Matahari sudah tinggi segalah. Embun-embun di hujung daun keladi sudah kering tersejat menjadi awan. Dan mereka yang menyambut pagi dengan rasa gembira untuk memburuh sudah pulang untuk meraikan waktu makan tengahari. Waktu ini, waktu matahari sedang terpacak dilangit adalah waktu untuk bersama keluarga. Tiada siapa yang sanggup memburuh diwaktu sebegini. Mereka pulang ke rumah untuk menggantikan keringat yang tertumpah. Mungkin sepinggan nasi dan secawan kopi memadai untuk titis keringat itu. Barangkali.
Tapi masih ada makhluk yang tidak menyambut pagi dan meraikan tengahari. Nama makhluk ini seperti yang dipanggil dan diberi oleh makhluk-makhluk yang mengenalinya ialah Zulkadri. Zulkadri sememangnya makhluk yang sangat kuat nafsu tidurnya . Tidak tercabar oleh mana-mana pemuda yang gagah akan kekuatan nafsu tidurnya itu. Sudah terkenal seantero kampung akan kelebihannya itu.
Matahari terus merangkak di dada langit. Dan Zulkadri masih terdampar di dada tilam. Zulkadri cuba utuk bermimpi yang indah-indah di atas tilam yang hapak itu. Tiada apa-apa tanda yang menunjukkan dia akan bangun dalam masa terdekat. Barangkali mimpi Zulkadri benar-benar indah sehingga dia tidak mahu bangun menghadap dunia sebenar yang penuh dengan kesusahan dan kesempitan ini.
Mimpi itu ibarat rokok pucuk yang kekurangan tembakau dan tidak sempurna gulungannya. Belum pun sempat habis dihisap ia akan terpadam. Begitulah mimpi, belum pun sempat sang pemimpi mengecap nikmatnya, mimpi pasti akan berakhir dan berlalu tanpa ada kesudahan. Seperti setiap hari, sejak bergelar sebagai penganggur dan kutu sepenuh masa. Mimpi Zulkadri akan diganggu oleh ibunya yang tercinta. Dan seperti biasa, tanpa banyak soal, Zulkadri akan bangun juga, terus mencapai tuala lusuh hitam berdaki dan mengatur langkah ke beranda rumah untuk menghirup sedikit udara tengahari yang sudah pasti tidak sesegar udara pagi.
Zulkadri bersidai diatas anak tangga beranda rumahnya. Di celah tangan kanannya terselit rokok , sementara tangan kiri sedang enak melombong bijih di dalam hidung sambil matanya terpejam-pejam kenikmatan.
Ada sesuatu yang bermain di benak fikiran Zulkadri. Ada rencana yang dirancang. Jauh pandangan matanya dilemparkan.
Tiba-tiba dia bingkas bangun. Membuang ke tanah puntung rokok yang masih panjang dan terus ke tandas. Berdebur-debur bunyi air di dalam tandas. Banyak yang terus ke lantai dari yang menyirami badan Zulkadri.
Zulkadri kini sudah sedia untuk beraksi. Dia melangkah dengan gagah laksana pejuang berani mati. Tiba-tiba langkahnya yang gagah itu terhenti.
"kemana kamu tu," tegur ibu Zulkadri sambil mengasah pisau rambo buat menyiang ikan tamalian yang baru dituba oleh bapa Zulkadri pagi tadi. Bapanya yang sedang menonton rancangan Wanita Hari ini (WHI) hanya memandang sekilas. Topik merancang kebahagian rumah tangga yang dibincangkan di dalam rancangan bual bicara itu lebih menggoda minatnya.
Zulkadri tidak menjawab pertanyaan itu. Dengan sepantas larian Usain Bolt, Zulkadri terus terjun ke tanah. Menuju ke arah kenderaan rasminya. Tanpa lengah-lengah, terus pergi jauh meninggalkan ibunya yang dibelakang sedang menjerit-jerit sambil mnyumpah seranah akan perihal tingkah laku anaknya yang tiada hormat akan orang tua itu.
Tiada tempat lain untuk Zulkadri tuju selain perhentian bas yang sudah buruk dan dipenuhi cotengan caci maki dan kejian. Ada juga sedikit luahan perasaan. Perhentian bas yang sudah buruk ini, ibarat ibu pejabat bagi anak muda desa ini. Segala aktiviti pasti bermula di sini. Selepas itu baru mereka akan bergerak kemana saja seperti yang telah dirancang.
" Aku dah bosan duduk kat kampung ni," Zulkadri cuba berlagak macho dihadapan budak kampungnya yang rata-rata baru habis ambik SPM. Budak-budak lepas SPM merenung ke arah Zulkadri. Zulkadri wajar dihormati, dia old-timer kampung mereka.
Melihat semuanya masih terdiam, Zulkadri meneruskan ucapannya.
"aku nak pergi Kuala Lumpur...cari kerja...kalau terus duduk kampung ni memang tak jadi ape..."tegas Zulkadri besemangat. Budak-budak lepas SPM tu semuanya masih mendiamkan diri.
"Korang nak ikut tak?" tanya Zulkadri yang sudah panas kerana sejak tadi budak-budak lepas Spm hanya mendiamkan diri tanpa membalas sepatah pun ucapannya.
Zulkadri memandang mata budak-budak kampungnya yang seramai tiga orang itu seorang demi seorang.
"aku tak boleh nak ikut la....aku kena jaga mak aku,,,mak aku sakit..." balas seorang dari mereka. Namanya Muhammad Subri Supian. Dia hampir-hampir menangis. Matanya merah cuba mengempang lelehan cecair dari matanya.
Jiwa Zulkadri tersentap melihat perilaku budak yang bernama Subri Supian itu.
" tak pe la...kalau korang semua ada tanggung jawab. Tapi aku dah nekad pagi esok sebelum azan subuh aku roger pegi Kuala LumpuR," sudah padu tekad Zulkadri.
Zulkadri sudah puas dengan perbualan pendek ini. Dia cuma ingin budak-budak kampung mengetahui bahawa dia akan pergi jauh.
"aku blah dulu," ujar Zulkadri kepada budak yang bertiga itu sambil berlari-lari anak kearah kenderaan tunggangannya.
Budak kampungnya yang bertiga itu melembaikan tangan tanda perpisahan. Emosi mereka sedikit terganggu keranan mereka akan berpisah dengan seorang pelepak sepenuh masa yang cukup berpengalaman.
"jaga diri baik-baik," ujar Subri Supian sambil melambai lemah tangan kanannya.
"jangan tinggal sembahyang," pesan rakannya yang seorang lagi.
"baik-baik jalan," pesan rakannya yang terakhir. Mereka benar-benar tenggelam di dalam emosi masing-masing yang sedang dilanda keharuan.
Zulkadri juga sedih. Tetapi dia menyimpan kemas perasaannya itu jauh di dalam lubuk hempedalnya. Dia terus menunggang motorsikalnya untuk pulang ke rumah. Ada banyak perkara lagi yang perlu dilunaskan. Halangan terbesarnya sekarang ialah Ibunya yang berkerjaya surirumahtangga sepenuh masa dan ayahnya yang berkerja sebagai penoreh getah berkemahiran tinggi. Kedua ibu bapanya juga sangat pakar di dalam memberi leteran dan nasihat yang meruntun jiwa kelakian Zulkadri. Perkara ini sangat merisaukan Zulkadri. Dia tidak mahu menjadi anak yang durhaka. Zulkadri tidak mahu menjadi tanggang, juga malin kundang apatah lagi pinokio si hidung panjang. Runsing kepala batu Zulkadri.
Pukul 5.00 petang Zulkadri tiba di rumah, setelah memusing ke seluruh kampung sebanyak 11 kali buat terakhir kalinya. Ada beberapa jam lagi sebelum rancangannya akan dilaksanakan. Ibu dan bapanya masih belum di khabarkan tentang rancangannya itu. Zulkadri berdiri tegak menghadap muka pintu rumahnya. Belum mahu masuk. Tetapi dia perlu masuk.
belum habis....
penamat cite ni...zulkadri dy pegi KL...pastu bawa balik byk duit...bg kat mak gn ayah dy....pastu dy kawen gn anak sultan pahang...hebat kan tekaan aq? hehe......
BalasPadamaku harap dia pegi KL. jumpa sugarmami kat sana. haha
BalasPadamBisikan Rahsia :kantoi da...hehe
BalasPadamAmir Ariff : bahaya 2...hehe