30 Jan 2010

gadis baik

gadis baik
ibarat mawar mekar
belum dipetik
belum terusik

gadis baik
ibarat mawar mekar
pandai jaga diri
pandai menusuk duri

kalau berhajat juga
akan gadis baik
perlu pandai memetik
jangan sampai tertusuk duri
berhati-hati

28 Jan 2010

tiada tajuk




sejak akhir-akhir ini.
tidur siangku sering terganggu,
dengan paluan kompang dan gamelan,
bertingkah dan berlagu,
dengan irama yang aku tak tahu,

hari demi hari
tidur siangku terus diganggu,
dengan paluan kompang dan gamelan,
dengan irama yang berlagu,
"inilah harga pembangunan"

ahhh...
tidur siangku terpaksa menjadi korban.
dek paluan kompang dan gamelan pembangunan.

22 Jan 2010

Pembunuh

Saad sedang mencari lena diatas katil. Sekejap pejam, sekejap celik mata Saad. Saad cuba berguling-guling di atas katil. Sukar untuk Saad terlena malam itu.

Tiba-tiba, tanpa Saad sedari. Ada lembaga merapati katilnya dan berbisik di telinga Saad.

"Kau ada hutang darah dengan aku." halus suara lembaga itu.

Saad berang dengan bisikan itu. Saad menghayun tangannya selaju yang mungkin ke arah lembaga yang berbisik itu. Tapi kecewa, Saad cuma bertepuk sebelah tangan. Lembaga yang berbisik itu mengelak dengan mudah.

"Celaka," jerit hati kecil Saad yang berjiwa besar.

Saad menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada kelihatan kelibat lembaga berbisik itu.

"perasaan aku saja mungkin," bisik hati Saad.

Saad menanggalkan baju dan melemparkan ke kaki katil. Saad terus melabuhkan kepala di atas bantal birunya yang berinti kekabu, buatan ibunya dari kampung. Empuk dan menyelesakan. Saad pejam mata ketat-ketat, menjemput lena datang berkunjung. Juga berharap lembaga berbisik itu pergi tidak berbisik lagi.

Tanpa Saad sedari, lembaga itu kembali juga. Berbisik lagi.

"Kau bunuh mak tiri aku kelmarin. Hari ini, aku datang menuntut bela," bisik lembaga itu.

Saad mendengar bisikan itu. Berkerut-kerut dahi Saad menahan ngilu bisikan itu. Saad sudah hilang sabar.

"Kau takkan terlepas," bulat tekad saad.

Saad membatukan diri sejenak. Mengumpulkan seluruh kudratnya di tangan kanannya. Sekali lagi lembaga itu berbisik, maut akan menjadi jawapannya.

" Hutang darah dibayar...."

"Panng..", kuat bunyinya jurus yang Saad gunakan.

Saad tersenyum puas memandang lembaga yang berbisik itu. Terkujur kaku dan tidak berbisik lagi. Darah merah membuak-buak keluar dari tubuh lembaga itu. Saad membersihkan darah pada tangannya sbersih-bersihnya. Saad berbaring kembali, cuba untuk tidur. Dan kini tiada lagi bisikan dari lembaga yang berbisik. Sebelum terlena, Saad terfikir. Mungkin esok atau lusa , sahabat dan saudara lembaga yang berbisik akan datang pula untuk menuntut bela. Dan Saad akan tetap terus menjadi pembunuh.


"hutang darah dibayar darah", terdengar jeritan nyaring yang penuh dengan dendam dari longkang-longkang yang digenangi air diseluruh tanah melayu.

17 Jan 2010

Jalan Sehala part 2

Lama Aki Anjang termenung memandang langit malam. Samad yang bersila di hadapannya masih setia menunggu dan menemani Aki Anjang berbicara. Kedinginan malam menyebabkan mata Samad sedikit mengantuk, dan Samad fikir ubatnya ialah sebatang rokok. Samad menyalakan rokok yang terselit di celah telinganya tadi. Sekejap-sekejap Samad menghembuskan asap rokok perlahan-lahan.Dalam ruang masa itu, Aki Anjang masih tidak bersuara. Pandangannya kosong, mungkin sedang memikirkan dari mana ceritanya akan bermula. Aki Anjang berkisar-kisar di tempat duduknya, mencari posisi yang paling selesa untuk memulakan kisah hidupnya. Setelah agak lama berfikir akhirnya Aki Anjang bersuara juga.

"masa aku muda-muda dulu, aku ada cita-cita. Aku nak ubah dunia dan masyarakat, dengan acuan dan cara aku sendiri" rendah suara Aki Anjang. Sarat dengan penyesalan.

Samad terangguk-angguk. Bertanya tidak, mengiyakan pun tidak. Sekejap-sekejap Samad menjentik abu rokok ke bawak serambi surau. Aki Anjang menyambung.

"Aku masuk politik. Aku fikir aku boleh mengubah masyarakat dengan politik. Aku jadi pengikut yang cukup setia. Setiap kali ada pilihanraya, aku keluar berkempen. Berkobar-kobar aku ajak orang ramai undi parti yang aku ikut, undi calon parti kami." Aki Anjang berhenti sejenak, hendak mengambil nafas. Samad masih belum dapat mengesan apa yang di sesali Aki Anjang. Aki Anjang menyambung kembali.

"Politik cara barat ni sangat kotor, Samad. Pantang ada orang yang kutuk parti aku, aku kutuk balik. Kadang-kadang sampai bergaduh. Betapa fanatiknya aku pada masa tu. Dosa pahala aku dah tak kisah. Maklumlah, waktu tu darah muda." Aki Anjang terhenti, tapi tidak lama. Terus menyambung.

"pada waktu itu, parti politik sebenarnya adalah kepercayaan aku.Aku bertuhankan politik. Parti politik yang boleh bagi aku anak beranak makan, parti politik juga yang boleh ubah masyarakat kepada masyarakat yang lebih baik, semuanya parti politik dan parti politik." tinggi suara Aki Anjang. Kemudian menyambung, perlahan dan sedikit sebak.

"Bila keluar berkempen, aku tinggal anak-anak aku. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang dua minggu. Anak-anak aku terbiar tanpa adanya aku di rumah. Bila aku jadi ketua kampung, masyarakat kampung aku berpecah belah. hubungan saudara jadi renggang. Kalau masjid itu jemaahnya ramai dari parti lain aku sanggup sembahyang di masjid lain. Tapi pada saat itu, aku masih belum sedar." Lagi sekali Anjang terhenti mengambil nafas.

"Negara dan masyarakat memang semakin maju. Sekarang bersepah bangunanan tinggi-tinggi, orang mnoreh getah pun boleh pakai kereta...tapi masyarakat semakin hancur...ramai yang dah jauh dari agama. Ramai yang mengaku islam tapi tak buat apa yang Allah suruh dan tak tinggalkan apa yang Allah larang."

"sekarang aku dah tak boleh nak ubah apa-apa, yang aku boleh ubah hanya diri aku sendiri, kalau dari dulu aku berubah mungkin aku sekarang tak macam ni.. terlantar di rumah orang tua ni...dibuang anak-anak...kalau dulu aku berubah menjadi lebih baik mungkin anak aku menjadi baik, seterusnya keluarga aku menjadi bahagia, orang akan menjadikan keluarga aku sebagai tauladan..dan wujudlah masyarakat yang baik, dari masyarakat yang baik wujudlah negara yang baik." Aki Anjang terus berceerita. Samad terus terangguk-angguk macam burung tukang membuat sarang pada tunggul kekabu.

" kau tidak perlu rujuk sistem politik yang dicanang oleh barat, kau tak perlu buku yang bermacam aneka yang ditulis manusia berpandukan akal manusia yang sentiasa dirasuk nafsu dan syaitan .... kau pegang dan ikutlah Al-Quran dan sunnah nabi...kau masih muda, masih ada masa jika dizin Allah." Aki Anjang berhenti sejenak, memandang Samad yang dari tadi diam tertunduk kusyuk.

" Kau dengar tidak apa yang aku cerita ni," tinggi suara Aki Anjang.

Samad terkejut dan tersentak. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Aki anjang.

"Dengar....dengar tadi aki," jawab Samad. Matanya yang merah digosok-gosok dengan lengannya.

"Pukul berapa dah ni aki..aki tak nak tidur ke?" Samad cuba mengalih perhatian Aki Anjang. Dia memanjangkan leher, melihat jam di dalam surau.

"Aku tidur dekat sini hari ni," pendek jawapan Aki Anjang.

"saya beransur dulu aki. Dah pukul 12 lebih ni. Nak balik pondok pengawal," Samad bangun. Menghulurkan tangan, bersalaman dengan Aki Anjang.

"Assalamualaikum," Samad memberi salam.

"Waalaikumussalam warahmatullah," balas Aki Anjang. Tersenyum.

Perlahan-lahan Samad menuruni tangga surau. Pinggang dan kakinya terasa kebas kerana terlalu lama duduk diatas simen yang sejuk. Dia menggeliat sedikit. Memutar badan ke kiri dan ke kanan. Kemudian menumbuk angin. Sesekali kedengaran bunyi sendi badannya meletup-letup. Samad antara ingat dan tak ingat apa yang dikisahkan Aki Anjang kepadanya tadi. Apa yang diingatinya sekarang ialah,pukul dua nanti dia akan kejut rakannya Sulaiman, untuk meronda dan dia akan tidur menunggu pukul tujuh pagi. Samad terus melangkah malas menuju pondok pengawal.

Malam masih panjang fikir Samad.

11 Jan 2010

Jalan Sehala part 1

"krohh...krohhh". Kuat bunyi dengkuran sulaiman.
Samad malas nak kacau rakan setugasnya membuta. Dia bangun dan keluar dari pos pengawal. Ambil angin sikit malam-malam macam ni boleh menyihatkan paru-paru fikir Samad. Samad pandang ke langit. Langit terang, bulan mengambang. Samad teringat kisah-kisah seram yang pernah dia dengar, ada orang kata, waktu bulan mengambang macam ni banyak hantu keluar jalan-jalan. Entah betul entah tidak. Tapi bagi samad, bila malam bulan mengambang dia jadi berani sikit kerana malam tidak segelap malam yang tiada bulan. Bunyi dengkuran Sulaiman masih beralun. Kadang-kadang kuat, kadang perlahan.

"letih kot kawan aku ni", samad cakap sorang-sorang.

Dia raba kocek seluar, ambil kotak rokok. Tapi kotak rokok samad dah kosong. Samad renyuk-renyuk kotak rokok dan lempar dalam tong sampah. Samad melemparkan pandangan ke arah bangunan Rumah Orang Tua yang besar itu. Samad terfikir, ramai juga orang tua dalam Malaysia ni yang hidup sebatang kara, ditinggalkan keluarga. Samad terbatuk kecil dan mengurut dadanya yang terasa perit. Samad masuk kembali ke dalam pos pengawal. Rakannya Sulaiman, masih berdengkur keenakan. Samad tersenyum dan menggelengkan kepala. Samad ketuk bahu rakannya guna lampu suluh.

"weh,,aku nak pergi keluar meronda kejap, ni aku nak pinjam rokok ko sebatang, rokok aku habis", Samad cakap kuat-kuat.

Sulaiman bangun, tapi masih separuh sedar.

"ha...yelah..ambiklah...hati-hati jalan". Acuh tak acuh, terus terlantar diatas kerusi malas semula. Menyambung lenanya yang diganggu.

Samad malas banyak cakap, dia ambil rokok dua batang. Satu dia cucuh kat mulut, satu lagi dia selit dekat celah telinga. Sekarang dia benar-benar bersedia untuk meronda dan menjaga keselamatan penghuni rumah orang-orang tua ini. Samad keluar dari pos pengawal dan melangkah perlahan-lahan. Sekejap-sekejap, samad menyuluh ke sekitarnya. Cuma ada pokok-pokok bunga yang disimbahi cahaya bulan. Blok utama sudah gelap dan sunyi. Samad tengok jam di tangan kiri. Samad tepuk dahi. Samad lupa dia mana pernah pakai jam. Jadi, samad bawa keluar telefon mudah alih di dalam poket depan baju seragamnya. Angka-angka yang tertera di dalam telefon mudah menunjukkan pukul 10.30 malam. Masih awal bagi orang yang bekerja sebagai pengawal keselamatan seperti Samad, tapi tidak bagi penghuni rumah ini yang sudah tua-tua.

Samad terus jalan perlahan-lahan.Dia menghiburkan malam yang sunyi itu dengan bernyanyi kecil. Lagu Wing, biarkan berlalu dan XPDC, hairan bin ajaib bermain dibibirnya. Lagu-lagu indie zaman sekarang masih belum mendapat tempat dihatinya. Samad pun tak faham kenapa.

Dia telah melewati blok utama dan blok asrama. Di depannya kini adalah surau. Surau masih terang di beberapa bahagian. Masih ada penghuni rumah ini yang belum tidur dan memenuhkan malam dengan ibadat.

Samad menanggalkan kasut dan terus tempat mengambil wudhu'. Sekadar mahu menyegarkan muka dengan air. Dari tangga surau Samad menjenguk ke dalam surau. Ada tiga orang semua sekali. Seorang di depan mimbar sedang solat sunat, seorang di kanan surau sedang membaca Al-Quran dan seorang lagi sedang beriktiqaf di serambi surau. Samad mendaki tangga surau. Jam surau menunjukkan pukul 11.10 mlam. Samad menuju ke arah orang tua yang sedang duduk di serambi surau. Umurnya lingkungan pertengahan 70-an. Dari lirikan matanya ternyata dia sudah biasa berbual dengan Samad. Samad menghulurkan tangan dan bersambut.

"Tak tido lagi aki?" samad memulakan bicara.

"Entah la malam ni, payah pulak mata ni nak mengantuk...", jawab Aki Anjang.

Suasana hening seketika.

"Anak cucu takde ke melawat..," tanya Samad.

Aki Anjang diam. Tidak terus menjawab.

" Dah lama dah diorang tak datang tengok aku," bergetar suara Aki Anjang.

Diam lagi.. Kali ini agak lama. Ada sesuatu bermain di dalam otak Aki Anjang.

" Aku menyesal samad, " tiba-tiba Aki Anjang mmbuat satu pengakuan tanpa dipinta.

Samad diam. Tidak berani bertanya kenapa. Orang tua macam Aki Anjang memang mudah berkecil hati. Samad biarkan Aki Anjang yang mulakan cerita.

Bersambung....

10 Jan 2010

aku Gelak..

satu permulaan yang baik buat pasukan pahang. Menang 2-1 keatas perak di laman sendiri memang sesuatu yang memberikan harapan kembali kepada penyokong pahang kerana pada musim lepas untuk menang di laman sendiri adalah sesuatu yang agak sukar untuk dilakukan. mungkin ada kejutan lagi selepas ini oleh pasukan pahang...sama-sama kita nantikan..

3 Jan 2010

jangan Buang anak merata-rata

Aku tengok dan aku perhati memang dah lama perkara ni. Memang cukup pelik perangai rakyat malaysia. suka buang mende merata-rata. kalau setakat puntung rokok tu mungkin tak jejas kot alam sekitar sebab aku buang ikut dan je mende alah tu. Tapi kalau sampai tahap buang anak dalam tong sampah, longkang, tepi jalan, dalam semak... ni bukan orang dah ni...apa nak jadi dengan rakyat malaysia sekarang ni, aku pun dah tak tahu.. dulu ada nama anak buluh betong je..orang kata tu anak bunian...tapi sekarang ni anak tong sampah DBKL, anak sungai kelang pun dah ada..banyak pulak bunian mengawan sekarang ni ek..

Itu satu cerita, kisah tentang orang buang anak sebab takut pekung di dada pecah, busuk nama keluarga.anak yang tiada keturunan itu akan menghancurkan nasab keluarga. kejam memang kejam, tapi nak dibandingkan lagi satu penyakit rakyat malaysia ni, aku rasa yang kedua lagi kejam. penyakit apa.? penyakit suka mencampakkan anak sendiri ke dalam tong sampah neraka. Aku tengok budak-budak zaman sekarang ni, cukup bebas, mak bapak budak-budak ni macam tak pernah tekankan soal akhlak ke,bersuka ria seenak-enaknya, minum arak, seks bebas berleluasa dimana-mana. Kalau nak cari muka budak-budak muda dekat masjid dan surau cukup payah. yang senang ditemui hanyalah pakcik-pakcik, atuk-atuk dan seangkatan denganya.

memang kita tengah hanyut dengan nikmat keduniaan sehingga tak sedar musuh islam terus ketawa terbahak-bahak melihat kebodohan kita.