15 Okt 2011

Bukan milik kita

Saya tak mahu cakap (baca: tulis) pusing-pusing. Dahulu saya pernah punya sehelai baju unik. Jika saya pakai baju itu saya akan rasa diri sayalah paling menawan di seantero glob bumi ini. Baju itu tidak mahal. Malah tiada jenama pun seingat saya. Saya membelinya bersama 2 helai baju yang lain. RM 5 saya dapat tiga helai baju yang boleh tahan kualiti bersekali dengan reka bentuk yang unik. Antara tiga helai yang saya beli itu, yang sehelai itulah juga yang paling saya sayangi. Scene "bundle" di temerloh ketika itu memang tidak pernah menghampakan cita rasa saya.

Tapi hayat baju yang sehelai ini tidak lama dengan saya. Ibu saya ambil buat lap air milo tumpah di dapur. Saya pertikai juga mulanya. Mengamuk juga saya. Tapi lama-lama saya diam. belajar untuk pasrah.

Tadi saya cakap (baca:tulis) tak mahu pusing-pusing. Tapi saya kira, saya kena pusing-pusing juga.  

Dahulu, tidak terlalu lama saya ada sepasang kasut nike air. Bukan saya beli. Abang ipar saya kasi. Mungkin mahu ambil hati saya sebagai adik ipar lelaki bongsu (boleh dikata mempunyai pengaruh kuat kepada ibu saya untuk membuat keputusan). Saya terima dengan hati terbuka barang mahal plus percuma ini. Saya gembira, saya tidak tipu, saya betul-betul gembira ketika itu walaupun saya bukan penggemar/pemakai kasut tegar. Silap juga abang ipar saya memberi kasut kerana saya bukan lah sejenis makhluk yang suka memakai kasut. Tapi saya tetap sayang kasut itu kerana menghargai pemberian abang ipar saya itu. Belajar bersyukur kata ustaz saya.

Tapi hayat kasut yang sepasang itu tidak lama dengan saya. Kasut itu hilang kerana kelalaian saya sendiri. Saya letakkan di luar bilik dan akhirnya PUFFF , kasut itu hilang begitu sahaja. Dua tiga hari juga saya bising. Merepek tak tentu hala. Memaki hamun orang yang mengambil kasut saya itu dengan penuh bersemangat.  Tapi lama-lama saya tersedar saya silap memaki hamun orang saya sendiri tak tahu siapa. Dan akhirnya saya diam juga. Saya cuba belajar memaafkan.

Semalam saya beli teh ais bungkus. Tiba-tiba saya mengidam mahu minum teh ais yang dibungkus. Saya turuti idaman perut saya itu. Sewaktu menjinjit plastik teh ais itu saya sudah cuba gambarkan dalam otak  benak saya betapa enaknnya teh ais itu. Rasa sejuknya, rasa susunya dan rasa tehnya yang kaww itu akan bercampur baur di dalam mulut saya dan meluncur lemah gemalai melalui saluran esofagus saya. Seketika suhu badan saya akan ikut turun dan jiwa saya akan ikut sama tenang dan senang. Oh...

Tapi air teh ais bungkus itu tidak sempat pun saya hirup. Dia jatuh ke lantai dan plastik jernih itu pecah bersepai, maka berhamburanlah segala air teh itu di atas lantai. Saya merapu juga mula-mula. Berkeluh-kesah kerana tidak dapat menikmati hidup saya dengan air teh ais itu. Akhirnya saya diam kerana sedar malam itu saya keseorangan di bilik. Saya cari surat khabar Kosmo lama dan saya lap air teh ais yang tumpah  itu. Bukan rezeki saya. 

Lebih dua tahun yang lepas saya ada nenek, dan dialah seorang saja nenek yang saya sempat lihat. Dia ibu kepada emak saya. hampir dua puluh tahun juga dia melihat saya membesar dan saya melihat dia semakin tua. Sampai satu masa, Sampai sudah ketetapan, maka nenek saya pergi meninggalkan saya untuk meneruskan perjalanan hidupnya di alam yang lain pula. Lalu saya berfikir nyawa juga bukan milik saya, baju yang saya pakai bukan milik mutlak saya, makanan yang saya makan juga bukan milik mutlak saya, air yang saya minum juga bukan milik mutlak saya.

"Kepunyaan Allah lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi...'' (surah Al-baqarah: 284)


Kalau mahu meminta mintalah kepada Allah, kalau mahu memberi berilah kerana Allah.



P?S: Ini merapu. Mahu lebih kefahaman klik sini

3 ulasan:

  1. redha dgn qada' dan qadar.. slh satu rukun iman. satu pincang.. status b'iman x dpt kita miliki. muhasabah, koreksi diri. subhanallah...


    ..

    BalasPadam
  2. Kalau betul ia milik kita tapi sebenarnya hanya sementara..

    BalasPadam