22 Okt 2010

pagi masih dara

samad tersedar awal dari lenanya pagi ini. dia melihat kipas berpusing ligat. berputar menentang arah jam. berputar dan terus berputar. samad asyik dengan kipas itu seketika. matanya hampir ikut sama berputar dan terasa mahu tidur kembali. dia pejam seketika. akhirnya, dia membuka mata luas-luas dan terus bangun. malas-malas samad berjalan menuju ke jendela. diselak langsir warna kelabu itu separuh terbuka. melihat suasana pagi yang jarang dinikmatinya itu.

pagi pada hari itu masih dara. sang matahari sedang memanjat kaki langit. warnanya merah jingga. cantik dan memukau pandangan mata. dan udara masih segar tidak terusik lagi dengan bahan pencemar. samad menyedut nafas dalam-dalam. perlahan-lahan dia membuka laci meja yang menghadapa jendela. mencari sesuatu. dicari-cari tapi tiada. samad mendengus perlahan. kotak rokoknya yang kosong itu direnyuk kasar.

dia kembali duduk di atas katil. memandang teman sebilik yang masih lena. mungkin sedang bermimpi indah, mungkin bermimpi ngeri ataupun kosong dan menikmati tidur tanpa sebarang mimpi-mimpi.

"aku perlu keluar pagi ini." bisik hatinya.

tuala lusuh dicapai dan dia terus ke bilik mandi. tapi bukan untuk mandi. dia cuma memandikan mukanya dan berkumur membersih sisa liur basi yang memutih di tepi bibir. selesai mempersiapkan diri, samad mencapai helmet dan kunci. rakannya tiba-tiba tersedar dari lena.

"kemana?"

"keluar jap."

"kemana?" soalan sama. rakannya meneguk liur basi.

"cari makan jap, lapar,"

"ohh," rakannya menganggukkan kepala. terus terbaring kembali. menarik selimut dan kembali menyambung mimpinya.

perlahan-lahan samad menunggang. motosikal cabuknya membelah jalanraya lenggang. kedai masih banyak tutup. dan samad perlu terus mencari sesuatu, dia perlu terus cari sampai bertemu.

"masa macam ni lah banyak pulak kedai tutup," hati samad mula menggerutu. tapi hatinya tidak boleh di garu.


bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan