Kami pergi berempat dengan tiga batang joran. Satu nisbah yang tidak kena. Tetapi itu bukan masalah bagi pemancing amatur seperti kami. Kami baru cuba mahu merasa nikmatnya dan sedapnya memancing ini. (ini harapan gua sejak hari jumaat)
Perjalanan yang separa jauh membawa kami ke suatu kawasan yang ditembok atap zink Berwarna hijau setinggi 3 meter. Di tepi jalan kiri dan kanan sarat dengan sampah sisa domestik. Lampin, tin susu, bantal peluk, dan segala bagai lagi.
Kami tidak percaya dan gua percaya anda juga tidak akan percaya di sebalik tembok zink hijau inilah terletaknya sebuah tasik kecil yang kami buru. Sudah bersua dengan apa yang dicari tetapi misi kami belum sempurna selagi umpan tidak dicampak ke tengah tasik. Segala umpan yang enak bagi ikan-ikan tasik ini kami sediakan. Sesuku bungkus roti gardinea luput tarikh dan cacing kuala lumpur yang kurus pasti enak buat ikan-ikan ini. Semuanya dilemparkan ke tengah tasik. Dan seterusnya, jadilah kami penunggu yang sabar lagi setia.
Matahari betul-betul menjadi sahabat kami pada hari itu. Empat jam menemani kami tanpa jemu. Gua kira 4 jam ini adalah 4 jam yang sangat bermakna. Bermakna bagi gua , bermakna juga bagi matahri.
Empat jam gua di panggang hitam, dan ternyata gua pulang dengan tangan kosong. Kalau gua mahu isi tangan gua dengan hasil tangkapan, tiada gunanya sebab gua fikir lampin pakai buang dan beg plastik bukan boleh dimasak kicap atau dimasak tiga rasa. Jadi gua buang ke tepi.
Tetapi sewaktu memandang sekumpulan gagak yang berlagak seperti bangau di tengah-tengah tasik itu. Akal singkat gua terfikir. Kalau gua mahu pulang tangan kosong, silakan. Tetapi apa salahnya gua ambil ibroh (perkataan orang arab) dari misi gua yang tak seberapa ini. Jadi gua nukilkan di bawah antara pengajaran atau ibrohnya (ala-ala jawab kertas pendidikan Islam) :
1. Sabar itu sebahagian dari iman.
2. Sabar itu indah.
3. Jika mahu tahu luasnya padang tanyalah belalang
4. Jagalah alam sekitar, alam jika diurus dengan ketamakan beginilah jadinya.
Tengah gua berfikir-fikir tentang pengajaran kelima. Tiba-tiba sekumpulan 7 orang kanak-kanak berlari dihujung tasik berdekatan sebuah tali air yang agak deras alirannya. Tanpa segan silu, mereka terus terjun menikmati air tasik yang hitam itu.
"takde otak ke budak-budak ni. engkau terjun dalam sisa najis korang sendiri tahu tak," jerit batin gua.
Gua geleng kepala. Kasihan anak-anak kecil ini. Jadi gua akhiri entri gua kali ini dengan pengajaran ke 5.
5. Alam sekitar ini bukan hanya untuk kita, ianya juga untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Jangan sampai cucu kita memaki hamun kita dengan apa yang kita tinggalkan untuk mereka.
SEKIAN
"segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaannya. dan sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji"
(surah al Hajj 22:64)
Salam..Memancing memang menguji kesabaran kerana hasilnya menjanjikan kepuasan.
BalasPadamaku kalau pegang joran ni time balik kg bapak aku kat perak je. sbb sana banyak bekas lombong. sekali dapat talapia. pehhh. panggang pun sodap. haha
BalasPadam