29 Jan 2012

masa

mula,
mengalun
langkah di bumi
tanpa masa lalu
nafsu
hanya tahu
mengorak langkah terburu

tiba-tiba
tanpa sedar
langkah
terpijak hujung garisan
liur busuk tertelan
terasa kekesalan

masa lalu
ditinggal
di hujung horizon masa,
cuba juga
direnung diintai
dalam
jauh
sayup
dan
sunyi

mahu berpatah
garisan kabur
ditelan kabus
mata terpandang
lakaran dosa
hitam
berkabus pekat dan likat
menyuntik takut
gelora
menikam jiwa

Lalu
dalam hati
di sudut paling dasar
mula
menanam doa
harap;
garis
kembali panjang
buat menebus dosa
harap;
moga pulang seputih datang
tanpa dosa.


>>bukit pantai.807



18 Jan 2012

jalan

Suasana bilik di satu sudut di pusat sumber itu tidak terlalu cerah. Tetapi tidak pula terlalu suram iklimnya. Kelihatan disebalik tirai kaca yang lebar itu, ada dua susuk tubuh sedang enak duduk sebelah menyebelah di atas kerusi empuk berhadapan sebuah meja besar.

Seorang daripada mereka berkaca mata tanpa bingkai dan botak kepalanya, seorang lagi kelihatan lebih muda. Barangkali kerana rambutnya yang masih ada beremos dan tersisir rapi itu.

Kedua-duanya banyak berbuat diam, cuma berbicara sedikit sesama mereka, dan lebihan masa yang ada tanpa bicara itu,  diisi dengan berfikir dan menekuni kertas dan fail yang tersusun di hadapan mereka.

Di luar bilik itu, pada kerusi meja perpustakaan yang teratur itu, kelihatan beberapa anak muda, laki-laki dan perempuan duduk dengan patuh. Garis-garis gementar dan gusar kelihatan terlukis pada wajah anak-anak muda ini. Antara mereka ini tiada yang kenal antara satu sama lain, dan sudah semestinya tanpa perkenalan, tembok pemisah pasti wujud di antara mereka untuk berborak mesra.

"mahu jadi guru?" soal anak muda laki-laki yang segak dengan nektai bersekali dengan kot hitam. Elegan tampak gayanya.

"err...entah, aku datang ni sebab mak aku suruh." Jawapan saya berbasa basi. Tiada kesungguhan.

Dan anak muda yang bertanya itu mencebik. Ternyata tujuan kedatangan kami ke institusi yang megah ini sangat berseberangan. Dia kelihatan putus selera berbicara dengan susuk yang kurang motivasi seperti saya ini.

Detik berganti detik, saat membawa ke minit. Dan minit telah menerjang tempoh satu jam. Sudah sesi demi sesi kami lalui, menjawab soalan di kertas, temuduga berkumpulan dan kini tibalah temuduga secara berseorangan. 

Seorang demi seorang melangkah masuk dan kemudian, melangkah keluar. Saat mereka melangkah keluar itu kelihatan ada yang tersenyum lebar penuh keyakinan. Ada pula yang menghela nafas lega. Ada juga yang menjeruk muram di muka. Saya yang terakhir masuk ke kamar itu. Jadi tiada siapa tahu apa yang jadi kepada saya. Senyum atau muram atau apa??

"betul kamu nak jadi cikgu?" soal lelaki berkaca mata dan botak. Wajahnya yang garang mengacau bilau perasaan saya.

Lalu, saya cuba ingat kembali pesan orang-orang tua yang saya temui sebelum saya ke mari. 'katakan ya saja' pesan mereka. Dan pesan itulah yang telah saya pasakkan kemas-kemas dalam otak saya sebelum ke mari.

"ya, saya nak jadi cikgu," separuh sahaja suara yang terlontar. Selebihnya tersumbat di tembolok dada.

"kuat la sikit, macam ni ke nak jadi cikgu, suara macam pondan," wajah lelaki berkepala botak itu semakin garang. Matanya mencebik saya.

Lalu saya menarik nafas dan saya luahkan kata-kata yang sama dengan lebih lantang. Walaupun sebenarnya masih ada yang tersangkut-sangkut di tekak saya.

