17 Jun 2012

Pesan Wan


1

Jiwa Samad jadi gamang, tak menentu, benar-benar gawat dan tenat. Kehadiran dua susuk tubuh ke ruang pejabatnya lewat beberapa minit tadi membawa satu benih bencana yang besar di atas benak kepalanya.

Benih itu tumbuh berakar lalu mencengkam kepala kecilnya. Sakit dan perit untuk ditanggung oleh kudratnya yang lemah itu. Lalu dia pun tersandar lemah pada kerusi empuk bersampul kulit tiruan berwarna hitam itu. Matanya merenung kosong kipas yang berputar pada siling kamar. Ingatan Samad turut sama berputar pada kedatangan dua susuk ke pejabat tadi. Seperti tayangan slaid, imejan-imejan itu muncul satu persatu menyemak di dalam ruang fikir.

“Encik bagi kepada kami saja projek ini, kami untung encik pun untung,”

“Projek kamu yang sebelum ini lewat disiapkan, macam mana kalau projek yang kali ini juga akan lewat juga. Bukan apa, prestasi syarikat kamu yang menggusarkan saya.”

“encik, kami janji kami akan buat projek ini bagi beres. Yang penting projek ini encik bagi pada syarikat kami, berikan tender ni pada kami.”

Samad diam sejenak mendengar kata-kata itu. Cuba mengunyah setiap patah kata yang didengarinya. Melihat Samad yang lama diam membisu, seorang dari mereka yang sejak tadi hanya diam mendengar perbualan Samad dan rakannya itu bersuara pula. Botak dan penuh parut jerawat batu pada wajahnya. Bengis.

“Jasa encik Samad itu tidak akan kami lupa, ada bahagiannya nanti. Encik Samad tolong kami, kami akan tolong encik Samad. Buat permulaan ambillah hadiah kami yang tidak seberapa  ini,”

Lunak dan lemak suara si botak berjerawat batu memujuk ketegasan Samad. Sebungkus sampul surat yang kembung sarat dengat isi disorong perlahan di atas meja.

“Apa semua ini! Kamu mahu beli saya?” bentak Samad. Matanya membelalak liar.

Si botak berjerawat batu dan rakannya sedikit tersentak. Terkejut dengan tindakan Samad yang ternyata diluar sangkaan mereka. Tetapi mereka masih mampu berlagak tenang. Jika kail panjang sejengkal tidak akan berani mereka menduga laut sedalam ini.

“Apa encik Samad mahu lebih lagi? Tengok dulu isinya, ini baru bahagian yang pertama encik Samad, baru bahagian yang pertama…selepas ini ada lagi, malah lebih lagi” si botak berjerawat batu masih mahu menjual umpan.

“Keluar,!” gempita suara Samad menunjuk jalan keluar. Matanya dijegil marah, gigi diketap-ketap geram. Terasa maruahnya sedang dijualbeli dengan helaian kertas.

Gegas dua susuk tubuh itu bangun. Terkejut, bangun menuju pintu membawa bersama sampul surat yang sarat. Sebelum keluar, Si botak berjerawat batu sempat meninggalkan pesan di kotak memo di depan pintu.

“Kalau encik Samad berubah fikiran, hubungi saya ya.”  Si botak berpesan sambil tersenyum sinis.

Samad tersandar pada kerusi. Urat kepala sempit berisi darah. Benih bencana yang sudah berakar itu sudah bertunjang dalam kepalanya. Jika dibiar tumbuh merimbun, kelak pohon bencana ini akan membuahkan masalah yang tidak terawat lagi. Harus tebang, perlu tebang, memang kena tebang. Dia tahu, malah dia sedar, dua susuk itu tidak akan berhenti. Mereka pasti datang lagi sehingga dia mengalah. Sehingga dia tunduk menurut kehendak dan kemahuan mereka.

Dalam asyik dan tekun berfikir, migrain datang garang menyerang. Kemudian dia terbius tewas. Terlelap di kerusi hitam nan empuk. Bermimpi enak. Dalam mimpi terjelma memori silam bertemu nenek.

Runut bunyi gitar solo David Gilmour dalam lagu comfortably numb dendangan kumpulan Pink Floyd pada telefon tangannya berbunyi. Dibiarkan tersia tidak diangkat.

2

Petang masih awal, tapi warna alam sudah hitam seperti sudah mahu malam. Rumah papan beratap zink itu sudah kelam isi rumahnya. Atap zink berkarat merah bergendang-gendang dipalu rintik hujan musim tengkujuh. Ada rintik hujan mencelah masuk dari celah atap yang retak berkarat menitik betul-betul di tempat Wan Jah berlunjur.

“ambil baldi cu,” seru Wan Jah kepada Samad.

Tiada jawapan. Tiba-tiba dalam kelam senja berhujan itu, muncul Samad berlari dari dapur membawa baldi. Ditelungkupkan baldi itu diatas kepalanya lagak memakai topi keledar dari jenama yang bagus. Siap dengan gaya menunggang motosikal besar dan bunyi enjin mengerah garang dari mulut kecilnya.

“Ish, kamu ni, jatuh karang, kalau pecah baldi tak apa cu, kalau pecah kepala siapa yang susah nanti?”

Wan Jah membebel. Tidak sempat Wan Jah menyambung leteran, Samad berlari kembali ke dapur. Menurut panggilan ibunya dari dapur. Wan Jah terus juga membebel walaupun dia tahu cucunya itu tidak mendengar dan mengambil cakna buah butir leterannya.

Sehelai daun sirih diambil, dibuang tangkai dan dikapur. Ditaruh gambir dan pinang. Digulung lalu dikacip-kacip supaya mudah dikunyah oleh gigi yang rongak seperti pagar usang yang sudah pokah di sana sini. Sejak akhir-akhir ini, Wan Jah lebih kerap mengunyah sireh dari mengunyah nasi.

Seketika kemudian Samad muncul semula. Kini tidak berlari lagi, berjalan penuh cermat sambil membawa pelita minyak tanah bersumbu kain batik. Api kuning berjelaga itu dilindung dengan tapak tangan kanan mengelak nyala apinya terpadam dihembus angin.

“kenapa pasang pelita?” tanya Wan Jah sambil asyik mengunyah sirih.

“api tak ada wan.” Pelita diletakkan hampir dengan neneknya.

“kenapa?”

“ada pokok tumbang kata abah, hempap tiang letrik”

Wan Jah mengangguk, terus asyik mengunyah sirih dengan rahang yang semakin yang longgar. Samad mengambil tempat duduk yang jauh dengan neneknya. Dia bersandar pada tiang seri rumah. hanya kedengaran bunyi rintik hujan yang semakin melebat. Sekali-sekala lidah petir berbalam-balam di balik jendela disusuli gelora guruh di langit.

Dia memandang neneknya. Dalam samar pelita dan kelam petang yang diselimuti hujan lebat itu, Wan Jah melambai tangan mengajak Samad hampir kepadanya. Samad faham lalu dia berlari ke dapur. Sebentar kemudian kembali bersama bekas air ludah yang dibuat daripada tin milo kosong.

Samad bersila betul-betul dihadapan Wan Jah. Memerhatikan sahaja gerak perbuatan neneknya. Neneknya mengambil sehelai rokok daun dan dilipat supaya tidak bergulung. Ditaruh sedikit tembakau, digulung kembali dan akhirnya dinyalakan api lalu berasap.

“masa zaman wan kecil-kecil dulu macam ini la keadaannya,” Wan Jah membuka bicara sambil menghembus asap sulung daripada rokok daun hasil gulungannya tadi. Bergulung dihembus angin lalu hilang ditelan kelam senja.

Samad diam. Ralit melihat bayangannya pada dinding yang mengalun tari mengikut tiupan angin. Wan Jah menyedut lagi asap rokok daun dalam-dalam. Kecut dan longgar kulit pipi menandakan tiada lagi gigi yang tinggal pada gusi tuanya.

Kedut dan kerut wajah adalah lakaran lukisan tentang perjalanan dan pengalaman  hidup yang panjang. Di penghujung usia yang kian lanjut ini dia senang untuk bercerita tanpa jemu. Mencurah segala pengalaman hidupnya kepada yang sudi mendengar. Umpama penglipur lara zaman dahulu kala. Cuma yang berbeza, hanya Samad seorang yang sudi mendengar, hanya cucu yang seorang ini sudi mendengar.

“pakai pelita, air berangkut dari sungai…”

Samad mengangguk-angguk serupa ayam memagut dedak. Cerita sama diulang lagi oleh Wan Jah. Wan Jah meludah air merah ke dalam bekas ludah yang dibuat dari tin milo itu. Sisa ludah merah pada bibir diseka dengan punggung tangan.

“Dahulu, lama dahulu, masa wan muda-muda, wan selalu memancing di sungai Pahang tu,”

Dia berhenti mengambil nafas.

“ada banyak lubuk dekat sana, lubuk Pelam, lubuk Terua, lubuk Tempayan Emas,”

Dia berhenti mengambil nafas lagi. Menyedut rokok daun. Menghembus dan kembali menyambung.

“banyak-banyak lubuk tu, wan suka ke lubuk tempayan emas, sebab banyak ikan, sebab dekat dengan rumah,”

Samad mengangguk mengiakan cerita itu. Dia sudah berbaring di atas lantai dengan berbantalkan lengan. Matanya tertancap pada mata tua neneknya. Menumpu segenap perhatian.

“kenapa lubuk tu nama dia lubuk tempayan emas wan?” tanya Samad ingin tahu.

Belum sempat Wan Jah meneruskan cerita. Ada jeritan menyeru nama Samad dari dapur.

“mat, cepat bangun mandi. Dah nak masuk waktu maghrib ni.” Seru ibunya.

Samad segera bangun mencapai tuala yang bergayut pada paku di dinding.

“nanti lepas maghrib wan sambung cerita lagi ye,”

Wan Jah mengangguk tanda setuju.

3

Lubuk itu namanya lubuk tempayan emas. Menurut kata-kata orang, walau kemarau seterik mana sekalipun, air dilubuk itu tidak pernah kering. Sejauh mana kebenarannya, tiadalah dapat dibuktikan kerana belum ada kemarau yang teruk dan terik melanda daerah ini.

Ramai orang yang datang ke lubuk ini kerana banyak ikan yang sudi menyerah diri menjadi lauk. Mungkin disebabkan lubuk ini mewah dengan rezeki maka dinamai orang akan lubuk tempayan emas. Barangkali bertepatanlah kemewahan rezeki yang ada di lubuk ini untuk dinilaikan dengan setempayan emas.

Tetapi ada juga yang mengatakan, lubuk ini bergelar tempayan emas kerana di dasar lubuk itu tersimpan seribu misteri. Misteri yang telah memakan banyak nyawa orang yang gagal menahan nafsu yang berahikan dunia.

Maka, ramai pula yang bertanya misteri apa yang sebegitu sadis sehingga menagih nyawa itu. Ramai pula yang bercerita berdasarkan cerita yang mereka dengar daripada orang lain yang juga mendengar cerita itu daripada orang yang lain juga. Lalu cerita itu pun bertali-tali dan lalu disimpulhias dengan penuh tambah rasa dan dakwa dakwi. Menjadikan cerita yang tersedia aneh menjadi bertambah aneh. Cerita yang tersedia misteri menjadi bertambah-tambah misteri. Maka, menjadi sukar untuk menilai kisah mana satu yang benar-benar sahih.

Maka disini, diceritakan kisah yang paling hampir dengan kebenaran kerana cerita ini diriwayatkan dari empunya diri yang pernah mengalami peristiwa aneh itu dengan mata dan jiwanya sendiri.

Katanya:

Senja waktu itu. Senja merah. Nun jauh di horizon barat matahari sedang jatuh. Awan tebal membias cahaya matahari menjadi layar merah jingga di kaki langit. Malam akan menjemput siang yang telah lelah.

Dari arah hulu sungai kelihatan dua kelibat manusia sedang berjalan menghilir sungai. Keduanya lelaki. Yang tinggi itu saudara yang lebih tua dan si lelaki yang lebih rendah adalah saudara yang muda. Masing-masing membawa sebatang pancing yang diperbuat daripada batang salak dan tali tangsi, dan si adik membawa cacing tanah di dalam tempurung kelapa.

Senja sudah terlalu lewat tetapi mereka masih bertangan kosong. Puas mereka memujuk ikan supaya memakan umpan tetapi rezeki belum menyebelahi mereka. 

Sesampai mereka ke lubuk itu, si abang terus mencampak umpan, diturut pula oleh adiknya. Belum sempat mereka duduk, hujung joran mula melentik-lentik ditarik ikan. Si abang menarik joran begitu juga si adik. Lumayan hasilnya. Begitulah untuk beberapa kali. Campak dan tarik. Setelah penuh bekas yang dibawa dengan ikan. Ada lampam, ada terbol, ada senggiring, barulah si abang tersedar.

“maghrib dah dekat ni, kita tidak sembahyang asar lagi, elok kita sembahyang dulu,” ujar si abang kepada adiknya.

Si adik mengangguk lemah tanda setuju. Joran dikesampingkan lalu mereka berdua turun ke gigi air untuk berwudhu’. Tiba-tiba hijab yang menutup mata si adik terbuka.

“bang, Nampak tak tempayan hanyut tu, warna emas bang,”

“mana, tak Nampak pun.”

“tu, “

Telunjuk si adik menala ke arah tempayan emas yang berkemilau hanyut dari hulu. Lambat-lambat ia bergerak.

“adik nak pergi ambil!”

“jangan,” tegah si abang

Tetapi sudah terlambat. Si adik sudah terjun ke dalam lubuk mengejar tempayan hanyut.

4

Belaian mimpi itu mengejutkan Samad dari lena. Matanya terbuka lemah. Suluh tajam mentari senja dari jendela yang separuh terbuka menyilaukan matanya. Dia terkulat-kulat sebentar. Cuba mencari di mana dirinya. Dia mengeluh separuh sebal. Menyesal kerana tertidur begitu lama di dalam kerusi itu.
Seketika dia bertongkat dagu. 


Bersambung>>