23 Ogo 2014

Tembikai

Angin membadai kencang dari timur. Membadai dari tengah perut lautan sulu yang pastinya sedang bergelora ganas. Dingin angin itu dengan kasar menyusup dari celah tingkap yang tidak dapat ditutup rapat dek kerana dimakan tagar, menyebabkan asbak yang diperbuat daripada tin milo itu jatuh ke lantai menghamburkan isi perutnya. Habuk rokok dan puntung bergolek-golek disapu angin. Pintu dapur sudah dua tiga kali dihempas angin yang liar itu. Karim masih diam beku di depan rumah. Bunyi bising di dalam rumah dibiarkan sahaja. Dia termenung dan merenung. Merenung ke hadapan rumah. Merenung jauh melimpasi padang bola yang bertiang beruti dari kayu terisai yang disatukan dengan wayar bumi berwarna hijau kasar. Jauh lagi melimpasi semak dipinggir padang itu, melimpasi pantai di balik padang, malah melimpasi laut hingga seberang.

Akhirnya, awan hitam yang bergumpal di perut langit tidak lagi dapat menahan isi perutnya. Rintik hujan turun dengan penuh patuh akan aturan dari tuhan. Setitik, dua titik, tiga titik dan lalu terus melebat dan memutih. Padang dan semak di hujung itu terus kabur ditelan lebatnya hujan yang mencurah. Angin yang bertiup garang yang merenjis hujan ke depan rumah itu akhirnya mengalahkan asyik mabuk karim bermenung. Dia bangun, mahu menutup pintu dapur, mahu mengemas asbak yang terburai isi perutnya, mahu menadah air yang tiris dan lalu mengunci diri di dalam bilik dan sambung bermenung.

"Ustaz!!"

Karim tidak dengar. Lebat hujan menulikannya.

"ustaz!!"

Buat kedua kali yang lebih lantang dan terang. Karim menjenguk ke bawah kulung. Seorang muridnya sedang kebasahan dan kesejukan.

"ha, ada apa wiwi,"

"Tembikai,"

"apa,"

"tembikai ustaz,"

"haa, oh, bawa naik atas,"

Anak kecil itu terketar-ketar memanjat tangga. Sebiji buah tembikai sederhana besar dipeluk erat.

"Kau jual?"

Wiwi menggeleng. Dia menyeka titis hujan yang menganggu matanya dengan punggung tangannya.

"Siapa kasi?" soal Ustaz Karim lagi.

"aku kasi ustaz, hadiah hari guru," wiwi tersenyum, menyerlahkan gigi putihnya yang tidak tersesusun dengan baik.

"terima kasih,"

Tembikai bertukar tangan. Dan semerta wiwi meminta diri.dia berlari-lari lalu menghilang dalam celah rintik hujan yang semakin lebat. Karim tiba-tiba sebak. Pilu pukul-memukul hatinya. Jauh dari fikirannya yang si wiwi akan datang dalam hujan ini kerana ingin menghadiahkannya sebiji tembikai. Ombak keharuan melanda pesisir jantungnya. Nyaris-nyaris dia kebasahan dengan air atanya sendiri.

Bersambung...