16 Okt 2012

KL 3

Awal hidup di kota besar ini, semuanya mengujakan. Sesiapa saja teruja dan sudah tentu saya juga termasuklah dalam golong orang yang teruja itu. Tiada perkara yang tidak menarik mata saya untuk memandang. Terlalu banyak perkara untuk diamati dan terokai. Sememangnya, wilayah kecil ini terlalu padat isinya untuk diselak satu demi satu.

Azan asar baru saja usai beralun. Ketika itu, saya dan teman-teman yang lain masih sesat di celah himpit manusia yang bersemut di jalan Tunku Abdul Rahman. Buat pertama-tama dalam hidup saya melihat umat manusia yang ramai tidak terhitung ini. Dari hujung ke hujung lorong itu, penuh peniaga dengan pelbagai jenis gerai dan berjual beraneka macam barangan. Mata saya sesak melihat semua itu. Isi poket terlalu sedikit jika dibandingkan dengan apa yang ingin dibeli. Liur keinginan itu saya telan saja. Lunas.

Kami terus berjalan ke hujung lorong itu. Terus tembus ke sebuah gedung besar. Kata kawan saya, bangunan itu diberi nama Pertama. Gedung besar itu kami masuki. Baru saja wajah kami disapa hembus lembut pendingin hawa, terus saja kami disambut oleh para peniaga yang amat ramah. Saya mengelak, begitu juga kawan saya. Kami berlalu ke tingkat atas. Tulus kata, kami sebenarnya tiada niat untuk membeli, sekadar berjalan untuk menjamu mata sahaja.

Dalam banyak perkara, yang hadir dalam dalam hidup saya sehari-hari. Ragam manusialah yang suka saya perhatikan. Kami duduk di atas sebuah bangku batu di hadapan bangunan Pertama. Sudah terlalu lama kami menapak langkah. Duduk-duduk buat menghilangkan lenguh dan dan sengal lutut. Orang lalu lalang silih berganti melewati kami. Sambil menyalakan sebatang sigaret, saya menonton teater hidup ini dipentaskan.

Nun, ada teruna mengusung dara. Punggung montok si dara itu percuma diraba dan dimesrai teruna. Lurah bukit si dara sengaja dijaja dan didedah. Buat penarik mata-mata liar seperti saya dan rakan saya. Percuma, benar-benar percuma.

Nun, ada selonggok anak muda berhimpun dan berbuat bising dengan gelak tawa mereka. Muda benar rasanya. Lebih muda dari saya. Pakaian mereka aneh, tetapi tidak pula saya berasa hairan kerana dahulu pernah juga bercampur gaul dengan golongan ini. Kerana dahulu, ketika saya seusia mereka saya juga tergolong dalam orang-orang yang berseluar ketat dan suka bergelak ketawa juga. Kini begitu juga, cuma terkadang ada tembok yang menjadi batas halimunan buat saya. Dan selalunya saya terbenteng.

Nun, ada jaka menapak megah menggoyang langkah. Nun ada juwita melenggang pinggul memukau pesona. Nun ada lelaki buta dengan isteri peneman setia menyanyikan lagu rancak bernada pilu. Nun ada lelaki tua  compang camping pakainya berbedak debu mukanya mencari sesuatu dalam tong sampah. Nun ada gadis. Nun ada anak kecil. Nun ada satu, ada ratus, ada ribu, ada juta-juta umat manusia. Bertebaran dengan sejuta watak dan aneka ragam. Semuanya bergelimang dalam kota Kuala Lumpur.

Dalam udara kota yang senak, suasana yang penuh merasak. Dalam bingit deru kenderaan. Terdengar seru halus menjentik cuping telinga saya. Azan maghrib sudah dilaungkan. Saya mengeluh. Asar sudah berakhir. Dan saya belum pun lagi menunaikannya.

Kuala Lumpur, kesibukanmu melekakan. Bikin manusia lupa pada tuhan.



bersambung>>>>





7 Okt 2012

KL 2

Saya tidak sedar berapa lama saya terlena dalam kereta abang ipar saya. Ketika saya tersedar. Matahari sudah ditelan gelap malam. Malam itu saya tidur di rumahnya. Saya tidak tidur dengan sebenar-benar maksud tidur itu. Sekejap-sekejap saya terjaga. Entah kenapa jadi begitu, barangkali sudah puas tidur dalam kereta atau memang begini kejadiannya apabila baru tiba di tempat baru. Sukar benar mata untuk dilelapkan. Akhirnya malam yang resah itu bertemu juga dengan siang. Pendek benar rasanya waktu malam itu. Sekejap benar rasanya.

"tahu dah tempatnya abang teh?" tanya saya pada abang ipar saya.

"dah tengok dah minggu lepas." jawabnya  sambil menyuap nasi putih bersama sambal hitam.

Pagi itu, awal benar kami melahap nasi. Palu kebuluran bergendang dalam perut kami. Usai makan, tepat jam lapan kami bergerak dari rumah abang ipar saya itu ke Kuala Lumpur. Kami bersesak dengan kenderaan lain di atas jalan raya yang luas .Berpuluh-puluh dan barangkali - beratus - lebih dari itu kereta berasak-asak membelah jalan raya pada pagi itu. motosikal mencelah-celah di tepi kenderaan yang berasak-asak.

Saya memandang ke luar jendela kereta. Mata saya terpegun pada bangunan-bangunan agam yang bediri menjulang langit. Gedung-gedung besar ini berisi apa di dalamnya fikir saya. Saya teruja melihat lebuh yang bertingkat-tingkat. Hebat benar bandar besar ini. Sejenak dalam hidup saya, saya rasakan seperti makhluk asing dari bawah tempurung yang baru melihat dunia yang belum terlihat oleh mata sebelum ini.

Kuala lumpur, aku datang ke dalam perutmu.

Bersambung>>

2 Okt 2012

KL 1

Kuala lumpur itu kotanya kota batu. Buminya bersalut aspal. Langitnya berselimut kabut. Malamnya tiada pernah tidur. Lampu-lampu neon merata-rata cambahnya. Masjid di sana diimarah, maksiatnya pula turut sama meriah. Motokar, motosikal dan lori tidak putus-putus menggiling jalan. Dengan aneka bunyi yang membikin telinga jadi bernanah.

"aku tak boleh hidup dalam kota yang semacam itu," tegas Elong Lias ketika mendengar khabar saya mahu menyambung belajar di bandar raya Kuala  Lumpur.

"hendak buat macam mana Elong, dah rezeki dapat sana, tak kan nak tolak pula," saya tegaskan juga pendirian saya.

Padahal dalam hati saya, gerun itu timbul juga apabila mendengar khabar yang diceritakan itu. Tujuh belas tahun saya hidup, bernafas dengan sihat menghirup udara kampung, tidak pernah pula kaki saya ini menjejakkan kaki ke bandar raya itu. Dahulu, sewaktu sekolah rendah pernah juga pihak sekolah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Tetapi saya tidak dapat turut serta. Ada kekangan kewangan ketika itu. Jadi apa yang saya tahu tentang kota raya itu hanya dari apa yang saya baca dan apa yang saya dengar dari mulut orang. Utamanya Elong Lias ini, gemar benar dia bercerita tentang Kuala Lumpur.

"bila mahu bertolak?" tanya Elong.

"petang ahad, pagi isnin dah kena daftar." jawab saya.

Sebenarnya soal kehidupan ini, dimana pun kita dicampakkan, kita perlu hidup juga. Itupun selagi malaikat maut belum datang mengetuk pintu kehidupan kita. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kehidupan ini perlu juga kita jalani. Cuma terpulang caranya bagaimana. Lurus jalan yang kita pilih. Luruslah cara hidup kita. Bengkang-bengkok jalan yang kita pilih, bengkang-bengkoklah cara hidupnya.

"mana-mana pun sama saja," akhirnya Elong Lias mengalah.

Saya cuma menyimpul senyuman.

"yang penting diri kita 'tu, nak jadi apa, pilihlah elok-elok," tegasnya pula.

Hari ini Kuala Lumpur. Akan datang, kalau panjang umur ke mana pula. Soal itu menikam-nikam otak saya.


>>bersambung.