26 Feb 2010

hikayat Dahulukala.: Sang Badang dan Saudagar Dari Seberang

Pada suatu masa dahulu, ketika mana masih belum ada manusia yang dapat berjalan di angkasa dan masih belum ada berdiri bangunan pencakar langit seperti Burj Dubai maka telah diceritakan oleh para panglipur lara bahawa ada kedapatan seorang manusia biasa bernama Badang ibni Badiozaman yang pekerjaannya seharian hanyalah membanting tulang di sawah dan menahan bubu di sungai. Juga ada disebut oleh sang penglipur yang lain bahawa letak duduk rumah Badang ibni Badiozaman itu di pinggir sungai Golok.

Maka seperti yang dinyatakan di atas, itulah kehidupan Badang setiap hari. Jika habis kerja di bendang, teruslah beliau bergegas pergi melihat bubu di sungai. Sejak bertahun-tahun Badang membubu di sungai itu dan sememangnya hasil perolehannya sangat lumayan. Paling tidak, cukuplah untuk dibuat goreng-goreng, masak masam-masam manis atau paih ikan tempoyak untuk santapan keluarganya. Jika ada yang berlebihan akan berjualanlah Badang akan hasil tangkapannya itu di pasar-pasar dan di hotel-hotel tiga bintang yang mana permintaan ikan-ikan air tawar dari golongan ini sangat tinggi. Dan tawaran harga yang diberi cukup mengujakan dan memuaskan hati Badang. Separuh dari hasil pendapatan berjual ikan itu akan dilaburkan di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang akan digunakan untuk kesejahteraan anak-anaknya kelak. Separuh lagi Badang akan berbelanja apa yang patut untuk keperluan isi rumah. Penuh dan saratlah isi bakul motorsikal Badang dengan berbagai jenis aneka barang keperluan untuk di bawa pulang. Kadang-kadang terlintas juga di dalam hatinya untuk memboroskan duitnya ke dalam mesin lumba kuda di Arked Maraz milik Nyonya Mansur. Tetapi ditahan kata nafsunya itu kerana teringat kata ustazahnya ketika menuntut di darajah satu dahulu bahawa berjudi itu haram dan berdosa hukumnya di sisi agama Islam. Badang pegang pesanan ustazahnya itu ketat-ketat. Sememangnya Badang adalah suami, bapa dan pemimpin keluarga yang sangat taat dan patuh pada ajaran agama.

Tetapi sejak akhir-akhir ini,prestasi bubunya benar-benar mengecewakan. Manakan tidak, tiada langsung ikan yang sudi menjerat diri untuk masuk ke dalam bubu warisan keluarga Badang itu. Perkara ini benar-benar mengganggu batu fikiran badang yang benak itu. Maka sejak hari itu, berubahlah perilaku Badang. Makan nasi sudah tidak sehebat dahulu. Tidur juga tidak lagi lena. Seringkali Badang meracau dan mengigau di dalam lenanya. Kadang menendang-nendang kaki ke arah isterinya Norakma, yang sangat setia kepada Badang. Sehingga terjatuh bininya dari tempat peraduan. Kasihan benar isterinya yang setia itu. Kadang-kadang, ada juga Badang mencarut dan memaki sewaktu tidur dalam bahasa yang sukar untuk difahami oleh penutur melayu.

Melihat perubahan kakandanya yang benar-benar drastik itu , membuatkan hati Norakma semakin runsing dan tidak keruan. Dan sebagai wanita yang sememangnya sangat kuat perasaan cemburu sejak azali, Norakma terus menyangka perubahan suaminya yang aneh itu mungkin kerana suaminya si Badang sudah ingin berbini dua. Boleh jadi sejak Norakma meninggalkan amalan memakan jamu DR. Ramzi menyebabkan dia sudah tidak seanggun dulu dan sudah tidak lagi dapat menyukakan pandangan mata suaminya si Badang. Maka sangat sedihlah jiwa dan raga Norakama menanggung syak dan wasangkanya itu.


bersambung..........

P/S: nama dan watak tiada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup mahupun yang sudah mati.

23 Feb 2010

Cikgu Raman

Dahulu.

Dekat kampung aku ada seorang cikgu. Semua orang panggil dia cikgu. Malahan orang yang tidak pernah belajar dengan dia pun, turut panggil dia cikgu. Termasuklah aku. Aku tak pernah belajar dengan dia. Dia pun tak pernah mengajar aku. Tapi aku masih panggil dia cikgu. Cikgu Raman(Abdul Rahman). Orang yang belajar dengan cikgu Raman kata, dia ajar bahasa Inggeris. Bila dia speaking, memang terbaik.

Sebab apa aku tak pernah belajar dengan dia?. Sebab dia sudah menamatkan perkhidmatan sewaktu aku baru mengenal apa itu kalam dan apa itu kitab. Tapi jarang-jarang, dia datang juga ke sekolah. Barangkali dia rindu untuk mengajar. Tapi guru besar tak suka, cikgu-cikgu lain pun tak suka. Tapi kami murid-murid suka kalau cikgu Rahman datang. Dia suka sembang. Setiap soalan kami. Pasti ada jawapannya dari mulut dia. Yang pasti jawapan dia pasti berbeza dari jawapan orang-orang lain. Oleh itu, kami sentiasa tertawa dengan jawapan Cikgu Raman yang lain dari orang lain itu. Bila kami asyik bersembang dengan cikgu raman mesti cikgu lain marah. Cikgu-cikgu lain suruh Cikgu Raman balik rumah.

Dekat dalam kampung orang pun ramai tidak suka Cikgu Rahman. Orang kata Cikgu Raman suka kejar anak dara orang. Kenapa dia buat macam itu,?? Hanya tuhan yang tahu.
Tapi apa yang aku tahu dan orang kampung aku tahu, otak Cikgu Raman tiga suku. Dan kenapa jadi macam itu. Hanya tuhan yang tahu. Apa yang aku tahu, orang kata Cikgu Raman putus cinta, makan hati berulam jantung. Parah dan hilang pedoman. Lalu terus jadi macam itu.


Sekarang.


Aku sudah lama tidak dengar khabar. Sudah lama kelibat cikgu Raman aku tak nampak. Tapi aku pasti dia masih ada. Sakit barangkali. Barangkali usia yang lanjut membataskan pergerakannya untuk merayau kemana-mana dan juga, untuk mengejar anak-dara orang.

Konklusi

Hebat betul bila sudah jadi cikgu. Walaupun otak dah tiga suku orang masih memanggil cikgu sebagai cikgu. Walaupun badan dah dikandung tanah jasa cikgu akan terus dikenang. Hormati guru kita.

17 Feb 2010

satu dua tiga

Cuti Tahun Baru Cina ni, sama macam cuti-cuti yang lain. Samad menghabiskan banyak masa menemani anak-anak saudaranya menghadap muka televisyen buruk di rumah. Menonton berbagai rancangan televisyen diselangi iklan yang bersepah-sepah. Iklan-iklan yang bersepah-sepah di setiap saluran itu pula banyak berkempen pasal 1Malaysia. Sehinggakan anak-anak saudara Samad dah naik muak. Tak paham dan tak mahu paham.

Tiba-tiba anak saudara Samad yang ada dua batang gigi kapak besar bertanya,

"1Malaysia tu apa Pak Cu?'

Samad diam.

"kenapa takde 2Malaysia ke, 3Malaysia ke...lagi banyak kan lagi best," sambung anak saudaranya yang seorang lagi. Anak saudaranya ini ada satu sahaja gigi kapak. Satu lagi gigi kapaknya masih malu-malu hendak tumbuh.

Samad diam lagi. Masih enggan menjawab, tapi Samad tersenyum sedikit. Pandai melawak juga anak saudara aku, fikir Samad. Macam ahli politik.

Tiba-tiba, kedengaran suara ayah Samad merangkap aki/atuk anak-anak saudara Samad itu. Ayah Samad dahulu pencen kerajaan.

"takkan 2Malaysia pulak, kan ada satu je negara bernama malaysia kat bumi ni,"

Kata ayah Samad, penuh dengan logik akal. Anak-anak saudara Samad mengangguk-angguk kepala macam faham.

"tapi...," tiba-tiba anak saudara Samad yang bergigi kapak satu bersuara. Tapi tak sempat dihabiskan hingga ke titik noktah kerana atuknya cepat-cepat memotong.


"jadilah warganegara dan rakyat yang menurut perintah."kata ayah Samad.

Sejurus itu Samad ketawa kecil. Ayah Samad juga ketawa kecil. Dan anak-anak saudara Samad terus asyik menonton drama Si Capik sambil menggigit jari hantu sebagai tanda protes.



P/S: aku pun tak faham apa yang aku tulis. hahaha.

10 Feb 2010

babi part 2

Iklan syarikat minyak bersilih ganti dengan iklan sebuah badan perbankan. Pak Leman mudah jemu dengan perkara seperti ini. Pak Leman menggaru-garu kematu gajah pada tumit kakinya. Pak Leman tidak pernah ambil kisah dengan iklan-iklan yang beraneka jenis ini. Tiada gunanya fikir Pak Leman.

Di desa yang terpencil ini mereka tidak pernah kenal apa itu stesen minyak. Pinjaman bank pun Pak Leman tidak pernah buat. Tetapi sebelum terlupa untuk diceritakan. Pak Leman ada berurusan dengan satu badan perbankan, namanya Tabung Haji. Pak Leman telah lama melonggokkan wang di dalam bank itu, hajatnya untuk naik haji seperti orang islam yang lain. Tetapi belum pun sempat duit yang disimpannya beranak pinak dan menjadi banyak. Pak Leman terpaksa mengeluarkannya. Semuanya adalah untuk belanja anak-anaknya di menara gading. Itupun nasib baik ada anaknya yang mendapat biasiswa dari sumber yang Pak Leman sudah lupa namanya. Kalau tidak makin kering dan kontanglah kantung simpanannya. Tapi Pak Leman tidak berkeluh kesah akan soal itu. Pada fikiran Pak Leman harta yang bertimbun itu tiada gunanya jika anak-anaknya miskin dengan ilmu pengetahuan. Biarlah habis hartanya menyekolahkan anak-anaknya yang sembilan itu. Tiada ruginya fikir pak Leman lagi.

Tinggalkan kisah Pak Leman dengan institusi perbankan dan pendidikan anak-anaknya. Kita teruskan dengan kisah babi yang telah mengundang seribu kemusykilan. Sudah kelihatan tanda-tanda seperti penantian Pak Leman dan Sudin akan berakhir. Berita perdana sudah kembali menyiarkan berita dan tidak lagi merapu dengan iklan yang berjela-jela.

"kuat sikit tb tu sudin...abah tak dengar ni.." perintah Pak Leman kepada Sudin.

Sudin bangun malas-malas. Punat di televisyen itu ditekan beberapa kali sehingga angka 14. Malas-malas Sudin terbaring semula. Pak Leman berkisar-kisar di punggungnya. Memasang telinga setajam-tajamnya. Pak Leman tak mahu terlepas barang sepatah pun apa yang akan dikatakan sang Pemberita.

Sang pemberita (penyebar propaganda) mula bersuara.

"pada awal pagi semalam dua buah masjid telah dibaling dengan kepala babi hutan dan bungkusan wang kertas....",

Pammm!!!. Bunyi Pak Leman menghentam lantai rumah dengan penumbuk tuanya. Belum pun sempat sang pemberita menghabiskan bicara wartanya Pak Leman sudah berang. Berkerut-kerut wajah tua Pak Leman menahan marah. Sudin yang baru setahun jagung itu terkejut dengan tingkah bapaknya itu. Apa dan kenapa bapanya begitu marah Sudin tidak mengerti. Sudin mendiamkan diri. Tidak mahu bertanya kenapa, takut-takut amarah bapanya itu memakan dirinya. Maka diamlah Sudin membatu menatap wajah televisyen yang bercahaya itu.

"celaka betul," gumam Pak Leman.

Pak Leman memasang telinga kembali.

"pihak polis akan menyiasat perkara ini. Apa yang pasti semua perkara ini adalah berpunca dari pergolakan mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang kristian dan ditentang oleh orang Islam," sambung sang pemberita lagi.

Noktah. Berita lain pula menyusul. Namun, Pak Leman sudah tawar hati dengan hal ehwal dunia yang lain. Perasaan Pak Leman bercampur baur. Macam rojak buah. Marah ada, sedih ada dan bercampur baur dengan bermacam perisa dan ramuan lagi.

"kenapa tadi abahnya...tiba-tiba bising...awak marah Sudin ke???" soal isterinya sambil menatang teh kosong yang masih berasap-asap di dalam talam siap dengan hidangan biskut kering cap Ping Pong. Hidangan kegemaran Pak Leman sejak mula berumahtangga.

Pak Leman tidak menjawab persoalan itu. Malas dilayan bicara isterinya itu. Pak Leman sedang asyik memikirkan persoalan babi itu. Isterinya memandang wajah Pak Leman dalam-dalam. Dia masih belum mengerti. Sudin sedang aman dengan dunianya, dan sememangnya tidak pernah mengerti.

"babi betul," pak Leman mula bersuara.





bersambung

dunia

separuh dunia telah musnah,
separuh dunia belum musnah,

tapi
separuh yang belum musnah lebih baik tiada
dari terus musnah.

2 Feb 2010

babi

"ba di atas ba, ba di bawah bi, ba di depan bu....babibu"

Sudin sedang menghabiskan bacaan muqaddam dengan emaknya di hadapan televisyen yang tidak terpasang. Terangguk-angguk kepala Sudin membaca setiap kalimah yang ada sambil menunjuk setiap huruf menggunakan pensel kontot panjang 2 inci. Muqqaddam lama yang diwarisi turun temurun itu sudah lusuh benar. Antara nampak dan tidak sahaja tulisannya. Itu sahaja muqqadam yang masih elok di rumahnya. Ada beberapa lagi kepunyaan abang dan kakaknya. Tetapi sudah teruk benar. Bercerai berai isi dan kulitnya. Tidak tahu mana susun aturnya lagi.

"ta di atas ta,ta di bawah ti, ta di depan tu....tatitu"

Sudin masih membaca muqaddam. Tapi ada sesuatu perkara yang besar bagi budak seusianya sedang bermain di dalam kepala otak Sudin. Sekejap-sekejap Sudin menjeling ke arah jam dinding cap Ayam yang tergantung megah di tengah-tengah dinding ruang tamu rumahnya. Sekejap-sekejap juga, dia memandang ke arah muka televisyen yang gelap dan hitam. Sudin tidak pandai membaca jam, tapi dia tahu apabila jarum pendek berada pada nombor tujuh dan jarum panjang berada pada nombor enam, itu bermakna ada sesuatu yang penting. Benar-benar penting bagi Sudin. Benar-benar penting juga bagi budak-budak seusianya.

Sudah pukul 7.25. Masih ada 5 minit sebelum rancangan kartun Atasinchi bermula. Sudin sudah tidak keruan. Punggungnya sudah gatal-gatal. Penantian ini benar-benar satu penyeksaan. Cepat-cepat dia membaca dan mengeja huruf-huruf jawi itu. Bacaannya sudah tidak sepenuh hati. Emaknya dapat melihat kegelisahan yang melanda anak kecilnya itu.

"Assalamualaikum...." kedengaran ucap salam ayah Sudin baru pulang dari surau.

Emak sudin memandang ke arah sudin seraya berkata.

" doh la ngaji...nak taknak dah gayanya....pergi buka pintu abah tu,"

Tersengih-sengih Sudin menampakkan giginya yang rongak, berlobang-lobang disana sini. Sudin menutup muqaddamnya cepat-cepat. Mencium dan menjunjungnya dua tiga kali dan menyimpannya di atas peti televisyen. Sejurus itu, Sudin terus berlari membuka pintu untuk ayahnya yang telah lama menunggu.

"Meknye lambat sangat buka pintu?"
"dah mengaji belum?"
bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Pak Leman tatkala melangkah masuk ke dalam rumah.

"sebab ngaji la sudin lambat buka pintu ni abah, itulah Sudin taknak ngaji abah suruh ngaji..." jawab Sudin selamba, terus berlari ke arah peti televisyen. Berbunyi-bunyi lantai papan rumah buruk Pak Leman dihentak kaki Sudin yang kecil itu.

Pak Leman sekadar tersenyum mendengar jawapan Sudin. Hendak dimarahi Sudin masih kecil. Pak Leman biarkan saja keletah sudin itu. Anak kecilnya ini benar kesayangan dirinya.

Sudin cepat menekan suis kuasa televisyen. Sambil berharap dia belum ketinggalan apa-apa. Sudin bernasib baik, rancangan itu baru bermula. Lagu tema kartun itu berirama memenuhi ruang tamu rumah Pak Leman yang kecil itu. Sudin duduk menonton rancangan kartun kegemarannya dengan penuh tekun. Dia duduk bersila sambil memeluk bantal busuknya. Ayahnya pula bersandar pada dinding berhampiran muka pintu sambil menggulung rokok pucuk. Juga memerhatikan telatah anak bongsunya itu. Muka pintu dibiarkan terbuka. Menjemput angin malam berpuput masuk meyegarkan udara seisi rumah. Sesekali Pak Leman mengerling ke arah isterinya yang sedang melipat kain baju di tiang seri. Sudah tua isterinya, bisik hati Pak Leman. Aku juga sudah tua, bisik hatinya lagi.

"makan apa kita malam ni, maknya?" Pak Leman bersuara, bertanyakan lauk makan malam.

"Makan lauk siang tadi jela...nak beli lauk..abahnya tak bagi duit," isterinya memulangkan kembali jawapan kepada Pak Leman.

Pak Leman diam. Tidak terus berkata-kata. Ada benar kata-kata isterinya itu. Dia memusing-musing rokok pucuk dimulutnya. Disedut dalam-dalam. Kempis pipi tua Pak Leman menyedut rokok pucuk berinti tembakau jawa itu. Lalu dihembus perlahan-lahan. Asap itu berpusing-pusing seketika dan hilang apabila dihembus angin malam. Fikiran Pak Leman turut melayang-layang bersama hembusan angin itu. Sudah berminggu Pak Leman tidak pergi menoreh getah. Rakan-rakannya juga begitu. Hampir seluruh penduduk desa yang permai ini pekerjaannya menyembah pohon getah. Pohon inilah penyambung hidup. Tetapi sisa-sisa musim tengkujuh yang lalu masih ada. Sekejap-sekejap hujan. Jika tidak pagi, maka petanglah yang akan hujan. Jika tidak petang maka pagilah pula yang hujan. Apabila petang hujan maka membawa ke malam dan melarat hingga ke pagi. Maka apalah yang mampu dibuat oleh Pak Leman yang tiada punya kemahiran yang lain selain menoreh ini. Hanya berselimut menunggu cuaca yang baik kembali bertandang sajalah jawabnya. Dan jika Pak Leman dan rakan-rakannya tidak menoreh maka akan kurang berasaplah dapur-dapur rumah mereka. Makan terpaksa dicatu. Siang makan nasi, maka malam menghadap ubi kayu. Begitulah seterusnya, sehingga cuaca cerah kembali. Bagi yang tahu serba sedikit selok belok ilmu menangkap ikan, ada yang mencuba nasib menjaring, menghanyut, menjala, menuba dan seribu macam cara menjerat ikan digunakan di sungai pahang yang mengalir lesu melalui daerah desa ini. Serba sedikit hasil yang dapat boleh dibuat lauk, maklumlah musim hujan seperti ini harga ikan laut naik mendadak. Kalau bernasib baik mendapat ikan Patin atau jelawat boleh dijual ke kedai-kedai makan di bandar Jerantut. Harganya boleh melambung tinggi jika kena caranya. Bolehlah bertambah pendapatan penduduk desa ini. Tapi Pak Leman tidak punya ilmu jaring menjaring dan ilmu pukat memukat. Ilmu menoreh batang getahlah, semata-mata ilmu yang Pak Leman punyai.

Pak Leman menjenguk keluar rumah. Melihat langit. Mencari alamat petanda di celah-celah awan malam. Bulan tergantung di angkasa. Memberi cahaya kelam yang bukan dia yang empunya. Malam itu bulan terang. Melihat bulan yang terang maka terang dan berbunga jugalah hati dah harapan Pak Leman.

"cerah langit malam ni maknya...esok pagi boleh keh menoreh dah kot," ujar Pak Leman yakin.

"baguslah kalau macam tu,..beras kita tu pun tinggal berapa kali tanak lagi nak habis, kalau abahnya tak menoreh lagi, alamat tak makan la kita nanti," isterinya meluahkan segala kerisuan yang terbuku dihati.

Masa terus berlalu. Masa tidak akan berhenti untuk mendengar keluh dan kesah mereka anak beranak itu.
Jarum-jarum jam menunjukkan waktu terus merangkak pergi. Jam sudah pukul 8.00 malam.

"sudin..alih tb satu...abah nak tengok berita," perintah Pak Leman pada anaknya.

Sudin yang dari tadi asyik dalam dunianya, tersentak. Malas-malas Sudin bangun dari bantalnya, menekan punat-punat di televisyen mencari siaran TV1. Setelah beberapa kali menekan akhirnya bertemu juga. Berita perdana baru hendak bermula. Sang pembaca berita mengucapkan pelbagai ucap salam kepada seluruh penonton di negara bertuah Malaysia yang sememangnya berbilang bangsa, agama dan budaya ini. Yang paling aneh didengar pada corong telinga Pak Leman ialah;

"salam 1Malaysia" kedengaran pembaca berita itu memberi ucap selamat.

Bagaimana hendak dipulangkan kembali ucap selamat itu, terfikir Pak Leman di dalam kepala batunya. Pak Leman malas peduli itu semua. Apa yang menjadi kehendak utama Pak Leman adalah untuk menghiburkan hati dengan melihat hal ehwal masyarakat negara ini dan perjalanan siasah politik yang sememangnya menjadi mainan media arus perdana sejak zaman berzaman. Berita dan warta yang kadang-kadang menjelikkan hatinya, tetapi dek kerana tiada sumber lain maka televisyen itu terpaksa dihadapnya jua.

Seperti biasa sang pembaca berita memulakan bicara dengan memberikan tajuk-tajuk berita utama. Ada tiga tajuk yang diceritakan, pertama, mengenai ekonomi negara yang semakin meningkat naik, kedua, mengenai janji kerajaan membaikpulih dan menampal jalan-jalan yang berlubang dan ketiga, mengenai perkara yang mengejutkan. Perkara itu seperti yang diberitakan oleh sang pembaca berita adalah mengenai babi. Seketul kepala babi. Bagi Pak Leman berita ketiga ini memang berita besar. Pak Leman tersangat ingin tahu akan cerita babi itu. Pak Leman cukup benci kepada binatang-binatang babi ini. Pak Leman sudah lebih tahu babi itu binatang yang najis dan haram. Tetapi bukan itu saja yang menaikkan benci pada babi, babi juga musuh utama kepada ayam itik peliharaannya. Pantang Pak Leman terleka, pasti ada yang disambar binatang haram itu. Bencinya pada binatang haram itu tidak tergambar oleh kata-kata. Jika terdengar anak-anaknya mencarut dengan perkataan 'babi', pasti ditenyeh dengan lada mulut anaknya. Jangan dicarut orang dengan perkataan babi fikirnya.

Oleh itu Pak Leman benar-benar ingin tahu kenapa musuhnya yang nombor satu ini boleh berada di dalam senarai berita utama. Apa onar yang telah dibuat sang babi ini. Pak Leman benar -benar ternanti-nanti berita selanjutnya. Tapi malangnya iklan syarikat minyak pula yang keluar sebelum berita yang selanjutnya disampaikan. Maka bertambah ternanti-nantilah Pak Leman. Pak Leman memandang wajah isterinya yang turut tekun melihat peti televisyen.

"pegi buat air maknya....haus pulak rasanya tekak keh" suruh Pak Leman pada isterinya.

Isterinya mengiya pun tidak menidak pun tidak. Terus sahaja berjalan kedapur. Sudin masih terbaring di depan peti televisyen menantikan berita mengenai babi itu. Begitu juga Pak Leman.

Penantian benar-benar satu penyeksaan , bisik hati kecil Sudin.



bersambung



notakaki:

keh:saya

suara

suara
suara-suara itu menjerit
persetan semua itu

suara
suara-suara itu memekik
persetan semua itu

yang dijerit
mendengar
yang dipekik
hanya menjawab tenang
"mereka cuma anak kecil
yang perlukan mainan ,pujukan,"

sebentar lagi
diamlah suara-suara itu

untuk ibnu husein di uitmshah alam