1 Sep 2012

Air dicencang tiadalah putus

Samad termenung. Sejak sebulan yang lepas memang begitulah keadaannya. Memandang langit yang kadang kala redup dan tenang, yang kadang kala terik dicumbu mentari yang garang. Matanya yang cengkung mudah melayu dalam hening petang itu. Dia menyalakan sebatang sigaret. Kepalanya yang berat disandarkan pada kuisyen bersampul merah jambu yang berkarat dengan daki kerana sudah lama terbiar tidak berbasuh. Asap sigaret yang melayang-layang dihembus angin dikhayalinya. Untuk sekejap masa, beban dalam benaknya yang ditanggung hilang bersama-sama kepul-kepul asap sigaret. 

Sigaretnye lunas dihisap. Tiada lagi kepul asap untuk dikhayali. Terus ada hanya langit dan mentari yang  dipandang Samad. Tanpa jemu.

Dalam dua bulan yang lepas. Banyak benar ujian yang bertimpa-timpa dalam kehidupannya. Ujian hidup itu sesuatu yang lumrah. Tetapi ujian yang mendatang kali ini benar-benar melemahkan jiwanya. Semangatnya rebah sama sekali. Sejak itu dia cuba mencari puncanya. Tapi dalam samar-samar imejan-imejan kisah yang telah terjadi terlalu sukar untuk dia menelah, apalagi menyimpul satu rumusan untuk dijadikan jawapan. Untuk menyenangkan hatinya sendiri pun sukar apalagi memuaskan hati orang lain. Apa yang pasti setan-setan sedang bertepuk tangan, bersorak gembira melihat silaturahim yang kian goyah ini.

Dalam ruang masa yang panjang dan menyeksakan ini, berkali-kali dia bercermin diri. Melihat salah dirinya sendiri. Benar, memang benar terlalu banyak dosanya. Siapalah dia, hanya manusia pendosa yang memang tidak lepas dari tersalah langkah, tersumbang tingkah dan tercabul kata. Tapi dosa yang dituduh kepadanya kali ini terlalu berat. Aneh, mereka yang menuduhnya pula bukan orang lain, kakaknya yang cerdik-cerdik itulah yang mengatakannya. Sikit marah pun tidak berbekas dalam hatinya. Hanya sesal diperlakukan sebegitu.

Dia sendiri tidak tahu kisah yang lebih lanjut. Apa yang diketahuinya, sehari sebelum tiba aidilfitri, dia mahu diparang adiknya sendiri. Dia dituduh mengguna-guna sihir pada adik sedarahnya. Mujur adiknya yang bongsu itu menahan. Ipar duainya juga menahan. Ibunya, yang sudah lemah dimakan usia itu. Sekadar memerhati. Wajah tua yang dihiasi kedut itu basah dengan air mata. Bapanya, menggeleng kepala melihat drama aneh itu. Suara tuanya tiada siapa lagi yang peduli. Kekesalan terukir nyata diwajah bapanya.

Samad berfikir. Apa salah dia sebenarnya. Dia berpaling ke dalam ruang rumah. Anaknya sedang cuba-cuba merangkak mencapai botol susu yang terlepas dari genggaman. Anak yang sekecil itu juga menjadi saksi pada kejadian yang sangat melukakan itu. Anak kecil yang baru kenal dunia tiba-tiba terpaksa melihat kejelekan dan kehodohan dunia kerana singkat akal dan fikiran manusia. Isterinya yang satu juga dimangsai tuduhan liar. Tiba-tiba dipersalahkan. Isterinya menangis.

Asar lambat lagi. Matanya yang cengkung meminta lena. Lena walau sekejap cuma. Sebelum lena dia cuba berharap apabila terbuka matanya dari lelap, kesulitan ini terhapus langsai. Kalaulah semudah itu. Dia tersenyum. Sebelum lena, dia teringat.

"sabarlah bang Mat, esok-esok sejuklah tu, air dicencang tak kan putus." kata adik bongsunya. Mereka berpelukan dengan ratap tangis yang disimpan di dalam hati.

Ya. Air itu, tiadalah putus harapnya.


TAMMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan