Di kiri dan kanan jalan riuh-rendah dengan sorak-sorai orang ramai.
"lari pak mat, laju lagi" seorang penyokong menjerit dari celah semak.
"lari pak mat, pak mat boleh menang," sorak lagi seorang dari celah pangkal pokok getah.
Sorak-sorai itu bagaikan ubat kuat untuk Samad. Dirinya kembali bertenaga, kemahuannya mahu menang semakin bulat.
dia menoleh sekejap ke belakang. Ali semakin rapat mengejarnya. Sameon juga begitu. Tidak ketinggalan juga Ramli. Anak-anak muda ini semakin dekat. Wajah mereka tidak terbayang kepenatan. Samad resah dan gelisah. Dia cuba mengayuh langkah lebih deras. Langkah kakinya yang dipaksa-paksa itu semakin sumbang dan pelak.
Sorak dan sorai di tepian jalan semakin riuh. Ada yang melaung namanya, ada yang melaung nama Ali, ada yang melaung nama Sameon, ada yang melaung nama Ramli. Dan banyak lagi nama yang Samad sendiri kurang kenal. Anak-anak muda itu sudah hampir sebaris dengannya. Samad memandang ke hadapan. Persetan, bendera penamat belum muncul. Jauh lagi perlumbaan ini. Dia semakin lelah, letih dan rimpuh.
Ada hadirin penyokong yang menghulurkan air kepada mereka. Samad mencapai satu. Sewaktu meneguk air osmosis berbalik itu, dia tersedak. Langkah sumbang dan tiba-tiba lututnya berbunyi. Dia tersungkur. celaka, aku sudah tidak mampu lagi meneruskan perlumbaan ini, fikir Samad. Hakikat yang pahit untuk dia telan bersama air osmosis berbalik itu.
Sameon, Ali dan beberapa yang lain, yang turut sama bersaing dengannya tadi berhenti. Mengusung Samad ke tepi.
"pak Mat boleh berlari lagi," tanya Ali,
"Pak Mat tidak apa-apa?" tanya Sameon pula.
Samad menggeleng. Garis di dahi berkerut menahan sakit.
"kalian anak muda teruskan larian, kalian lebih pantas untuk menang. Orang tua seperti aku sudah tidak larat lagi. Aku sokong kalian dari sini." pendek jawapan Samad. Upayanya untuk terus berlumba, untuk bersaing sudah hilang.
Anak-anak muda itu mengangguk dan terus berlari. Samad memandang sahaja. Dari kejauhan itu dilihatnya Ali dijulang juara. Serentak dengan itu juga Ali dinobat sebagai pimpinan baru masyarakat di situ. Samad pula walau tewas terhormat, tetap jadi orang penting tanpa jawatan. Nasihat dan cadangannya didengar dan dibahas juga. Hampir sebulan juga Samad a.k.a Pak Mat bekas ketua kampung berjalan jengkang-jengkot.
Inilah kisah sebuah desa yang tidak wujud dimana-mana, hanya khayalan semata-mata. Jangan pula dicari kesahihan kisah ini kerana memang tidak akan berjumpa.
SEKIAN
bukan kata orang tua, orang muda pun banyak dah pancit. rokok byk sgt. termasuk aku. haha
BalasPadamkita sama..hehe
BalasPadam