19 Ogo 2012

musim

Ramai orang kata dan bercerita, terkadang perkara ini semacam satu bentuk persepsi semata yang tiada dasar dan asas, tetapi saya termakan juga dengan cerita-cerita begini kerana perkara ini berlaku pada diri sendiri dan juga terlihat oleh mata dilakukan masyarakat sekeliling.

Seorang lelaki yang saya layak memanggilnya pakcik pernah memberitahu saya.

"kita ini selalu sangat berbuat sesuatu perkara itu mengikut musim, hangat-hangat taik ayam, habis hangat busuk sahaja yang lebih..."

Pakcik ini mungkin ingin menyampaikan sesuatu kepada saya. Tetapi sewaktu dia menuturkan perihal ini kepada saya, saya belum mengambil cakna dan memahaminya lalu saya hanya mengangguk kepala untuk mengambil hati beliau sahaja. Jadi apa yang saya ingat hanyalah pepatah taik ayam dan busuknya itu sahaja.

Kemudian saya terfikir kembali perkara ini sewaktu azam lama saya mahu berhenti merokok muncul kembali. Barulah saya akui kebenaran falsafah taik ayam pakcik ini.

Azam saya yang satu ini memang bermusim, musimnya datang sewaktu wang dalam dompet dan poket saya  mula kemarau dan kering kontang. Ketika itu saya mula menyedut rokok murah yang kurang enak aromanya, mungkin kerana jelek dengan rasa rokok itu, saya menanam azam dalam hati mahu berhenti rokok. Tetapi azam tinggallah sebagai azam dan tidak pernah pun tertunai. Apabila poket saya mula berisi, saya kembali merokok dengan selesa.

Bulan Ramadhan berlalu seputar masa. Bulan yang penuh keberkatan ini akan kita tinggalkan. Saya harap apa yang kita buat di bulan ramadhan ini dapat juga kita teruskan di bulan yang lain.

Dalam ibadat tiada musim, manusia beribadat sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah, bukan mengabdikan  diri kepada bulan Ramadhan.

Selamat Hari Raya,





1 ulasan: