25 Sep 2011

perlumbaan

Samad berlari lelah. Nafas tersekat-sekat. Otot pahanya rasa terbakar. Kantung paru seperti mahu meletup. Dia mahu berhenti, tapi kaki teruskan juga berlari. Jalan dua lorong itu dilihat sempit dihujung. Mata tuanya yang kabur semakin berasap. Samad semakin perlahan, tangan kanan menekan dada kiri. Berdenyut disitu.

Di kiri dan kanan jalan riuh-rendah dengan sorak-sorai orang ramai.

"lari pak mat, laju lagi" seorang penyokong menjerit dari celah semak.

"lari pak mat, pak mat boleh menang," sorak lagi seorang dari celah pangkal pokok getah.

Sorak-sorai itu bagaikan ubat kuat untuk Samad. Dirinya kembali bertenaga, kemahuannya mahu menang semakin bulat.

dia menoleh sekejap ke belakang. Ali semakin rapat mengejarnya. Sameon juga begitu. Tidak ketinggalan juga Ramli. Anak-anak muda ini semakin dekat. Wajah mereka tidak terbayang kepenatan. Samad resah dan gelisah. Dia cuba mengayuh langkah lebih deras. Langkah kakinya yang dipaksa-paksa itu semakin sumbang dan pelak.

Sorak dan sorai di tepian jalan semakin riuh. Ada yang melaung namanya, ada yang melaung nama Ali, ada yang melaung nama Sameon, ada yang melaung nama Ramli. Dan banyak lagi nama yang Samad sendiri kurang kenal. Anak-anak muda itu sudah hampir sebaris dengannya. Samad memandang ke hadapan. Persetan, bendera penamat belum muncul. Jauh lagi perlumbaan ini. Dia semakin lelah, letih dan rimpuh.

Ada hadirin penyokong yang menghulurkan air kepada mereka. Samad mencapai satu. Sewaktu meneguk air osmosis berbalik itu, dia tersedak. Langkah sumbang dan tiba-tiba lututnya berbunyi. Dia tersungkur. celaka, aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perlumbaan ini, fikir Samad. Hakikat yang pahit untuk dia telan bersama air osmosis berbalik itu.

Sameon, Ali dan beberapa yang lain, yang turut sama bersaing dengannya tadi berhenti. Mengusung Samad ke tepi.

"pak Mat boleh berlari lagi," tanya Ali,

"Pak Mat tidak apa-apa?" tanya Sameon pula.

Samad menggeleng. Garis di dahi berkerut menahan sakit.

"kalian anak muda teruskan larian, kalian lebih pantas untuk menang. Orang tua seperti aku sudah tidak larat lagi. Aku sokong kalian dari sini." pendek jawapan Samad. Upayanya untuk terus berlumba, untuk bersaing sudah hilang.

Anak-anak muda itu mengangguk dan terus berlari. Samad memandang sahaja. Dari kejauhan itu dilihatnya Ali dijulang juara. Serentak dengan itu juga Ali dinobat sebagai pimpinan baru masyarakat di situ. Samad pula walau tewas terhormat, tetap jadi orang penting tanpa jawatan. Nasihat dan cadangannya didengar dan dibahas juga. Hampir sebulan juga Samad a.k.a Pak Mat bekas ketua kampung berjalan jengkang-jengkot.

Inilah kisah sebuah desa yang tidak wujud dimana-mana, hanya khayalan semata-mata. Jangan pula dicari kesahihan kisah ini kerana memang tidak akan berjumpa.

SEKIAN


19 Sep 2011

pendidikan 1

Secara pukul rata, seluruh rakyat malaysia yang lahir selepas merdeka mengalami proses pendidikan kurang lebih sebanyak 11 tahun. Tolak ketepi  murid-murid yang berhenti sekolah awal, malas datang ke sekolah, tadika, taska, mahupun tingkatan enam dan pendidikan di pengajian tinggi.

Pendidikan yang dimaksudkan di sini ialah bermula dari sekolah rendah (sk, sjkt, sjkc)iaitu tahun satu hingga enam sebanyak enam tahun dan pendidikan sekolah menengah sebanyak 5 tahun dari tingkatan 1 hingga 5. Masa kanak-kanak dan remaja yang berusia 7 hingga 17 tahun kebanyakannya dihabiskan di institusi yang dinamakan sebagai sekolah ini. Oleh itu, tidak boleh tidak jika kita katakan bahawa, sedikit sebanyak perkembangan minda dan sahsiah kanak-kanak dibentuk di sekolah (bukan menafikan tanggungjawab ibu bapa yang sebenarnya lebih besar dalam membentuk anak mereka sendiri, tetapi realiti sekarang ibu bapa lebih banyak menyerahkan tanggungjawab itu kepada semata institusi persekolahan).

Dalam tempoh selama 11 tahun yang boleh dikatakan panjang itu ( jika dibandingkan tempoh reproduktif manusia yang efisien, 11 orang anak boleh dihasilkan) murid dan pelajar di sekolah perlu menghadapi paling kurang 3 peperiksaan awam. Pada tahun terakhir sekolah rendah, pada tahun 6 murid menghadapi Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR), pada tahun ketiga sekolah menengah iaitu dipenghujung menengah rendah pelajar menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan pada tahun terakhir menengah atas pelajar harus menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jadi satu persoalan timbul, dari mana datang beranaknya asal-usul peperiksaan ini? Tradisi peperiksaan ini bermula di China. Lebih tepat lagi bermula ketika Dinasti Sui memrintah china pada tahun 500-an. Peperiksaan "Ba Gu Wen" di china ini bertujuan untuk memileh calon pegawai kerajaan. Dan tradisi peperiksaan ini mula merebak dan bercambah ke eropah pada abad ke-16 dan terus mewariskan kepada negara yang duduk dibawah ketiak jajahannya, baik di afrika, mahupun di asia. Antaranya negara kita iaitu Tanah Melayu (sebelum 16 september 1963) atau Malaysia (sesudah 1963). Namun begitu, percaya atau tidak hanya negara amerika syarikat atau polis dunia yang tidak mempunyai sistem peperiksaan awam.

Celaka betul...banyak betul peperiksaan yang kita duduki, tak termasuk ujian PKSR (ujian ini kalau tidak silap saya terbahagi kepada 1,2,3,dan 4 sila betulkan kalau salah), ujian pertengahan tahun serta akhir tahun lagi. Jadi, adakah selama ini kita ke sekolah untuk belajar? atau menyiapkan diri untuk berpencak di atas kertas peperiksaan semata?. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya di sekolah selain dari soal-soal peperiksaan dan ujian ini saya dapat juga teman bermain dan berseronok sementara menunggu masa untuk periksa lagi.

bersambung>>>asal usul UPSRPMRSPM. dan apajadah KSSR.

15 Sep 2011

Puaskan Hatimu

Saya sangat jarang tidak berpuas hati dengan hidup saya. Sangat jarang tidak bermakna saya tidak pernah tidak berpuas hati. Mungkin pernah dan pernah lebih dari sekali. Mungkin juga banyak berkali-kali, tapi saya cuba lupakan supaya saya tidak menyusahkan hati saya.

Sejujurnya, terlintas perkara ini di dalam batu fikiran saya kerana saya baru saja tidak berpuas hati. Saya berfikir perkara ini agak lama, tetapi tidaklah sampai tidak kenyang makan dan hilang nikmat tidur.

Setelah habis sebatang rokok, saya buang rasa itu dalam tong sampah.

Kita selalu tidak berpuas hati kerana sesuatu perkara itu tidak selari dengan keinginan kita, tidak selari dengan nafsu kita. Jadi, kita sentiasa tidak senang. Hati kita tidak senang. Jadi untuk itu saya akan berpuas hati saja dengan apa yang saya terima. Sekurang-kurangnya saya masih ada masa untuk tersenyum dari mencuka bermasam muka.

P/s: "Saya" dalam repekan di atas tidaklah melambangkan diri saya. "Saya" dalam repekan di atas juga tidak mewakili sesiapa sahaja. "Saya" dalam repekan di atas adalah semata-mata saya. "kita" dalam baris kata diatas juga tidak melambangkan anda dan saya. "kita" dalam baris kata diatas adalah semata-mata "kita"

8 Sep 2011

sangka 2

Hujan bunut. Rintik hujan malas mahu menyimbah bumi. Tetapi petir dan guruh berpesta di langit. Guruh bersipongang. Berdentum dentam. Kilat memancar-mancar. berbalam-balam di perut awan.

Katak betung mula berbunyi, sahut menyahut. Barangkali memujuk hujan supaya jangan malas turun.

Dalam hujan yang malas dan guruh yang meriah itu, diselang seli suara katak betung yang tenggelam dengan bunyi guruh, pecah satu berita. Tersebar ke seluruh ceruk kampung. Menjalar ke setiap cuping telinga penduduk kampung. Ada aib orang mahu disebar. Ada fitnah mahu ditabur.

Tanpa segan silu, khabar itu terusan merayap. Daging saudara sendiri mereka ratah, lahap.

"betul ke kau ambil dadah khalid?" wajah kamal serius.

Khalid diam, matanya merenung jauh menembusi rintik hujan yang kian melebat. suasana seketika sepi. Seolah masa sudah berhenti. Ruang kosong itu dipenuhi kesunyian, dan Kamal tidak mahu memecah tembok sepi itu. Biar saja khalid yang mula berbicara.



bersambung>>>

6 Sep 2011

garam

anak saudara (umur darjah empat sekolah kebangsaan)

bapa saudara (45, kerja kerajaan, rock, sempoi, masih bujang)

latar tempat: di tebing sungai pahang, kuala salan.

latar masa: pukul 12.30 tengah hari, niat hati mahu memancing, harapan dijiwa mahu rentap dengan toman atau belida.




MAKA CERITA PUN BERMULA.

Anak saudara: pak cu, tak baik buang sampah merata-rata.

Bapa saudara: (menjegilkan mata, telinga merah, mulut rasa mahu meludah) kau ni dah lama hidup nak nasihat aku. Aku lebih dulu makan garam, jangan pandai-pandai nak nasihat aku.

Anak saudara : (diam terkedu) banyak ke pak cu makan garam tu.

Bapa saudara : (menahan gelak bercampur dengan marah-marah sayang pada anak saudara) Apa soalan kau tanya ni, buat lawak betul. haha. Kalau nak banding umur aku dan kau, memang banyak dah garam aku makan. Dah berlori-lori dah aku rasa. hahaha (ketawa sambil menahan perut gendut yang ikut sama ketawa)

Anak saudara : (senyum sinis) ohhh, patutlah kena darah tinggi.

Bapa saudara : Apa kau cakap, aku campak kau kat sungai pahang ni. haha.

MELAWAK KASAR TIDAK MEMUTUSKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG ERAT.


P/S: pengalaman ada banyak, pengalaman pahit, pengalaman menyeronokkan, pengalaman yang teruk, baik, henyut, mudarat, gila, pengalaman buat jahat, macam-macam. jangan sebab pengalaman yang banyak kita menolak nasihat yang baik dari orang tiada pengalaman.

4 Sep 2011

KAYA-kisahpendekdihari-RAYA

Hari raya keenam. Bulan jelas berbentuk sabit kecil di langit barat. Sekejap-sekejap tenggelam ditelan awan malam. Bergema di langit, bunyi mercun meletup-letup galak berbunyi. sunyi sebentar, dan kemudian galak kembali. Kadang kuat, kadang perlahan. Isteri Samad yang terkejut-kejut, mencarut-carut di dapur.

Samad menggulung tembakau di muka pintu dapur. Kos sara hidup meningkat, Samad terpaksa akur dengan perkara kos sara hidup itu. Kalau teringin sangat, rokok di dalam kotak berjenama mahal itu dibeli juga . Tetapi itu sangat jarang. Rokok pucuk tembakau jawa inilah yang selalu.

"kaya belaka sedara abang tu Mah tengok, kereta besar, baju lawa..." tenggelam begitu saja suaran isterinya. carutnya juga tenggelam. Mulut sedang penuh dengan pulut. Ketupat palas disental dengan rendang kering. Dia khayal seketika menikmati hidangan itu.

Samad korek daging rendang di celah gigi guna jari. Tak dapat, Samad korek lagi pakai lidi penyapu. Diludahnya keluar. Baru rokok dinyalakan. Kata-kata isterinya itu dibiarkan saja, hanyut bersama asap rokok pucuk tembakau jawa yang dipukul semilir malam.

"kalau la kita kaya macam tu....raya ke london la kita ye bang," hampir mahu tersembur pulut dan rendang. tapi cepat-cepat ditahan. dijolok dengan air kopi pekat, segera pulut itu turun ke perut.

Samad berpaling pada isterinya. Samad tatap wajah isterinya yang cantik itu. Kalau tidak cantik masakan dahulu samad gila bayang. Dia tersenyum, isterinya juga tersenyum.

Samad pandang keliling.

"aku juga kaya, kita juga kaya," tegas benar kata-kata Samad.

"kaya apa bang, jangan nak merrepek." Semah hampir ketawa. Nyaris, lagi sekali pulut mahu tersembur.

"aku kaya dengan kebahagian, lihat anak-anak kita sihat-sihat semua, cukup makan. Rumah kecil kita cukup untuk kita mendiaminya. hidup kita tak pernah lebih..." Samad berhenti di situ.

"walaupun banyak yang kurang, yang penting kita bahagia, kekayaan harta belum tentu mampu membeli kebahagian kita ini. Kita patut bersyukur. Itulah kekayaan aku dan kau," Semangat Samad lain benar malam itu.

"Dah macam ustaz dah abang ni," semah tersenyum manja.

"abang dengar tazkirah kat surau, maghrib tadi," Samad juga tersenyum lebih manja lagi.

Suasana tiba-tiba sepi. Samad bangun berdiri. Dijenguk ke ruang tamu, lima anaknya menonton tivi, tiga telah hanyut dibuai mimpi. lagi empat anak perempuan sudah tidur di dalam bilik. Yang kecil sekali sudah mabuk susu di dalam buai.

"anak-anak dah tidur mah," lembut suara samad.

"sekejap," isterinya mengemas pinggan dan berkumur di sinki.

Malam ini malam keenam raya. Sebulan sudah berpuasa, tak salah meraikan kemenangan untuk perjuangan sebulan. Samad raikan kemenangan dengan menambah kekayaan. Barangkali raya tahun depan samad akan Bertambah kaya, bertambah anak, dan bertambah kos sara hidup.

samad tak kisah, semah pun tak kisah. Inilah "kekayaan" mereka. Bergudang duit pun memang tiada orang mampu beli.


SELAMAT HARI RAYA