2 Feb 2010

babi

"ba di atas ba, ba di bawah bi, ba di depan bu....babibu"

Sudin sedang menghabiskan bacaan muqaddam dengan emaknya di hadapan televisyen yang tidak terpasang. Terangguk-angguk kepala Sudin membaca setiap kalimah yang ada sambil menunjuk setiap huruf menggunakan pensel kontot panjang 2 inci. Muqqaddam lama yang diwarisi turun temurun itu sudah lusuh benar. Antara nampak dan tidak sahaja tulisannya. Itu sahaja muqqadam yang masih elok di rumahnya. Ada beberapa lagi kepunyaan abang dan kakaknya. Tetapi sudah teruk benar. Bercerai berai isi dan kulitnya. Tidak tahu mana susun aturnya lagi.

"ta di atas ta,ta di bawah ti, ta di depan tu....tatitu"

Sudin masih membaca muqaddam. Tapi ada sesuatu perkara yang besar bagi budak seusianya sedang bermain di dalam kepala otak Sudin. Sekejap-sekejap Sudin menjeling ke arah jam dinding cap Ayam yang tergantung megah di tengah-tengah dinding ruang tamu rumahnya. Sekejap-sekejap juga, dia memandang ke arah muka televisyen yang gelap dan hitam. Sudin tidak pandai membaca jam, tapi dia tahu apabila jarum pendek berada pada nombor tujuh dan jarum panjang berada pada nombor enam, itu bermakna ada sesuatu yang penting. Benar-benar penting bagi Sudin. Benar-benar penting juga bagi budak-budak seusianya.

Sudah pukul 7.25. Masih ada 5 minit sebelum rancangan kartun Atasinchi bermula. Sudin sudah tidak keruan. Punggungnya sudah gatal-gatal. Penantian ini benar-benar satu penyeksaan. Cepat-cepat dia membaca dan mengeja huruf-huruf jawi itu. Bacaannya sudah tidak sepenuh hati. Emaknya dapat melihat kegelisahan yang melanda anak kecilnya itu.

"Assalamualaikum...." kedengaran ucap salam ayah Sudin baru pulang dari surau.

Emak sudin memandang ke arah sudin seraya berkata.

" doh la ngaji...nak taknak dah gayanya....pergi buka pintu abah tu,"

Tersengih-sengih Sudin menampakkan giginya yang rongak, berlobang-lobang disana sini. Sudin menutup muqaddamnya cepat-cepat. Mencium dan menjunjungnya dua tiga kali dan menyimpannya di atas peti televisyen. Sejurus itu, Sudin terus berlari membuka pintu untuk ayahnya yang telah lama menunggu.

"Meknye lambat sangat buka pintu?"
"dah mengaji belum?"
bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Pak Leman tatkala melangkah masuk ke dalam rumah.

"sebab ngaji la sudin lambat buka pintu ni abah, itulah Sudin taknak ngaji abah suruh ngaji..." jawab Sudin selamba, terus berlari ke arah peti televisyen. Berbunyi-bunyi lantai papan rumah buruk Pak Leman dihentak kaki Sudin yang kecil itu.

Pak Leman sekadar tersenyum mendengar jawapan Sudin. Hendak dimarahi Sudin masih kecil. Pak Leman biarkan saja keletah sudin itu. Anak kecilnya ini benar kesayangan dirinya.

Sudin cepat menekan suis kuasa televisyen. Sambil berharap dia belum ketinggalan apa-apa. Sudin bernasib baik, rancangan itu baru bermula. Lagu tema kartun itu berirama memenuhi ruang tamu rumah Pak Leman yang kecil itu. Sudin duduk menonton rancangan kartun kegemarannya dengan penuh tekun. Dia duduk bersila sambil memeluk bantal busuknya. Ayahnya pula bersandar pada dinding berhampiran muka pintu sambil menggulung rokok pucuk. Juga memerhatikan telatah anak bongsunya itu. Muka pintu dibiarkan terbuka. Menjemput angin malam berpuput masuk meyegarkan udara seisi rumah. Sesekali Pak Leman mengerling ke arah isterinya yang sedang melipat kain baju di tiang seri. Sudah tua isterinya, bisik hati Pak Leman. Aku juga sudah tua, bisik hatinya lagi.

"makan apa kita malam ni, maknya?" Pak Leman bersuara, bertanyakan lauk makan malam.

"Makan lauk siang tadi jela...nak beli lauk..abahnya tak bagi duit," isterinya memulangkan kembali jawapan kepada Pak Leman.

Pak Leman diam. Tidak terus berkata-kata. Ada benar kata-kata isterinya itu. Dia memusing-musing rokok pucuk dimulutnya. Disedut dalam-dalam. Kempis pipi tua Pak Leman menyedut rokok pucuk berinti tembakau jawa itu. Lalu dihembus perlahan-lahan. Asap itu berpusing-pusing seketika dan hilang apabila dihembus angin malam. Fikiran Pak Leman turut melayang-layang bersama hembusan angin itu. Sudah berminggu Pak Leman tidak pergi menoreh getah. Rakan-rakannya juga begitu. Hampir seluruh penduduk desa yang permai ini pekerjaannya menyembah pohon getah. Pohon inilah penyambung hidup. Tetapi sisa-sisa musim tengkujuh yang lalu masih ada. Sekejap-sekejap hujan. Jika tidak pagi, maka petanglah yang akan hujan. Jika tidak petang maka pagilah pula yang hujan. Apabila petang hujan maka membawa ke malam dan melarat hingga ke pagi. Maka apalah yang mampu dibuat oleh Pak Leman yang tiada punya kemahiran yang lain selain menoreh ini. Hanya berselimut menunggu cuaca yang baik kembali bertandang sajalah jawabnya. Dan jika Pak Leman dan rakan-rakannya tidak menoreh maka akan kurang berasaplah dapur-dapur rumah mereka. Makan terpaksa dicatu. Siang makan nasi, maka malam menghadap ubi kayu. Begitulah seterusnya, sehingga cuaca cerah kembali. Bagi yang tahu serba sedikit selok belok ilmu menangkap ikan, ada yang mencuba nasib menjaring, menghanyut, menjala, menuba dan seribu macam cara menjerat ikan digunakan di sungai pahang yang mengalir lesu melalui daerah desa ini. Serba sedikit hasil yang dapat boleh dibuat lauk, maklumlah musim hujan seperti ini harga ikan laut naik mendadak. Kalau bernasib baik mendapat ikan Patin atau jelawat boleh dijual ke kedai-kedai makan di bandar Jerantut. Harganya boleh melambung tinggi jika kena caranya. Bolehlah bertambah pendapatan penduduk desa ini. Tapi Pak Leman tidak punya ilmu jaring menjaring dan ilmu pukat memukat. Ilmu menoreh batang getahlah, semata-mata ilmu yang Pak Leman punyai.

Pak Leman menjenguk keluar rumah. Melihat langit. Mencari alamat petanda di celah-celah awan malam. Bulan tergantung di angkasa. Memberi cahaya kelam yang bukan dia yang empunya. Malam itu bulan terang. Melihat bulan yang terang maka terang dan berbunga jugalah hati dah harapan Pak Leman.

"cerah langit malam ni maknya...esok pagi boleh keh menoreh dah kot," ujar Pak Leman yakin.

"baguslah kalau macam tu,..beras kita tu pun tinggal berapa kali tanak lagi nak habis, kalau abahnya tak menoreh lagi, alamat tak makan la kita nanti," isterinya meluahkan segala kerisuan yang terbuku dihati.

Masa terus berlalu. Masa tidak akan berhenti untuk mendengar keluh dan kesah mereka anak beranak itu.
Jarum-jarum jam menunjukkan waktu terus merangkak pergi. Jam sudah pukul 8.00 malam.

"sudin..alih tb satu...abah nak tengok berita," perintah Pak Leman pada anaknya.

Sudin yang dari tadi asyik dalam dunianya, tersentak. Malas-malas Sudin bangun dari bantalnya, menekan punat-punat di televisyen mencari siaran TV1. Setelah beberapa kali menekan akhirnya bertemu juga. Berita perdana baru hendak bermula. Sang pembaca berita mengucapkan pelbagai ucap salam kepada seluruh penonton di negara bertuah Malaysia yang sememangnya berbilang bangsa, agama dan budaya ini. Yang paling aneh didengar pada corong telinga Pak Leman ialah;

"salam 1Malaysia" kedengaran pembaca berita itu memberi ucap selamat.

Bagaimana hendak dipulangkan kembali ucap selamat itu, terfikir Pak Leman di dalam kepala batunya. Pak Leman malas peduli itu semua. Apa yang menjadi kehendak utama Pak Leman adalah untuk menghiburkan hati dengan melihat hal ehwal masyarakat negara ini dan perjalanan siasah politik yang sememangnya menjadi mainan media arus perdana sejak zaman berzaman. Berita dan warta yang kadang-kadang menjelikkan hatinya, tetapi dek kerana tiada sumber lain maka televisyen itu terpaksa dihadapnya jua.

Seperti biasa sang pembaca berita memulakan bicara dengan memberikan tajuk-tajuk berita utama. Ada tiga tajuk yang diceritakan, pertama, mengenai ekonomi negara yang semakin meningkat naik, kedua, mengenai janji kerajaan membaikpulih dan menampal jalan-jalan yang berlubang dan ketiga, mengenai perkara yang mengejutkan. Perkara itu seperti yang diberitakan oleh sang pembaca berita adalah mengenai babi. Seketul kepala babi. Bagi Pak Leman berita ketiga ini memang berita besar. Pak Leman tersangat ingin tahu akan cerita babi itu. Pak Leman cukup benci kepada binatang-binatang babi ini. Pak Leman sudah lebih tahu babi itu binatang yang najis dan haram. Tetapi bukan itu saja yang menaikkan benci pada babi, babi juga musuh utama kepada ayam itik peliharaannya. Pantang Pak Leman terleka, pasti ada yang disambar binatang haram itu. Bencinya pada binatang haram itu tidak tergambar oleh kata-kata. Jika terdengar anak-anaknya mencarut dengan perkataan 'babi', pasti ditenyeh dengan lada mulut anaknya. Jangan dicarut orang dengan perkataan babi fikirnya.

Oleh itu Pak Leman benar-benar ingin tahu kenapa musuhnya yang nombor satu ini boleh berada di dalam senarai berita utama. Apa onar yang telah dibuat sang babi ini. Pak Leman benar -benar ternanti-nanti berita selanjutnya. Tapi malangnya iklan syarikat minyak pula yang keluar sebelum berita yang selanjutnya disampaikan. Maka bertambah ternanti-nantilah Pak Leman. Pak Leman memandang wajah isterinya yang turut tekun melihat peti televisyen.

"pegi buat air maknya....haus pulak rasanya tekak keh" suruh Pak Leman pada isterinya.

Isterinya mengiya pun tidak menidak pun tidak. Terus sahaja berjalan kedapur. Sudin masih terbaring di depan peti televisyen menantikan berita mengenai babi itu. Begitu juga Pak Leman.

Penantian benar-benar satu penyeksaan , bisik hati kecil Sudin.



bersambung



notakaki:

keh:saya

5 ulasan:

  1. best la cite aok kali ni...makin bermutu, keh pun ternanti-nanti sambungannya ni,sama cam Pak Leman gn Sudin ternanti2...hehe... aok sambung kasi gempak lagik...msti syiok.

    BalasPadam
  2. syok je aku baca.
    :)

    BalasPadam