25 Apr 2011

musim itu telah berlalu

saya teringat sewaktu saya bergelar kanak-kanak.

ahh, sesiapa saja pernah menjadi kanak-kanak.

terkadang saya terfikir, manusia yang menjadi kejam sesudah dewasa (adolf hitler barang kali), mereka juga pernah menjadi kanak-kanak. bagaimana kehidupan kanak-kanak mereka. bahagiakah atau terseksa, sehingga merubah mereka menjadi sedemikian rupa.

tetapi saya percaya, walau sekejam mana kehidupan sewaktu kita kecil, itulah antara episod hidup yang paling enak dikenang. titik.


23 Apr 2011

gebeng dan nasi lemak.

nasi lemak merupakan makanan yang boleh menyatukan bangsa. sebut saja namanya, cina, india mamak, benggali pasti kenal dan pasti pernah menyumbat perut mereka dengan nasi lemak. sekalipun tidak semua menggemarinya, tetapi saya yakin pasti ada. pasti ada.

tidak keterlaluan jika dinamakan nasi lemak ini sebagai makanan perpaduan. sama juga dengan roti canai, yong tau fu...dan seangkatan dengannya.

saya sebenarnya sudah lupa sejak bila saya mulai kenal dengan nasi lemak ini. dan kelupaan ini membuktikan dua perkara, pertama memungkinkan saya seorang yang pelupa dan kedua, mungkin sudah terlalu lama saya mengenali nasi lemak sehingga saya terlupa saat pandang pertama itu berlaku.

walau apa pun yang dikatakan tentang nasi lemak, saya tetap dengan pendapat saya. nasi lemak bukan masalahnya. masalah sepatutnya diletakkan pada yang melantak nasi lemak. kanak-kanak sekarang hanya tahu makan dan membesarkan tubuh badan (mungkin tidak semua). nasihat saya kepada adik-adik di sekolah, buang peluh anda. jangan disimpan lama-lama. berlarilah ke sana kemari. nikmati sepenuhnya zaman kanak-kanak anda dengan sepenuh hati.

walaupun begitu saya bukan membangkang keputusan melarang penjualan nasi lemak. saya sedar dan saya tahu kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab menjalankan sesuatu perkara kerana memikirkan kepentingan rakyat seperti saya.

kerajaan memang mahu melahirkan generasi muda yang sihat. dan saya harap generasi muda di Gebeng juga akan sihat seperti rakyat malaysia yang lain.


takut-takut bila ke gebeng 10 tahun akan datang, kita sudah tidak berjumpa lagi dengan nasi lemak. takut-takut wilayah Gebeng nanti akan jadi serupa wilayah chernobyl di Ukraine. harapan dan doa saya moga tidak jadi seperti itu.


nota tapak kaki: baru gua perasan dah lama gua tak makan nasi lemak. asyik-asyik nasi goreng thai..demmm!!!!

22 Apr 2011

kelas.


ruang empat segi ini
sepi kembali,
menunggu penghuni esok,
yang akan datang,
dan akan pergi.

21 Apr 2011

nasib

berkelip-kelip mata mamat. manahan silau matahari yang menerjang masuk dari celah-celah tingkap nako yang separuh terbuka.

seperti sudah terbiasa, setiap kali terjaga dia akan mencari sesuatu. tangan mamat meraba-meraba sekitar tilam. tiada. mamat meraba lagi. terperosok jauh di bawah bantalnya. terkebil-kebil mamat membaca waktu pada telefon genggam.

"11.30 pagi,"

"awal lagi,"

mamat meraba perut. ada bunyi kurang enak, lapar barangkali. dia memandang ke arah lantai. di situ ada seketul mi segera. sebiji mangkuk merah. sebiji pemanas air.

pandangannya semakin lama semakin layu. mamat terlena kembali.

----------------------------o-------------------------

berkelip-kelip mata mamat. ada suara besar mengetuk gegendang telinganya yang bebal itu. berkerut-kerut dahi mamat. suara apa ini mamat cuba meneka. dia melihat telefon bimbit.

"1.27 petang,"

"azan zohor rupanya,"

mamat menggeliat. kakinya diluruskan dan dikejang-kejangkan. pandangannya dialaihkan ke atas lantai. sebungkus mi segera masih di situ, sebiji mangkuk merah masih di situ, sebiji pemanas air masih di situ. tidak beralih sedikitpun. ke kanan tidak, ke kiri pun tidak.

lama-lama mamat memandang, matanya layu kembali. dia kembali berdengkur dan mengalirkan liur basi.

mi segera kekallah sebagai mi segera dan mamat kekallah lapar dalam tidurnya.