kudin mula terkenang-kenang lembaran masa lalu yang pasti tidak boleh diulang kembali. dia akui dia bukan seorang bapa yang mampu menaburkan kemewahan kepada anaknya. dia cuma seorang penoreh getah yang hari-harinya terpaksa bergelumang dengan seribu macam dugaan hidup.
tetapi, itu tidak bermakna kudin tidak berusaha. siang malam dia cuba mencari biaya untuk kehidupannya anak beranak.
kudin bukan orang yang berpelajaran. dia tidak tahu membaca jauh sekali menulis. kejahilan dirinya itu telah menyedarkan kudin mengenai hidup. kudin telah belajar dari kemiskinan ilmunya itu. dan kudin tidak mahu anaknya juga miskin harta dan ilmu sepertinya.
oleh itu, soal pelajaran anaknya menjadi persoalan pokok dalam hidup kudin, terutamanya ilmu agama. biar dia tidak makan tidak mengapa, biarlah dia hanya memakai baju bertampal, asalkan keperluan anaknya mencukupi. walaupun, tidaklah semewah anak-anak datuk yang kaya raya. tapi keperluan pendidikan anaknya itu sedaya upaya diusahakan. setakat mana yang mampu digapainya.
tetapi, tidak pula bermakna kudin seorang ayah yang memanjakan anak. kudin percaya jika anaknya berbuat salah, anaknya itu perlu dihukum. dan dia mahu dia sendiri yang akan menjatuhkan hukuman.
kerana kudin juga percaya, kasih dan sayang tidak selalu enak dan nyaman. adakalanya kerana kita kasih dan sayang kita terpaksa menyakiti. kudin genggam fikirannya itu kemas-kemas sepanjang hidupnya.
permulaan hidup kudin sebagai seorang bapa ternyata sangat indah, walaupun di dalam serba kekurangan. melihat seorang insan yang bergelar anak membesar di dalam perlindungannya adalah suatu perkara yang sangat membahagiakan. anaknya adalah anak yang baik. juga seorang anak yang bijak.
setiap hari selepas sujud kepada tuhan (lima kali sehari) kudin memanjatkan doa supaya tuhan memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kepada anaknya. dunia dan akhirat. kudin berdoa bersungguh-sungguh. bagi kudin kesejahteraan hidup anaknya adalah kesejahteraan hidupnya juga. begitulah sebaliknya.
deruman kapcai abu memecah kesunyian pondok buruk mereka sekeluarga. kudin memandang tajam wajah anaknya itu. abu yang kusut masai tersengih menampakkan barisan giginya yang kekuningan.
"assalamualaikum..." abu melaung dari anak tangga.
"waalaikumusalam.." sayup-sayup mak limah menyahut dari dalam rumah.
kudin yang berada di muka pintu terus melangkah ke dalam. bersandar pada tiang seri rumahnya dan terus memamasang api pada rokok pucuknya.
tiba-tiba rasa marah itu memuncak kembali. anaknya, abu yang melintas di hadapannya langsung haram tidak dipedulikan.
bersambung>>>
Tiada ulasan:
Catat Ulasan