10 Mei 2011

surat khabar (akhir)

Udara petang itu benar-benar hangat. rumah beratap zink ini sudah serupa dengan ketuhar. memanggang batang tubuh pak abu sekeluarga. hangatnya mencucuk kulit. keringat yang mengalir tidak berhenti ternyata tidak dapat menyejukkan tubuh.

matahari telah jatuh senget sedikit ke barat. tetapi pancaran tetap terik.

ali menghayunkan sebatang lidi, pada hujung lidi itu diikatkan sehelai perca kain panjang. tompok dari tadi terhendap-hendap di belakang tin cat yang dijadikan pasu bunga. ali tersenyum, dia semakin galak menghayunkan lidi berperca kain itu, mengumpan tompok yang sudah tidak sabar-sabar itu.

tompok menerkam seperti seekor harimau menerkam rusa di rimba banat. tetapi tersasar. tangan ali lebih incah dari anak kucing yang masih lagi menyusu kantung susu ibunya itu.

"ali, mari baca surat khabar ni,"

"kejap abah,"

"mari, hantar tompok ke dapur, biar dia menyusu dengan mak dia."

diam. tiada sahutan lagi. sedar-sedar, ali muncul di muka pintu beranda. terus duduk menghadap ayahnya. mak minah juga keluar ke beranda rumah. tidak tahan dia menahan panas di dalam rumah. angin yang berpuput lembut di beranda ini sedikit menyamankan ketiak dan tubuhnya yang melekit kepanasan.

mereka sekeluarga berkumpul di ruang beranda yang kecil itu. pak abu bersandar pada sudut kanan pintu, memutar rokok pucuk yang segan-segan mahu berasap pada mulutnya. mak minah dan kakak ali duduk betul-betul di muka pintu, masing-masing berkipas dengan helaian surat khabar lama. ali duduk ditengah-tengah lantai beranda menekuni helaian surat khabar. abangnya yang darjah enam itu pula tiada di sini, sesudah mengisi perut dengan nasi terus dia kembali sekolah untuk kelas tambahan.

"L . I . W . A . T" perlahan-lahan ali mengeja.

"abah, liwat tu apa bah?" ali bertanya kepada ayahnya.

Pak abu diam. dia memandang mak minah. mak minah juga diam sepertinya. apa soalan yang ditanya ni. mahu cerita atau apa. belum masanya fikir pak abu.

" baca yang lain lah ali, " arah pak abu.

helaian-helaian kertas itu diselak-selak lagi. selepas dua tiga helai ali berhenti pada satu muka surat. dia mengamati satu gambar dan mula mengeja aksara-aksara yang tercetak pada muka surat itu.

"video seks apa bah, ni ada gambar orang macam tak pakai baju?" soalan lain terpacul pada mulut ali.

Pak abu pandang mak minah, mak minah pandang pak abu. soalan ali tidak dijawab.

"ali dengan kakak pergi angkat baju dekat ampaian, kering dah rasanya" arah mak minah.


ali dan kakaknya bingkas bangun dan berlari ke belakang rumah.

"apa surat khabar ni tulis cerita macam ni, esok aku tak beli dah surat khabar ni," nekad pak abu.

"tapi bang kalau abang tak beli surat khabar, saya nak balut nasi lemak pakai apa nanti."

pak abu hanya mampu terdiam.

TAMMAT


nota kaki :
Politik tanpa akhbar ibarat kerajaan tanpa tentera dan tentera tanpa senjata. keputusan sport toto, result bola dan waktu semayang boleh la percaya. lain-lain berita tu baca banyak kali der. akal yang ada, gunalah untuk menilai yang betul dan salah...


4 ulasan: