31 Okt 2011

Mati (tulis semula)

"miauuu...miauuuuu...." Ini bunyi kucing mengiau. Bunyi dua ekor kucing mengiau. 

Bunyinya merayu-rayu. Mak Jemah yang sedang menyorong kereta tolak dipinggir jalan itu tertarik hati untuk berhenti. Cermat dan perlahan Mak Jemah atur langkah. Perlahan-lahan Mak Jemah mengcangkung ditepi semak merimbun itu.

"meh sini meh...chut, chut..."

"miauauuu....miauuu,"

Mata kabur berasap Mak Jemah berkerut-kerut menyusur celah-celah ranting semak yang bersilang-silang itu. Mata tua digosok-gosok dengan tangan. Tiba-tiba mulut Mak Jemah melopong dan terus pitam terlentang. Kucing makin kuat mengiau merayu mendayu-dayu.

---------------------------------<>----------------------------------

Kucing hitam dan kucing bertompok hitam putih itu berkelahi lagi di tangga rumah. Kedua-duanya jantan. Dua-dua baru menginjak usia matang. Matang dalam erti hidup seekor kucing adalah sudah boleh mengawan. Bulu masih cantik, kuku pula tajam berbisa. Sama-sama hebat, Cumanya si hitam tampak lebih garang. Tampak lebih gagah.

hanya satu sebab jika kucing ini berkelahi. Tidak lain kalau jantan berkelahi, jika bukan kerana betina. Si Tompok lalai mengintai betina di belakang tempayan. Maka peluang pun terbuka dan Si hitam terus menampar muka si Tompok. Si tompok terdorong ke belakang. Ekornya dikembang-kembang dan badan tergigil. Mengiau-ngiau nyaring memecah malam yang sunyi. Di celah pasu tempayan usang, kucing betina terus mengintai sepi.

papp,

Sekeping selipar getah melayang dari celah kegelapan malam. Tepat pada si tompok yang hampir terkencing, terberak.

"syuhhhh, haip...berkelahi saja korang ni,"

Bertempiaran kedua-dua kucing itu lari ditelan gelap malam kerana dikejut sergah itu. Kucing betina rebutan jantan turut sama terkejut. Terus hilang dicelah-celah semak lalang yang melambai-lambai dihembus angin malam yang hitam.

Samad terhincut-hincut berlari ke bawah rumah.  Selipar getah dicari dan dikutip kembali, di sarung kemas ke kaki dan terbongkok-bongkok dia keluar dari bawah rumah.

"naik la Tok, kucing ni memang selalu gaduh. Kalau dibiar habis dikencingberak tangga ni nanti," Samad tersengih. 

Dia mendahului Tok Karim memanjat tangga. Pintu dikuak perlahan. Berkeriut bunyi engsel berkarat kurang minyak.

Ruang rumah itu suram. Hanya lampu kalimantang kelam di dapur terpasang. Samad petik suis lampu ruang kamar tengah itu. Lama lampu kalimantang itu berkelip. lip lap lip lap. Tok Karim pula, tanpa di suruh sudah bersila di tiang seri. Beg hitam diletakkan di hujung kepala lutut kanan. Betul-betul menghadap pada sekujur tubuh yang terkejang kaku.

"Ambilkan aku air,"

Lama kemudian baru lampu kalimantang mahu menyala. Air sebesen sudah tersedia di kepala lutut kiri. Entah bila air itu diletak Samad. Sedar-sedar Samad sudah duduk bersila dihujung kaki ayahnya yang terbaring itu. Tersengih-sengih menghadap Tok Karim.

"ke tepi sikit, aku nak mengubat ayah kau, bukan kau,"

"hehehe..," Samad tersengih lagi. perlahan-lahan dia mengesot menjauh dari ayahnya.

Kemenyan dibakar diatas pendupaan. Asapnya berkepul-kepul memenuh segenap ruang yang kecil itu. Samad asyik melihat asap kemenyan itu menari. Terapung-apung perlahan-lahan memenuh ruang bumbung. Kemudian dihembus angin, keluar dari celah papan di tebar layar. terus menghilang digelap malam.

Tok Karim memegang bungkusan hitam. Dibuka kain bungkusan itu, helai demi helai. Kuning, hitam, kuning hitam, merah, kuning, hitam. Tujuh helai, tujuh lapis semuanya. Seketul benda putih tersembul keluar dari helaian bungkusan itu. Tok Karim melayang-layangkan benda putih itu pada asap kemenyan yang berkepul itu. Kemudian direndam benda putih itu ke dalam besen air. Diputar mengarah jam, cukup tujuh kali. Mulutnya terkumat-kamit membaca mentera memuja. Samad melopong tidak mengerti butir mentera itu, tapi dia diamkan saja rasa tidak tahu itu di dalam hati.

"kau ambil air ni, kau campur dengan air biasa, mandikan ayah kau. Jangan lap, terus balut dengan selimut tujuh lapis." Tok Karim memandang padu muka Samad.

"err..baik tok, err...berapa ni tok,"

"bagilah apa yang kau nak bagi,"

Segumpal duit kertas merah dan biru dihulurkan. Tok Karim menyambutnya dengan wajah bercahaya.

