6 Jan 2012

Transformasi



Di kampung Samad ada sebatang jalan, Samad tidak tahu namanya jadi untuk memudahkan penceritaan yang seterusnya, kita namakan saja jalan ini jalan klinik kerana pada satu hujung jalan yang sebatang ini terdapat sebuah klinik. Lebih 10 tahun yang sudah, jalan yang sebatang ini hanya beralas batu kerikil untuk separuh bahagian dan separuh bahagian lagi hanya bertanah merah. Yang beralas kerikil itu cabang yang menghala ke klinik kesihatan kampung Samad dan yang terbiar bertanah merah pula bercabang ke sekolah kebangsaan. Kiri dan kanan jalan ini ketika itu dipayungi pokok besar-besar dan agam. Semak samun dari paku-pakis hutan, senduduk dan lalang juga melatari wajah jalan ini. Wajah yang kadang-kadang menerbitkan keseraman dalam jiwa kanak-kanak Samad, lagi-lagi jika bertemu musang atau babi hutan yang melintas.

Jalan ini dahulunya merupakan makanan harian Samad sewaktu bersekolah rendah, hampir setiap hari persekolahan Samad menyepak kerikil dan lumpur di jalan ini. Samad jarang berseorangan melalui jalan ini, selalunya waktu pergi Samad ditemani ibu dan sewaktu pulang, Samad berlari dengan rakan-rakan. Tetapi, ada juga hari-hari yang Samad tidak melalui jalan ini. Contohnya jika hari hujan, bapa Samad tidak menoreh dan dia akan menghantar Samad ke sekolah menaiki motosikal. Sebenarnya ada dua jalan untuk ke sekolah kebangsaan itu, jalan yang bertar yang agak jauh yang mana jalan yang digunakan ayah Samad jika menghantar Samad dan jalan klinik yang sering Samad tempuhi ini. Namun kerana jarak jalan klinik kelihatan lebih dekat maka Samad pilih jalan klinik ini.

Sekitar awal penggal persekolahan ketika Samad di darjah lima. Hutan sekitar kawasan ini ditumbangkan jentera berat bergigi tajam. Tanah bukit diratakan. Balak ditebang dan diambil. Kata ayah Samad kerajaan mahu bina jalan baru yang mahu menghubungkan daerah perkampungan ini supaya lebih dekat dengan Bandar. Jalan yang lebih lurus, lebih lebar dan lebih selesa. Menggantikan jalan lama yang kecil dan banyak selekoh gaung dan liku itu. Pembinaan sebesar itu merupakan ketakjuban kepada jiwa kecil Samad ketika itu. Bukit, kebun getah dan hutan yang disondol jentera tolak menelanjangkan wajah daerah yang selama ini menghijau. Udara segar diganti dengan debu tanah merah yang menyesakkan. Samad sebagai kanak-kanak sekolah menjadi gembira, rakan Samad yang suka bermain tanah bermain tanahlah, yang takjub dengan kegagahan jengkaut, jentolak dan jentera penggelek hari-hari bermain dengan jentera berat itu. Samad tidak terkecuali. Duduk diatas kerusi pengemudi jentera, dan berangan mengendali jentera itu. Berbuih-buih mulut mengajuk bunyi mesin yang kuat itu.

Jalan besar ini memotong jalan klinik, juga memotong jalan lama yang berliku, memotong hutan dan segala-gala yang duduk di dalam laluannya. Akhirnya, sewaktu Samad di darjah enam, jalan ini siap. Benar kata-kata yang Samad dengar sebelum ini, perjalanan ke Bandar lebih singkat. Tiada lagi rasa pening dan mual  hinggakan mahu termuntah jika mahu ke bandar kerana jalan lama yang berselekoh tajam dan penuh liku itu.

Kini wajah jalan klinik itu juga turut bertukar corak. Tidak lama kemudian ia mula berturap aspal. Klinik kesihatan yang dahulunya keseorangan dihujung jalan itu, kini sudah berteman. Bermula dengan sebuah Pusat Sumber yang dibina seiring dengan pembinaan jalan itu. Kemudian di belakang pusat sumber itu didirikan dewan serba guna. Kemudian naik pula tadika kemas, bersebelahan bahagian kiri pusat sumber. Di sebelah kanan naik pula bengkel tiga pintu, satu untuk kerja kimpalan, satu untuk membaiki motosikal dan satu lagi untuk membaiki kereta. Di hadapan bangunan perusahaan bengkel itu pula naik sebuah pasar mini dan sebuah warung kopi.

Pusat sumber ini berdiri dan berfungsi semasa Samad di darjah enam. Samad suka benar berada disini, kononnya mahu mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan tetapi Samad sebenarnya mahu bermain basikal rakannya. Sebab Samad tidak mampu untuk mempunyai sebuah basikal pun di rumah.  Kanak-kanak, anak muda, orang dewasa sering sahaja memenuhkan ruang pusat sumber ini. Ada yang suka membaca majalah, ada yang suka membaca buku cerita dan ada juga yang bermain permainan papan seperti dam dan catur yang ada disediakan di sudut permainan.

Untuk beberapa tempoh, pusat sumber itu melayari zaman kegemilangannya, sehinggalah pada satu hari, dua buah bangunan dibina  bersebelahan dengan tadika kemas, sewaktu zaman internet jalur lebar mula diperkenalkan, baru benar lagi. Satu daripada bangunan itu adalah untuk menempatkan pusat komuniti jalur lebar di kampung kami.

Kemasukan perkhidmatan internet jalur lebar ini memang mengubah sesuatu di kampung kami. Tiada lagi yang tuna, semuanya sudah celik dengan teknologi maklumat, sebut sahaja Facebook, twitter dan segala macam lagi benda-benda yang berkaitan semuanya sudah tahu, budak tahun satu pun sudah tahu, nenek yang sudah tua pun tahu.

“macam mana nak buat gulai patin masak tempoyak ni mak lang?” tanya rakan Samad pada satu majlis kenduri.

“senang je, cari je resipi tu dekat internet,” mak lang menjawab, dan seraya memecahkan ketawa semua yang ada di situ.

Pada satu hari yang tidak disangka-sangka, Samad singgah sebentar ke pusat sumber hanya berniat mahu berjalan-jalan.

“dulu ramai budak juga yang datang ke mari,”  Samad buka bicara.

“aah, tapi sekarang tak ramai dah, budak-budak lagi suka main internet dekat pusat komuniti,” akak sidah penjaga pusat sumber itu menjawab sambil-sambil mengubah bunga plastic di dalam pasu. Mendatar berisi pilu sahaja suaranya.

Samad diam dan teruskan membelek buku yang ada pada tangan. Hampir pukul tiga Samad meminta diri untuk pulang. Dua buah buku Samad pinjam. Sebelum terus ke rumah Samad singgah sebentar di pusat komuniti meninjau-meninjau, melihat tanah air.

Ternyata anak-anak kecil di pusat komuniti ini juga membaca buku, mereka bersungguh menekuni buku muka. Samad senang, Samad harap akak sidah juga senang.

 TAMMAT

2 ulasan:

  1. malaysia dah patut buat WiFi percuma satu malaysia.

    BalasPadam
  2. gua setuju...senang sikit kalau nak online kat kampung gua..haha

    BalasPadam