17 Jan 2010

Jalan Sehala part 2

Lama Aki Anjang termenung memandang langit malam. Samad yang bersila di hadapannya masih setia menunggu dan menemani Aki Anjang berbicara. Kedinginan malam menyebabkan mata Samad sedikit mengantuk, dan Samad fikir ubatnya ialah sebatang rokok. Samad menyalakan rokok yang terselit di celah telinganya tadi. Sekejap-sekejap Samad menghembuskan asap rokok perlahan-lahan.Dalam ruang masa itu, Aki Anjang masih tidak bersuara. Pandangannya kosong, mungkin sedang memikirkan dari mana ceritanya akan bermula. Aki Anjang berkisar-kisar di tempat duduknya, mencari posisi yang paling selesa untuk memulakan kisah hidupnya. Setelah agak lama berfikir akhirnya Aki Anjang bersuara juga.

"masa aku muda-muda dulu, aku ada cita-cita. Aku nak ubah dunia dan masyarakat, dengan acuan dan cara aku sendiri" rendah suara Aki Anjang. Sarat dengan penyesalan.

Samad terangguk-angguk. Bertanya tidak, mengiyakan pun tidak. Sekejap-sekejap Samad menjentik abu rokok ke bawak serambi surau. Aki Anjang menyambung.

"Aku masuk politik. Aku fikir aku boleh mengubah masyarakat dengan politik. Aku jadi pengikut yang cukup setia. Setiap kali ada pilihanraya, aku keluar berkempen. Berkobar-kobar aku ajak orang ramai undi parti yang aku ikut, undi calon parti kami." Aki Anjang berhenti sejenak, hendak mengambil nafas. Samad masih belum dapat mengesan apa yang di sesali Aki Anjang. Aki Anjang menyambung kembali.

"Politik cara barat ni sangat kotor, Samad. Pantang ada orang yang kutuk parti aku, aku kutuk balik. Kadang-kadang sampai bergaduh. Betapa fanatiknya aku pada masa tu. Dosa pahala aku dah tak kisah. Maklumlah, waktu tu darah muda." Aki Anjang terhenti, tapi tidak lama. Terus menyambung.

"pada waktu itu, parti politik sebenarnya adalah kepercayaan aku.Aku bertuhankan politik. Parti politik yang boleh bagi aku anak beranak makan, parti politik juga yang boleh ubah masyarakat kepada masyarakat yang lebih baik, semuanya parti politik dan parti politik." tinggi suara Aki Anjang. Kemudian menyambung, perlahan dan sedikit sebak.

"Bila keluar berkempen, aku tinggal anak-anak aku. Kadang-kadang seminggu, kadang-kadang dua minggu. Anak-anak aku terbiar tanpa adanya aku di rumah. Bila aku jadi ketua kampung, masyarakat kampung aku berpecah belah. hubungan saudara jadi renggang. Kalau masjid itu jemaahnya ramai dari parti lain aku sanggup sembahyang di masjid lain. Tapi pada saat itu, aku masih belum sedar." Lagi sekali Anjang terhenti mengambil nafas.

"Negara dan masyarakat memang semakin maju. Sekarang bersepah bangunanan tinggi-tinggi, orang mnoreh getah pun boleh pakai kereta...tapi masyarakat semakin hancur...ramai yang dah jauh dari agama. Ramai yang mengaku islam tapi tak buat apa yang Allah suruh dan tak tinggalkan apa yang Allah larang."

"sekarang aku dah tak boleh nak ubah apa-apa, yang aku boleh ubah hanya diri aku sendiri, kalau dari dulu aku berubah mungkin aku sekarang tak macam ni.. terlantar di rumah orang tua ni...dibuang anak-anak...kalau dulu aku berubah menjadi lebih baik mungkin anak aku menjadi baik, seterusnya keluarga aku menjadi bahagia, orang akan menjadikan keluarga aku sebagai tauladan..dan wujudlah masyarakat yang baik, dari masyarakat yang baik wujudlah negara yang baik." Aki Anjang terus berceerita. Samad terus terangguk-angguk macam burung tukang membuat sarang pada tunggul kekabu.

" kau tidak perlu rujuk sistem politik yang dicanang oleh barat, kau tak perlu buku yang bermacam aneka yang ditulis manusia berpandukan akal manusia yang sentiasa dirasuk nafsu dan syaitan .... kau pegang dan ikutlah Al-Quran dan sunnah nabi...kau masih muda, masih ada masa jika dizin Allah." Aki Anjang berhenti sejenak, memandang Samad yang dari tadi diam tertunduk kusyuk.

" Kau dengar tidak apa yang aku cerita ni," tinggi suara Aki Anjang.

Samad terkejut dan tersentak. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Aki anjang.

"Dengar....dengar tadi aki," jawab Samad. Matanya yang merah digosok-gosok dengan lengannya.

"Pukul berapa dah ni aki..aki tak nak tidur ke?" Samad cuba mengalih perhatian Aki Anjang. Dia memanjangkan leher, melihat jam di dalam surau.

"Aku tidur dekat sini hari ni," pendek jawapan Aki Anjang.

"saya beransur dulu aki. Dah pukul 12 lebih ni. Nak balik pondok pengawal," Samad bangun. Menghulurkan tangan, bersalaman dengan Aki Anjang.

"Assalamualaikum," Samad memberi salam.

"Waalaikumussalam warahmatullah," balas Aki Anjang. Tersenyum.

Perlahan-lahan Samad menuruni tangga surau. Pinggang dan kakinya terasa kebas kerana terlalu lama duduk diatas simen yang sejuk. Dia menggeliat sedikit. Memutar badan ke kiri dan ke kanan. Kemudian menumbuk angin. Sesekali kedengaran bunyi sendi badannya meletup-letup. Samad antara ingat dan tak ingat apa yang dikisahkan Aki Anjang kepadanya tadi. Apa yang diingatinya sekarang ialah,pukul dua nanti dia akan kejut rakannya Sulaiman, untuk meronda dan dia akan tidur menunggu pukul tujuh pagi. Samad terus melangkah malas menuju pondok pengawal.

Malam masih panjang fikir Samad.

4 ulasan:

  1. wah...bagusnyer cite ko, ada mesej.aku suka baca laa...ko wat byk2 lg ek.

    BalasPadam
  2. wow.. banyak betul mesej nya..

    aku suka blog ko.. gaya tulisan.. macam dlm novel..

    BalasPadam