2 Mac 2013

penganggur


Samad sudah puas runsing berkenaan soal hidupnya. Sudah lama dia memikirkan persoalan yang terbuku dalam benak kepalanya ini. Soal-soal yang maha penting untuk dia mengisi ruang kosong dan kelompongan dalam hidupnya. Kekosongan yang telah membalut ruang hidupnya.  Lalu menjadi gelap dan suram. Denai hidupnya nampak gelap dan menakutkan dirinya sendiri untuk menyusun langkah. Takut. Selama dua tahun  inilah dia. Menjadi penakut.

Dia duduk di kaki tangga sambil menongkat dagu. Angin petang itu menyapa lembut wajahnya tetapi sedikit tidak melunakkan runsing dan fikir yang semak menggelodak dalam benaknya. Kain pelikat kumalnya berkibar lembut dihembus angin menampakkan betis bulatnya yang berbulu serupa lalang kering kelayuan.

Pada mula, dia benar memandang remeh soal yang sedang dihalusinya ini. Ini soal gampang, ludahya. Dan kini, ludah yang dihambur itu terpalit pada wajahnya. Hanyir dan busuk. Kini dia terpaksa ditelan ludah itu bulat-bulat. Sesal menebal membuku dalam hatinya.

Dia bangun dari kaki tangga itu sejurus sayup-sayup laungan azan asar mengoyak menungannya. Dengan langkah yang malas dia mendaki anak tangga yang empat itu dengan dua langkah sahaja. Berjalan lambat-lambat masuk ke dalam rumah menuju ke bilik air. Mak Leha ibu Samad, memandang anak jantannya dengan kasih yang tidak dapat diibaratkan dengan sebarang apa jua. Pandangan kasih seorang ibu kepada  anaknya seorang penganggur.
;;;;;;;

Tiada ulasan:

Catat Ulasan