Samad sedang memandang ke hadapan. Memandang ke arah sungai yang sedang mengalir lesu. Sungai yang samad tiada tahu akan namanya. Tetapi sungai inilah yang menjadi tontonannya setiap kali menunggu bas di stesen bas Pekeliling ini. Beberapa manusia lain juga sepertinya. Sama-sama membuang pandangan ke arah sungai yang keruh itu.
Samad memandang ke seberang sungai itu. Ada beberapa lelaki sedang leka memancing rezeki di dalam keruh sungai itu. Pendatang asing barangkali. Samad menggeleng kepala dan tersenyum. Diberi upah sejuta sekalipun dia tidak akan memakan ikan yang datang dari sungai yang berwajah longkang itu.
Tidak jauh dari kumpulan lelaki yang memancing itu ada dua ekor biawak air yang sedang berjemur. Besar dan sihat tubuh badan mereka. Baru lepas bersantap barangkali. Biawak-biawak itu tenang dengan dunia mereka. Keriuhan manusia disekeliling mereka sedikit pun tidak mengganggu ketenangan mereka. Samad membuat andaian. Barangkali biawak itu berpasangan, seekor jantan dan seekor betina. Kalau benar biawak itu betina dan jantan. Memang mereka pasangan yang bahagia.
Samad menggeliat, dan menguap panjang. Sudah setengah jam dia menunggu bas ekspres ke kampungnya. Samad memang sudah biasa menunggu seperti ini. Bas ke kampungnya ini sering terlewat, alasannya rosak, kesesakan lalu lintas dan seribu macam lagi menjadi pemanis mulut. Dan samad terpaksa menerima alasan itu semua. Terpaksa dan ditelan dan tersenyum. Samad tiada pilihan. Syarikat bas yang lain tiada membuat perjalanan ke daerah kelahirannya. Syarikat yang sering lewat itu saja yang sudi membuat jadual perjalanan ke daerahnya itu.
Samad bangun, membetulkan letak seluarnya dan duduk kembali. Seorang brader tiba-tiba menghampirinya. Duduk betul-betul disebelahnya. Sama-sama diam memandang sungai yang keruh dan lesu itu.
“kerja ke kat kl ni?” brader itu memulakan keramahannya. Melemparkan senyuman.
“tak, belajar lagi,” samad menjawab jujur.
Samad memandang brader itu sekilas pandang. Biasa-biasa saja pakaiannya. Rambut panjang menutup telinga. Dia menyandang beg yang lusuh pada bahunya. seluar jean koyak lutut dan selipar jepun berbiji. Belum habis samad mengamati, brader itu bersuara kembali.
“nak balik mana ni?” Tanya brader itu.
“jerantut, pulau tawar. Abang?” samad menjawab dan bertanya kembali.
“gua tak balik mana-mana pun. Saja lepak sini. Jalan-jalan tengok gelagat manusia.” Jawab brader itu. Tangan kanannya menyelak helaian rambut yang jatuh menutup matanya.
“lama dah lu duduk kl ni?” Tanya brader itu sambil tangannya masih sibuk mendandan rambutnya.
“ada dalam 2 tahun dah,” samad menjawab. Pandangan matanya masih pada pasangan biawak yang sedang berjemur itu.
“baru lagi la…” balas brader itu. Kepalanya terangguk-angguk macam ayam belanda kelaparan. Brader itu diam dan membawa keluar sebuah buku berwarna kuning dari dalam begnya yang lusuh itu. Brader itu terus menekuni buku berwarna kuning itu.
Samad bangun dan menyeluk poket. Dia membawa keluar bungkusan kotak berwarna merah. Isi kotak itu dibawa keluar dan dipasang dibibirnya. Samad duduk kembali. Kotak rokok itu disuakan kepada brader yang sedang tekun dengan buku berwarna kuningnya itu.
“rokok?” ujar samad sambil tangannya menghulurkan kotak berwarna merah itu. Kotak itu bersambut dengan senyuman dari brader itu.
“gua tak hisap rokok.” Kata brader itu sambil tersenyum. kemudian terus sibuk dengan buku kuningnya. Samad tersengih malu dan menyimpan kembali kotak rokok di dalam poket seluar. meraka berdua sama-sama diam.
Untuk seketika samad dan brader berambut panjang itu berada di dalam dunia masing-masing. Samad dengan dunia rokoknya dan brader berambut panjang dengan dunia buku berwarna kuningnya. Sesekali samad menoleh ke tempat parkir bas di belakangnya. Sepatutnya lebih 30 minit yang lalu basnya sudah sampai. Tetapi dia masih disini, terus menunggu dan basnya masih belum kelihatan.
sekumpulan lelaki yang memancing di seberang sungai itu tadi semakin bergerak ke hilir sungai. Lumayan hasil perolehan mereka. Ikan-ikan yang menghuni sungai yang keruh ini sihat-sihat dan montel-montel. Barangkali banyak bahan buangan yang berkhasiat telah tumpah ke dalam sungai ini dan menjadi hidangan harian ikan-ikan ini. Wajah lelaki-lelaki itu ceria. Sesekali mereka tertawa meraikan hasil tangkapan mereka yang lumayan itu.
Dan samad masih menunggu. Tiba-tiba brader berambut panjang itu menutup buku berwarna kuningnya. Memegang buku itu dengan tangan kirinya dan terus berkata kepada samad.
"Jalan dekat Kola lumpur memang berselirat, salah masuk lorong payah nak patah balik. Jalan banyak jalan sehala," tak semena-mena brader itu bercerita soal jalan raya di kuala lumpur.
Brader itu diam dan memandang wajah samad. Samad mengangguk dua tiga kali. asap rokoknya dihembus perlahan. asap itu hilang di hembus angin petang yang hangat.
Melihat Samad masih terdiam Brader itu pun menyambung ucapannya.
"hidup kita kat dunia ni macam jalan-jalan yang berselirat kat kola lumpur ni la," tiba-tiba sahaja brader berambut panjang mula bermadah. dia berhenti mengambil nafas. Samad mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Dia masih belum faham.
brader itu menyambung.
"ke depan kita ada banyak lorong, lu salah masuk lorong payah nak u turn. boleh u turn. tapi payah sikit," tambah brader itu. tangannya terkibar di depan hidungnya. Cuba menghalau dua ekor lalat yang cuba mengganggu ketenteraman hidupnya. Samad masih samar-samar, dia menyedut asap rokok dalam-dalam dan cuba berfikir.
"hidup kita kalau salah pilih jalan hidup memang payah nak kembali ke pangkal, ada yang berjaya berubah. Tapi lagi ramai yang terus sesat dalam lorong yang dorang pilih tu," semakin jelas apa yang cuba dijelaskan brader berambut panjang ini.
Samad hanya mengangguk dan tersenyum untuk mengiakan kata-kata hikmat brader berambut panjang itu. tiba-tiba brader itu bangun dan menggeliat. dia melompat ke anak tangga yang paling bawah dan berlari kecil ke arah tong sampah berwarna kelabu. 3 ekor burung gagak yang sedang asyik mencari juadah tengah hari di dalam dan di pinggir tong sampah itu tersentak. burung-burung itu terbang ke dahan-dahan pokok berhampiran dan berbunyi nyaring. Barangkali burung itu marah pada brader berambut panjang itu.
tanpa samad duga, brader itu juga seperti gagak itu. mula menyelongkar isi tong sampah itu. samad tergamam memandang perlakuan aneh brader berambut panjang itu.
"lu nak tak, roti john ni?" brader itu menyuakan rezeki yang ditemuainya di dalam tong sampah itu.
"takpe la bang, saya dah makan tadi," jawab samad sambil tangan dan kepalanya sama-sama menggeleng. bibirnya bagai dipaksa untuk tersengih.
brader itu mula menikmati rezekinya itu. bersungguh-sungguh. mungkin sudah 2 atau 3 hari tidak makan. sedang brader itu menikmati hidangannya, 2 orang gadis muda remaja berbangsa melayu lalu berhampiran brader itu. kedua-duanya seksi. kedua-duanya mengiurkan nafsu. Pandangan mata samad turut tewas. matanya menyoroti setiap langkah 2 gadis seksi itu.
"pewwittt...boleh kenal," tiba-tiba brader berambut panjang yang baru selesai makan tengah hari itu cuba mencuba nasib ke atas 2 gadis yang comel itu.
kedua gadis itu rasa terganggu. mereka berbisik sesama sendiri. dan langkah mereka semakin laju. benar-benar mahu cepat meninggalkan kawasan itu.
"sombong...mentang-mentang gua ni gila," ujar brader itu apabila melihat kedua-dua gadis itu semakin jauh. dia duduk bersandar pada tong sampah itu. Burung gagak di atas pokok semakin bising memarahi brader itu.
samad memandang wajah brader berambut panjang itu. beberapa ekor lalat bermain di kepala brader tersebut tetapi tidak dihiraukannya. 'gila rupanya' bisik hati samad. barangkali brader ini juga pernah tersalah pilih lorong dan sekarang dia sesat di dalam jalan yang dipilihnya itu. samad bangun dari tempat duduknya kerana bas ekspresnya sudah tiba di platform. bas itu memuntahkan penumpang yang ingin berada di kota besar ini dan bersedia membawa pulang anak-anak desa seperti samad ke kampung halaman mereka.
"lu nak ke mana tu," tanya brader berambut panjang. tersedar dari lamunannya.
"nak balik lah...tu bas saya dah sampai dah," sambil tangan samad diacukan ke arah bas yang dimaksudkan.
"okey selamat," ujar brader berambut panjang yang tiga suku otaknya itu. tangannya diangkat tanda selamat tinggal.
"okeh, selamat," samad juga berbuat perkara yang sama.
sebelum melangkah jauh ke arah bas, samad membuang pandangannya ke seberang sungai buat ke sekian kalinya. Pemancing-pemancing rezeki sungai itu sudah tidak kelihatan. yang kelihatan hanyalah keruh sungai itu. dan pasangan biawak yang berjemur tadi sedang mengawan, bertindih dancberpeluk-pelukan. berguling-guling diatas tebing simen untuk seketika sebelum jatuh ke dalam sungai dan terus hilang ditelan arus.
samad melangkah lagi dan berhenti pada satu tiang di tepi bas. dia memandang sekeliling dan memasang sebatang rokok. dia nampak begitu 'ramai' biawak. sedang berpasangan dan berpelukan. sama seperti pasangan biawak di tepi sungai tadi. samad tersenyum. barangkali sekarang memang musim mengawan.
pintu bas terbuka. Samad membuang puntung ke tanah dan memanjat tangga bas. dia mahu meninggalkan cepat-cepat semua biawak yang sedang mengawan itu. kerana dia teringat pesan ibunya.
"ko ni alergik dengan biawak,".
noktah.
Samad suka hisap rokok...hehe...msti Samad penat kn bercakap dengan orang gila...
BalasPadam