Seterusnya lelaki yang lebih muda pula memberi tanya dan saya diminta memberi jawab. Begitulah untuk beberapa kalinya, di tanya itu dan ini. Saya pun menjawab begitu dan begini. 

Tetapi satu soalan yang pengakhiran ini telah mengetuk kembali pintu memori saya saat saya mengenang memori yang belum usang ini. Yang pada saat ini  membuatkan saya menyusun fikir yang begitu dalam tentang kesanggupan yang saya pernah saya beri itu.

"kalau kamu dihantar ke pedalaman bagaimana? kamu sanggup?" soal lelaki berambut tersisir rapi.

Lalu saya terus menjawab 'ya' tanpa berfikir-fikir lagi dalam.

"ya, saya sanggup," selamba saya menjawab.

"kalau sudah berjanji, kenalah buat," lelaki berkaca mata itu membalas jawapan saya. Tiada lagi garang di wajahnya. Kata-katanya itu seperti kata-kata seorang sahabat kepada sahabat yang lain.

Dua susuk tubuh di depan saya itu segera tersenyum. Dengan senyuman itu saya dibenarkan keluar dari bilik yang tidak cerah dan tidak suram itu.

----------<>---------

Saat ini, saya berfikir lagi, dimana-mana pun sama, pujuk hati saya. Bumi tuhan juga. Ternyata walau saya ada berfikir tiada bezanya setiap ceruk bumi tuhan ini, kesanggupan itu masih tiada kata putus dan sentiasa berbelah bagi. 

Namun, jalan yang dipilih tiadalah boleh berpatah kembali. Oleh sebab itu, tidaklah perlu saya bergundah gulana lagi.

TAMMAT


NOTA: cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa pun. Watak 'saya' tidaklah pula mewakili sesiapa juga yang bernyawa ataupun tidak bernyawa. Jika kedapatan sebarang persamaan kisah dengan sebarang jalan kehidupan manusia yang lain, ternyatalah itu semua satu ketidaksengajaan semata. cerita ditulis sekadar untuk dibaca, yang elok silalah dibuat teladan, manakala yang tidak elok molek pula dijadikan garis sempadan. Dibuat panduan dalam menjalani kehidupan.....




12 Jan 2012

Samad si kanak-kanak riang 3

Corak permainan sepak bola yang dimainkan oleh kanak-kanak penghujung era 90-an tiadalah terlalu berbeza dengan cara permainan sepak bola kanak-kanak era pasca sukan sea 2011. Cara permainan total football memang diamalkan oleh mereka ini tanpa perlu disuruh-suruh oleh guru rumah sukan mereka.

Kemana sahaja bola melayang ditendang, ke situlah mereka serbu mengejar. Ke kanan padang bola pergi, ke kananlah mereka mengejarnya. Begitulah juga sebaliknya. Sekejap-sekejap yang menjadi pertahanan pergi ke atas menyerang, sekejap-sekejap penyerang yang diatas turun kebawah berehat  membuang lelah mengejar bola. Posisi sering bertukar-tukar kecuali Samad.

Mirip benar dengan cara pasukan Belanda. Itulah yang dikatakan oleh guru rumah sukan mereka, tetapi mereka ketawa selepas kata-kata itu dilafazkan.

Sejak 10 minit lalu, sejak dari siulan wisel pemula berbunyi, Samad tertunggu-tunggu untuk menangkap bola. Sudah beberapa kali dia duduk mencangkung mengigit kemuncup.

Manakan tidak, sejak 10 minit yang lalu bola yang bulat itu hanya berlegar-legar di tengah padang sahaja. Menghala ke muka gol Samad pun tidak, ke gol yang di sebelah sana juga tidak.

"bosan," keluh hati Samad sambil berdiri bercekak pinggang

Matanya meliar ke belakang gol yang dikawalnya. Pagar besar yang terdapat di belakang gol yang dikawalnya itu dipenuhi pemuda-pemuda kampungnya yang sudah tamat persekolahan tahap menengah.

Abangnya yang bernama Sameon yang baru tamat tingkatan enam atas juga ada di belakang sana. mengcangkung di atas tembok pagar batu sambil merokok dengan wajah takut-takut. Takut terlihat oleh bapa mereka. Jika terlihat bapa mereka, alamatnya nasib yang sangat buruk akan menimpa.

Pemuda-pemuda yang berlonggok ini seperti sepasukan pengulas perlawanan bola sepak. Bayangkan, bayangkan  sepasukan pengulas sukan berpadu tenaga untuk berbicara mengenai satu perlawanan bola sepak yang dimainkan kanak-kanak bawah dua belas tahun, yang mana separuh daripada mereka ini masih belum masuk jawi. Pasti banyak perkara yang tidak betul boleh diperkatakan dan didebatkan.

"woi, main betul-betul la," jerit seorang pemuda.

"apa la, sepak bola macam pondan," ujar seorang pemuda yang capang telinganya.

Suara-suara yang berbunyi di belakang gol ini sangat mengganggu tumpuan Samad terhadap tugasnya sebagai penjaga gol. Tambah-tambah pula dia masih belum diuji lagi. Ini semua umpama perang psikologi yang menjatuhkan moral dan semangatnya.

Dalam otaknya terbayang-bayang bagaimana jika bola itu melayang ke arahnya. Bagaimana pula jika bola yang dirembat laju itu tepat mengena batang hidungnya. Pasti sakitnya tidak terkata untuk diceritakan. Seribu satu kemungkinan dan kerisauan itu bermain dalam benaknnya.

Dalam berfikir dengan bercekak pinggang itu. Tiba-tiba bola adidas fevernova yang bulat itu melayang betul-betul menghampiri kawasan sepakan sudut, berhenti di dalam bekas lopak babi berkubang.

Pertahanan pasukan Samad sudah tertewas. Ada seorang murid tahun enam dari pasukan lawan yang deras lariannya sedang menuju ke arah bola itu, tapi masih jauh. Samad lebih dekat lagi jika hendak dibandingkan jarak mereka ketika itu.

Samad serabut.


Bersambung>>>


10 Jan 2012

Cermin (edisi jiwa)


Dia bangun dari baring dan duduk di hujung kaki katil, merenung rak kasut yang bersepah. Sarung kaki yang berbau hangit itu menjadi tumpuan matanya.

Malam telah lewat. Benar-benar lewat dan sangat lewat. Terlalu tua untuk dia persiakan waktu yang tersisa itu. Tapi matanya belum juga mahu terpejam. Hatinya pula, pada malam yang tua itu tidak senang dan asyik berbisik halus.

Hal hati itu sudah satu perkara yang menyusahkan. Kini nyamuk pula yang muncul menyanyi lagu suka gembira di telinganya. Hal nyamuk ini menambah-nambah pula kerunsingan hati Samad. Hebat bukan, binatang sekecil itu mampu menggugat tidur seorang manusia.

Matanya dipicingkan. Nyamuk di kesan. Nyamuk ditampar.

Akhirnya, nyamuk betina itu mati juga ditampar telapak tangan Samad. Darah merah memercik di tapak tangan Samad. Boleh jadi darah Samad sendiri. Dia puas. Tapi tiada pula terukir di wajahnya kepuasan itu. Kepuasan itu terganggu kembali oleh bisik-bisik halus dalam hatinya,

Peristiwa itu telah lama dijeruk peram dalam jiwanya. Dan kini telah menjadi masam dan terus merosak dirinnya.

Lebih baik aku diam saja, dari berkata-kata yang bukan-bukan lalu menoreh luka di hati orang. Bisik hati Samad pada dirinya sendiri. 

Lampu di padam lalu dia tidur. Suara dengkurnya memecah suasana hampir subuh yang bening itu. Sayup-sayup kedengaran suara bilal memanggil orang ke masjid.

Samad tinggal begitu sahaja, sebelum ada rakan yang menyepaknnya supaya bangun bersolat subuh.




bersambung>>>

8 Jan 2012

Menyalakan api

Pagi hujung minggu pada minggu pertama tahun baharu ini begitu cerah. Sinar matahari yang tajam menikam-nikam bumi kotaraya. Dia memandang langit yang ditumbuhi awan yang berkepul-kepul itu. Janganlah hujan. Seru hatinya. Segera dia melihat jarum-jarum pada jam tangan. Dia resah sedikit, dia menunggu terlalu awal di atas bangku di taman bunga itu. Pandangan matanya merayap kepada bunga-bunga yang mekar di taman itu. Keluhan berat dilepaskan.

"sayang, lama ke dah sampai?" lembut suara garau seorang lelaki menjentikgegendang telinganya. Suara itu menggetarkan jiwa raganya. Suara kekanda pujaan hati yang saban waktu membuat dirinya resah dilambung ombak kerinduan. Mabuk cinta. 

"baru je awak," dia tersenyum sehabis lebar. Manis. Gigi putih melepak itu tersusun cantik seperti sebuah tembok yang utuh.

Jejaka pujaann hatinya itu menghulurkan tangan

"jom,"  dia menyambut tangan itu tanpa berfikir lagi.

Mereka pun beriringan berjalan berpegangan tangan. Mulanya begitu. Kemudian sang jejaka mula merangkul pinggul si gadis. Dan si gadis semacam rela dan suka apabila diperlakukan begitu. Kepala gadis comel dan manis itu terus jatuh ke dada bidang jejaka bersuara parau itu. Mereka ketawa gembira. Langkahan mereka serentak dan degup jantung mereka senada.

Mereka melintasi sebuah pohon akasia tua menuju ke kereta jejaka bersuara parau itu. Khabarnya ada syaiton di atas pokok akasia itu. Syaiton itu bertepuk tangan dan ketawa berdekah-dekah melihat dua manusia yang bercinta monyet. Misinya di taman berbunga mekar itu sudah terlaksana. Seterusnya nafsu muda yang bergelora akan meneruskan rencana.

TAMMAT SUDDAH

7 Jan 2012

Samad si kanak-kanak riang 2

Segenap sudut padang mula dipenuhi dengan susuk-susuk tubuh yang bersorak-sorak dengan penuh kesukaan yang datang dari hati yang ikhlas tanpa dibuat-dibuat. 

Disebelah kanan padang pula berbaris anak-anak kecil yang memakai baju sukan yang terbahagi kepada tiga warna. Ada yang berwarna merah, ada pula yang berwarna kuning dan ada juga warna biru. Ada yang bersorak, ada yang berborak, ada yang bermain, ada yang diam, ada yang berkelahi, ada yang bergusti, dan ada pelbagai ragam yang biasanya dibuat oleh golongan bawah dua belas tahun.

Pada mulanya anak-anak kecil ini berbaris dengan elok sekali tanpa banyak kerenah dengan ketua rumah sukan berada di baris hadapan sekali sambil memegang panji rumah sukan mereka. Sibuk mengibar bendera itu tanpa pernah letih. Tetapi semua ketertiban dan keelokan perangai ini tidak kekal lama. Mereka mula berselerak dan ada yang tertolak-tertolak sehingga ada yang hampir melepasi garisan padang. Sehinggakan keadaan sudah menjadi hampir tidak terkawal lagi. Sedari perkara itu, maka sibuklah sang guru mengawal keadaan. Menjeritlah sang guru memberi arahan supaya murid-murid mengelokkan kembali perangai mereka. Ada murid yang tidak mendengar kata dan mereka diberikan satu pulasan mesra di telinga sebagai habuan. Maka diamlah murid seketika, sekurang-kurangnya untuk lima minit yang seterusnya sebelum bisa dipulas telinga itu hilang dan kembali membuat perangainya yang tidak elok itu kembali.

Sebelah kiri padang pula ada didirikan khemah untuk tetamu istimewa iaitu waibi adun kawasan melabuhkan punggungnya yang besar itu. Sementara tetamu-tetamu lain pula bertebaran di merata-rata tempat. Ada yang duduk beralas surat khabar, ada yang mengunci kepala lutut berdiri dan bermacam ragam dan fiil lagi. 

