6 Ogo 2012

Sangka

Samad ke bazar ramadhan buat kali pertamanya pada hari ke lima belas ramadhan. Buat hari yang telah lepas dia lebih suka berbuka di masjid, berbuka dan berkongsi rasa bersama abang-abang dari negara asing yang beragam warna kulit. Di sana dia belajar keadilan islam. Dia belajar bahawa islam itu bukan agama untuk manusia melayu berkulit kuning sepertinya sahaja. Islam itu agama untuk yang putih, coklat, hitam dan seluruhnya.

Bazar ramadhan seperti gambaran dalam fikiran sesiapa sahaja pasti melakarkan satu catan yang penuh sesak, berasap, sesak, padat, berasak-asak dan meriah. Sepanjang laluan dari hujung ke hujung bazar penuh dan melimpah dengan aneka makanan berwarna warni dan beraroma enak yang menarik nafsu yang sedang berpuasa. 

"kau tengok hujung sana," tangan Samad diacu kepada satu arah.

"mana?'' soal rakannya

"sana itu, kau nampak mamat yang bawa plastik bungkusan yang banyak itu, kuat betul makan" Samad memuncungkan mulutnya.

Rakannya menyorot pandangan ke arah yang ditunjukkan Samad.

"tidak baik kau berkata begitu, barangkali dia ada ahli keluarga yang ramai untuk diberi makan." rakannya berkata.

Samad mencebik. Manusia yang dikata itu hilang di celah sesak manusia yang berasak-asak. Mereka berjalan lagi. Tidak lama, mereka keluar dari padat bazar ramadhan itu ke arah parkir kenderaan di tepi jalan besar.

Tiba-tiba langkah Samad terpaku pada trotoar. Rakannya hairan lalu bertanya kenapa. Samad tidak menjawab, cuma mulutnya dimuncungkan pada hujung jalur laluan pejalan kaki itu. Rakannya berpaling. Dengan tersenyum rakannya berkata.

"itulah kau, suka berburuk sangka dengan orang lain," kawannya tertawa nipis.

Susuk tubuh yang dikata Samad kuat makan itu sedang  memberi bungkus-bungkus makanan pada gelandangan yang meminta sedekah ditepi jalur pejalan kaki. Tanpa dipaksa-paksa, Samad berasa malu dengan serela hatinya. Sesal dihatinya kerana berburuk sangka dengan tidak tentu hala.

Sayup-sayup kedengaran suara dari penjual bazar ramadhan.

"air buah blender, air buah blender, mihun sup pun ada.."

TAMMAT


1 ulasan: