2 Feb 2012

Lembu

Ini tiga kisah yang terangkum dalam sebuah cerita. Bermula dari masyarakat bawahnya ke tengah masyarakat dan akhirnya menuju ke atas kepala masyarakat (baca rakyat). 

1
Zainal bin Din. Orang yang bangsat pada permulaan hidupnya. Sebatang kara. Tiada harta. Tiada sebutir tanah pun di dunia ini yang boleh dia letakkan punggungnya dan boleh pula dia menjerit dengan megah dan bangga bahawa tanah pelapik punggung itu miliknya.

Namun perkara ini tidak pernah mematikan semangatnya untuk hidup dan berusaha ke arah meneruskan kehidupan. Jadi sebagai lambang kesungguhan semangatnya itu, dia tidak pernah hidup meminta-minta.

Tetapi, takdir tuhan tiada siapa yang dapat menjangka. Ada juga manusia yang baik hati dan elok budi pekerti  telah sudi mengupah dia menoreh getah di sebuah kebun disamping duduk menjaga seekor lembu jantan dan seekor lembu betina dengan habuan yang diterimanya berupa wang tunai dalam matawang ringgit malaysia 700 untuk tiap-tiap bulan. Majikan yang baik di mata masyarakat itu juga bermurah hati memberi dia tinggal di pondok buruk di tengah kebun getah yang sunyi dan berpagar semak samun itu.

Maka pekerjaan menoreh dan mengembala lembu ini menjadi titik mula kepada kehidupan Zainal yang lebih cerah. Mulalah dia memulakan tugas itu dengan penuh amanah dan tiada pula terlintas di dalam kepala otaknya untuk mencuri tulang atau berbuat tuang.

Episod kehidupannya yang baharu ini telah memberinya banyak pelajaran-pelajaran yang berguna untuk hidup. Dia mula belajar menyimpan wang untuk dibuat guna pada masa akan datang. Oleh sebab dia telah berkerja bergelumang dengan pokok getah dan lembu, selok-belok pekerjaan berkaitan dengan getah dan lembu juga dipelajarinya dengan sepenuh hati. Zainal bin Din belajar mengenai teknik-teknik menoreh, juga belajar mengenai baka lembu yang baik. Dan, dalam kesibukan melunaskan pekerjaannya itu tiadalah dia lupa untuk membuat rencana hidupnya pada masa depan supaya lebih cerah dan gemilang.

Sepuluh tahun kehidupannya berlalu dengan pantas. Hasil berjimat-cermat dan merencana masa depan yang bijak. Dia kini sudah ada sebidang tanah. Juga mempunyai lembu yang berkembang biak dengan banyak dari baka yang baik.

Pekerjaannya dulu ditinggalkan dengan cara yang baik, dan majikannya pula tidaklah merasa berat hati untuk melepaskannya kerana majikannya sendiri sudah suka hati melihat pekerjanya sudah boleh berdiri hidup di atas kaki sendiri.

Lembunya beranak-pinak dengan baik dan mendapat pula permintaan yang banyak. Zainal sudah tidak betah menguruskan perusahaannya dengan tulang empat keratnya semata. Maka dia pun mengupah anak-anak muda yang sudi bekerja menjaga dan menguruskan hal ehwal perniagaan lembunya itu.

Maka, nama Zainal bin Din tersohor di daerahnya sebagai penternak lembu yang berjaya dan baik hati.

2

Sinaran cemerlang matahari pada pagi yang damai itu menusuk mata Samad. Dia segera terbangun kerana sinaran itu menganggu pejam matanya serta tidur lenanya. Lekas pula dia bangun dari atas tilam mencapai tuala. Terus ke tandas membersihkan tubuh dan otaknya.

"Mat, pergi ke pasar ye, tak larat dah mak nak makan sambal hari-hari. Beli lauk sikit." ujar Sofea Jean, ibu Samad tanpa memandang Samad.

Samad diam. Mulutnya sibuk mengunyah cempedak goreng yang panas berasap. 

"Abah mana mak?" Samad pula bertanya. Permintaan ibunya tadi tidak pula di beri jawab.

"tak balik surau lagi

Boleh tak pergi pasar ni, beli lauk sikit," Sofea Jean mahu juga jawapan dari anaknya Samad. 

"kebetulan, nak ke bandar hari ni, Mat beli kat pasar besar je la,"

"ada duit ?" tanya Sofea Jean

"ada," biji cempedak dikunyah-kunyah lumat seperti kacang goreng oleh samad.

Dahan kecil pada pokok besar berbunga kuning di hadapan pasar besar Jerantut itu melambai-lambai malas ditiup angin. Sekuntum bunga kuning itu gugur dan jatuh ke atas aspal yang panas. Lintang pukang ditiup angin kenderaan yang lalu lalang dan akhirnya punah dilenyek tayar sebuah lori membawa ayam di dalam bakul yang berwarna hijau.

"mau beli apa adik?" tanya seorang lelaki berbadan agak sedap yang juga sedang sedap mengasah pisau pemotong daging. Bunyi besi dan batu yang bergesel itu membuatkan Samad mengerutkan dahi.

Samad terjenguk-jenguk. Di depan gerai menjual daging itu. Lembu ada, kerbau pun ada.

"daging ada lagi bang?"

"ada, nak berapa kilo,"

"daging lembu ada, nak sekilo,"

"boleh,"

"berapa ringgit?"

"lapan belas ringgit,"

Samad diam. 

" bagi setengah kilo je lah bang,"

"okey,"


Samad menjinjit plastik merah yang berisi daging. 

"Nak makan sedap kena abih duit," kata samad pada dirinya sendiri. Dalam otaknya pula terbayang-bayang daging masak kicap yang lembut dan enak itu. 

Maka harga yang daging yang semahal itu pun segera hilang dari otak kecilnya itu.


3


Di dada akhbar berbunyi berita dari bandar besar di ibu kota. Ada projek berimpak besar sedang dicanang dan dirancang. Esok-esok rakyat malaysia boleh makan daging tanpa perlu belanja duit yang banyak lagi. Anak-anak kecil dari golongan pertengahan dan bawahan boleh mendapat sumber protein yang sama banyak dengan orang berduit banyak. Sebab, projek berimpak tinggi ini dapat menampung dan mencukupi permintaan, maka harga daging juga boleh diturunkan. Juga boleh membenihkan ladang penternakan satelit sebagai industri sokongan. Juga memutuskan kebergantungan negara kepada import lembu dari negara australia.

Demikianlah, apa yang Pak Samad faham dari ucapan-ucapan si pembaca pemberita dari kotak tibi itu.

"tapi mana ada lembu yang duduk dalam kondo," ludah Pak Samad.

Demikianlah fikir-fikir yang diluahkan Pak Samad sambil meludah ke tanah. Siaran berita itu ditukar. Vcd orang bergusti diputarkan. Maka bersoraklah Pak Samad dan rakannya sambil melupakan penat berburuh pada siang hari.

 Mahu tidak mahu, jika panjang umur, susah hari esok tetap perlu ditempuhi. 


TAMMAT

nota: cerita adalah rekaan semata-mata



1 ulasan: