekornya tinggi, sebagai isyarat supaya berhenti. telinga tok ketua bergerak-gerak, hidungnya kembang kempis mengawal nafas, basah berpeluh. dia seakan tidak percaya apa yang terlihat oleh biji matanya kini. anak-anak buah tok ketua juga msing-masing terbelalak mata mereka. mahu percaya atau mahu apa. aneh tambah ajaib.

tangisan itu tiada kedengaran lagi.


bersambung lagi>>>

nota lutut:
teringat arwah kucing saya yang suka makan derian...haha

25 Jul 2010

kucing jalanan

"uwek....uwekkk..." sayup-sayup kedengaran suara tangisan bayi dari dalam semak. betul-betul di belakang tempat pembuangan sampah.

tangisan itu kadang-kala mengharukan. kadang-kala menyedihkan. kadang-kala menyeramkan. tambah pula kawasan ini jarang dilalui manusia di malam hari. di tambah bulan yang sedang cemerlang gemilang mengambang penuh. dilatari suara anjing menyalak bersahut-sahutan dan diselangi rayuan sang pungguk yang sedang memuja bulan. suasana yang cukup untuk meruntun keberanian siapa saja.

seketika alam sunyi. tiada suara pungguk. tiada suara anjing sahut-menyahut. yang ada hanya sinaran bulan dan bunyi cengkerik mengawan. tapi suara tangisan bayi itu masih berlagu. masih tidak mahu berhenti. masih merayu-rayu. entah apa pintanya.

"suara anak siapa menangis itu?" tanya sameon kontot sambil menggaru telinganya yang dipenuhi kutu dengan kaki belakangnya. tiba-tiba dia menimbulkan persoalan kepada tok ketua kelompok kucing terbuang pusat pembuangan sampah itu. tok ketua berbuat muka ketat. keningnya nyaris bertemu kerana kerut dahinya.

"entah," itu sahaja rumusan yang mampu dibuat tok ketua setelah agak lama berfikir.

wajah seekor demi seekor koloni kucingnya yang seramai 15 ekor ditenungnya satu persatu. mereka menunjukkan wajah yang gusar dan takut. suara tangisan itu boleh jadi apa saja. barangkali hantu. barangkali jin setan yang mahu mengganggu. semuanya diam.


bersambung,

notakaki:
tibatibaideahilang+malasmenaip...kehkeh

22 Jul 2010

jiwanya ada taman

kehidupan ini barangkali satu metamorfosis. barangkali juga metamorfosis itu satu bentuk kehidupan. Kehidupan kita berubah dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Dan ironinya, manusia itu sendiri berubah. kita berubah macam lipas dan rama-rama yang bermetamorfosis. mula jadi ulat. lalu jadi pupa. lalu baru terbang bebas di dunia. tapi sayang sekali hidup rama-rama, rupanya cantik tapi nyawanya pendek. Barangkali untung sedikit kalau jadi lipas, walaupun jelek dipandang, namun istimewa, sukar mati walaupun sudah kudung kepala .

tapi kita manusia. mana sama metamorfosis kita sama serangga. kita punya jalan hidup yang lain. tapi yang nyata, semua kita sentisa berubah. siapa saja boleh berubah. yang muda jadi tua, ada yang papa jadi kaya, yang tiada jadi berkuasa,yang hina jadi mulia, yang ingat jadi lupa.

nordin beredar perlahan dari tempat dia mengcangkung menonton jalur-jalur merah jingga memanjat langit dari timur. hampir setiap pagi, nordin melihat jalur-jalur merah jingga ini. sudah jadi acara wajib bagi pagi nordin. cuma kadang-kadang temujanji mereka diganggu sang awan hitam dan rakan karibnya hujan yang datang mencurah di pagi hari. tiada lagi jalur-jalur merah jingga pada pagi tersebut. suasana suram, gelap dan sejuk. suram gelap dan sejuk itu petanda nordin akan jadi malas bangun dan akan terus setia dengan tilamnya sahaja.

rokok yang masih banyak bersisa dibaling ke tepi. di baling bersama pemikirannya yang meracau tadi. meracau tentang hidup. meracau tentang metamorfosis.

dengan tuala yang sudah berdaki, dia mengorak langkah ke tandas. mahu mandi, mahu gosok gigi, mahu macam-macam lagi dan dia perlu cepat. dia perlu mengejar kelas pagi ini. pukul lapan akan bermula kelas. tidak kurang dan tidak lebih. pukul lapan. jika sampai awal, nordin akan bahagia, andai terlewat pasti bahaya.

sewaktu menggosok gigi nordin diganggu lagi dengan ingatannya tentang metamorfosis. nordin pandang tepat pada reflek dirinya di dalam cermin.

"mahu jadi apa," soalnya. tapi ternyata tiada suara yang keluar. tiada suara juga yang menjawab kembali.

"puhhh,'' nordin meludah semua fikirannya itu ke dalam sinki. mengalir bersama air ludahnya berbaur dengan buih-buih ubat gigi. nordin membersihkannya. terus menuju ke pancuran air. seketika kedengaran deburan air diselangi nyanyian kecil rakan-rakan yang sama-sama akan terlewat ke kelas.

Nordin bersiap ala kadar baju biru muda lengan pendek, seluar hitam, songkok hitam, tali leher belang-belang, ubat ketiak jenama rexona. semua sudah sedia melekat pada tubuhnya. teman sebiliknya, sudah tiada. sudah ada di kelas barangkali. Nordin melihat jam pada telefon genggamnya. sudah lewat 5 minit pukul lapan. Nordin lewat lagi. bergegas dia mnekan punat lif. tapi nordin bukan seorang yang mahu masuk ke perut lif itu. ada 13 tingkat lagi yang berebut lif yang sama. mahu tidak mahu, nordin menapak sahaja menuruni tangga. dan terus melangkah laju-laju ke kelasnya.

nordin selamat tiba ke kelas walaupun agak lewat. sang pensyarah tersenyum sahaja melihat nordin. tidak perlu ditanya kenapa. jika ditanya sekalipun seribu alasan boleh diberi nordin. biarkan sahaja anak muda yang sudah boleh mengenal hitam dan putih ini. lambat laun dia pasti berubah. itulah fikiran sang pensyarah.

pelajaran diteruskan. Nordin semakin hanyut. rakan dikiri dan kanan juga sedang berperang sepertinya. melawan mata yang mahu kantuk bukan perkara enteng. orang yang benar-benar hebat sahaja mampu melawan kantuk mata ini, nordin cuba menyelak halaman buku catatannya. cuba melakar apa yang patut. matanya berbalam-balam. tangannya sudah tidak bergerak. kaku sahaja. dan akhirnya kepala jatuh juga di atas meja. sudah tidak sedar akan wujudnya dunia sekitarnya.

tiba-tiba, ada suara menyapanya.

"cikgu, cikgu...jangan rotan kami," hampi mahu menangis suara kecil itu.

nordin tersedar lamunannya. satu-satu mata murid darjah tiga yang lewat itu ditenungnya. matanya dikecilkan. wajahnya sengaja dibengisakan.

"kenapa lambat datang sekolah ni,?" soal nordin. rotan panjang dua hasta sengaja diacu ke udara untuk menakutkan ketiga0tiga budak yang belum bersunat itu.

tapi mereka diam sahaja. masing-masing takut pada rotan cikgu nordin.

"cakap pada cikgu, kenapa kamu semua lewat.?" satu persatu perkataan itu disebut nordin dan penegasan diberikan pada perkataan lewat.


dua dari anak kecil itu mula merah matanya. bergenang dengan air mata. menunggu masa mahu tumpah. anak yang seorang lagi yang masih tenang menjawab soalan nordin, walaupun tenang, masih tergagap.

"tayar basikal pancit cikgu. sebab tu lambat," tunduk sahaja ke tanah anak kecil ini. malu-malu mahu bertentang mata dengan cikgu nordin yang punya rotan halus panjang dua hasta.

cikgu nordin tersenyum sahaja. ditenung mata budak-budak itu dalam-dalam.

"dah pergi masuk kelas, esok jangan lambat lagi," arah nordin sambil berlalu pergi menuju ke setor tukang kebun.

anak-anak kecil itu terus berlari menggalas beg serupa sekampit guni beras yang sangat berat. tiba-tiba anak kecil yang berani menjawab soalan sudin itu separuh menjarit ke arah nordi.

"esok hari sabtu, tak sekolah cikgu," bertambah laju mereka berlari. pecah berderai ketawa mereka.

nordin berpaling. terus tersenyum.

"hai...budak-budak," nordin terus teringat dia juga begitu dulu. sering terlewat. selalu terlambat.

nordin terus menalakan langkahnya ke arah tukang kebun yang sedang sibuk dengan urusan perkebunannya.

"pekena sarapan sigaret dengan brader john(nama tukang kebun) bagus juga pagi-pagi macam ini" bisik hati nordin.

sayup-sayup kedengaran alunan lagu sekolah dari pembesar suara sebelum murid-murid memulakan pelajaran sesi pagi. nordin bersama brader john pula sedang asyik menghembus asap tembakau yang putih seputih awan komulunimbus. seputih jiwa nak-anak kecil tadi.

nordin tersenyum sahaja.

noktah.

notakaki:
jangan jadi macam nordin....kehkeh.

16 Jul 2010

lapan ratus mahu seribu

1
ada wang kurang lapan ratus mahu satu ribu,
bapak yb kasi dengan wajah terharu,
katanya kasihan sama anak bini kamu,
hidup melarat sebab kerja tak menentu,

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
kata bapak yb, itu lebih dari membantu
syukur pak yb
syukur kata pak abu

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
anak yang sulung kata mahu beli buku,
yang tengah kata mahu bayar yuran sebelum hari rabu,
yang kecil merengek mahu minum susu,
geleng kepala pak abu,

2
pak abu masih macam dulu,
wang kurang lapan ratus mahu seribu,
sudah habis beli buku
beli susu.
pak abu tongkat dagu,
teringat bapak yb yang datang rumah tiga tahun lalu.

14 Jul 2010

jalan para pemuda (jangan bersedih) 3

nordin sudah hilang sabarnya. Belum sempat motor berhenti, terus saja dia melompat. Senget-senget brader rosli menahan dari terjatuh. tanpa memerhati sekeliling, dia terus melilau ke sana ke mari mencari fail merahnya. Brader rosli cuma memerhati dari motor. Dibiarkan sahaja Nordin mencari sendirian. anak muda memang begitu, gelojohnya bukan main.

Berulang-ulangkali Nordin membelek tempat yang sama. tidak juga berjumpa benda yang dicari. Nordin mula garu-garu kepala yang tak gatal. Dia duduk tersandar pada tembok. barangkali sudah mula putus usaha. sayu saja matanya memandang ke arah brader rosli yang masih menunggu di motorsikal. Nordin cuba senyum. tapi kelat sahaja senyumannya.

brader rosli pasang rokok. terus perlahan-lahan menghala ke arah Nordin.

"macam mana ?jumpa?"

Nordin diam sahaja. cuma kepalanya sahaja yang menggeleng.

Rokok?"

nordin capai kotak yang dihulur. dia pasang sebatang dan sedut dalam-dalam. Rosli biarkan nordin dalam dunianya seketika. dia juga berkira-kira bagaimana mahu memberi semangat kepada anak melayu yang sudah layu ini. sekeliling tempat itu Rosli perhati. Jalan, sebagaimana fungsinya jalan, sentiasa sibuk dengan kenderaan. tapi tidak sesak dan tidak lenggang. tidak jauh dari mereka, seorang pak cik pertengahan usia beruniform alam flora terbongkok-bongkok mengais sampah yang ada di tepi jalan. agak lama Nordin menekuni lelaki itu.

"ko dah tanya pak cik tu?"

"tanya apa bang?" soalan dijawab dengan soalan.

"tanya kot-kot dia ada nampak fail ko tu la."

"ha,ah....lupa nak tanya,"

"nanti aku pergi tanya, ko tunggu sini, biar orang berpengalaman buat kerja...aku hisap rokok dulu tau sebelum ko...haha,'' rosli ketawa sambil berlari-lari itik ke arah pakcik yang sedang leka mengais-ngais sampah itu,

'' assalamualaikum pakcik,'' tangan dan salam dihulur,

"alaikumussalam," tangan bersambut mesra.

"minta maaf la dik, tangan kotor sikit, ada apa ni?"

''tumpang tanya sikit pakcik, pakcik ada jumpa fail kaler merah tak masa menyapu kat sana tadi?"

"fail kaler merah?" pakcik pencakar sampah buat-buat mata terbelalak. terkejut gamaknya.

"ha'ah..."

"kejap,..aku cuba ingat..." berkerut-kkerut dahi pakcik pencakar sampah tersebut.

rosli sabar saja menunggu.

"rokok pakcik?" rosli menghulurkan sigaret kepada pakcik itu. kasihan rosli melihat pakcik yang sudah tua itu berkerut tambah berkedut dahinya cuba menyusun semula ingatan mengenai sesuatu yang bernama fail merah. rokok bersambut.

"ingat tak pakcik?" tanya rosli sekali lagi lantaran melihatkan pakcik pencakar sampah itu terkial-kial cuba memasang api pada rokok. angin pada pukul 12 tengah hari itu luar biasa derunya. pakcik tua diam saja. usahanya masih pada rokok yang masih belum mahu bernyala.
agak lama masa berlalu begitu.

''haaa...baru aku ingat, aku dah campak dalam tong kat situ tadi. tapi lori sampah dah angkut dah pergi tempat lupus sampah." ceria saja wajahnya. barangkali gembira dapat membantu orang. asap sigaret perlahan-lahan keluar dari celah mulutnya. sesekali menampakkan giginya yang jarang-jarang kerna banyak yang telah tumbang dek usianya yang juga barangkali hampir tumbang.

"yeke pakcik?" rosli tidak tahu untuk mahu gembira atau untuk berasa kecewa.

rosli memandang ke arah nordin. tangannya melambai-lambai ke arah nordin memanggil anak muda itu ke arah mereka. nordin bingkas bangun. wajahnya sedikit ceria, berharap lambaian rosli itu membawa berita gembira.

"ada jumpa tak bang?"

"pak cik ni kata dia dah buang dalam tong tu, dah hantar masuk lori sampah."

nordin tercengang mendengarkan khabaran itu. sama seperti brader rosli tadi, mahu gembira atau mahu kecewa.

''habis tu macam mana, kat mana tempat pelupusan tu pakcik," terus saja nordin bertanya kepada pakcik itu..

ringkas cerita. mereka berdua menuju ke tempat pelupusan sampah itu. sebelum itu mereka singgah di sebuah masjid. nordin dan rosli solat zohor dan terus buat solat hajat. barangkali mahu minta tolong pada tuhan dimudahkan kerja, supaya ditunjukkan jalan keluar dari masalahnya. panjang doa nordin selepas solat hari ini. mahu saja dia menangis, tetapi brader rosli yang ada ditepinya menidakkan untuk dia menangis. dia simpan air mata kemas-kemas. mana boleh lelaki menangis disaksikan lelaki lain. hilang jantan fikirnya lagi.

selepas makan nasi yang ala kadar sahaja hidangannya disebuah warung kecil ditepi masjid, mereka terus maju ke tempat pelupusan sampah seperti yang diberitahu oleh pakcik pencakar sampah itu tadi. Pakcik pencakar itu tadi ditinggalkan dengan ucap terima kasih yang berbanyak-banyak tidak terhingga. tetapi pakcik itu menolak ucap terima kasih itu, katanya.

"tak payah lah terima kasih, kecil punya hal lah," ujar pakcik itu sambil menyedut rokok yang masih berbaki.

hampir-hampir kurang lima belas minit pukul empat petang mereka tiba juga ke tempat yang dituju. sampah menimbun-nimbun. pandang ka barat sampah, ke timur juga sampah. pendek kata, ,mereka dikelilingi sampah dan sampah. nordin pandang ke langit, ada juga dua tiga keping sampah yang terbang berpusing-pusing ditiup angin petang. udara yang dihirup juga udara sampah.
barangkali semua manusia dewasa ini tiada pekerjaan lain lagi melainkan menghasilkan sampah saban hari. kalau tidak, masakan boleh ada sampah yang sebanyak ini.

nordin memandang sekeliling tapak pelupusan ini. pokok-pokok hijau juga tidak mahu hidup di pinggiran tapak pelupusan ini. pokok-pokok telah berhijrah barangkali. mencari kawasan penghidupan yang lebih selesa udaranya.

nordin dan rosli menutup hidung. mereka mula bergerak ke arah jentera berat yang sedang melenyek sampah supaya lebih padat. bila lebih padat maka ada lebih banyak ruang untuk lebih banyak sampah. sesekali mereka terjengket-jengket melangkah. takut-takut terpijak cairan berlendir kekuning-kuningan yang entah apa jenisnya.

sedang asyik terjengket-jengket, terkepit-kepit melangkah, bahu nordin ditepuk dari belakang. nordin terkejut. rosli ikut sama terkejut. mereka melompat ke hadapan, dan terus berpaling ke belakang dan memasang kuda-kuda, laksana pendekar melayu zaman purbakala mahu bertaruh nyawa di medan pertempuran. mahu bertentang mata dengan makhluk yang mengejutkan mereka.

"assalamualaikum" ujar makhluk itu.


bersambung...

notakaki:budak bawah umur dilarang baca, terdapat banyak adegan merokok di dalam cerita ini.

13 Jul 2010

Haltet den Dieb! (bahasa jerman ni)

ambillah saja,
orang bukan tahu,
dinding dan lantai batu,
ah,
persetan,
mereka semua bisu.
dosa, balasan hari akhirat,
ah,
persetan lagi,
taubat bila-bila boleh buat,
kau masih muda remaja, berbunga-bunga.........

tapi ada Tuhan, kawan,
Tuhan maha tahu,
konfem
kau memang tak boleh main tipu,
taubat sahaja kawanku,
ajalmu kau sendiri tak tahu,
nanti kau malu sampai ke bulu-bulu,


notakaki:

elaun mungkin boleh jadi ubat, manamungkin kalau sudah duit sendiri mahu lagi mengambil duit orang lain.
kepada elaun, cepat sikit masuk.

sotong kering

semua boleh jadi ini zaman,
ketul besi pun boleh jadi burung di awan,
apa pula nak pelik,
kalau,
sotong kurita pun boleh jadi tuhan,

10 Jul 2010

aku lapar

tolong,
tolong tunjukkan aku kawan,
tanah yang langitnya adalah gula kapas,
buminya kek secret recipe perisa blueberry,
sungai yang airnya air twister perisa oren,
pasirnya nasi kukus lauk ayam rempah,

tolong,
mari tolong tunjukkan aku
bumi yang orang tidak menyuap untuk makan.
tidak meneguk untuk minum,
tidak melangkah untuk berjalan.

tolong
tolong khabarkan pada aku,
hidup ini semudah pejam dan celiknya mata.
semudah bergelak ketawa
seindah bermain couter strike setiap masa,

tolong,
tolong percayakan aku kawan,
hidup biarlah jadi orang yang tidak tahu apa-apa
kerana semakin kita tahu rahsia
semakin kita tidak berbahagia.

lalalalu
ada yang menegurku,
kawan...
hidup tak semudah itu....
mati juga tak semudah itu...


nota kaki: entri ditulis sesudah bermandi darah (beberapakalimatihidupsemula) bermain counter strike dengan beberapa pejuang yang tidak pernah merokok.

7 Jul 2010

jalan para pemuda (jangan bersedih) 2

Pagi itu masih dara. Pagi yang belum dicabuli oleh suara jentera dan suara manusia. Nordin bangun awal, bersiap-siap untuk mencari kerja lagi dan lagi. Waktu itu azan subuh masih belum berkumandang. Brader rosli masih kaku terdampar diatas tilam. Masih malu-malu untuk bangun.

menunggu azan subuh, Nordin mencucuh sebatang rokok di luar rumah. kesejukan pagi yang masih dara itu memeluk tubuh nordin. Sesekali dia tergigil, mengetap-ngetap gigi. dalam suasana tenang dann sunyi itu,Nordin cuba berkira-kira di dalam kepalanya. Kemana pula hendak bertaruh untung nasibnya hari ini.

di dalam rumah kedengaran air berdeburan. Brader rosli sudah bangun barangkali. pembesar suara surau sudah mula mengalunkan selawat dan beberapa ketika selepas itu, azan pun berkumandang memecah kesunyian pagi. serentak itu, nordin cepat-cepat masuk ke dalam rumah.

"kemana hari ni?" tanya brader rosli selesai mereka solat berjemaah.

"entah,, tengok la nanti macam mana," nordin tersenyum.

masa terus berlalu. lampu-lampu di jalanan yang menerangi malam terpadam satu persatu. diganti dengan limpahan cahaya garis-garis merah jingga yang mula memanjat langit di ufuk timur. suasana mula bising dengan suara kenderaan yang membanjiri jalanan.

