8 Mei 2012

Catatan seorang Samad

Sekadar cerita.

Namanya samad, baru seumur jagung. Tapi ronta jiwa remajanya telah membawanya ke satu acara yang mencorak satu lakaran baru dalam catan sejarah negara. Sewaktu dia sedar dari lena pada pagi yang bening itu, dia terus melangkah keluar dari kepompong ketakutan yang memasung dirinya selama ini. Tanpa persiapan, tanpa rakan, dia melangkah keseorangan menyusur jalan berdebu yang lengang pada pagi itu.

"ada roadblock dekat mid. tak boleh lalu dekat situ. dekat muzium negara ada juga." kata seorang kenalan ketika dia singgah bersarapan di sebuah kedai makan.

Samad angguk kepala. Kuah mee kari dihirup terasa jelira kerana perutnya benar-benar lapar ketika itu.

"teruk betul kan, kau ni nak kemana mat?" tanya kenalannya itu. 

"pesta buku, PWTC,"

"oh,"

Masa bergerak terlalu pantas untuk dikejar. Masa itu terus berputar-putar pada paksinya, bila bermula dan  bila pula akan berakhir, tiada yang tahu, tanpa garis penamat.

Samad merenung jarum jam tangan, hampir pukul sembilan. Dia cepat-cepat membeli token berwarna biru pada mesin yang baru pertama kali dia guna, agak kekok juga pada mulanya. Mujur tiada kelibat orang lain yang menunggu giliran di belakangnya. Jadi, silap tekan dan kekekokan yang terzahir pada perlakuannya itu tidaklah menjadi bahan ketawa orang lain melainkan dirinya sendiri sahaja. Ternyata, hati kecilnya benar-benar ketawa besar terhadap dirinya.

Suasana tenang sewaktu dia menunggu gerabak LRT itu tiba. Dia memandang-mandang sekeliling stesen itu. Di sudut kanan matanya, ada sekumpulan anak muda belia berbangsa melayu, barangkali hampir sebaya sahaja dengan dirinya. Berwajah bersih, tenang walau ada sedikit kerut gusar pada wajah mereka. Masing-masing ada sejemput janggut, masing-masing juga menggalas beg pada bahu mereka. Pada sudut kiri matanya pula ada tiga orang gadis berbangsa cina, berbaju kuning yang punya potongan yang sama. Corak cetakan pada hadapan baju juga serupa. 

Gerabak putih yang ditunggu akhirnya sampai dan berhenti. Samad bangun dan berdiri. Saat pintu gerabak disorong terbuka. Samad terduduk kembali. Terlalu padat untuk dia mencari tempat di dalam gerabak itu walaupun sekadar tempat untuk berdiri. Lima anak muda belia itu juga duduk kembali. Sama juga dengan gadis cina yang bertiga itu.

"Dari mana pakcik?"

"dari ganu, anak dari mana?"

"dekat sini je,"

"oh, kijo?"

"dok, belajar lagi, mari dengan apa pak cik?"

"dengang bas,"

Laungan dari lautan manusia itu menyebabkan perbualan Samad dan pak cik berbaju kuning yang berasal dari terengganu itu terhenti. Pak cik dari terengganu itu turut serta bersorak bersama dengan yang lain. Samad berundur agak menjauh dari manusia yang ribu-ribu itu. Dia duduk pada sebuah motor yang diparkir di bawah stesen LRT masjid Jamek itu. Di sebelahnya, juga di hadapannya ada sekumpulan anggota polis sedang berkawal. Muda-muda wajah mereka dan katang-katang pula badan mereka. Samad senyum, dan abang-abang polis itu juga senyum, tetapi seorang anggota polis yang sudah beruban dan berperut boroi  serta bercalit tiga di bahu merenung Samad dengan ekor mata yang tajam, penuh curiga.

"minum bang," kata Samad sambil mengangkat tinggi bekas airnya.

Polis muda mengangguk dan tersenyum lagi sekali. Samad menyalakan sebatang rokok, asap itu dihembus perlahan-lahan. Dua orang anggota polis yang sedang duduk berehat di satu sudut bangunan stesen itu juga menghembus asap yang sama dengan asap hembusan samad.

Letih duduk di sudut bangunan itu, Samad mula berlegar-legar dicelah manusia yang bersesak-sesak itu. setelah letih bersesak-sesak begitu, dia mula mencari tempat melabuhkan punggung.

"dari mana bang?" tanya Samad saat mula dia meletak punggung di tepi seorang pemuda yang berjaket kulit.

"dari sabak bernam," pekat telor jawanya.

"jauh tu bang, pukul berapa sampai sini,?"

"dalam pukul sembilan tadi, kau dari mana,"

"dekat sini je bang,"

Samad sangat suka duduk-duduk dalam kumpulan manusia yang besesak-sesak ini. Mereka mudah mesra. Barangkali kerana ada persamaan matlamat, mungkin juga sama dalam jalur pemikiran. Lama juga mereka bertukar buah fikiran. 

Lepas sebatang rokok terpadam, sebatang pula rokok menyala. Dalam sesak ribu manusia yang berbaju kuning itu Samad berjalan lagi. Meredah lautan manusia yang tidak terpermanai itu. Letih berjalan barangkali,Samad duduk kembali. Sedang dia duduk itu, dia dihampiri seorang lelaki yang layak dipanggil abang olehnya.

"dari mana bang?" tanya samad

"balakong, kau?"

"dekat sini je, pantai dalam, abang memang nak datang event ni ke?"

"aku pemerhati bebas, saja datang, tengok-tengok, hahaha,"

"sama la dengan saya," samad ketawa juga.

Sedang asyik bersembang itu, tiba-tiba mata mereka terasa pedih. Dan orang yang ramai-ramai itu mula bergerak menuju ke hujung jalan yang menjauh dari stesen lrt masjid jamek. Ini pengalaman pertama kata brader dari balakong itu sambil mengesat-ngesat matanya yang berair. Tin pemedih mata melayang lagi dan lagi.

Dalam air mata yang mengalir itu samad tersenyum. Tersedar, sudah lama matanya tidak menangis selebat ini.

Celaka, aku tak suka menangis kata hati Samad sambil memikirkan perutnya yang lapar kerana belum makan tengah hari lagi. Barangkali Samad menyangka datang ke majlis perhimpunan ini akan diberi makan-makan percuma seperti majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan memerintah. Berlalulah Samad dari kepulan asap pemedih mata itu untuk mencari kedai 711 buat membeli roti.

TammaT

1 ulasan: