Serupa seperti lima tahun yang sudah. Gerai itu masih juga saya lihat dan sampai kini masih juga saya mesrai. Berbumbungkan sekaki payung, yang terkadang tidak langsung berfungsi seadanya fungsi payung itu sekiranya hujan lebat membasahi kota Kuala Lumpur. Selalunya jejambat yang melintasi di atas kepala itulah yang berfungsi sebagai bumbung yang sebenar-benarnya. Dan kerusi meja yang sudah lusuh itulah tempat saya duduk sambil membuang pandangan pada kenderaan yang lalu lalang melintasi gerai burger ini.
Aboi namanya. Pemilik gerai yang sering menguntum senyum manis itu Aboi namanya. Sudah lebih lima tahun kenal. Nama sebenarnya tidak pula pernah saya tanyai. Barangkali memang Aboi itulah nama sebenarnya seperti yang tercatat dalam surat beranaknya. Ataupun ada nama lain yang saya tidak ketahui. Dan tidak pula saya tanyakan hal ini walau sebenarnya ada juga keinginan yang dalam untuk tahu. Tetapi rasa ingin yang dalam itu saya simpan saja dalam benak kepala saya dalam. Apalah ada pada nama fikir saya. Oleh itu keinginan itu terus luput begitu sahaja.
Hubungan saya dengan dia pada mula hanya hubungan seorang peniaga dan seorang pembeli burger. Namun untuk waktu-waktu yang terkemudian. Hubungan itu mula menjadi hubungan sebagai rakan. Mungkin kerana Aboi ini orang yang sangat ramah dan mudah pula diramahi oleh sesiapa sahaja. Teermasuklah saya.
Aboi adalah watak yang penuh dengan cerita. Dia manusia pemerhati. Manusia ini sarat dengan cerita tentang jerih dan payah untuk terus bernafas dalam kota yang sesak ini. Tujuh belas tahun lamanya dia berada di sini. Tujuh belas tahun juga hikayat hidupnya untuk diceritakan.
Katanya pada saya pada suatu hari, terkadang orang bukan Melayu lagi tahu menghargai bahasa Melayu daripada bangsa Melayu itu sendiri. Lalu saya bertanya kenapa.
Dia memberitahu, pernah ada seorang mat saleh mahu membeli burger. Barangkali pelajar dari Universiti Malaya.
"Apa yang peliknya," tanya saya.
"kau tahu, dia 'nak order burger daging special. Tapi dia sebut lain,"
"dia sebut apa?"
"burger daging istimewa, haha,"
Saya ketawa. Aboi juga ketawa. Bukan mat saleh itu kami ketawakan. Tapi diri kami sendiri, diri kami yang berkulit warna melayu dan berwajah rupa melayu tetapi pula sering lupa diri bahawa kami ini melayu. Alangkah sedih, sedang orang lain cuba berbahasa dengan elok tetapi kita tidak cuba pula menggunakan bahasa kita dengan sesungguh hati. Sering pula kita sibuk-sibuk menggunakan bahasa orang supaya kelihatan lebih maju dan berwajah intelek. (bukanlah salah mempelajari bahasa asing, tetapi lebih elok jika memperelok bahasa kita, di samping itu belajarlah bahasa asing, dan biarkan perkara ini berjalan seiring)
Dalam banyak perkara yang dibualkan, soal kahwin juga yang sering jolokkan pada Aboi. Dan selalunya dia hanya tersenyum dan berkata.
"aku sedar kal, aku dah tua. Adik aku pun semua dah kahwin."
"Kahwinlah boi, nanti ada orang boleh teman masak burger," saya mengusik
"kalau aku kahwin tak merasa dah kau makan burger aku ni, haha"
Saya juga ketawa. Kemudian saya berfikir-fikir. Selepas ini entah bila pula dapat saya merasa lagi lembut roti dan harum daging burger Aboi. Kalau panjang umur barangkali adalah rezeki. Itupun kalau Aboi masih lagi berniaga di bawah jejambat depan pintu pagar Universiti Malaya.
"kalau ada masa contactlah, boleh mancing ke, masuk taman negara ke sama-sama," pesan Aboi.
Awal hidup di kota besar ini, semuanya mengujakan. Sesiapa saja teruja dan sudah tentu saya juga termasuklah dalam golong orang yang teruja itu. Tiada perkara yang tidak menarik mata saya untuk memandang. Terlalu banyak perkara untuk diamati dan terokai. Sememangnya, wilayah kecil ini terlalu padat isinya untuk diselak satu demi satu.
Azan asar baru saja usai beralun. Ketika itu, saya dan teman-teman yang lain masih sesat di celah himpit manusia yang bersemut di jalan Tunku Abdul Rahman. Buat pertama-tama dalam hidup saya melihat umat manusia yang ramai tidak terhitung ini. Dari hujung ke hujung lorong itu, penuh peniaga dengan pelbagai jenis gerai dan berjual beraneka macam barangan. Mata saya sesak melihat semua itu. Isi poket terlalu sedikit jika dibandingkan dengan apa yang ingin dibeli. Liur keinginan itu saya telan saja. Lunas.
Kami terus berjalan ke hujung lorong itu. Terus tembus ke sebuah gedung besar. Kata kawan saya, bangunan itu diberi nama Pertama. Gedung besar itu kami masuki. Baru saja wajah kami disapa hembus lembut pendingin hawa, terus saja kami disambut oleh para peniaga yang amat ramah. Saya mengelak, begitu juga kawan saya. Kami berlalu ke tingkat atas. Tulus kata, kami sebenarnya tiada niat untuk membeli, sekadar berjalan untuk menjamu mata sahaja.
Dalam banyak perkara, yang hadir dalam dalam hidup saya sehari-hari. Ragam manusialah yang suka saya perhatikan. Kami duduk di atas sebuah bangku batu di hadapan bangunan Pertama. Sudah terlalu lama kami menapak langkah. Duduk-duduk buat menghilangkan lenguh dan dan sengal lutut. Orang lalu lalang silih berganti melewati kami. Sambil menyalakan sebatang sigaret, saya menonton teater hidup ini dipentaskan.
Nun, ada teruna mengusung dara. Punggung montok si dara itu percuma diraba dan dimesrai teruna. Lurah bukit si dara sengaja dijaja dan didedah. Buat penarik mata-mata liar seperti saya dan rakan saya. Percuma, benar-benar percuma.
Nun, ada selonggok anak muda berhimpun dan berbuat bising dengan gelak tawa mereka. Muda benar rasanya. Lebih muda dari saya. Pakaian mereka aneh, tetapi tidak pula saya berasa hairan kerana dahulu pernah juga bercampur gaul dengan golongan ini. Kerana dahulu, ketika saya seusia mereka saya juga tergolong dalam orang-orang yang berseluar ketat dan suka bergelak ketawa juga. Kini begitu juga, cuma terkadang ada tembok yang menjadi batas halimunan buat saya. Dan selalunya saya terbenteng.
Nun, ada jaka menapak megah menggoyang langkah. Nun ada juwita melenggang pinggul memukau pesona. Nun ada lelaki buta dengan isteri peneman setia menyanyikan lagu rancak bernada pilu. Nun ada lelaki tua compang camping pakainya berbedak debu mukanya mencari sesuatu dalam tong sampah. Nun ada gadis. Nun ada anak kecil. Nun ada satu, ada ratus, ada ribu, ada juta-juta umat manusia. Bertebaran dengan sejuta watak dan aneka ragam. Semuanya bergelimang dalam kota Kuala Lumpur.
Dalam udara kota yang senak, suasana yang penuh merasak. Dalam bingit deru kenderaan. Terdengar seru halus menjentik cuping telinga saya. Azan maghrib sudah dilaungkan. Saya mengeluh. Asar sudah berakhir. Dan saya belum pun lagi menunaikannya.
Kuala Lumpur, kesibukanmu melekakan. Bikin manusia lupa pada tuhan.
Saya tidak sedar berapa lama saya terlena dalam kereta abang ipar saya. Ketika saya tersedar. Matahari sudah ditelan gelap malam. Malam itu saya tidur di rumahnya. Saya tidak tidur dengan sebenar-benar maksud tidur itu. Sekejap-sekejap saya terjaga. Entah kenapa jadi begitu, barangkali sudah puas tidur dalam kereta atau memang begini kejadiannya apabila baru tiba di tempat baru. Sukar benar mata untuk dilelapkan. Akhirnya malam yang resah itu bertemu juga dengan siang. Pendek benar rasanya waktu malam itu. Sekejap benar rasanya.
