Di tepi pantai itu Karim mengeluh berat, “Apakah salahku”, getus dirinya keseorangan. Bukan keinginan dirinya untuk menjadi seperti dirinya hari ini. Hampir setiap hari isterinya Senah, bising kerana bau rokok pada badan Karim yang kuat menyakitkan hidungnya. Menyebabkan Karim tidak senang duduk di rumah. Bukan tidak ada keinginan untuk membuang tabiat yang buruk itu, tetapi rokok Cap Gulung dengan dirinya seakan sudah sebati. Walaupun isterinya sering membebel, dia tidak sedikit pun berkecil hati dan menyalahkan isterinya. Bebelan itu bererti isterinya masih mengambil berat akan hal ehwal dirinya.
Perkara ini bukan pertama kali difikirkannya, tetapi ketika masih menuntut di maktab perguruan lagi hal ini sering bermain di dalam kepala batu ini. Rakan-rakan guru pelatih perempuannya sering menegur tentang bau rokok cap Gulung yang melekat pada badannya. Pandangan dan sindiran dari rakan-rakan pelatih yang tajam itu diendahkan walaupun sakit hatinya bukan kepalang.
“Ah, usah diendahkan kata-kata mereka, kita beli rokok pakai duit kita, malahan kita adalah penyumbang kepada kemajuan ekonomi negara,” temannya yang juga seorang perokok tegar memberi pendapat. “ Apa yang kamu maksudkan dengan menyumbang kepada ekonomi negara, Samad,?” tanya Karim penuh minat. “ Itulah kamu Karim, kalau aku kata kamu bodoh, kamu budak pandai. Hal ini semua orang tahu, industri rokok merupakan pembayar cukai yang tinggi kepada kerajaan selain syarikat arak,” terang rakannya berseloroh.
Kenangan di maktab perguruan itu berlalu pergi bersama angin petang yang menghembus pantai. Bukan tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti merokok. Sudah cukup seribu satu sebab untuk dia berhenti.
“Membazir,” kata isterinya, benar, itu memang benar. Memang jelas satu pembaziran. Sebagai seorang guru sekolah rendah, bergaji mencecah dua ribu ringgit, namun dengan keadaan ekonomi sekarang yang kos sara hidupnya kian meningkat naik. Petrol naik, barang makanan naik, mana pula anak-anaknya yang lima orang itu mahu makan, minum, belajar. Ditambah puala bil itu, bil ini. “Betapa bodohnya diriku, membuang duit pada jalan yang salah,” Karim bermonolog.
“Membahayakan kesihatan,” bukan sekali tetapi hampir setiap hari frasa itu amaran itu dilihat, dibaca dan didengarinya. Malahan pada kotak rokok cap Gulung itu sendiri sudah tertera amaran itu. Bukan tidak terkesan oleh amaran itu. Buktinya kini sudah cukup jelas. Jika dulu berkejaran di padang bola bersama teman-teman merupakan satu perkara yang mudah baginya. Tetapi kini jika berlari satu pusingan sahaja di padang sudah cukup memenatkan. Tetapi kata hati menyedapkan rasa, “ Mungkin aku sudah tua,”
“Ahhh….” berat Karim mengeluh. “ Aku mesti berubah, berubah demi anak-anak, isteriku, diriku dan yang paling penting segala perbuatan yang baik itu berniat kerana Allah,” bulat tekad Karim kali ini. Paling penting bagi Karim kini ialah membuktikan tekadnya itu bukan hanya sekadar satu retorik. Kata-kata seorang ustaz yang juga seorang rakannya disurau tadi sudah cukup menyedarkan dirinya. Ustaz itu memetik kata-kata imam Al-Ghazali…tiga perkara untuk kita benar-benar berubah dari tabiat buruk , pertama mulakan dari diri sendiri, kedua mulakan dari perkara yang mudah dan ketiga mulakan pada hari ini.
Langkah pertama telah diambil, dia membuat aku janji dengan isterinya mengenai niatnya hendak melupakan rokok. Tersenyum lebar isterinya mendengar niat suci suminya itu. Sungguh tidak disangka merokok yang telah menjadi darah daging suaminya itu ingin dikikis. “Senah akan sentiasa menyokong abang,”. Dan malam itu menjadi malam yang bahagia buat Karim. Tiada lagi rokok cap Gulung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan