4 Jan 2011

samad, pakcik kordi dan papan keranda

langit cerah tengah hari itu. angin siang yang bertiup sepoi-sepoi mengurangkan suhu persekitaran yang sedang hangat membakar.

di tengah hawa panas bulan mac yang terik itu kelihatan samad sedang menunggang motorsikal berjenama yamaha kebanggaannya. dia mahu kemana? itu persolannya.

"aku mahu ke rumah Pakcik Kordi" bisik hati kecil samad yang berjiwa besar. ya...itu jawapan pada persoalan kita tadi.

tetapi mengapa rumah Pakcik kordi? lagi satu persoalan timbul dari jawapan tadi.

tanpa lengah-lengah, hati kecil samad yang berjiwa besar itu memberi jawapan.

"aku mahu meminjam 'coban'." hati samad yang kecil itu berbisik lagi. semakin besar hatinya itu.

Perjalanan ke rumah pakcik kordi yang tidak terlalu jauh itu membawa samad melintasi sebuah kedai kopi. kedai kopi ini khabarnya antara kedai kopi yang sangat tersohor di dalam kampung halaman samad ini.

ada suara menyapa samad. dan suara itu datang kedai kopi yang tersohor itu. samad berpaling lantas tersenyum.

"woi mat, lepak la dulu ngeteh ni ha. nak kemana laju sangat tu,"

samad tidak pandai menolak. dia akhirnya berlabuh di kedai itu. wajah pakcik kordi malap buat seketika dari tempurung kepala samad.

masa terus berlalu. dari secawan teh beralih ke secawan kopi. dam sudah berpapan diulang main. matahari yang tadi tegak di puncak langit sudah jatuh senget ke barat.

"he eleh, aku kan nak pergi rumah pakcik kordi tadi,"hati kecil samad menegetuk fikirannya.

samad bingkas bangun. meminta diri untuk pergi.

"dah kalah main dam terus nak blah, tak jantan la macam ni," kawan samad berkata dengan nada mengejek. mulut dimuncungkan mengatasi hidungnya yang pesek.

samad tersenyum. samad terus membawa dirinya menuju rumah pakcik kordi. akhirnya menjelang waktu asar, samad tiba juga di rumah pakcik kordi yang hidupnya sebatang kara itu.

"assalamualaikum," laung samad bersungguh-sungguh.

"walaikumussalam," sayup-sayup bergetar suara pakcik kordi menjawab salam.

pintu rumah terbuka luas. samad mengintai-intai di mana pakcik kordi berada. yang kelihatan hanya utas-utas jala yang bergantungan memenuhi ruang rumah yang kecil itu.

"ada kat mana pak kordi?" laung samad lagi.

"aku kat bawah rumah ni, mari la sini," pakcik kordi menjawab.

kelihatan pakcik kordi sedang terbongkok-bongkok menyusun kepingan papan yang diketam licin di bawah lantai rumahnya.

"kamu mat, nak apa?" ucap pakcik kordi sambil terbongkok-bongkok keluar dari bawah rumahnya.

"nak pinjam coban, coban keh patah. boleh tak?" samad tersenyum manja menyatakan permintaannya itu.

"ada kat atas tu, jom la ke atas," ujar pakcik kordi. nafasnya agak lelah. pekerjaan menyusun kepingan papan yang ringan tadi mungkin terasa sangat berat oleh kudrat tua pakcik kordi.

mereka berjalan beriringan.

"susun papan mende tadi?" samad cuba beramah mesra.

"nak buat keranda." ringkas jawapan pakcik kordi.

"keranda sape? sape mati? tak dengar orang umum pun dekat masjid" samad terkejut. dahinya berkerut memikirkannya. mana mungkin dia tak tahu berita kematian ini.

"bukan keranda sape-sape pun. keranda aku sendiri. senang nanti, aku ni bukan ada sedara, hidup sebatang kara. lagipun aku pun dah tua, macam buah kelapa lah. selalunya yang gugur dulu kelapa tua, tapi zaman sekarang ni kelapa muda pun gugur awal, kalau orang jolok" pakcik kordi tersenyum memandang samad sambil menghulurkan coban buluh.

"masa muda macam kau ni la nak cari bekal ke kubur banyak-banyak. jangan nanti bila masuk kubur bawak kain kapan dengan keranda je." tambahnya lagi.

samad tersenyum tawar. coban itu disambutnya.

tiba-tiba hatinya berasa gerun, terasa maut itu berada dekat dengan dirinya. dia meminta diri untuk pulang. matahari pula terus tergelincir ke barat. sayup-sayup kedengaran suara azan mengajak manusia menuju kejayaan. kata-kata pakcik kordi tadi samad paku teguh di dalam dinding hatinya, cari bekal banyak-banyak. moga tidak hangat-hangat taik ayam.

notakaki:

coban= sejenis alat untuk menyirat jala(tempat lain aku tak tahu panggil apa)

cerita ini hanya rekaan semata-mata.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan