28 Nov 2013

masa

cemburu itu bukan sifat masa,
masa itu,
gadis pelayan pujaan ramai,
jika harga diberi lumayan,
lumayan juga layanannya,
jika tidak dihargai,
dia lari

wahai masa
mari kita mengikat janji
aku beri harga yang baik...
dan kau jangan tinggalkan aku lagi.

18 Mac 2013

kenangan


Saya tersenyum-senyum sendirian. Seperti sedang menikmati sesuatu yang sangat menyenangkan. Padahal dalam kepala saya ketika itu sedang terkenang perkara sulit yang sangat menyentuh hati. Entah kenapa saya masih boleh menguntum senyum sedemikian rupa.

Saya meluruskan duduk dan kaki lalu bersandar pada kerusi malas. Beberapa ekor burung murai yang berwarna seperti tahi cicak itu riuh bernyanyi-nyanyi dan terbang dengan riangnya pada dahan pokok mempelam yang rendang merimbun. Daunannya yang hijau itu setia memayungi dan meredupi laman kecil sekangkang monyet di hadapan saya. Hati saya berasa tenang dan terhibur. Dan sekali lagi saya terkenang gadis itu – perkara sulit dan sangat menyentuh hati.

Waktu itu. Gadis manis itu pasti menangis. Kerana saya pasti benar rasa dalam jiwa gadis itu. Kerana gelora dalam jiwa saya juga serupa itu juga. Gelora yang tidak boleh saya gambarkan dengan kata-kata kerana itulah pertama-tama dalam hidup saya jiwa saya dibadai gelora yang dahsyat semacam ini.

Saya kelemasan. Sehari-hari saya tidak mandi kerana tahu mandi saya itu tidak terasa basahnya. Sehari-hari tidak makan kerana saya tahu jika saya makan pun tidak terasa perut saya ini penuh. Dan tidur saya selalu saja terganggu. Pejam sahaja mata saya, wajah gadis itu muncul dalam kelam pejam mata saya itu. Saya runsing juga pada mulanya. Tetapi masa terus juga berjalan laju tanpa perlu disuruh. Masa yang berjalan laju itulah telah membawa pergi resah gelisah dalam jiwa saya ini.

Gadis itu saya tinggalkan setelah saya berjanji mahu sehidup semati dengan dia. Setelah saya janjikan janji-janji muluk yang membuai rasa dan mempesona sukma jiwanya.

“Kita mahu berapa orang anak awak?” Tanya saya pada gadis itu pada satu perbualan maya kami di laman facebook.
Saya nak enam belas orang. ” balasnya. Saya tersenyum. Lalu saya balasi.
“Letihlah saya macam ni…hahaha.” Saya ketawa kecil. Dan saya ketahui dia juga ketawa serupa seperti saya.

Ketika itu kami benar-benar bahagia. Hampir tiap saat kami berhubung. Jika tidak dengan pesanan ringkas  pada telefon tangan. Kami berhubung dengan laman facebook. Malam-malam terlalu singkat buat kami. Mandi saya maklumkan padanya, makan saya maklumkan juga, semuanya. Semua gerak laku saya maklumkan. Demikian juga dengan si dia. Tidak putus-putus tanpa rasa jemu walau sekelumit hama pun.

Tapi setakat itu sahajalah buat masa setahun dalam perkenalan kami. Hanya berutus pesanan ringkas dan berbual di laman sosial. Matanya tidak pernah saya renungi tembus sampai ke hulu hatinya. Suaranya belum pernah tembus menghembus halus gegendang telinga saya. Padahal apabila kami berselisih di luar atau ketika di dalam kampus, masing-masing malu memaling muka sama ada saya mahu pun dia. Sesungguhnya saya senang dengan keadaan ini. Kerana waktu itu saya amat yakin saya akan terhindar dari perkara-perkara yang boleh mencambahkan dosa dan memalitkan tompok hitam pada hati saya. Biarlah rindu dan cinta itu terbuku sahaja dalam dada fikir saya.

Pada suatu hari, tanpa disangka-sangka dia mengajak saya keluar bersama. Katanya, saya sudah akan meninggalkan kampus tahun itu kerana saya sudah berada di tahun akhir sedangkan dia akan terus mengaji lagi dua tahun. Tanpa disangka-sangka juga saya dengan mudah dan tanpa timbang tara yang sewajarnya telah bersetuju. Seperti ada bisikan halus yang mengasyikkan menyuruh saya supaya terus menerima tawaran itu. Akhirnya saya katakan ya!. Dalam hati, saya yakinkan bahawa pertemuan ini sekadar pertemuan sahaja, tiada apa yang lebih dari itu akan berlaku. Perkara ini saya ulang sebut dalam benak fikiran saya berkali-kali.

bersambung>>>

2 Mac 2013

penganggur


Samad sudah puas runsing berkenaan soal hidupnya. Sudah lama dia memikirkan persoalan yang terbuku dalam benak kepalanya ini. Soal-soal yang maha penting untuk dia mengisi ruang kosong dan kelompongan dalam hidupnya. Kekosongan yang telah membalut ruang hidupnya.  Lalu menjadi gelap dan suram. Denai hidupnya nampak gelap dan menakutkan dirinya sendiri untuk menyusun langkah. Takut. Selama dua tahun  inilah dia. Menjadi penakut.

Dia duduk di kaki tangga sambil menongkat dagu. Angin petang itu menyapa lembut wajahnya tetapi sedikit tidak melunakkan runsing dan fikir yang semak menggelodak dalam benaknya. Kain pelikat kumalnya berkibar lembut dihembus angin menampakkan betis bulatnya yang berbulu serupa lalang kering kelayuan.

Pada mula, dia benar memandang remeh soal yang sedang dihalusinya ini. Ini soal gampang, ludahya. Dan kini, ludah yang dihambur itu terpalit pada wajahnya. Hanyir dan busuk. Kini dia terpaksa ditelan ludah itu bulat-bulat. Sesal menebal membuku dalam hatinya.

Dia bangun dari kaki tangga itu sejurus sayup-sayup laungan azan asar mengoyak menungannya. Dengan langkah yang malas dia mendaki anak tangga yang empat itu dengan dua langkah sahaja. Berjalan lambat-lambat masuk ke dalam rumah menuju ke bilik air. Mak Leha ibu Samad, memandang anak jantannya dengan kasih yang tidak dapat diibaratkan dengan sebarang apa jua. Pandangan kasih seorang ibu kepada  anaknya seorang penganggur.
;;;;;;;