Nordin sudah siap dengan seragamnya. siap dengan tali leher. dan kasut kulit yang dipinjam dari teman di kampung. Namun, Nordin masih berasa belum sempurna hidupnya pagi itu. Dia masih tercari-cari sesuatu. habis seluruh rumah itu digeledahnya. Dia mula kalut. wajahnya tidak tenang. Brader rosli memerhatikan sahaja gelagat anak muda ini.

"kau cari apa din, mari la makan nasi lemak ni dulu.." cuba untuk menenangkan Nordin yang gelisah.

"abang ada jumpa fail merah saya tak?" soalan itu ditanya tanpa menoleh ke arah brader li.

"tak," jelas jawapan Brader rosli. dia terus tenang mennyudahkan hidangan dihadapannya. sesekali dia menjeling juga ke arah nordin.

Nordin sudah letih mencari. dia mengeluh berat dan berjalan perlahan-lahan ke arah brder li yang sudah selesai bersarapan.

"jumpa?"

"tak,"

"ada mende dalam fail tu?"

"ada semua benda bang, sijil,resume...semua bang, mati saya bang,"

Diam seketika. perlahan-lahan nordin menbuka bungkusan nasi lemak yang masih suam-suam kuku itu. Pada wajahnya terlukis seribu garis kebimbangan dan kegusaran. perlahan-lahan dia menyuap kepal-kepal nasi ke dalam mulutnya.

"mana ko letak semalam?"

Nordin diam. Otaknya ligat berfikir. tangannya berhenti menyuap. Mulutnya masih mengunyah sisa nasi yang belum habis ditelan.

"ha'ah....tertinggal kat kedai burger abang semalam, Allahuakbar"

nordin bingkas bangun. nasi yang masih bersisa ditolak ke bawah tudung saji.

"eh, makan dulu bagi habis.."

"tak sempat dah bang, nanti hilang pulak," jawab nordin.

"nanti dulu, jom naik motor aku, aku hantar,"

sewaktu mereka tiba di tempat Brader rosli meniaga. matahari sudah menampakkan wajah girangnya. agak garang cahaya matahari pagi itu, tapi masih nyaman.



bersambung

5 Jul 2010

jalan para pemuda (jangan bersedih)

"Bang li, burger ayam mayo satu," lemah saja suara Nordin.

Brader penjual burger itu mengangguk dan tersenyum manis. Adat orang berniaga, perlulah sentiasa manis muka, barulah pelanggan suka. Kedua-dua tangannya lincah bermain diatas kuali panas menyediakan burger yang dipesan pelanggan, termasuk burger Nordin. Nordin tidak mahu cepat jadi Nordin meninggalkan brader itu melunaskan kerjanya dengan tenang.

Nordin duduk diatas tembok betul-betol di belakang gerai burger itu. Fail merah tebal berisi berbagai dokumen yang dikepit dari pagi tadi diletakkan disisinya. Sudah hampir sebulan fail merah ini diusung olehnya. Sudah hampir sebulan juga dia berada di kota besar ini. Sudah hampir sebulan juga setiap petang dia makan burger ayam mayo di gerai di tepi tembok ini. Sudah hampir sebulan juga dia ke hulu ke hilir mencuba nasib mencari kerja yang sesuai dengan kelulusannya dan sudah lebih dari sebulan dia bergelar penganggur profesional. Sebulan dalam hidup yang sangat panjang tempohnya bagi pemuda ini. Juga sebulan yang sangat sukar untuk dilaluinya.

Nordin membuang jauh pandangannya, dalam kepalanya ketika itu bagaikan tiada otak, barangkali berisi petai dan jering. Orang yang lalu lalang dihadapan sedikitpun tidak mengusik lamunannya.

"din, ni burger...," ujar brader penjual burger itu sambil menghulurkan burger yang masih panas. Nordin tersentak. Lamunan Nordin bersambung ke siri akan datang.

Brader ini bukan orang lagi bagi Nordin. Sejak kota besar ini menjadi kampung halamannya, di rumah sewa brader inilah dia menumpang. Rumah orang bujang.bolehlah untuk bernafas, untuk hidup. Mereka tiada pertalian darah. Jauh sekali pernah menjadi kenalan lama. Dalam tempoh sebulan inilah mereka baru berkenalan dan bersahabat. Nordin sangat bertuah dan bernasib baik, dalam kota besar ini masih ada manusia yang mempunyai hati semulia ini yang ingin membantunya.

"macam mana, dapat tak kerja?" soal brader penjual burger itu, namanya Rosli.

Nordin diam sahaja. Burger di tangan masih belum dijamah.

"tak dapat bang," pendek saja jawapannya. kalau sebelum ini, sewaktu hari pertama dia mencuba nasib merisik kerja, akan diceritakan perihal mencari kerjanya dari hujung sampai pangkal kepada brader Rosli. Tapi hari semakin hari, ceritanya dan jawapannya semakin pendek. Mungkin tiada apa lagi yang boleh diceritakan. Barangkali kisahnya sama saja dengan ceritanya yang terdahulu. Rosli malas mengganggu pemuda yang sedang hanyut dalam emosi. Takut nanti terus tenggelam. Lama Rosli membiarkan ordin dalam dunianya. Sehinggalah azan isyak habis berkumandang barulah Nordin bersuara.

"Bang saya balik rumah dulu la...letih.." ucap Nordin acuh tak acuh.

Rosli mengangguk. Nordin berlenggang, wajahnya, wajah orang kalah judi. Langkah kakinya, langkah orang mabuk todi. Dia benar-benar ingin mengosongkan fikirannya dengan masalah, sekurang-kurangnya malam ini.

Tanpa Nordin sedari, hidupnya akan dipenuhi lebih banyak masalah esok hari. Kamen rider decade juga tidak akan dapat menyelamatkan Nordin dari masalahnya ini. Siapa saja tidak boleh meramal tentang hari esok. Begitu juga Nordin. Tidurlah Nordin malam itu dengan lena tanpa gangguan untuk berhadapan dengan hari esok yang serba tidak kena.

bersambung.

1 Jul 2010

saja-saja

salam alaik,


Saya sudah hampir terlupa bahawa saya sudah punya sebuah blog. Kehidupan di kampung sewaktu cuti semester hampir memabukkan saya dengan ketenangan. jadi saya tidak punya masa untuk melepak di alam siber ini.

Orang kata, kalau sudah punya kekasih maka sayangilah ia. Tapi saya tidak punya manusia yang bergelar kekasih untuk disayangi. Blog ini juga bukan kekasih saya. Tapi sekurang-kurangnya buat masa ini, dengan blog ini saya boleh membuatkan saya melakukan sesuatu yang ada kalanya bermakna dan ada kalanya tidak membawa erti apa-apa. Oleh itu, saya perlu menghargai blog saya ini dengan memperlakukan ia seadanya. cukup soal ini.

Baru petang tadi, ada seorang member telah mengetuk fikiran saya dengan suatu perkara yang nampak remeh (bagi saya kerana saya bukan manusia yang suka berfikir). Oleh itu, member saya ini kerap kali cuba mengajak saya untuk berfikir. Sewaktu itu kami sama-sama sedang menyumbat perut dengan makanan di kantin institut. Kata member saya:

"Kita patut mencintai dan menyayangi alam SEMULA JADI"

Saya membenarkan katanya. Memang itulah yang sepatutnya saya lakukan. Saya juga percaya, manusia yang hari-hari mencampakkan sampah ke sungai dan manusia yang hari-hari menuai balak di hutan juga turut akan membenarkan kata-kata member saya ini.

Member saya itu mengangguk dua, tiga kali dan tersenyum nipis. Dia menghirup teh o ais yang masih berbaki dan mula mengunyah seketul ais. Selesai semua itu dia kembali mengajak saya berfikir.

"tapi betul ke alam SEMULA JADI?" soalan yang aneh ditanya kepada saya.

sejenak saya terkedu memikirkan soalan yang sudah tentu ada jawapan itu. Dan seketika kemudian saya tersenyum.

"betul la ek, kalau alam SEMULA JADI tak tepat, sebab alam ini bukan tercipta secara semulajadi, alam ni ada penciptanya. Dan pencipta alam ini adalah Allah. Jadi frasa yang lebih tepat adalah Alam Ciptaan Allah,"

Tiada ulasan dari member saya itu. dia menangguk-angguk kepada saya dan terus asyik dengan hidangannya itu. saya tersengih.

Maka itu lah bahasa. Alat yang menghubungkan manusia. Dan boleh jadi juga penyebab kepada sengketa sekiranya bahasa yang ada tidak digunakan sebaiknya.
Pepatah-pepitih orang dolu-dolu,,,,Kerana pulut santan binasa, kerana mulut ramai yang masuk .......

habis sudah.