"tok..nak tanya boleh," Samad berhenti menunggu jawapan. Liur likat tersangkut di kerongkong ditelan perlahan.

"Apa,?"

"benda putih macam pinggan pecah tadi apa dia,"

"haha...kau nak tahu,?"

Samad mengangguk cepat. Mata dibeliak-beliakkan memancarkan kesungguhannnya.

"itu tengkorak orang mati dibunuh," ada bunga-bunga takbur di wajah Tok Karim.

Samad menelan liurnya lebih banyak lagi.

"Ilmu aku ni tinggi, untuk dapat ilmu serupa aku ini bukan sikit ujian dan cabarannya. Ujiannya pula bukan sembarang orang boleh menghadapinya."

"Tok ada ilmu kebal," Samad tidak dapat menyelindungkan keterujaannya.

"haha, kau kata saja ilmu apa, kebal, pengasih , pendinding, kalau kau ada kesungguhan dan keinginan aku boleh ajarkan, mahu?"

"err...tak berani saya tok," Samad takut-takut mendengar tawaran Tok Karim itu.

"tak apa, baiklah, aku mahu balik," Tok Karim meminta diri.

Samad menghantar Tok Karim ke muka pintu. Malam sudah tidak sepekat tadi. Bulan purnama bunting sudah mentelanjangkan dirinya. Samar-samar cahaya bulan menyuluh segenap Kampung Bukit.

"hati-hati tok," samad melaung.

Tok Karim mengangguk tidak menyahut. Sebentar kemudian, dia sudah hilang ditelan pohon-pohon hitam yang kadang kala kelihatan menyeramkan.

Samad tidak tunggu lama. Dia masuk ke rumah. Samad mahu lekas mandikan ayahnya dengan air jampi. Mahu lekas selimutkan ayahnya dengan selimut tujuh lapis. mahu segera lihatnya ayahnya sembuh. Samad tidak siapa lagi di dunia ini. Jika ayahnya tiada, tinggal dia sebatang kara. Ini hidup Samad. Berpusing sekitar rumah tua dan ayahnya yang telah sakit sekian lama. Dia tidak mengeluh jauh sekali merungut.

Dalam gelap malam yang dingin itu, Samad selesai memandikan ayahnya. Didukung, dicempung, dijirus semuanya, semuanya Samad lakukan. Ayahnya cuma mampu kaku dan beku. Hanya anak matanya terkebil-kebil, kadang kala sayu, kadang kala tajam renungannya.

selesai mandi.

Malam hari itu begitu lambat mahu bertemu siang. Samad bersila di tiang seri, matanya belum mahu tidur. Dia merenung ayahnya dengan sayu. Sayu renungan Samad, lebih sayu lagi mata ayahnya. Cuma tidak terzahir pada pandangan mata. Ayahnya berselimut tebal tidak bergerak-gerak. Hanya nafas yang berat kejap-kejap kedengaran. Berselang-seli dengan bunyi burung tukang dan pungguk (yang katanya merayu-rayu cinta si bulan : merepek). Bunyi-bunyi itu bergabung mencipta irama yang menyeramkan Samad. Tapi, sedar-sedar Samad tertidur juga. Dan  malam yang panjang itu akhirnya bertemu juga dengan pagi.

Samad tidur nyenyak semalam. Tidur yang betul nyenyak sehingga dia terlewat bangun. Dia kalut bersiap menguruskan hal ehwal ayahnya dan hal ehwal dirinya. Perlahan dan cermat dia membuka selimut tujuh lapis itu dari tubuh ayahnya.

"ayah...,"

"bangun ayah..." keras sedikit.

"ayahh...," Samad menjerit tidak keruan. Dia menangis. Akhirnya dia menangis juga. Hati jantan yang ketal itu akhirnya roboh diamuk kesedihan yang terkandung berita duka yang maha hebat itu.

Diam, kaku dan beku. Tiada lagi renungan sayu dan bercahaya. Yang ada hanya, mata yang sudah kelam kusam. Yang ada hanya wajah ayahnya yang sudah tenang.

Samad hilang pertimbangan. Gigi diketap kerana geram. Geram kerana dia rasa dirinya ditipu. Parang puting dicapai dan diasah tajam.

--------------------------------<>---------------------------------

"Miau....Miau." Ini bunyi kucing mengiau.  Bunyi dua ekor kucing mengiau.

Bunyi kucing mengiau ini membawa berita besar kepada penduduk Kampung Bukit. Berita Mak Jemah pitam melopong di tepi jalan. Berita itu membawa kepada berita lain. Berita mayat Tok Karim yang katanya berilmu kebal itu ditemu mati tertikam parang puting di dada.

Kucing mengiau lagi. Membawa berita ada kuburan bernisan batang sungkai layu di tangga rumah Samad.

Berita tentang Samad pula tiada. Sejak minggu yang hitam itu. Berita tentang Samad yang tiga suku itu tidak kedengaran lagi. Matikah, atau hidupkah Samad, kucing-kucingnya sendiri juga tidak tahu.


SEKIAN









Tiada ulasan:

Catat Ulasan