Tetamu istimewa belum pun hadir. Beliau hanya akan hadir apabila perlawanan akhir yang akan berlangsung pada keesokan harinya. sekali gus merasmikan penutupan majlis minggu kokurikulum sekolah ini. Maka khemah itu diduduki oleh pengerusi PIBG yang sudi meluangkan masa pada pagi yang harmoni itu.

"weeeeeeeeetttt......."

Kuat bunyi siulan wisel yang ditiup cikgu Kamarul itu. Serentak dengan itu bola yang bulat ditengah padang itu pun mula ditendang ke sana ke mari. Serentak dengan itu juga sorakan penyokong juga bertambah gamat.

Serentak dengan itu juga hati samad bertambah gawat. Lututnya yang kecil itu tidak henti-henti terketar. Dalam dadanya pula hanya tuhan sahaja yang tahu.

"Dup Dap Dup Dap," demikianlah bunyi hati kecilnya itu


Bersambung>>>

6 Jan 2012

Transformasi



Di kampung Samad ada sebatang jalan, Samad tidak tahu namanya jadi untuk memudahkan penceritaan yang seterusnya, kita namakan saja jalan ini jalan klinik kerana pada satu hujung jalan yang sebatang ini terdapat sebuah klinik. Lebih 10 tahun yang sudah, jalan yang sebatang ini hanya beralas batu kerikil untuk separuh bahagian dan separuh bahagian lagi hanya bertanah merah. Yang beralas kerikil itu cabang yang menghala ke klinik kesihatan kampung Samad dan yang terbiar bertanah merah pula bercabang ke sekolah kebangsaan. Kiri dan kanan jalan ini ketika itu dipayungi pokok besar-besar dan agam. Semak samun dari paku-pakis hutan, senduduk dan lalang juga melatari wajah jalan ini. Wajah yang kadang-kadang menerbitkan keseraman dalam jiwa kanak-kanak Samad, lagi-lagi jika bertemu musang atau babi hutan yang melintas.

Jalan ini dahulunya merupakan makanan harian Samad sewaktu bersekolah rendah, hampir setiap hari persekolahan Samad menyepak kerikil dan lumpur di jalan ini. Samad jarang berseorangan melalui jalan ini, selalunya waktu pergi Samad ditemani ibu dan sewaktu pulang, Samad berlari dengan rakan-rakan. Tetapi, ada juga hari-hari yang Samad tidak melalui jalan ini. Contohnya jika hari hujan, bapa Samad tidak menoreh dan dia akan menghantar Samad ke sekolah menaiki motosikal. Sebenarnya ada dua jalan untuk ke sekolah kebangsaan itu, jalan yang bertar yang agak jauh yang mana jalan yang digunakan ayah Samad jika menghantar Samad dan jalan klinik yang sering Samad tempuhi ini. Namun kerana jarak jalan klinik kelihatan lebih dekat maka Samad pilih jalan klinik ini.

Sekitar awal penggal persekolahan ketika Samad di darjah lima. Hutan sekitar kawasan ini ditumbangkan jentera berat bergigi tajam. Tanah bukit diratakan. Balak ditebang dan diambil. Kata ayah Samad kerajaan mahu bina jalan baru yang mahu menghubungkan daerah perkampungan ini supaya lebih dekat dengan Bandar. Jalan yang lebih lurus, lebih lebar dan lebih selesa. Menggantikan jalan lama yang kecil dan banyak selekoh gaung dan liku itu. Pembinaan sebesar itu merupakan ketakjuban kepada jiwa kecil Samad ketika itu. Bukit, kebun getah dan hutan yang disondol jentera tolak menelanjangkan wajah daerah yang selama ini menghijau. Udara segar diganti dengan debu tanah merah yang menyesakkan. Samad sebagai kanak-kanak sekolah menjadi gembira, rakan Samad yang suka bermain tanah bermain tanahlah, yang takjub dengan kegagahan jengkaut, jentolak dan jentera penggelek hari-hari bermain dengan jentera berat itu. Samad tidak terkecuali. Duduk diatas kerusi pengemudi jentera, dan berangan mengendali jentera itu. Berbuih-buih mulut mengajuk bunyi mesin yang kuat itu.

Jalan besar ini memotong jalan klinik, juga memotong jalan lama yang berliku, memotong hutan dan segala-gala yang duduk di dalam laluannya. Akhirnya, sewaktu Samad di darjah enam, jalan ini siap. Benar kata-kata yang Samad dengar sebelum ini, perjalanan ke Bandar lebih singkat. Tiada lagi rasa pening dan mual  hinggakan mahu termuntah jika mahu ke bandar kerana jalan lama yang berselekoh tajam dan penuh liku itu.

Kini wajah jalan klinik itu juga turut bertukar corak. Tidak lama kemudian ia mula berturap aspal. Klinik kesihatan yang dahulunya keseorangan dihujung jalan itu, kini sudah berteman. Bermula dengan sebuah Pusat Sumber yang dibina seiring dengan pembinaan jalan itu. Kemudian di belakang pusat sumber itu didirikan dewan serba guna. Kemudian naik pula tadika kemas, bersebelahan bahagian kiri pusat sumber. Di sebelah kanan naik pula bengkel tiga pintu, satu untuk kerja kimpalan, satu untuk membaiki motosikal dan satu lagi untuk membaiki kereta. Di hadapan bangunan perusahaan bengkel itu pula naik sebuah pasar mini dan sebuah warung kopi.

Pusat sumber ini berdiri dan berfungsi semasa Samad di darjah enam. Samad suka benar berada disini, kononnya mahu mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan tetapi Samad sebenarnya mahu bermain basikal rakannya. Sebab Samad tidak mampu untuk mempunyai sebuah basikal pun di rumah.  Kanak-kanak, anak muda, orang dewasa sering sahaja memenuhkan ruang pusat sumber ini. Ada yang suka membaca majalah, ada yang suka membaca buku cerita dan ada juga yang bermain permainan papan seperti dam dan catur yang ada disediakan di sudut permainan.

Untuk beberapa tempoh, pusat sumber itu melayari zaman kegemilangannya, sehinggalah pada satu hari, dua buah bangunan dibina  bersebelahan dengan tadika kemas, sewaktu zaman internet jalur lebar mula diperkenalkan, baru benar lagi. Satu daripada bangunan itu adalah untuk menempatkan pusat komuniti jalur lebar di kampung kami.

Kemasukan perkhidmatan internet jalur lebar ini memang mengubah sesuatu di kampung kami. Tiada lagi yang tuna, semuanya sudah celik dengan teknologi maklumat, sebut sahaja Facebook, twitter dan segala macam lagi benda-benda yang berkaitan semuanya sudah tahu, budak tahun satu pun sudah tahu, nenek yang sudah tua pun tahu.

“macam mana nak buat gulai patin masak tempoyak ni mak lang?” tanya rakan Samad pada satu majlis kenduri.

“senang je, cari je resipi tu dekat internet,” mak lang menjawab, dan seraya memecahkan ketawa semua yang ada di situ.

Pada satu hari yang tidak disangka-sangka, Samad singgah sebentar ke pusat sumber hanya berniat mahu berjalan-jalan.

“dulu ramai budak juga yang datang ke mari,”  Samad buka bicara.

“aah, tapi sekarang tak ramai dah, budak-budak lagi suka main internet dekat pusat komuniti,” akak sidah penjaga pusat sumber itu menjawab sambil-sambil mengubah bunga plastic di dalam pasu. Mendatar berisi pilu sahaja suaranya.

Samad diam dan teruskan membelek buku yang ada pada tangan. Hampir pukul tiga Samad meminta diri untuk pulang. Dua buah buku Samad pinjam. Sebelum terus ke rumah Samad singgah sebentar di pusat komuniti meninjau-meninjau, melihat tanah air.

Ternyata anak-anak kecil di pusat komuniti ini juga membaca buku, mereka bersungguh menekuni buku muka. Samad senang, Samad harap akak sidah juga senang.

 TAMMAT

5 Jan 2012

Cerita susah 1.


Segelas besar milo kosong yang masih panas berkuap di muka pintu itu sudah lima minit ditenung mata samad yang mengantuk itu. Wap milo panas itu berterbangan bebas ke atas bergelumang dengan udara lalu hilang ditelan angin yang menyapa muka pintu. Angin bulan disember yang sejuk itu datang bersama hujan gerimis lembut yang membasahi bumi. Sisa-sisa wap milo itu ada yang masuk mengetuk lubang hidung samad. Harum seperti milo jugalah baunya.
Sudah masuk hari ketiga hujan seperti ini turun mencurah. dan sudah tiga hari jugalah samad tinggal begini di rumah. Makan dan tidur, membela perut.

“tak boleh ingat keh kalau musim hujan masa dulu-dulu,” parau bicara ayah samad mula bersuara.
Dia berhenti sebentar menghirup milo yang sama seperti samad tenung. Ada sisa milo yang melekat pada misai putih tebal di atas bibirnya.

“makan nasi dengan garam lah kalau dulu, itu pun kalau ada beras, kalau ada garam “ tambah ayah samad lagi, milo yang tersisa di misai nya itu segera diseka dengan lengan kanan.

Samad hanya mendengar sahaja. Milo kosong masih tidak berusik dan masih berkuap. Samad pula masih duduk memeluk kepala lutut di muka pintu itu.

“lantai bilah buluh, dinding kulit kayu, air kena berangkat dekat sungai, mandi pun kena dekat sungai…..
Nak banding dengan sekarang memang senang sangat dah, macam langit dengan bumi. berjasa sangat kerajaan sekarang ni pada kita semua, ”

Samad serupa itu juga, diam membatu, terus senyap membisu.

Khabarnya hujan di daerah perkampungan samad itu berterusan selama sebulan. Sebulan itu jugalah ayah samad bersurah kepada samad tentang kesusahan yang diharungi pada zaman dahulu dan kesenangan yang dikecapi pada zaman sekarang.

“…berjasa sangat kerajaan sekarang pada kita semua,” tegas bapa samad untuk ke sekelian kalinya.

Khabarnya juga, selama sebulan itu, samad serupa itu juga, terus diam membatu dan senyap membisu.
Genap satu bulan satu hari kampung samad itu pun karamlah di telan banjir.



4 Jan 2012

saudagar masa

Ada seorang saudagar yang pandai berdagang masa. Kerjanya membeli dan menjual masa. Menjual masa kepada manusia-manusia yang masanya sentiasa suntuk dan membeli masa daripada manusia-manusia yang suka membuang masa.

"Dari dibuang masa itu baiklah kiranya ia dipajak kepada saya, boleh juga saudara beroleh untung, lima kati masa bersamaan dengan lima ratus ringgit, lima kati itu lima jam daripada  masa yang saudara ada." kata saudagar itu pada suatu hari pada seorang manusia yang suka membuang masa.

Sukalah orang yang suka membuang masa itu kerana tiada disangkanya dengan membuang masa juga dia boleh beroleh untung.

"Saya jual," ujar lelaki itu tanpa tertahan-tahan lagi.

"Saya lihat tuan ini sibuk orangnya. Saya ini membuat bisnes jual beli masa. Kalau sentiasa tidak cukup masa untuk melunaskan kerja tuan sehari-hari, tuan boleh hubungi saya.

 Ini kartu nama saya. Lima kati masa saya akan jual pada tuan dengan harga kurang lebih tujuh ratus ringgit. Lima kati sama timbang dengan lima jam,"

Sukalah orang besar masyarakat itu. Dia sentiasa tidak cukup masa. Kartu nama bertukar tangan.

"Saya mahu beli." ringkas ujar orang besar masyarakat itu.

Maka majulah perniagaan saudagar itu. Cawangannya dibuka di sana sini. Kekayaannya bertambah berkali-kali lipat.

Pada suatu hari, dia jatuh sakit dan keesokannya dia mati tanpa sempat berbini. Kata orang, dia terlalu sibuk menguruskan masa orang sehingga masanya sendiri terabai. Terlalu sibuk sehingga lupa masa untuk hidup di dunia ini sudah pun luput.

Sesudah kematiannya, perniagaannya ditutup kerajaan. Tembelengnya yang busuk pun pecahlah, rupa-rupanya dia kaki tipu pada manusia-manusia yang suka mendengar kisah tipunya.

amaran: Janagan percaya cerita ini.