26 Ogo 2011

merepek

kata rakan saya, kita berjalan di dunia ini, sebenarnya berjalan menuju mati. Dan ternyata kata-kata yang padu ini, hanya sedikit terkesan di hati saya. saya terus melangkah dan berjalan tanpa ragu-ragu, tanpa hati-hati.

dan kini perjalanan menuju mati saya ini telah melangkah masuk ke bulan ramadhan yang entah ke berapa dalam hidup saya. untuk kali yang entah ke berapa ini, saya telah menempuh lebih dua puluh hari yang lapar. saya tahan tekak dan perut saya dari hidangan di siang hari, tetapi mata telinga mulut dan seluruh anggota saya masih serupa sebelum ramadhan datang. tak perlu cerita, tidak elok memburukkan diri sendiri.

dan saya kayuh dan kayuh kaki dalam perjalanan menuju mati ini. saya ternampak seorang buta menyanyi lagu di sebuah pasar ramadhan dekat-dekat bukit kerinchi. ada bekas kecil pada ribanya. untuk manusia pemurah meletakkan wang tanda simpati. saya raba poket kecil seluar saya, ada wang lebih. saya jenguk bekas kecil itu sekali lagi. saya jolok wang saya semakin dalam ke dalam seluar. orang lain ada lagi yang akan menghulur fikir saya.

apabila hari-hari yang saya langkahi ini semakin bertemu senja. saat magrib mahu menjelang. saya mula sibuk melangkah lagi, mula mencari juadah mahu berbuka. mencari hidangan yang mahu saya sumbat dalam perut saya yang berbunyi diketuk nafsu ini.

dan juga ternyata, semakin saya melangkah, ramadhan yang pemurah ini semakin hampir saya tinggalkan/juga mungkin ramadhan yang meninggalkan saya.

hari semakin segelap ruang kamar yang tidak berlohong. saya tunggu supaya hari kembali terang. saya merancang bila hari kembali terang dengan sinaran matahari yang segar saya mahu pulang ke kampung. gembira.

ada baki beberapa hari lagi ramadhan mahu pergi. dihambat syawal yang selalunya meriah. ada manusia yang gembira . gembira kerana syawal yang meriah akan mengisi perut dengan aneka juadah enak. gembira kerana kembali boleh berbuat dosa.

kendatipun begitu,ada yang sedih, sedih kerana bulan penuh rahmat ini akan pergi. mahu menanti ramadhan yang akan datang sudah tentu belum pasti bertemu, ada juga yang sedih tidak dapat bertemu bazar ramadhan lagi, tidak dapat iftar percuma di masjid lagi...berbagai rasa sedih dan gembira, serabut bercampur baur.

perjalanan menuju mati terus bergerak walaupun saya berhenti melangkah. dan ketika saya tersedar. saya cuba mengejarnya. ternyata sukar, jantung lelah dan perut senak dipenuhi juadah berbuka tadi.

perkara biasa menjelang habis ramadhan untuk bertemu syawal ialah manusia mula memohon maaf, perkara yang batin mahupun yang zahir. saya juga tidak mahu kelihatan aneh, jadi saya mahu memohon maaf.

maaf kerana saya menulis semerepek ini. mungkin mabuk minum air soya ketika berbuka. akhirul kalam, saya ulangi, maafkan saya dan selamat hari raya.(rasa terlalu awal untuk mengucapkannya)


13 Ogo 2011

sangka

"kau tengok budak tu, badan kurus mesti kuat makan dadah la tu," mak limah memuncungkan mulut ikan kaloinya itu. terjuih-juih mencebik.

"yang mana, anak seman tu ke?"

"yang tu la,"

"oh,baru balik kampung ni kan,"

"kena buang kerja la tu, baru pandai balik kampung,"

Khalid terbongkok-bongkok memilih sayur yang segar. Makcik-makcik yang berkumpul di depan pasar mini itu tidak dihiraukan. Dari tadi asyik menjeling ke arahnya. Pandang seperti tidak mahu pandang. Cakap pun macam hilang suara. sokseksoksek berbisik.

Khalid cuba juga maniskan muka. Rasa pahit habis ditelannya. Moga boleh menjadi penawar luka.

Ramadhan yang sedang dilaluinya membuatkannya teringat kepada orang yang lebih sukar hidup darinya.Ramadhan kali ini ramadhan yang sempit buat poket Khalid. Ramadhan yang membuatkannya benar-benar menginsafi dirinya.

Sebulan di kampung bermakna sudah sebulan Khalid tidak makan gaji. Tidak menjadi orang suruhan. Dia seronok hidup begini. Bebas dia terbang dalam dunianya. Tiada rutin yang bosan, tiada aturan yang tegar.

Dalam kehidupan bebas dan gembiranya yang sebulan ini Khalid telah cuba mencorak hidupnya yang baru. KIsah kelam, hitam dan suram Khalid tanam jauh-jauh dalam lubuk ingatan. Jangan diungkit-ungkit. Tidak mahu dibangki-bangkit. Terima saja dengan lapang walau dulu dia pernah mahu naik berang. Sekarang dia telah tenang.

Walaupun masih ada yang serong mata dan kepala terhadap dirinya, tapi dia masih punya teman yang benar kenal siapa dirinya.

"apa yang kau nak buat dengan dua biji bangsal ni, siap dengan tangki besar macam ni,"

"ada la, kau tunggu la nanti,"

"kau kalau nak aku tolong, kau kena cerita dekat aku, mesti besar projek kau ni"

"Kalau nak cerita jom cerita kat kedai, boleh sahur terus," Khalid senyum.

Kamal angguk kepala tanda setuju.



bersambung>>>>

lagu









kekasih 3 (epilog)

Membina rumah tangga itu memang satu pekerjaan yang mulia. Tanya saja, siapa saja hampir pasti mahu berumah tangga. Ya, mahu hidup berteman, berkongsi penat lelah menyusur perjalanan hidup di bumi. Tapi, rumah tangga bukan sekadar berkongsi kebahagian. Tabiat manusia, kita suka kepada perkara-perkara yang muluk saja. Sedangkan selepas terdirinya sebuah rumah dan tangga, kita sebenarnya membina ruang yang perlu diisi dengan tanggungjawab. Tidak kena cara, rumah dan tangga yang dibina itu boleh runtuh dihempap tanggungjawab yang tidak dijangka. Maka berkecailah harapan yang muluk-muluk itu. Hampa.


Hujan rintik renyai pada malam yang malas itu. Malam jumaat. Samad belum mahu pulang ke rumah. Dia lebih enak memanaskan kerusi di satu sudut kedai kopi. Berseorangan menghembus asap sigaret. Berteman segelas teh tarik buih lebih. Sekejap-sekejap matanya berkalih ke muka tivi. Bosan.

"weh," pinggang samad dicucuk lembut.

Samad terkejut dan berpaling. Rasa mahu marah padam semerta dan terlukis senyuman paling manis, mesra.

Karim, rakan lama. Dahulu sama-sama muda, dan kini telah sama-sama memanjat usia.

"sorang?"

"a'ah, sorang, ko?"

"aku dengan orang rumah, tu ha, mengidam nak makan mi goreng mamak pula,"

"oh,"

Lambat-lambat isteri Karim datang ke meja mereka.

"kahwin tak jemput aku,"

"lost contact la, kau yang tukar nombor telefon, ni limah bini aku"

Samad terseyum. Diam seketika.

"cikgu juga?"

"junior kita dulu, haha," Karim ketawa nipis. Ada kisah yang mencuit hatinya.

"kau, apa cerita, kahwin belum?"

Samad diam bisu kata-kata. Masa seketika menjadi beku. Lidah menjadi kelu. Teh tarik buih lebih dihirup tinggal separuh. Sebatang sigaret dinyalakan. Asap berkepul berputar-putar. Masa kembali turut sama berputar. Kisah lama samad kemam kembali.

Samad getap gigi tahan geram dalam hati. Mukanya merah padam. Marah yang ditahan-tahan dari dulu sudah melimpah-limpah keluar. Hari ini Samad sudah bertekad adalah hari penamat. Hari keramat.

"kau ni siapa hah, kenapa kau kacau bini aku,"

Jantan miang diam.

Samad terketar-ketar menahan marah. Jantan miang memandang samad yang sedang hilang punca itu. Bahasa pujuk rayu yang indah sudah hilang. Hormat juga sudah lebur digulai api nafsu.

"dia kekasih saya, saya yang pilih dia. saya dah bosan hidup dengan ab.......,"

Pang!!!!. itu makanan kepada kata-kata pedih seperti itu. Samad tidak sedar tangannya melayang selaju itu. Warga kedai makan itu diam membisu. Dua tiga pelanggan lelaki yang terkejut bangun berdiri. Menunggu jurus samad yang seterusnya. Jika berbahaya, mereka masuk. Sedia menahan tidak kira siapa salah siapa benar. Selera makan mereka jangan diganggu dengan gelanggan tempur seperti ini.

Samad pandang sekeliling. Marahnya bertukar malu. Merah wajahnya bertambah likat. Sampai di sini fikir samad. Noktah telah hampir untuk kita bersama. Penghujung hayat bukan destinasi kita.

Asbak sudah penuh dengan puntung rokok. Teh tarik buih lebih yang kering sudah diganti dengan Segelas Milo tabur.

"begitulah ceritanya, anak kami yang seorang itu aku yang jaga, ada giliran dia ambil juga bawa berjalan, hari ni giliran dia"

Samad hampir mahu menangis. Karim tumpang sedih. Limah juga beri wajah simpati. Anak kecil Karim sudah pasti belum mengerti bahawa hidup ini bukanlah dipenuhi dengan janji-janji muluk yang boleh menggulaikan jiwa semata.

Sabarlah, mungkin esok masih ada. Kata-kata karim terlekat di fikirannya. Samad juga berharap begitu.


SEKIAN



p/s : gua pun tak tahu macam mana boleh jadi cerita macam ni. celaka, cerita apa ni.....Apapun, berkongsi itu maknanya bersedia untuk memberi dan bersedia untuk menerima....heheh


9 Ogo 2011

kekasih 2

bercinta monyet memang selalunya manis. manis macam coklat cadbury. manisnya habis dilahap serupa monyet tak makan 10 hari. di kekah sampai tinggal sampulnya sahaja. kosong, lopong. akhirnya, cinta yang disangka manis itu kosong. jadi cinta yang kebulur.


samad terguling-guling di atas katil. sekejap meniarap. sekejap mengiring. sekejap terlentang. macam ada duri semalu menyucuk punggung di atas tilam penyek itu. tangan tak lekang, mata tak pandang, selain telefon genggam.

sekejap-sekejap dia tersenyum lebar menyeringai gigi menguning. sekejap-sekejap ketawa kecil tetahan-tahan macam enjin mesin padi semput. sekejap-sekejap itu, sekejap ini. seronok benar nampaknya.

"kau ni kenapa, sewel apa bulan-bulan puasa ni?" karim baling fail mqa tebal dua 4 inci kepada samad.

dalam leka dalam dunia gila di atas tilam penyek itu, samad sempat juga mengelak. fail mqa terkena ke dinding. isinya hampir melimpah keluar. samad tersengih. dia ketawa kecil dua tiga nafas. dua tiga titik liur berbau bubur lambuk waktu berbuka tersembur keluar.

" sibuk la, aku tengah senang hati ada je kau nak kacau daun," samad tak pandang kepada karim. matanya sibuk dengan telefon genggam. bila mesej nak masuk fikirnya. tak sabar benar gayanya.

karim geleng kepala. karim hidupkan komputer riba. lama baru monitor mahu menyala. tetikus jenama cliptec digoyang-goyang. badan karim ikut sama bergoyang. layan filem enemy at the gates dahulu baru ada jiwa mahu buat kerja. esok kalau ada budak-budak nakal dalam kelas aku bidik kepala mereka macam vasily zaytsev tembak kepala nazi fikir karim.

samad tak peduli dengan karim. dia terus berguling di atas tiilam penyek. sekejap-sekejap senyum, sekejap ketawa semput.

"lawa kau petang ni, takkan pergi pasar ramadhan melawa macam nak pergi jumpa perdana menteri,"

"aku nak buka puasa kat luar,"

"sorang?'

"apa barang sorang, dengan gadis la," samad senyum sinis.

"ohhh, baru dapat pahala lebih ye dop," karim tembak peluru 5 mm kaliber tepat ke jantung samad.

tapi sayang, samad pakai baju kebal. peluru seperti itu ibarat gigitan anak nyamuk baru belajar cara nak hisap darah. sikit pun tak terkesan. samad sudah mangli.

samad seronok berbuka puasa bersama gadis. gadis juga begitu. senyum tak sudah dari awal menunggu berbuka sampai penuh senak perut dengan ayam kentaki. cuit-cuit , gurau senda, gesel-gesel, memang itulah nikmat bercinta.

sebelum puasa, semasa puasa, sesudah puasa. sama saja untuk samad dan gadis yang sedang bercinta sejati sampai cucu cicit itu. semuanya manis-manis saja, tiada yang pahit. semanis kurma katanya. semanis tebu juga, habis jus, hampas samad luah jauh-jauh. samad senyum dalam hati, supaya gadis tak tahu. esok-esok, hampas yang diluah gadis itulah juga.


bersambung>>>>>

8 Ogo 2011

pilihan

dalam kehidupan ini, kita sering terpaksa memilih. katakan apa sahaja, kita sememangnya dicipta untuk memilih. kita terpaksa memilih apa yang mahu dimakan, memilih baju yang mahu dipakai, memilih teman hidup misalnya.

dan sepanjang hidup saya yang baru setahun jagung ini, saya juga sering terpaksa membuat pilihan. jujur saya katakan, saya sebenarnya tidak suka membuat pilihan. kerana memikirkan pilihan yang baik sangat memenatkan kepala batu saya. saya bukan orang yang suka berfikir. jadi, terkadangkala saya biarkan sahaja orang yang saya percayai yang membuat pilihan. bagi saya itu lebih mudah. biar mereka saja yang berfikir.

tetapi sejak saya semakin besar, saya terpaksa juga dengan rela mengatur pilihan saya sendiri. kerana saya mula sedar , setiap pilihan pasti ada akibat yang akan menyusul. dan buruk baik akibat itu, semuanya akan ditelan saya sendiri juga.


percayalah, membuat pilihan bukannya mudah. mungkin bagi orang lain ia mudah. tetapi tidak bagi saya. kerana, saya takut memilih pilihan yang bukan untuk saya. saya takut salah memilih. jadi saya pejamkan mata , saya gapaikan tangan. mana yang dulu lekat yang itu saya ambil. selalunya begitulah. dan selalunya tiada masalah. dan saya harap akan datang tetap tiada masalah. harap-harap.