"tahu dah tempatnya abang teh?" tanya saya pada abang ipar saya.
"dah tengok dah minggu lepas." jawabnya sambil menyuap nasi putih bersama sambal hitam.
Pagi itu, awal benar kami melahap nasi. Palu kebuluran bergendang dalam perut kami. Usai makan, tepat jam lapan kami bergerak dari rumah abang ipar saya itu ke Kuala Lumpur. Kami bersesak dengan kenderaan lain di atas jalan raya yang luas .Berpuluh-puluh dan barangkali - beratus - lebih dari itu kereta berasak-asak membelah jalan raya pada pagi itu. motosikal mencelah-celah di tepi kenderaan yang berasak-asak.
Saya memandang ke luar jendela kereta. Mata saya terpegun pada bangunan-bangunan agam yang bediri menjulang langit. Gedung-gedung besar ini berisi apa di dalamnya fikir saya. Saya teruja melihat lebuh yang bertingkat-tingkat. Hebat benar bandar besar ini. Sejenak dalam hidup saya, saya rasakan seperti makhluk asing dari bawah tempurung yang baru melihat dunia yang belum terlihat oleh mata sebelum ini.
Kuala lumpur itu kotanya kota batu. Buminya bersalut aspal. Langitnya berselimut kabut. Malamnya tiada pernah tidur. Lampu-lampu neon merata-rata cambahnya. Masjid di sana diimarah, maksiatnya pula turut sama meriah. Motokar, motosikal dan lori tidak putus-putus menggiling jalan. Dengan aneka bunyi yang membikin telinga jadi bernanah.
"aku tak boleh hidup dalam kota yang semacam itu," tegas Elong Lias ketika mendengar khabar saya mahu menyambung belajar di bandar raya Kuala Lumpur.
"hendak buat macam mana Elong, dah rezeki dapat sana, tak kan nak tolak pula," saya tegaskan juga pendirian saya.
Padahal dalam hati saya, gerun itu timbul juga apabila mendengar khabar yang diceritakan itu. Tujuh belas tahun saya hidup, bernafas dengan sihat menghirup udara kampung, tidak pernah pula kaki saya ini menjejakkan kaki ke bandar raya itu. Dahulu, sewaktu sekolah rendah pernah juga pihak sekolah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak dapat turut serta. Ada kekangan kewangan ketika itu. Jadi apa yang saya tahu tentang kota raya itu hanya dari apa yang saya baca dan apa yang saya dengar dari mulut orang. Utamanya Elong Lias ini, gemar benar dia bercerita tentang Kuala Lumpur.
"bila mahu bertolak?" tanya Elong.
"petang ahad, pagi isnin dah kena daftar." jawab saya.
Sebenarnya soal kehidupan ini, dimana pun kita dicampakkan, kita perlu hidup juga. Itupun selagi malaikat maut belum datang mengetuk pintu kehidupan kita. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kehidupan ini perlu juga kita jalani. Cuma terpulang caranya bagaimana. Lurus jalan yang kita pilih. Luruslah cara hidup kita. Bengkang-bengkok jalan yang kita pilih, bengkang-bengkoklah cara hidupnya.
"mana-mana pun sama saja," akhirnya Elong Lias mengalah.
Saya cuma menyimpul senyuman.
"yang penting diri kita 'tu, nak jadi apa, pilihlah elok-elok," tegasnya pula.
Hari ini Kuala Lumpur. Akan datang, kalau panjang umur ke mana pula. Soal itu menikam-nikam otak saya.
Samad termenung. Sejak sebulan yang lepas memang begitulah keadaannya. Memandang langit yang kadang kala redup dan tenang, yang kadang kala terik dicumbu mentari yang garang. Matanya yang cengkung mudah melayu dalam hening petang itu. Dia menyalakan sebatang sigaret. Kepalanya yang berat disandarkan pada kuisyen bersampul merah jambu yang berkarat dengan daki kerana sudah lama terbiar tidak berbasuh. Asap sigaret yang melayang-layang dihembus angin dikhayalinya. Untuk sekejap masa, beban dalam benaknya yang ditanggung hilang bersama-sama kepul-kepul asap sigaret.
Sigaretnye lunas dihisap. Tiada lagi kepul asap untuk dikhayali. Terus ada hanya langit dan mentari yang dipandang Samad. Tanpa jemu.
Dalam dua bulan yang lepas. Banyak benar ujian yang bertimpa-timpa dalam kehidupannya. Ujian hidup itu sesuatu yang lumrah. Tetapi ujian yang mendatang kali ini benar-benar melemahkan jiwanya. Semangatnya rebah sama sekali. Sejak itu dia cuba mencari puncanya. Tapi dalam samar-samar imejan-imejan kisah yang telah terjadi terlalu sukar untuk dia menelah, apalagi menyimpul satu rumusan untuk dijadikan jawapan. Untuk menyenangkan hatinya sendiri pun sukar apalagi memuaskan hati orang lain. Apa yang pasti setan-setan sedang bertepuk tangan, bersorak gembira melihat silaturahim yang kian goyah ini.
Dalam ruang masa yang panjang dan menyeksakan ini, berkali-kali dia bercermin diri. Melihat salah dirinya sendiri. Benar, memang benar terlalu banyak dosanya. Siapalah dia, hanya manusia pendosa yang memang tidak lepas dari tersalah langkah, tersumbang tingkah dan tercabul kata. Tapi dosa yang dituduh kepadanya kali ini terlalu berat. Aneh, mereka yang menuduhnya pula bukan orang lain, kakaknya yang cerdik-cerdik itulah yang mengatakannya. Sikit marah pun tidak berbekas dalam hatinya. Hanya sesal diperlakukan sebegitu.
Dia sendiri tidak tahu kisah yang lebih lanjut. Apa yang diketahuinya, sehari sebelum tiba aidilfitri, dia mahu diparang adiknya sendiri. Dia dituduh mengguna-guna sihir pada adik sedarahnya. Mujur adiknya yang bongsu itu menahan. Ipar duainya juga menahan. Ibunya, yang sudah lemah dimakan usia itu. Sekadar memerhati. Wajah tua yang dihiasi kedut itu basah dengan air mata. Bapanya, menggeleng kepala melihat drama aneh itu. Suara tuanya tiada siapa lagi yang peduli. Kekesalan terukir nyata diwajah bapanya.
Samad berfikir. Apa salah dia sebenarnya. Dia berpaling ke dalam ruang rumah. Anaknya sedang cuba-cuba merangkak mencapai botol susu yang terlepas dari genggaman. Anak yang sekecil itu juga menjadi saksi pada kejadian yang sangat melukakan itu. Anak kecil yang baru kenal dunia tiba-tiba terpaksa melihat kejelekan dan kehodohan dunia kerana singkat akal dan fikiran manusia. Isterinya yang satu juga dimangsai tuduhan liar. Tiba-tiba dipersalahkan. Isterinya menangis.
Asar lambat lagi. Matanya yang cengkung meminta lena. Lena walau sekejap cuma. Sebelum lena dia cuba berharap apabila terbuka matanya dari lelap, kesulitan ini terhapus langsai. Kalaulah semudah itu. Dia tersenyum. Sebelum lena, dia teringat.
"sabarlah bang Mat, esok-esok sejuklah tu, air dicencang tak kan putus." kata adik bongsunya. Mereka berpelukan dengan ratap tangis yang disimpan di dalam hati.
Ramai orang kata dan bercerita, terkadang perkara ini semacam satu bentuk persepsi semata yang tiada dasar dan asas, tetapi saya termakan juga dengan cerita-cerita begini kerana perkara ini berlaku pada diri sendiri dan juga terlihat oleh mata dilakukan masyarakat sekeliling.
Seorang lelaki yang saya layak memanggilnya pakcik pernah memberitahu saya.
"kita ini selalu sangat berbuat sesuatu perkara itu mengikut musim, hangat-hangat taik ayam, habis hangat busuk sahaja yang lebih..."
Pakcik ini mungkin ingin menyampaikan sesuatu kepada saya. Tetapi sewaktu dia menuturkan perihal ini kepada saya, saya belum mengambil cakna dan memahaminya lalu saya hanya mengangguk kepala untuk mengambil hati beliau sahaja. Jadi apa yang saya ingat hanyalah pepatah taik ayam dan busuknya itu sahaja.
Kemudian saya terfikir kembali perkara ini sewaktu azam lama saya mahu berhenti merokok muncul kembali. Barulah saya akui kebenaran falsafah taik ayam pakcik ini.
Azam saya yang satu ini memang bermusim, musimnya datang sewaktu wang dalam dompet dan poket saya mula kemarau dan kering kontang. Ketika itu saya mula menyedut rokok murah yang kurang enak aromanya, mungkin kerana jelek dengan rasa rokok itu, saya menanam azam dalam hati mahu berhenti rokok. Tetapi azam tinggallah sebagai azam dan tidak pernah pun tertunai. Apabila poket saya mula berisi, saya kembali merokok dengan selesa.
Bulan Ramadhan berlalu seputar masa. Bulan yang penuh keberkatan ini akan kita tinggalkan. Saya harap apa yang kita buat di bulan ramadhan ini dapat juga kita teruskan di bulan yang lain.
Dalam ibadat tiada musim, manusia beribadat sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah, bukan mengabdikan diri kepada bulan Ramadhan.
Samad ke bazar ramadhan buat kali pertamanya pada hari ke lima belas ramadhan. Buat hari yang telah lepas dia lebih suka berbuka di masjid, berbuka dan berkongsi rasa bersama abang-abang dari negara asing yang beragam warna kulit. Di sana dia belajar keadilan islam. Dia belajar bahawa islam itu bukan agama untuk manusia melayu berkulit kuning sepertinya sahaja. Islam itu agama untuk yang putih, coklat, hitam dan seluruhnya.
Bazar ramadhan seperti gambaran dalam fikiran sesiapa sahaja pasti melakarkan satu catan yang penuh sesak, berasap, sesak, padat, berasak-asak dan meriah. Sepanjang laluan dari hujung ke hujung bazar penuh dan melimpah dengan aneka makanan berwarna warni dan beraroma enak yang menarik nafsu yang sedang berpuasa.
"kau tengok hujung sana," tangan Samad diacu kepada satu arah.
"mana?'' soal rakannya
"sana itu, kau nampak mamat yang bawa plastik bungkusan yang banyak itu, kuat betul makan" Samad memuncungkan mulutnya.
Rakannya menyorot pandangan ke arah yang ditunjukkan Samad.
"tidak baik kau berkata begitu, barangkali dia ada ahli keluarga yang ramai untuk diberi makan." rakannya berkata.
Samad mencebik. Manusia yang dikata itu hilang di celah sesak manusia yang berasak-asak. Mereka berjalan lagi. Tidak lama, mereka keluar dari padat bazar ramadhan itu ke arah parkir kenderaan di tepi jalan besar.
Tiba-tiba langkah Samad terpaku pada trotoar. Rakannya hairan lalu bertanya kenapa. Samad tidak menjawab, cuma mulutnya dimuncungkan pada hujung jalur laluan pejalan kaki itu. Rakannya berpaling. Dengan tersenyum rakannya berkata.
"itulah kau, suka berburuk sangka dengan orang lain," kawannya tertawa nipis.
Susuk tubuh yang dikata Samad kuat makan itu sedang memberi bungkus-bungkus makanan pada gelandangan yang meminta sedekah ditepi jalur pejalan kaki. Tanpa dipaksa-paksa, Samad berasa malu dengan serela hatinya. Sesal dihatinya kerana berburuk sangka dengan tidak tentu hala.
Sayup-sayup kedengaran suara dari penjual bazar ramadhan.
"air buah blender, air buah blender, mihun sup pun ada.."
Hari ini, sewaktu pulang dengan kereta dari makan malam di sebuah kedai makan di Pantai Dalam, saya dan beberapa sahabat yang lain terserempak dengan mata-mata gelap yang membuat sekatan jalanan. Betul-betul di hadapan Bangsar South. Kelip lampu neon yang biru itu terlihat sejak dari kejauhan lagi.
Ketika itu, saya duduk di belakang, jadi saya buat-buat tenang saja. Rakan saya yang dihadapan itu kalut mencapai tali pinggang keledar. Yang duduk di bahagian penumpang hadapan itu paling kalut, atau dia gagal menyembunyikan kekalutannya itu, sebab dia seorang sahaja tidak memakai tali pinggang keledar. Rakan saya yang memandu memang siap memakai tali pinggang keledar sejak dari awal lagi. Tali itu ditarik kasar, tapi tersekat kerana memang ia dicipta terkunci apabila disentak kuat.
Lalu saya dan rakan yang lain di belakang ketawakan dia semahunya. Wajahnya benar-benar cuak. Ini saya tidak tipu. Mujur ada tiga biji kereta lagi sedang beratur dihadapan hendak melalui sekatan itu. Kalau tidak, pasti dia kena saman.
Saya bukan mahu cerita apa sangat sebenarnya. Juga tidak mahu kompelin pasal sekatan jalan itu. Kerana pada saya, itu memang tugas pihak polis untuk menjaga keselamatan. Mungkin (sekatan jalan itu) mereka mencari penjahat atau memang sengaja diadakan sekatan begitu, supaya orang macam kami yang tak suka pakai tali pinggang keledar dan ingkar undang-undang ini akan automatik memakai tali pinggang keledar dan patuh pada undang-undang jalan raya.
Saat tersedar ada sekatan jalan raya itu, saya terfikir, saya terbayang. Jika yang saya nampak dihadapan saya itu bukan sekatan jalan, sebaliknya kematian. pasti saya lebih gentar dari sekadar melihat sekatan jalan. Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Tetapi malang. Tidak dapat dibayangkan.
Lihat, rakan saya memandu kereta tenang sahaja kerana dia memang telah bersedia. Memakai tali pinggang keledar walaupun dia sebenarnya tidak tahu pun kami akan menempuh roadblock hari ini. Tetapi rakan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar itu memang cuak dan gentar. Kerana dia tidak bersedia dan takut terkena hukuman oleh mata-mata itu nanti. Mujurlah dia sempat walaupun sudah di saat-saat akhir.
Disaat hujung kehidupan kita baru sibuk mahu menambah amal dan ibadat.
Saya tidak mahu kata orang lain. saya mahu kata pada diri saya sendiri. Saya sendiri sering terfikir, saya masih muda dan apa salahnya masa yang muda ini saya enjoy puas-puas. Apa yang terjelma dalam fikiran saya ini membayangkan semacam saya tahu hidup saya ini pasti akan sempat menempuh umur tua. Padahal, entah-entah esok ajal saya sudah sampai.
Cuba bayangkan, sedang kita memandu dilebuh raya. Tiba-tiba kita terpandang sebatang papan tanda. Kita baca, dan rasa ianya memang ditujukan pada kita.
KEMATIAN ANDA, 100 METER
Apa rasa dalam jiwa anda. Ingat lebuh raya tak boleh buat pusingan U. Samakah kegentaran jiwa kita mengingat mati dengan kegentaran ketika hendak melalui sekatan jalan polis dengan tidak memakai tali pinggang keledar + cukai jalan tamat tempoh + tiada lesen memandu.
Jiwa Samad jadi gamang,
tak menentu, benar-benar gawat dan tenat. Kehadiran dua susuk tubuh ke ruang
pejabatnya lewat beberapa minit tadi membawa satu benih bencana yang besar di
atas benak kepalanya.
Benih itu tumbuh
berakar lalu mencengkam kepala kecilnya. Sakit dan perit untuk ditanggung oleh
kudratnya yang lemah itu. Lalu dia pun tersandar lemah pada kerusi empuk
bersampul kulit tiruan berwarna hitam itu. Matanya merenung kosong kipas yang
berputar pada siling kamar. Ingatan Samad turut sama berputar pada
kedatangan dua susuk ke pejabat tadi. Seperti tayangan slaid, imejan-imejan
itu muncul satu persatu menyemak di dalam ruang fikir.
“Encik bagikepada kami saja projek ini, kami
untung encik pun untung,”
“Projek kamu yang
sebelum ini lewat disiapkan, macam mana kalau projek yang kali ini juga akan
lewat juga. Bukan apa, prestasi syarikat kamu yang menggusarkan saya.”
“encik, kami janji kami
akan buat projek ini bagi beres. Yang penting projek ini encik bagi pada
syarikat kami, berikan tender ni pada kami.”
Samad diam sejenak mendengar
kata-kata itu. Cuba mengunyah setiap patah kata yang didengarinya. Melihat
Samad yang lama diam membisu, seorang dari mereka yang sejak tadi hanya diam mendengar
perbualan Samad dan rakannya itu bersuara pula. Botak dan penuh parut
jerawat batu pada wajahnya. Bengis.
“Jasa encik Samad itu tidak
akan kami lupa, ada bahagiannya nanti. Encik Samad tolong kami, kami akan
tolong encik Samad. Buat permulaan ambillah hadiah kami yang tidak seberapa ini,”
Lunak dan lemak suara
si botak berjerawat batu memujuk ketegasan Samad. Sebungkus sampul surat yang kembung
sarat dengat isi disorong perlahan di atas meja.
“Apa semua ini! Kamu
mahu beli saya?” bentak Samad. Matanya membelalak liar.
Si botak berjerawat
batu dan rakannya sedikit tersentak. Terkejut dengan tindakan Samad yang
ternyata diluar sangkaan mereka. Tetapi mereka masih mampu berlagak tenang.
Jika kail panjang sejengkal tidak akan berani mereka menduga laut sedalam ini.
“Apa encik Samad mahu
lebih lagi? Tengok dulu isinya, ini baru bahagian yang pertama encik Samad, baru
bahagian yang pertama…selepas ini ada lagi, malah lebih lagi” si botak
berjerawat batu masih mahu menjual umpan.
“Keluar,!” gempita
suara Samad menunjuk jalan keluar. Matanya dijegil marah, gigi diketap-ketap
geram. Terasa maruahnya sedang dijualbeli dengan helaian kertas.
Gegas dua susuk tubuh
itu bangun. Terkejut, bangun menuju pintu membawa bersama sampul surat yang
sarat. Sebelum keluar, Si botak berjerawat batu sempat meninggalkan pesan di
kotak memo di depan pintu.
“Kalau encik Samad
berubah fikiran, hubungi saya ya.” Si
botak berpesan sambil tersenyum sinis.
Samad tersandar pada
kerusi. Urat kepala sempit berisi darah. Benih bencana yang sudah berakar itu
sudah bertunjang dalam kepalanya. Jika dibiar tumbuh merimbun, kelak pohon
bencana ini akan membuahkan masalah yang tidak terawat lagi. Harus tebang,
perlu tebang, memang kena tebang. Dia tahu, malah dia sedar, dua susuk itu
tidak akan berhenti. Mereka pasti datang lagi sehingga dia mengalah. Sehingga
dia tunduk menurut kehendak dan kemahuan mereka.
Dalam asyik dan tekun
berfikir, migrain datang garang menyerang. Kemudian dia terbius tewas.
Terlelap di kerusi hitam nan empuk. Bermimpi enak. Dalam mimpi terjelma memori
silam bertemu nenek.
Runut bunyi gitar solo
David Gilmour dalam lagu comfortably numb
dendangan kumpulan Pink Floyd pada
telefon tangannya berbunyi. Dibiarkan tersia tidak diangkat.
2
Petang masih awal, tapi
warna alam sudah hitam seperti sudah mahu malam. Rumah papan beratap zink itu
sudah kelam isi rumahnya. Atap zink berkarat merah bergendang-gendang dipalu
rintik hujan musim tengkujuh. Ada rintik hujan mencelah masuk dari celah atap yang
retak berkarat menitik betul-betul di tempat Wan Jah berlunjur.
“ambil baldi cu,” seru
Wan Jah kepada Samad.
Tiada jawapan.
Tiba-tiba dalam kelam senja berhujan itu, muncul Samad berlari dari dapur
membawa baldi. Ditelungkupkan baldi itu diatas kepalanya lagak memakai topi
keledar dari jenama yang bagus. Siap dengan gaya menunggang motosikal besar dan
bunyi enjin mengerah garang dari mulut kecilnya.
“Ish, kamu ni, jatuh
karang, kalau pecah baldi tak apa cu, kalau pecah kepala siapa yang susah nanti?”
Wan Jah membebel. Tidak
sempat Wan Jah menyambung leteran, Samad berlari kembali ke dapur. Menurut
panggilan ibunya dari dapur. Wan Jah terus juga membebel walaupun dia tahu
cucunya itu tidak mendengar dan mengambil cakna buah butir leterannya.
Sehelai daun sirih
diambil, dibuang tangkai dan dikapur. Ditaruh gambir dan pinang. Digulung lalu
dikacip-kacip supaya mudah dikunyah oleh gigi yang rongak seperti pagar usang
yang sudah pokah di sana sini. Sejak akhir-akhir ini, Wan Jah lebih kerap
mengunyah sireh dari mengunyah nasi.
Seketika kemudian Samad
muncul semula. Kini tidak berlari lagi, berjalan penuh cermat sambil membawa
pelita minyak tanah bersumbu kain batik. Api kuning berjelaga itu dilindung
dengan tapak tangan kanan mengelak nyala apinya terpadam dihembus angin.
“kenapa pasang pelita?”
tanya Wan Jah sambil asyik mengunyah sirih.
“api tak ada wan.”
Pelita diletakkan hampir dengan neneknya.
“kenapa?”
“ada pokok tumbang kata
abah, hempap tiang letrik”
Wan Jah mengangguk, terus
asyik mengunyah sirih dengan rahang yang semakin yang longgar. Samad mengambil
tempat duduk yang jauh dengan neneknya. Dia bersandar pada tiang seri rumah.
hanya kedengaran bunyi rintik hujan yang semakin melebat. Sekali-sekala lidah
petir berbalam-balam di balik jendela disusuli gelora guruh di langit.
Dia memandang neneknya.
Dalam samar pelita dan kelam petang yang diselimuti hujan lebat itu, Wan Jah
melambai tangan mengajak Samad hampir kepadanya. Samad faham lalu dia berlari
ke dapur. Sebentar kemudian kembali bersama bekas air ludah yang dibuat daripada
tin milo kosong.
Samad bersila
betul-betul dihadapan Wan Jah. Memerhatikan sahaja gerak perbuatan neneknya. Neneknya
mengambil sehelai rokok daun dan dilipat supaya tidak bergulung. Ditaruh
sedikit tembakau, digulung kembali dan akhirnya dinyalakan api lalu berasap.
“masa zaman wan
kecil-kecil dulu macam ini la keadaannya,” Wan Jah membuka bicara sambil
menghembus asap sulung daripada rokok daun hasil gulungannya tadi. Bergulung
dihembus angin lalu hilang ditelan kelam senja.
Samad diam. Ralit
melihat bayangannya pada dinding yang mengalun tari mengikut tiupan angin. Wan
Jah menyedut lagi asap rokok daun dalam-dalam. Kecut dan longgar kulit pipi menandakan
tiada lagi gigi yang tinggal pada gusi tuanya.
Kedut dan kerut wajah
adalah lakaran lukisan tentang perjalanan dan pengalaman hidup yang panjang. Di penghujung usia yang
kian lanjut ini dia senang untuk bercerita tanpa jemu. Mencurah segala
pengalaman hidupnya kepada yang sudi mendengar. Umpama penglipur lara zaman dahulu
kala. Cuma yang berbeza, hanya Samad seorang yang sudi mendengar, hanya cucu
yang seorang ini sudi mendengar.
“pakai pelita, air
berangkut dari sungai…”
Samad mengangguk-angguk
serupa ayam memagut dedak. Cerita sama diulang lagi oleh Wan Jah. Wan Jah meludah
air merah ke dalam bekas ludah yang dibuat dari tin milo itu. Sisa ludah merah
pada bibir diseka dengan punggung tangan.
“Dahulu, lama dahulu,
masa wan muda-muda, wan selalu memancing di sungai Pahang tu,”
Dia berhenti mengambil
nafas.
“ada banyak lubuk dekat
sana, lubuk Pelam, lubuk Terua, lubuk Tempayan Emas,”
Dia berhenti mengambil
nafas lagi. Menyedut rokok daun. Menghembus dan kembali menyambung.
“banyak-banyak lubuk
tu, wan suka ke lubuk tempayan emas, sebab banyak ikan, sebab dekat dengan rumah,”
Samad mengangguk
mengiakan cerita itu. Dia sudah berbaring di atas lantai dengan berbantalkan lengan.
Matanya tertancap pada mata tua neneknya. Menumpu segenap perhatian.
“kenapa lubuk tu nama
dia lubuk tempayan emas wan?” tanya Samad ingin tahu.
Belum sempat Wan Jah
meneruskan cerita. Ada jeritan menyeru nama Samad dari dapur.
“mat, cepat bangun
mandi. Dah nak masuk waktu maghrib ni.” Seru ibunya.
Samad segera bangun
mencapai tuala yang bergayut pada paku di dinding.
“nanti lepas maghrib
wan sambung cerita lagi ye,”
Wan Jah mengangguk
tanda setuju.
3
Lubuk itu namanya lubuk
tempayan emas. Menurut kata-kata orang, walau kemarau seterik mana sekalipun, air
dilubuk itu tidak pernah kering. Sejauh mana kebenarannya, tiadalah dapat
dibuktikan kerana belum ada kemarau yang teruk dan terik melanda daerah ini.
Ramai orang yang datang
ke lubuk ini kerana banyak ikan yang sudi menyerah diri menjadi lauk. Mungkin
disebabkan lubuk ini mewah dengan rezeki maka dinamai orang akan lubuk tempayan
emas. Barangkali bertepatanlah kemewahan rezeki yang ada di lubuk ini untuk
dinilaikan dengan setempayan emas.
Tetapi ada juga yang
mengatakan, lubuk ini bergelar tempayan emas kerana di dasar lubuk itu
tersimpan seribu misteri. Misteri yang telah memakan banyak nyawa orang yang
gagal menahan nafsu yang berahikan dunia.
Maka, ramai pula yang
bertanya misteri apa yang sebegitu sadis sehingga menagih nyawa itu. Ramai pula
yang bercerita berdasarkan cerita yang mereka dengar daripada orang lain yang juga
mendengar cerita itu daripada orang yang lain juga. Lalu cerita itu pun bertali-tali dan lalu disimpulhias dengan penuh tambah rasa dan dakwa dakwi. Menjadikan cerita yang
tersedia aneh menjadi bertambah aneh. Cerita yang tersedia misteri menjadi
bertambah-tambah misteri. Maka, menjadi sukar untuk menilai kisah mana satu yang benar-benar sahih.
Maka disini,
diceritakan kisah yang paling hampir dengan kebenaran kerana cerita ini
diriwayatkan dari empunya diri yang pernah mengalami peristiwa aneh itu dengan
mata dan jiwanya sendiri.
Katanya:
Senja waktu itu. Senja
merah. Nun jauh di horizon barat matahari sedang jatuh. Awan tebal membias
cahaya matahari menjadi layar merah jingga di kaki langit. Malam akan menjemput
siang yang telah lelah.
Dari arah hulu sungai
kelihatan dua kelibat manusia sedang berjalan menghilir sungai. Keduanya lelaki.
Yang tinggi itu saudara yang lebih tua dan si lelaki yang lebih rendah adalah
saudara yang muda. Masing-masing membawa sebatang pancing yang diperbuat daripada batang
salak dan tali tangsi, dan si adik membawa cacing tanah di dalam tempurung kelapa.
Senja sudah terlalu
lewat tetapi mereka masih bertangan kosong. Puas mereka memujuk
ikan supaya memakan umpan tetapi rezeki belum menyebelahi mereka.
Sesampai
mereka ke lubuk itu, si abang terus mencampak umpan, diturut pula oleh adiknya. Belum sempat mereka
duduk, hujung joran mula melentik-lentik ditarik ikan. Si abang menarik joran begitu
juga si adik. Lumayan hasilnya. Begitulah untuk beberapa kali. Campak dan
tarik. Setelah penuh bekas yang dibawa dengan ikan. Ada lampam, ada terbol, ada
senggiring, barulah si abang tersedar.
“maghrib dah dekat ni,
kita tidak sembahyang asar lagi, elok kita sembahyang dulu,” ujar si abang
kepada adiknya.
Si adik mengangguk
lemah tanda setuju. Joran dikesampingkan lalu mereka berdua turun ke gigi air
untuk berwudhu’. Tiba-tiba hijab yang menutup mata si adik terbuka.
“bang, Nampak tak
tempayan hanyut tu, warna emas bang,”
“mana, tak Nampak pun.”
“tu, “
Telunjuk si adik menala
ke arah tempayan emas yang berkemilau hanyut dari hulu. Lambat-lambat ia
bergerak.
“adik nak pergi ambil!”
“jangan,” tegah si
abang
Tetapi sudah terlambat.
Si adik sudah terjun ke dalam lubuk mengejar tempayan hanyut.
4
Belaian mimpi itu
mengejutkan Samad dari lena. Matanya terbuka lemah. Suluh tajam mentari senja
dari jendela yang separuh terbuka menyilaukan matanya. Dia terkulat-kulat
sebentar. Cuba mencari di mana dirinya. Dia mengeluh separuh sebal. Menyesal
kerana tertidur begitu lama di dalam kerusi itu.
Seruan yang baik adalah perlu diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa perlu memilih bulu. Sama ada mereka yang menaiki motokar mewah, sama ada mereka yang menunggang motosikal kecil maupun besar, sama ada mereka yang mengayuh basikal tua di jalanan, mereka yang mengatur langkah di trotoar, mereka yang menghirup udara sejuk di pejabat berhawa dingin, mereka yang bekerja sendiri, mereka yang menyapu sampah di kaki lima....sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja yang bernafas dan diberi izin hidup di bumi Allah ini, layak diberi nasihat dan memberi nasihat yang baik, maka tegurlah dan dengarlah. Seterusnya terimalah yang baik itu.
Namanya samad, baru seumur jagung. Tapi ronta jiwa remajanya telah membawanya ke satu acara yang mencorak satu lakaran baru dalam catan sejarah negara. Sewaktu dia sedar dari lena pada pagi yang bening itu, dia terus melangkah keluar dari kepompong ketakutan yang memasung dirinya selama ini. Tanpa persiapan, tanpa rakan, dia melangkah keseorangan menyusur jalan berdebu yang lengang pada pagi itu.
"ada roadblock dekat mid. tak boleh lalu dekat situ. dekat muzium negara ada juga." kata seorang kenalan ketika dia singgah bersarapan di sebuah kedai makan.
Samad angguk kepala. Kuah mee kari dihirup terasa jelira kerana perutnya benar-benar lapar ketika itu.
"teruk betul kan, kau ni nak kemana mat?" tanya kenalannya itu.
"pesta buku, PWTC,"
"oh,"
Masa bergerak terlalu pantas untuk dikejar. Masa itu terus berputar-putar pada paksinya, bila bermula dan bila pula akan berakhir, tiada yang tahu, tanpa garis penamat.
Samad merenung jarum jam tangan, hampir pukul sembilan. Dia cepat-cepat membeli token berwarna biru pada mesin yang baru pertama kali dia guna, agak kekok juga pada mulanya. Mujur tiada kelibat orang lain yang menunggu giliran di belakangnya. Jadi, silap tekan dan kekekokan yang terzahir pada perlakuannya itu tidaklah menjadi bahan ketawa orang lain melainkan dirinya sendiri sahaja. Ternyata, hati kecilnya benar-benar ketawa besar terhadap dirinya.
Suasana tenang sewaktu dia menunggu gerabak LRT itu tiba. Dia memandang-mandang sekeliling stesen itu. Di sudut kanan matanya, ada sekumpulan anak muda belia berbangsa melayu, barangkali hampir sebaya sahaja dengan dirinya. Berwajah bersih, tenang walau ada sedikit kerut gusar pada wajah mereka. Masing-masing ada sejemput janggut, masing-masing juga menggalas beg pada bahu mereka. Pada sudut kiri matanya pula ada tiga orang gadis berbangsa cina, berbaju kuning yang punya potongan yang sama. Corak cetakan pada hadapan baju juga serupa.
Gerabak putih yang ditunggu akhirnya sampai dan berhenti. Samad bangun dan berdiri. Saat pintu gerabak disorong terbuka. Samad terduduk kembali. Terlalu padat untuk dia mencari tempat di dalam gerabak itu walaupun sekadar tempat untuk berdiri. Lima anak muda belia itu juga duduk kembali. Sama juga dengan gadis cina yang bertiga itu.
"Dari mana pakcik?"
"dari ganu, anak dari mana?"
"dekat sini je,"
"oh, kijo?"
"dok, belajar lagi, mari dengan apa pak cik?"
"dengang bas,"
Laungan dari lautan manusia itu menyebabkan perbualan Samad dan pak cik berbaju kuning yang berasal dari terengganu itu terhenti. Pak cik dari terengganu itu turut serta bersorak bersama dengan yang lain. Samad berundur agak menjauh dari manusia yang ribu-ribu itu. Dia duduk pada sebuah motor yang diparkir di bawah stesen LRT masjid Jamek itu. Di sebelahnya, juga di hadapannya ada sekumpulan anggota polis sedang berkawal. Muda-muda wajah mereka dan katang-katang pula badan mereka. Samad senyum, dan abang-abang polis itu juga senyum, tetapi seorang anggota polis yang sudah beruban dan berperut boroi serta bercalit tiga di bahu merenung Samad dengan ekor mata yang tajam, penuh curiga.
"minum bang," kata Samad sambil mengangkat tinggi bekas airnya.
Polis muda mengangguk dan tersenyum lagi sekali. Samad menyalakan sebatang rokok, asap itu dihembus perlahan-lahan. Dua orang anggota polis yang sedang duduk berehat di satu sudut bangunan stesen itu juga menghembus asap yang sama dengan asap hembusan samad.
Letih duduk di sudut bangunan itu, Samad mula berlegar-legar dicelah manusia yang bersesak-sesak itu. setelah letih bersesak-sesak begitu, dia mula mencari tempat melabuhkan punggung.
"dari mana bang?" tanya Samad saat mula dia meletak punggung di tepi seorang pemuda yang berjaket kulit.
"dari sabak bernam," pekat telor jawanya.
"jauh tu bang, pukul berapa sampai sini,?"
"dalam pukul sembilan tadi, kau dari mana,"
"dekat sini je bang,"
Samad sangat suka duduk-duduk dalam kumpulan manusia yang besesak-sesak ini. Mereka mudah mesra. Barangkali kerana ada persamaan matlamat, mungkin juga sama dalam jalur pemikiran. Lama juga mereka bertukar buah fikiran.
Lepas sebatang rokok terpadam, sebatang pula rokok menyala. Dalam sesak ribu manusia yang berbaju kuning itu Samad berjalan lagi. Meredah lautan manusia yang tidak terpermanai itu. Letih berjalan barangkali,Samad duduk kembali. Sedang dia duduk itu, dia dihampiri seorang lelaki yang layak dipanggil abang olehnya.
"dari mana bang?" tanya samad
"balakong, kau?"
"dekat sini je, pantai dalam, abang memang nak datang event ni ke?"
"aku pemerhati bebas, saja datang, tengok-tengok, hahaha,"
"sama la dengan saya," samad ketawa juga.
Sedang asyik bersembang itu, tiba-tiba mata mereka terasa pedih. Dan orang yang ramai-ramai itu mula bergerak menuju ke hujung jalan yang menjauh dari stesen lrt masjid jamek. Ini pengalaman pertama kata brader dari balakong itu sambil mengesat-ngesat matanya yang berair. Tin pemedih mata melayang lagi dan lagi.
Dalam air mata yang mengalir itu samad tersenyum. Tersedar, sudah lama matanya tidak menangis selebat ini.
Celaka, aku tak suka menangis kata hati Samad sambil memikirkan perutnya yang lapar kerana belum makan tengah hari lagi. Barangkali Samad menyangka datang ke majlis perhimpunan ini akan diberi makan-makan percuma seperti majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan memerintah. Berlalulah Samad dari kepulan asap pemedih mata itu untuk mencari kedai 711 buat membeli roti.
Petang hangat dan kering itu membuatkan lobang roma Cikgu Samad menitiskan peluh hangit yang keroh mengandung daki pekat. Dibiarkan saja titis peluh itu turun mengalir, ada jatuh ke pipi, ada jatuh masuk ke celah bibir, ada yang tidak jatuh, terus saja bertakung di celah ketiak. Mata merahnya memandang tepat ke dalam kelas 3 delima. Anak-anak kecil itu sedang berdiri dengan serentak. Serentak itu bergaung suara mereka mengucapkan terima kasih ke pada Cikgu Wan.
"TERIMA KASIH CIKGU WAN"
bersungguh mereka menjerit. Cikgu Wan membalas dengan senyum nipis. Bergegas keluar kelas mahu menuju ke kantin.
Di pintu kelas Cikgu Wan dan Cikgu Samad berselisih bahu. Mereka berbalas senyum dan angguk kepala tanda kemesraan rakan sejawat.
"bangun semua, " laung ketua kelas 3 delima. Pakaiannya kelihatan sedikit kemas berbanding rakan-rakannya yang lain. Pada dada kiri ada tanda nama. Ali namanya.
"assalamualaikum cikgu," kuat suara ketua kelas itu memberi salam diikuti oleh rakannya yang seramai 41 orang itu dengan serentak dan penuh semangat. Mata Cikgu samad terpicing dan dahinya berkerut menahan bingit suara nyaring murid-murid 3 delima itu
Cikgu Samad mula mengajar. Kejap-kejap dia berhenti menyuruh murid-muridnya diam supaya memberi perhatian. Kemudian dia menyambung kembali syarahannya.
Yang mengantuk sudah mula tersengguk-sengguk. Yang bosan mula bermain tapi dalam takut dan waspada, bimbang dilihat oleh Cikgu Samad.
"hantar buku matematik satu, kerja yang cikgu bagi minggu lepas, Ali kutip buku ," arah cikgu samad sambil mula duduk.
Budak-budak dengan serentak mula menggeledah beg masing-masing. mula mencari buku yang dimaksudkan oleh cikgu Samad itu. Mata cikgu samad tajam merenung mereka. Ali bangun dan mula mengutip. Dari satu baris ke satu baris.
"letak mana cikgu,"
"letak situ, ada yang tak hantar?"
"ada cikgu,"
"siapa?"
"Azlan,"
"siapa,"
"kecik"
Muka cikgu samad berubah rona. Bertukar warna macam kameleon. Sampai ke cuping telinga menjadi merah. Perlahan dan penuh karisma cikgu samad bangun. Terus berjalan ke arah Azlan yang bergelar kecik itu.
"mana buku?" perlahan.
Azlan diam.
"mana buku?" sudah mula kuat sedikit.
Pap!!!!
Murid gamam, azlan terloncat sedikit, tapi segera ditahan, tergigil-gigil badannya. Buku teks matematik itu dihempas cikgu Samad ke atas meja.
"mana buku kamu, setiap kali cikgu minta buku kamu tak bawa, buat tak keje yang cikgu suruh buat tu,"
Azlan begitu juga terus diam.
"jawab," tempik Cikgu Samad.
"saya...saya lupa kat mana saya letak buku saya,"
"Oh, pandai menjawab,"
Hati cikgu samad mula membara. buku paling tebal dia atas meja itu segera dicapai. Lagak seperti mahu menebas semak. Jurus maut silat gayung dilepaskan.
PAP PAP PAP!!!! (helai-helai buku tebal bercerai-berai)
"lain macam saja aku tengok kau ni,"
"tak ada apa lah cik wan,"
"mesti ada apa-apa ni, ce kabo ke aku ."
Cikgu samad diam tidak bersuara. Masa beku seketika.
"saya menyesal la cik wan, saya pukul budak tadi," sesal yang bertakung di benaknya itu segera diluahkan.
cikgu wan diam mengangguk, matanya merenung tepat mata cikgu samad, minta cerita disudahkan hingga ke noktah
"budak tu bawa buku, sudah banyak kali begitu, mana saya nak tahan. saya pun manusia."
"oh, jadi apa yang kau nak sesalkan?"
"buku dia ada pada saya, selama saya yang tak pulang tu semula kat dia,"
Mata cikgu wan bulat, dia mahu ketawa.
"ko kejam, kakakaka,"
cikgu samad senyum lemah. Selepas bunyi loceng pulang telah berbunyi, sewaktu sekolah sudah sunyi dari riuh suara kanak-kanak. Kelihatan cikgu samad perlahan-lahan masuk ke kelas 3 delima. Sekeping buku latihan bertulis MATE 1 diletak di bawah meja Azlan. Di atas buku latihan diletak coki-coki tiga batang. Moga azlan cepat lupa apa yang terjadi hari ini doa cikgu samad dalam hati.
Langit jerantut yang kembung dan mendung telah memuntahkan isinya. Lebat mencurah-curah bersama angin yang kencang. Ada dahan pohon yang dipatahkan angin, daun dan bunga kuning melayang-layang dihembus ribut. Guruh menderam di langit. Kilat memancar menyuluh bumi.
Tempias air hujan menyapu muka Samad dan epul. Mereka bertukar tempat ke dalam kedai sedikit. Menjauh sedikit dari percik dan sejuk hujan yang menusuk tulang hitam itu.
"kak, ambil oder kak,"
Air ditambah lagi, dan makanan mi sup dihidang. Makin galak hujan turun semakin galak mereka bersembang.
Lapan tahun yang sudah tidak mengubah jalan fikiran mereka. Dan tiada tajuk lain yang mereka bentangkan di atas meja makan itu kecuali politik.
Petang di bandar jerantut sejuk dan redup. Sudah pukul 3 petang, tapi matahari tidak garang. Langit di garis horizon timur mengandung mendung yang sarat.
"Oder?" gadis berkulit putih dan bermata bulat memandang tepat ke mata samad.
"oder?" soalan itu samad serahkan pada rakannya,
Setelah mengambil pesanan, gadis manis itu meninggalkan meja mereka. Sepi mengisi masa sehingga gadis itu hilang dari pandangan masuk ke ruang dapur. Epul, rakan samad yang punya senyum sumbing itu menyalakan sebatang rokok. Sejurus dua kali hembusan asap oleh epul, samad pula menyalakan api dibibirnya.
Samad memandang epul, dengan pandangan yang penuh dengan kenangan. Samad ketawa. Epul juga meraikan ketawa samad itu. Imejan-imejan kenangan lalu yang menyentuh ingatan menggeletek hati mereka untuk terus ketawa.
Pertemuan yang tidak diaturancang, jadi semuanya serba koboi. Mulanya Samad sudah tidak perasaan pemuda bertopi hitam itu rakan lamanya. Tetapi apabila rakannya itu tersenyum pada seorang gadis comel bertudung litup dihadapannya, dia yakin benar memang itulah kawannya. Senyuman yang berparut sumbing itu sangat-sangat diingati Samad.
"hui," perlahan sahaja suara Samad.
Rakan samad itu tidak mendengar panggilan sehalus itu, lalu tidaklah dia berpaling.
"woi, ah beng," separuh jerit suaranya. Orang ramai di dalam ruang pejabat pos itu semuanya memandang tajam ke arah Samad. Juga rakannya.
"eh, Ah keng, hahaha," rakannya ketawa. terus duduk.
"lama tak jumpa,"
"berapa lama dah ye?" berkerut dahi Samad mengira lembaran tahun yang sudah ditinggal putaran masa.
"satu, dua...ada dekat lapan tahun," Rakan samad menjawab dengan senyuman sumbingnya itu.
[1208 kaunter 3]
suara perempuan elektronik menyebut nombor giliran pada kertas putih yang kumal dilipat oleh Samad.
Selesai urusan Samad duduk kembali, ketika baru mahu mula bersembang dengan rakannya. Suara perempuan elektronik itu memanggil rakannya pula.
"lepak dulu, kita mengeteh nanti. dekat kedai abuya" pesan rakannya itu
Mat Layu ketawa terbahak-bahak ketika melihat ke dalam cermin sompek itu.
Kah kah kah!!
Dia ketawa lebih kuat lagi. Bergegar-gegar anak tekaknya. Bersembur-sembur air liurnya. Kemudian, tawanya reda, kerana perutnya terlalu senak disumbat angin tawanya tadi. Dia mundar-mandir ke hulu ke hilir. Setelah penat dia duduk pada bongkah batu berlumut di tepi sungai itu. Matanya masih tidak putus menjeling cermin sompek. Tersengih-sengih sambil enak menggaru kurap jelatang gajah di perut.
Setelah urat perutnya kembali kendur. Setelah enak gatal kurap hilang menjadi pedih berdarah. Dia bangun semula. Menuju ke arah cermin sompek. Melihat ke dalam cermin sompek itu lagi.
Kah Kah Kah!!
Ketawa besar tembus dari tekaknya. Menitis air matanya melayan geli hatinya itu. Dia ketawa semahunya.
Kah kah kah!!!
Ketawa melihat wajahnya sendiri di dalam cermin sompek itu. Mat Layu ketawa sampai mati. Dan cermin sompek pun pecah berderai, hancur berkecai menjadi butir pasir dibawa arus sungai kemodenan.
Hawa petang itu panas. Angin benar-benar mati. Dalam terik suluhan mentari itu, anak-anak kecil berbaju sukan itu berlari riang di atas dataran kejat yang berlogam maya tanpa menghiraukan panas mentari dan jerih peluh yang menitis.
DAMM..
Sebiji bola baling melayang dan melantun di atas bumbung kereta persona milik cikgu Ismail.
"hoi, " jerit cikgu Ismail.
Anak kecil itu tertunduk-tunduk datang mengambil bola. Berlalu pergi tanpa meluahkan sebarang ucapan. Cuma lirikan matanya sahaja mengatakan maaf. Cikgu ismail tersenyum. Dia kembali menyambung tulisannya pada buku tebal, sambil-sambil menunggu loceng pulang berbunyi.
"Panas cuaca petang ni cikgu," tegur seorang guru muda sambil menghulurkan tangan dan terus duduk menghadap Cikgu Ismail di bawah gazebo kecil berbumbung minang itu.
"Haah,"
"tulis apa cikgu,"
"rph,"
"ohhh.."
Guru muda itu diam. Dia memandang anak-anak kecil yang sibuk bermain bola baling di atas dataran kejat. Kejap-kejap mereka ketawa kejap-kejap bergaduh. Sesekali guru muda itu mengerling juga apa yang di tulis cikgu Ismail. Kemudian matanya lari kembali kepada anak-anak yang bermain itu.
Milisaat kemudian, buku tebal itu disumbat ke dalam beg hitam tanpa jenama. Cikgu Ismail turut serta bersama guru muda membuang pandang ke arah anak kecil yang berlari. Matanya, kerut diwajahnya, sarat sejuta fikir.
"payah nak kawal budak-budak ni kan, cikgu. Buas sangat, banyak makan gula barangkali" guru muda membuka diskusi santai.
"Memang nakal, tapi kau kena pandai cari kuncinya, kena cara, budak tu semuanya boleh diajar dengan baik... ha ha" balas cikgu ismail. Bernoktah ketawa dihujung bicara.
"Saya dah tak tahan tadi, seorang budak dah saya cubit hari ni, nakal sangat,"
"ish kamu ni, tak elok macam tu. kalau boleh jangan sentuh pun fizikal budak-budak ni,"
"habis tu nak buat macam mana cikgu?"
"Budak lagi seronok kalau kamu nak pukul mereka, lagi pula mereka semua ni dah biasa dengan hukuman macam tu,"
Guru muda melopong tidak faham.
"kau sentuh jiwa mereka," tegas cikgu ismail.
Seraya itu, loceng pun berbunyi. Dan suasana pun hingar dengan sorak-sorai anak-anak kecil yang kegembiraan. Cikgu ismail meminta diri untuk pulang.
"aku balik dulu," ujar cikgu ismail.
Guru muda mengangguk dengan mulut masih terlopong. Sekolah jadi sunyi, guru muda mahu pulang. Tatapi masih terlopong tak mahu tertutup. Guru muda putus harap, lalu dia pun pulanglah dalam keadaan melopong itu.
Khabarnya, lama juga mulutnya melopong begitu sampai menitis-nitis air liur. Sampai terpaksa di rawat di hospital PPUM. Cukup sebulan barulah di sihat. Tetapi rahsia menyentuh jiwa anak-anak kecil ini tidak pula dia dapat selongkar, kerana sekembalinya dia ke sekolah itu cikgu ismail sudah berpindah ke sekolah lain.
Demikian lah hikayat menyentuh jiwaaa...
TAMMAT
NOTA: cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa pun. Watak yang ada tidaklah pula mewakili sesiapa juga yang bernyawa ataupun tidak bernyawa. Jika kedapatan sebarang persamaan kisah dengan sebarang jalan kehidupan manusia yang lain, ternyatalah itu semua satu ketidaksengajaan semata. cerita ditulis sekadar untuk dibaca, yang elok silalah dibuat teladan, manakala yang tidak elok molek pula dijadikan garis sempadan. Dibuat panduan dalam menjalani kehidupan
Samad memang tiada tempat lain lagi yang mahu dituju sewaktu
cuti semester. Selain daripada kampung halamannya sendiri. Sejujurnya, Samad
pernah juga memasang niat untuk tidak pulang ke desa kerana asyik digula-gulakan
dengan nikmat mencari rezeki di kota secara sambil-sambilan, dan dari khabar
angin yang ditiupkan ke telinga Samad, pulangannya boleh dikatakan agak
berbaloi. Berbaloilah jika dibandingkan dengan duduk di rumah makan tanggung dan
berak cangkung.
Tetapi, walau betapa manis nikmat kota yang digula-gulakan
itu, ternyata desa kelahiran Samad ini masih punya tarikan supermagnet yang sangat hebat. Walaupun
Samad sendiri belum benar-benar pasti apakah sebenarnya kehebatan kampungnya itu. Maka,
di dalam keadaan yang berbelah bagi itu, di antara nikmat kota dan damai desa, akhirnya
Samad tetap pulang dengan tiada tertahan-tahan lagi. Dan selalunya begitulah
untuk setiap kalinya.
Kampung Samad seperti kampung-kampung yang wujud di tempat
lain juga. Rumahnya horizontal, melata di segenap tanah yang berbukit bukau itu, tidak seperti di kota tempat persinggahannya, bangunan didirikan secara vertikal. Manusia di kota kotor dipaksa duduk dalam kotak yang sendat dan padat.
Penghuninya hidup aman sejahtera tanpa sengketa. Kata bapa Samad telah berulang kali,
kalau mereka bergaduh bertegang urat dan bersinsing lengan hari ini, hari esok
mereka akan berbaik semula. Kerana mereka semua bersaudara. Maksud ayah Samad,
satu persaudaraan yang benar- benar bersaudara. Lagi pula mereka semua orang
islam. Sesungguhnya, semua orang islam itu bersaudara. Hal ini terus ditanam
dalam diri oleh orang-orang tua kampung Samad kepada generasi terkemudian sejak
awal-awal mereka bernafas lagi.
Kegiatan Samad di kampung hanya berkisar antara rumah tempat
Samad dan ibu bapanya berteduh dari hujan ribut dan panas terik matahari, kedai
runcit untuk membeli gula, garam dan surat khabar apabila disuruh emaknya
(tidak lupa rokok yang menjadi juadah ringan ketika bersua rakan), ke paya berkubang
bersama kerbau tanduk kewek dan memedak ikan jika berkelapangan, ke sungai berendam
apabila terasa panas badan, ke kebun getah melihat anak getah yang baru belajar
untuk berpucuk. Takut-takut akarnya disondol babi atau pucuknya dipulas kera
nakal. Dan tempat terakhir sekali ke masjid pada hari jumaat kerana ini adalah
tuntutan agama!
Secara jujur, tiada apa-apa di kampung Samad kecuali seperti
yang disebutkan di atas. Dan seluruh penduduk kampung seluruhnya berbahagia
dengan keadaan ini. Biarlah perut mereka disumbat nasi bersama sambal lada
garam yang kurang garam dan berlebih ladanya serta gulai masam ikan yang kurang
ikan dan lebih kuahnya setiap hari. Kebanyakan penduduk kampung berbahagia dengan
dengan hidup yang mewah dengan kesederhanaan ini.
----------------<>---------------
Pada satu malam jumaat yang bening selepas solat fardhu
isya’. Ramai yang mahu pulang awal selepas solat. Masing-masing berwajah ceria
penuh bercahaya. Tetapi langkahan mereka semua termasuk Samad dipasung oleh
suara lebai hadi yang membuat pengumuman di pembesar suara. Suasana sunyi dan
sepi seketika. Masing-masing terpaku memberi tumpuan.
“ada pesan dari tok empat kita Anjang Deris, esok akan
diadakan mesyuarat tergempar, semua ahli jawatan kuasa kemajuan kampung dan
seluruh penduduk kampung dijemput hadir. Mesyuarat akan bermula pada pukul 8.30
malam bertempat dibalai raya dan akan dihadiri oleh yang berhormat waibi kita,
sampaikan kepada yang tidak ada malam ni… sekian terima kasih…..sallallah’ala
Muhammad…”
Selawat yang terhenti kembali bersambung. Memuji junjungan
besar nabi Muhammad S.A.W. Para jemaah yang sudah di luar berbisik-bisik sesama
mereka. Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja mesyuarat diadakan. Pasti
ada yang tidak kena fikir mereka lagi.
Malam itu adalah malam yang resah dan gelisah di kampung
kami. Para suami yang mahu pulang awal untuk melunaskan tanggungjawab malam
jumaat tidaklah dapat metunaikan tanggungjawab mereka. Masing-masing terbaring menekup dahi berfikir
tentang hari esok di kepala katil. Sang isteri bertambah-tambah resah dan
gelisah. Sia-sia sahaja menidurkan anak-anak awal malam fikir sang isteri.
Berita mengenai mesyuarat tergempar merebak dengan cepat
seperti wabak taun di musim banjir. Sehinggakan anak-anak muda tiang negara yang
melepak di warung kopi menonton tayangan bola sepak larut malam di hujung
kampung turut terganggu oleh berita ini. Pelbagai khabar angin mula bertiup.
Khabar angin yang bertiup dari golongan peminat tegar politik tanah air
mengatakan bahawa pilihan raya sudah dekat dan sebab itu waibi beriya-iya mahu
turun melawat kampung. Sedangkan sebelum ini, mahu menjamah tangan bersalaman
dengan waibi pun sudah tersangat sukar.
Bertiup pula khabar dari golongan muda
yang suka bersukan mengatakan bahawa waibi mahu memberi peruntukan membaiki
padang yang sudah dihuni lalang dan pohon semalu berduri. Kata mereka, rumput
dari jenis terbaik akan digunakan. Tambah mereka, rumput itu diimport dari
negara Amerika Syarikat. Begitulah keadaannya, beribu-ribu khabar angin
membadai kampung kami malam itu. Ada yang tidak peduli, dan ada pula yang
meyakininya sesungguh hati mereka.
Tidak kurang juga yang merungut. Mereka yang menoreh
merungut kerana tidak dapat menoreh. Mereka yang menjaga ikan patin sangkar pula
merungut kerana terpaksa meninggalkan sangkar ikan lama-lama, takut-takut juga memerang,
helang, resing dan segala macam haiwan pemangsa akan datang menuai hasil
terlebih dahulu. Golongan yang menghadap papan dam dan minum kopi tapi masuk
buku hutang mengeluh kerana tidak dapat naik haji banyak kali dan menambah
hutang pada hari esok.
Yang bangun tidur dikejutkan oleh keroncong perut pada
tengahari terpaksa melupakan niat mereka melakar peta negara mimpi di bantal
kekabu hapak mereka. Semuanya resah campur gelisah kerana terpaksa melupakan
kebiasaan hidup mereka. Mereka semua harus pergi kerana perkara ini mengenai
kampung kami yang tercinta. Tidak boleh tidak. Ya, tidak boleh tidak mereka harus
pergi!
“esok kau bawa aku ke balai raya, aku nak dengar juga apa
yang tergempar dengan mesyuarat itu,” Samad menerima perintah yang tidak boleh
ditolak lagi dari bapa.
Perintah ayah dengan suara yang tegas itu tidak ada belok-belok
lagi. Jika lurus katanya, maka luruslah yang Samad akan turuti. Jika ke kanan,
ke kananlah Samad. Jika ke kiri, ke kirilah Samad. Begitulah seterusnya selagi
tidak melanggar syariat agama.
“tidur dalam biliklah ayahnya,” ibu datang menjemput ayah.
“mata saya belum mahu tidur lagi, awak tidurlah dulu,”
Samad diam di hadapan peti televisyen dan ayah pula terus hanyut dalam lamunannya di atas kerusi malas. Meraba cari sebab musabab mengenai perjumpaan yang diadakan esok dalam kotak fikirnya.