9 Feb 2012

Tanah


Samad memang tiada tempat lain lagi yang mahu dituju sewaktu cuti semester. Selain daripada kampung halamannya sendiri. Sejujurnya, Samad pernah juga memasang niat untuk tidak pulang ke desa kerana asyik digula-gulakan dengan nikmat mencari rezeki di kota secara sambil-sambilan, dan dari khabar angin yang ditiupkan ke telinga Samad, pulangannya boleh dikatakan agak berbaloi. Berbaloilah jika dibandingkan dengan duduk di rumah makan tanggung dan berak cangkung.

Tetapi, walau betapa manis nikmat kota yang digula-gulakan itu, ternyata desa kelahiran Samad ini masih punya tarikan supermagnet yang sangat hebat. Walaupun Samad sendiri belum benar-benar pasti apakah sebenarnya kehebatan kampungnya itu. Maka, di dalam keadaan yang berbelah bagi itu, di antara nikmat kota dan damai desa, akhirnya Samad tetap pulang dengan tiada tertahan-tahan lagi. Dan selalunya begitulah untuk setiap kalinya.

Kampung Samad seperti kampung-kampung yang wujud di tempat lain juga. Rumahnya horizontal, melata di segenap tanah yang berbukit bukau itu, tidak seperti di kota tempat persinggahannya, bangunan didirikan secara vertikal. Manusia di kota kotor dipaksa duduk dalam kotak yang sendat dan padat.

Penghuninya hidup aman sejahtera tanpa sengketa. Kata bapa Samad telah berulang kali, kalau mereka bergaduh bertegang urat dan bersinsing lengan hari ini, hari esok mereka akan berbaik semula. Kerana mereka semua bersaudara. Maksud ayah Samad, satu persaudaraan yang benar- benar bersaudara. Lagi pula mereka semua orang islam. Sesungguhnya, semua orang islam itu bersaudara. Hal ini terus ditanam dalam diri oleh orang-orang tua kampung Samad kepada generasi terkemudian sejak awal-awal mereka bernafas lagi.

Kegiatan Samad di kampung hanya berkisar antara rumah tempat Samad dan ibu bapanya berteduh dari hujan ribut dan panas terik matahari, kedai runcit untuk membeli gula, garam dan surat khabar apabila disuruh emaknya (tidak lupa rokok yang menjadi juadah ringan ketika bersua rakan), ke paya berkubang bersama kerbau tanduk kewek dan memedak ikan jika berkelapangan, ke sungai berendam apabila terasa panas badan, ke kebun getah melihat anak getah yang baru belajar untuk berpucuk. Takut-takut akarnya disondol babi atau pucuknya dipulas kera nakal. Dan tempat terakhir sekali ke masjid pada hari jumaat kerana ini adalah tuntutan agama!

Secara jujur, tiada apa-apa di kampung Samad kecuali seperti yang disebutkan di atas. Dan seluruh penduduk kampung seluruhnya berbahagia dengan keadaan ini. Biarlah perut mereka disumbat nasi bersama sambal lada garam yang kurang garam dan berlebih ladanya serta gulai masam ikan yang kurang ikan dan lebih kuahnya setiap hari. Kebanyakan penduduk kampung berbahagia dengan dengan hidup yang mewah dengan kesederhanaan ini.

----------------<>---------------

Pada satu malam jumaat yang bening selepas solat fardhu isya’. Ramai yang mahu pulang awal selepas solat. Masing-masing berwajah ceria penuh bercahaya. Tetapi langkahan mereka semua termasuk Samad dipasung oleh suara lebai hadi yang membuat pengumuman di pembesar suara. Suasana sunyi dan sepi seketika. Masing-masing terpaku memberi tumpuan.

“ada pesan dari tok empat kita Anjang Deris, esok akan diadakan mesyuarat tergempar, semua ahli jawatan kuasa kemajuan kampung dan seluruh penduduk kampung dijemput hadir. Mesyuarat akan bermula pada pukul 8.30 malam bertempat dibalai raya dan akan dihadiri oleh yang berhormat waibi kita, sampaikan kepada yang tidak ada malam ni… sekian terima kasih…..sallallah’ala Muhammad…”

Selawat yang terhenti kembali bersambung. Memuji junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Para jemaah yang sudah di luar berbisik-bisik sesama mereka. Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja mesyuarat diadakan. Pasti ada yang tidak kena fikir mereka lagi.

Malam itu adalah malam yang resah dan gelisah di kampung kami. Para suami yang mahu pulang awal untuk melunaskan tanggungjawab malam jumaat tidaklah dapat metunaikan tanggungjawab mereka. Masing-masing terbaring menekup dahi berfikir tentang hari esok di kepala katil. Sang isteri bertambah-tambah resah dan gelisah. Sia-sia sahaja menidurkan anak-anak awal malam fikir sang isteri.

Berita mengenai mesyuarat tergempar merebak dengan cepat seperti wabak taun di musim banjir. Sehinggakan anak-anak muda tiang negara yang melepak di warung kopi menonton tayangan bola sepak larut malam di hujung kampung turut terganggu oleh berita ini. Pelbagai khabar angin mula bertiup. 

Khabar angin yang bertiup dari golongan peminat tegar politik tanah air mengatakan bahawa pilihan raya sudah dekat dan sebab itu waibi beriya-iya mahu turun melawat kampung. Sedangkan sebelum ini, mahu menjamah tangan bersalaman dengan waibi pun sudah tersangat sukar. 

Bertiup pula khabar dari golongan muda yang suka bersukan mengatakan bahawa waibi mahu memberi peruntukan membaiki padang yang sudah dihuni lalang dan pohon semalu berduri. Kata mereka, rumput dari jenis terbaik akan digunakan. Tambah mereka, rumput itu diimport dari negara Amerika Syarikat. Begitulah keadaannya, beribu-ribu khabar angin membadai kampung kami malam itu. Ada yang tidak peduli, dan ada pula yang meyakininya sesungguh hati mereka.

Tidak kurang juga yang merungut. Mereka yang menoreh merungut kerana tidak dapat menoreh. Mereka yang menjaga ikan patin sangkar pula merungut kerana terpaksa meninggalkan sangkar ikan lama-lama, takut-takut juga memerang, helang, resing dan segala macam haiwan pemangsa akan datang menuai hasil terlebih dahulu. Golongan yang menghadap papan dam dan minum kopi tapi masuk buku hutang mengeluh kerana tidak dapat naik haji banyak kali dan menambah hutang pada hari esok. 

Yang bangun tidur dikejutkan oleh keroncong perut pada tengahari terpaksa melupakan niat mereka melakar peta negara mimpi di bantal kekabu hapak mereka. Semuanya resah campur gelisah kerana terpaksa melupakan kebiasaan hidup mereka. Mereka semua harus pergi kerana perkara ini mengenai kampung kami yang tercinta. Tidak boleh tidak. Ya, tidak boleh tidak mereka harus pergi!

“esok kau bawa aku ke balai raya, aku nak dengar juga apa yang tergempar dengan mesyuarat itu,” Samad menerima perintah yang tidak boleh ditolak lagi dari bapa.

Perintah ayah dengan suara yang tegas itu tidak ada belok-belok lagi. Jika lurus katanya, maka luruslah yang Samad akan turuti. Jika ke kanan, ke kananlah Samad. Jika ke kiri, ke kirilah Samad. Begitulah seterusnya selagi tidak melanggar syariat agama.

“tidur dalam biliklah ayahnya,” ibu datang menjemput ayah.

“mata saya belum mahu tidur lagi, awak tidurlah dulu,”

Samad diam di hadapan peti televisyen dan ayah pula terus hanyut dalam lamunannya di atas kerusi malas. Meraba cari sebab musabab mengenai perjumpaan yang diadakan esok dalam kotak fikirnya. 



Bersambung>>>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan