10 Feb 2010

babi part 2

Iklan syarikat minyak bersilih ganti dengan iklan sebuah badan perbankan. Pak Leman mudah jemu dengan perkara seperti ini. Pak Leman menggaru-garu kematu gajah pada tumit kakinya. Pak Leman tidak pernah ambil kisah dengan iklan-iklan yang beraneka jenis ini. Tiada gunanya fikir Pak Leman.

Di desa yang terpencil ini mereka tidak pernah kenal apa itu stesen minyak. Pinjaman bank pun Pak Leman tidak pernah buat. Tetapi sebelum terlupa untuk diceritakan. Pak Leman ada berurusan dengan satu badan perbankan, namanya Tabung Haji. Pak Leman telah lama melonggokkan wang di dalam bank itu, hajatnya untuk naik haji seperti orang islam yang lain. Tetapi belum pun sempat duit yang disimpannya beranak pinak dan menjadi banyak. Pak Leman terpaksa mengeluarkannya. Semuanya adalah untuk belanja anak-anaknya di menara gading. Itupun nasib baik ada anaknya yang mendapat biasiswa dari sumber yang Pak Leman sudah lupa namanya. Kalau tidak makin kering dan kontanglah kantung simpanannya. Tapi Pak Leman tidak berkeluh kesah akan soal itu. Pada fikiran Pak Leman harta yang bertimbun itu tiada gunanya jika anak-anaknya miskin dengan ilmu pengetahuan. Biarlah habis hartanya menyekolahkan anak-anaknya yang sembilan itu. Tiada ruginya fikir pak Leman lagi.

Tinggalkan kisah Pak Leman dengan institusi perbankan dan pendidikan anak-anaknya. Kita teruskan dengan kisah babi yang telah mengundang seribu kemusykilan. Sudah kelihatan tanda-tanda seperti penantian Pak Leman dan Sudin akan berakhir. Berita perdana sudah kembali menyiarkan berita dan tidak lagi merapu dengan iklan yang berjela-jela.

"kuat sikit tb tu sudin...abah tak dengar ni.." perintah Pak Leman kepada Sudin.

Sudin bangun malas-malas. Punat di televisyen itu ditekan beberapa kali sehingga angka 14. Malas-malas Sudin terbaring semula. Pak Leman berkisar-kisar di punggungnya. Memasang telinga setajam-tajamnya. Pak Leman tak mahu terlepas barang sepatah pun apa yang akan dikatakan sang Pemberita.

Sang pemberita (penyebar propaganda) mula bersuara.

"pada awal pagi semalam dua buah masjid telah dibaling dengan kepala babi hutan dan bungkusan wang kertas....",

Pammm!!!. Bunyi Pak Leman menghentam lantai rumah dengan penumbuk tuanya. Belum pun sempat sang pemberita menghabiskan bicara wartanya Pak Leman sudah berang. Berkerut-kerut wajah tua Pak Leman menahan marah. Sudin yang baru setahun jagung itu terkejut dengan tingkah bapaknya itu. Apa dan kenapa bapanya begitu marah Sudin tidak mengerti. Sudin mendiamkan diri. Tidak mahu bertanya kenapa, takut-takut amarah bapanya itu memakan dirinya. Maka diamlah Sudin membatu menatap wajah televisyen yang bercahaya itu.

"celaka betul," gumam Pak Leman.

Pak Leman memasang telinga kembali.

"pihak polis akan menyiasat perkara ini. Apa yang pasti semua perkara ini adalah berpunca dari pergolakan mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang kristian dan ditentang oleh orang Islam," sambung sang pemberita lagi.

Noktah. Berita lain pula menyusul. Namun, Pak Leman sudah tawar hati dengan hal ehwal dunia yang lain. Perasaan Pak Leman bercampur baur. Macam rojak buah. Marah ada, sedih ada dan bercampur baur dengan bermacam perisa dan ramuan lagi.

"kenapa tadi abahnya...tiba-tiba bising...awak marah Sudin ke???" soal isterinya sambil menatang teh kosong yang masih berasap-asap di dalam talam siap dengan hidangan biskut kering cap Ping Pong. Hidangan kegemaran Pak Leman sejak mula berumahtangga.

Pak Leman tidak menjawab persoalan itu. Malas dilayan bicara isterinya itu. Pak Leman sedang asyik memikirkan persoalan babi itu. Isterinya memandang wajah Pak Leman dalam-dalam. Dia masih belum mengerti. Sudin sedang aman dengan dunianya, dan sememangnya tidak pernah mengerti.

"babi betul," pak Leman mula bersuara.





bersambung

2 ulasan:

  1. dah lama tak makan rojak buah. Pak Leman ni ank dy 9 orang...sama ramai gn adik beradik ko la,hehe...watak Sudin ni msti ko kn...heqal?

    BalasPadam
  2. mne ad...adik bradik aku ne ad msuk u...hehe

    BalasPadam