24 Apr 2010

Zulkadri mahu ke Kuala Lumpur part 2

"kenapa melangut depan pintu tu,?" tegur Pak Ismun, ayah Zulkadri.

Ayahnya sedang menolak basikal ke depan rumah. Zulkadri memandang wajah ayahnya. Zulkadri dapat mengagak ke mana orang tuanya itu hendak pergi. Apa lagi rutin harian seorang tua di kampungnya jika tidak pergi mengeteh di kedai kopi selepas asar. Memang tak salah lagi.

"nak ke mana tu pak?" Zulkadri cuba menduga telahannya tadi.

"kedai kopi," tenang saja jawapan dari Pak Ismun. Zulkadri hanya tersenyum mendengar jawapan itu.

"pegi masuk rumah, mak engko dari tadi membebel sebab ko tak balik rumah makan nasi tengah hari tadi." arah Pak Ismun dan terus mengayuh basikalnya meninggalkan Zulkadri yang masih menghadap pintu rumah yang masih belum terbuka.

Zulkadri tak jadi masuk ikut pintu depan. Dia terus melangkah ke pintu dapur. Dia pasti ibunya ada disana. Sampai di pintu, Zulkadri menolak daun pintu perlahan-lahan. Lagaknya seperti perompak nak memecah masuk rumah. Tetapi belum sempat sampai separuh pintu terbuka, dia sudah ditegur oleh suara dari dalam rumah.

"kemana kamu hari ni, sehari tak balik rumah? dah makan belum? ada nasi bawah tudung saji tu. Nanti kalau tak makan sakit perut, menyusahkan ora......" dan panjang lagi ucapan oleh ibunya.

Zulkadri tertunduk-tunduk malu terus ke meja makan. Tidak menjawab satu pun petanyaan ibunya. Dia tahu ibunya tidak perlu jawapan daripadanya. Dia terus membiarkan ibunya berkata-kata sepuas hatinya. Kalau menjawab sekalipun, tiada gunanya.

Zulkadri makan sedikit sahaja. Fikiran masih belum tenang selagi rancangannya tidak diceritakan kepada ibu bapanya. Zulkadri bangun ke sinki, membasuh pinggan. Dia memandang ke arah ibunya yang sedang mengacau adunan tepung pulut untuk dibuat cendol.

"mak, nak cakap sikit boleh," perlahan sahaja suara Zulkadri. Tangan nya menopang pada tepi sinki. Matanya tepat pada ibunya yang asyik menggauli tepung itu.

"apa dia?" tanya mak cik Rosmah kembali. Tangannya masih ligat dengan pekerjaannya.

"Zul nak pergi kuala lumpur esok, nak cari kerja," juga masih perlahan. Sebutir-butir perkataan itu keluar dari mulut Zulkadri. Barangkali sudah lama Zulkadri menghafal dialog itu. Zulkadri menunggu reaksi ibunya.

"apa ko cakap tadi, nak pergi kuala lumpur? cari kerja? apa kampung kita ni dah tak ada kerja ke?" bertalu-talu mak cik Rosmah melepaskan soalan dari mulutnya. Tangannya sudah tidak lagi menggauli tepung.

Zulkadri meletakkan pinggan di atas para. Ibunya masih terus membebel. Niat anak terunanya itu benar-benar ditentangnya. Entah apa yang bermain di dalam fikiran Mak Cik Rosmah. Barangkali takut anak terunanya menjadi kuli orang bila ke kulala lumpur.

Tekad Zulkadri benar bulat. Khutbah yang berjela dari ibunya itu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya. Melihat ibunya yang masih belum mahu berhenti, Zulkadri berfikir lebih baik dia beredar sahaja dari ruang dapur yang sempit itu.

Dia melangkah ke rumah atas. Terus masuk ke dalam bilik. Niatnya ingin mengemas apa yang hendak di bawa pagi esok. Suara Mak Cik Rosmah masih terus kedengaran di ruang dapur. Masih belum mahu berhenti. Zulkadri sedar lambat laun ibunya akan berhenti juga. Mulut Mak Cik Rosmah terus meluahkan apa sahaja yang terbuku di dadanya. Dia kadang-kadang seakan memaki anaknya sendiri. Sedangkan pada hakikatnya, dia sebenarnya tidak rela berjauhan dengan anak terunanya itu.


Matahari telah jatuh di ufuk barat. Membawa pergi cahayanya bersama. Bila cahaya tiada, warna hitam malam yang pekat mula menyelimuti alam. Malam telah muncul. Muncul bersama bulan yang malu-malu di balik awan.

Dan Zulkadri masih di dalam biliknya. Dia bersandar pada kaki katil merenung ke arah beg garfield bewarna merah berbentuk bulat. Di dalam beg itu terkandung semua harta yang dimilikinya. Baju t shirt yang terbaik di dalam simpanannya sebanyak tiga helai, seluar jeans sehelai, dan itu sahaja. Tiada sijil atau ijazah yang akan menjadi bekal untuk dijaja ke sana ke mari buat mencari kerja. Tabung buluhya juga sudah dipecahkan. RM 223.12 mungkin cukup untuk hidup seminggu dua di Kota kuala lumpur.

Zulkadri bangun dan menggeliat. Dia perlu juga keluar dari biliknya. Menyelesaikan perkara yang perlu diselesaikan. Ayahnya ada di dapur sekarang. Dan Zulkadri fikir, inilah saat terbaik. Memang tiada yang lebih terbaik buat masa ini. Jam di dinding tepat pukul 7.56 malam. waktu maghrib separuh telah berbaki. Pak Ismun ada di dapur, makcik Rosmah juga ada di dapur. Ayahnya memandang sekilas. Ibunya sibuk dengan urusan rumahtangganya.

"sembahyang belum" tanya Pak ismun.

"belum" ringkas jawapan Zulkardi. tersengih.

"pegi mandi, sembahyang" ringkas dan padat arahan Pak ismun pada anak terunanya.

Zulkardi diam saja. Kakinya melangkah ke tandas....

Malam itu sesudah isyak sebagaimana kebiasaan rumah tangga yang lain, keluarga ini juga makan malam bersama-sama. Suasana diam sahaja. entah kenapa pada waktu ini tiada siapa yang hendak bersuara. Tapi suasana ini tidak lama.

"kau nak ke kuala lumpur?" soal Pak ismun kepada anaknya. Zulkadri menganggukkan kepala. mulutnya masih penuh dengan nasi.

"ye pak" jawabnya sesudah kepal-kepal nasi itu ditelan lumat ke dalam perutnya. Dia memandang pinggan ayahnya, tidak berani bertentang mata.

"betul-betul ko nak ke kuala lumpur?" soalan yang sama ditanya lagi. Kali ini Zulkadri hanya menjawab dengan anggukan kepala. Mak cik rosmah juga mmandang tepat pada wajah Zulkadri.

" Boleh ke ko hidup dekat Kuala lumpur tu?" tinggi suara Mak Cik rosmah mencelah. Zulkadri memandang wajah ibunya seraya menjawab.

"zul dah besor mak, pandailah Zul jaga diri. Zul dah letih duduk dekat kampung ni. Tak de kerja, orang pulak mengata..."jawab Zulkadri. Mak cik Rosmah hendak membalas, tapi di tahan suaminya.

" sudah tu Mah, Zul...kalau betul ko nak pergi, ko pergi je lah. Tapi jangan balik sebelum ko dapat kerja," tegas kata-kata yang keluar dari mulut pak Ismun. Tapi bibir terukir sebentuk senyuman. Zulkadri seakan tidak percaya, dia gembira walaupun syarat untuk kegembiraan itu terlalu berat.


"terima kasih pak, mak," ucap Zulkadri sambil matanya menjilat wajah kedua orang tuanya itu dalam-dalam. Nasi yang berbaki di dalam pinggan mahu segera dihabiskan.

***********************************************************************************

Pening lalat Zulkadri. Matanya berkunang-kunang, berama-rama dan berbintang-bintang. Dia belum pernah merantau sejauh ini. Ini pertama kalinya. Dia tidak biasa lagi dengan hawa di dalam bas tadi yang sejuk dan kering. Itu jua pertama kalinya. Tekaknya terasa loya. Mungkin ini balasan kerana menaiki bas tanpa tiket. Dia mencari tempat berehat. Tempat untuk dia bertenang. Bertenang sangat penting saat ini untuk berfikir. Berfikir apa langkah selepas ini. Dia makhluk asing di tempat yang asing. Dia tiada waris dan sahabat disini. Tapi makhluk sebangsanya pasti ada. Ini dia benar-benar pasti.

Zulkadri berasa kagum pada kehebatan kota kuala lumpur ini. Manusia yang ada berkeliaran di dalamnya juga hebat-hebat, tidak seperti manusia-manusia di kampungnya. Bangunan tinggi menongkat langit. Jalan raya berlapis-laps dan lebar-lebar semuanya. Semua ini mengujakan Zulkadri.

Tiba-tiba, perutnya berbunyi. Melagukan irama keroncong meminta untuk diisi. Kemana aku mahu pergi fikir Zulkadri. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Matanya mencari-cari. Dan akhirnya matanya terpaku pada seorang manusia berjantina betina yang berpakaian tapi hampir telanjang. 'Ini peluang aku' fikir Zulkadri. Perlahan-lahan Zulkadri menghampiri perempuan itu. Mendekatinya, hinggap dan hisap. Manusia itu tidak menyedari kehadiran Zulkadri untuk Tempoh yang agak lama. Tapi, Zulkadir menyangka panas sampai ke petang rupanya hujan turun di tengah hari. Satu tamparan yang padu hampir menjamah badan Zulkadri. Zulkadri sempat mengelak. Sipi-sipi sahaja. Walaupun sipi-sipi, kesannya sangat teruk untuk Zulkadri yang bertubuh kerdil itu Zulkadri terhuyung hayang.

Dia bersandar dan berteduh pada satu tiang papan tanda. Besar dan agam papan tanda itu. Berkerut-kerut mata Zulkardi membaca papan tanda itu. Bahasanya adalah bahasa Melayu. Ada wajah yang sama dengan wajahnya pada papan tanda itu. Perlahan-lahan Zulkardi membacanya, ilmu yangada tidak disia-siakan.

"KITA DISERANG DENGGI HAPUSKAN JENTIK-JENTIK DI RUMAH HARI INI JUGA!"

Tiba-tiba, dadanya terasa perit terasa seperti mahu terpokah, matanya semakin kelam dan kelabu. Dan di dalam kesamaran matanya itu di kejauhan dia ternampak seorang manusia bertopeng sedang menyembur asap dari alat yang dia tiada tahu namanya. Bising sekali alat itu berbunyi. Asapnya juga menjulang-julang tinggi dan ada yang sampai ke tempat Zulkadri bersandar. Asap memasuki hidung Zulkadri dan memenuhi rongga paru-parunya. Zulkadri sesak menahan nafas. Matanya semakin kelam. Dunia semakin hilang dari matanya. Dan akhirnya terus gelap gelita.

Demikian, tamatlah riwayat hidup seekor Zulkadri, seekor nyamuk yang bercita-cita tinggi datang ke bandar mencari sesuap rezeki.



22 Apr 2010

Samad dan rakannya

Samad bertemu dengan rakannya. Rakannya yang baru pulang dari kota besar. Samad dan rakannya itu membesar bersama-sama. terjun ke parit bersama-sama. berlari di padang bersama-sama. Luar dan dalam rakannya itu Samad sudah faham sangat.

Dulu, samad lebih liar dari rakannya. Rakannya ini budak yang elok pe'elnya. tidak pernah melawan suruhan ibu bapa apatah lagi suruhan agama. Jika ke sekolah mengaji petang ataupun kemana-mana, ketayap hitam sentiasa melekat diatas kepala. Mengaji muqqadam, rakannya ini lebih lancar dari Samad. ilmu agama juga tinggi. Ini Samad akui.

Samad bersalam dengan rakannya ini. Salam bersambut erat. Kawannya yang belajar di kota besar kini sudah bergaya ranggi. lagaknya sangat hebat. Sudah kurang rupa melayunya. Cuma kulit hitamnya belum dapat dibasuh menjadi putih. samad lihat ketayap hitam itu sudah tiada, sudah berganti dengan balung ayam berwarna perang. Samad tersenyum. Dan rakannya ketawa besar.

baragkali inilah kehebatan kota. Merubah apa sahaja yang berada di dalam perutnya.

19 Apr 2010

Zulkadri mahu ke Kuala Lumpur

Matahari sudah tinggi segalah. Embun-embun di hujung daun keladi sudah kering tersejat menjadi awan. Dan mereka yang menyambut pagi dengan rasa gembira untuk memburuh sudah pulang untuk meraikan waktu makan tengahari. Waktu ini, waktu matahari sedang terpacak dilangit adalah waktu untuk bersama keluarga. Tiada siapa yang sanggup memburuh diwaktu sebegini. Mereka pulang ke rumah untuk menggantikan keringat yang tertumpah. Mungkin sepinggan nasi dan secawan kopi memadai untuk titis keringat itu. Barangkali.

Tapi masih ada makhluk yang tidak menyambut pagi dan meraikan tengahari. Nama makhluk ini seperti yang dipanggil dan diberi oleh makhluk-makhluk yang mengenalinya ialah Zulkadri. Zulkadri sememangnya makhluk yang sangat kuat nafsu tidurnya . Tidak tercabar oleh mana-mana pemuda yang gagah akan kekuatan nafsu tidurnya itu. Sudah terkenal seantero kampung akan kelebihannya itu.

Matahari terus merangkak di dada langit. Dan Zulkadri masih terdampar di dada tilam. Zulkadri cuba utuk bermimpi yang indah-indah di atas tilam yang hapak itu. Tiada apa-apa tanda yang menunjukkan dia akan bangun dalam masa terdekat. Barangkali mimpi Zulkadri benar-benar indah sehingga dia tidak mahu bangun menghadap dunia sebenar yang penuh dengan kesusahan dan kesempitan ini.

Mimpi itu ibarat rokok pucuk yang kekurangan tembakau dan tidak sempurna gulungannya. Belum pun sempat habis dihisap ia akan terpadam. Begitulah mimpi, belum pun sempat sang pemimpi mengecap nikmatnya, mimpi pasti akan berakhir dan berlalu tanpa ada kesudahan. Seperti setiap hari, sejak bergelar sebagai penganggur dan kutu sepenuh masa. Mimpi Zulkadri akan diganggu oleh ibunya yang tercinta. Dan seperti biasa, tanpa banyak soal, Zulkadri akan bangun juga, terus mencapai tuala lusuh hitam berdaki dan mengatur langkah ke beranda rumah untuk menghirup sedikit udara tengahari yang sudah pasti tidak sesegar udara pagi.

Zulkadri bersidai diatas anak tangga beranda rumahnya. Di celah tangan kanannya terselit rokok , sementara tangan kiri sedang enak melombong bijih di dalam hidung sambil matanya terpejam-pejam kenikmatan.
Ada sesuatu yang bermain di benak fikiran Zulkadri. Ada rencana yang dirancang. Jauh pandangan matanya dilemparkan.

Tiba-tiba dia bingkas bangun. Membuang ke tanah puntung rokok yang masih panjang dan terus ke tandas. Berdebur-debur bunyi air di dalam tandas. Banyak yang terus ke lantai dari yang menyirami badan Zulkadri.

Zulkadri kini sudah sedia untuk beraksi. Dia melangkah dengan gagah laksana pejuang berani mati. Tiba-tiba langkahnya yang gagah itu terhenti.

"kemana kamu tu," tegur ibu Zulkadri sambil mengasah pisau rambo buat menyiang ikan tamalian yang baru dituba oleh bapa Zulkadri pagi tadi. Bapanya yang sedang menonton rancangan Wanita Hari ini (WHI) hanya memandang sekilas. Topik merancang kebahagian rumah tangga yang dibincangkan di dalam rancangan bual bicara itu lebih menggoda minatnya.

Zulkadri tidak menjawab pertanyaan itu. Dengan sepantas larian Usain Bolt, Zulkadri terus terjun ke tanah. Menuju ke arah kenderaan rasminya. Tanpa lengah-lengah, terus pergi jauh meninggalkan ibunya yang dibelakang sedang menjerit-jerit sambil mnyumpah seranah akan perihal tingkah laku anaknya yang tiada hormat akan orang tua itu.

Tiada tempat lain untuk Zulkadri tuju selain perhentian bas yang sudah buruk dan dipenuhi cotengan caci maki dan kejian. Ada juga sedikit luahan perasaan. Perhentian bas yang sudah buruk ini, ibarat ibu pejabat bagi anak muda desa ini. Segala aktiviti pasti bermula di sini. Selepas itu baru mereka akan bergerak kemana saja seperti yang telah dirancang.

" Aku dah bosan duduk kat kampung ni," Zulkadri cuba berlagak macho dihadapan budak kampungnya yang rata-rata baru habis ambik SPM. Budak-budak lepas SPM merenung ke arah Zulkadri. Zulkadri wajar dihormati, dia old-timer kampung mereka.

Melihat semuanya masih terdiam, Zulkadri meneruskan ucapannya.

"aku nak pergi Kuala Lumpur...cari kerja...kalau terus duduk kampung ni memang tak jadi ape..."tegas Zulkadri besemangat. Budak-budak lepas SPM tu semuanya masih mendiamkan diri.

"Korang nak ikut tak?" tanya Zulkadri yang sudah panas kerana sejak tadi budak-budak lepas Spm hanya mendiamkan diri tanpa membalas sepatah pun ucapannya.

Zulkadri memandang mata budak-budak kampungnya yang seramai tiga orang itu seorang demi seorang.

"aku tak boleh nak ikut la....aku kena jaga mak aku,,,mak aku sakit..." balas seorang dari mereka. Namanya Muhammad Subri Supian. Dia hampir-hampir menangis. Matanya merah cuba mengempang lelehan cecair dari matanya.

Jiwa Zulkadri tersentap melihat perilaku budak yang bernama Subri Supian itu.

" tak pe la...kalau korang semua ada tanggung jawab. Tapi aku dah nekad pagi esok sebelum azan subuh aku roger pegi Kuala LumpuR," sudah padu tekad Zulkadri.

Zulkadri sudah puas dengan perbualan pendek ini. Dia cuma ingin budak-budak kampung mengetahui bahawa dia akan pergi jauh.

"aku blah dulu," ujar Zulkadri kepada budak yang bertiga itu sambil berlari-lari anak kearah kenderaan tunggangannya.

Budak kampungnya yang bertiga itu melembaikan tangan tanda perpisahan. Emosi mereka sedikit terganggu keranan mereka akan berpisah dengan seorang pelepak sepenuh masa yang cukup berpengalaman.

"jaga diri baik-baik," ujar Subri Supian sambil melambai lemah tangan kanannya.

"jangan tinggal sembahyang," pesan rakannya yang seorang lagi.

"baik-baik jalan," pesan rakannya yang terakhir. Mereka benar-benar tenggelam di dalam emosi masing-masing yang sedang dilanda keharuan.

Zulkadri juga sedih. Tetapi dia menyimpan kemas perasaannya itu jauh di dalam lubuk hempedalnya. Dia terus menunggang motorsikalnya untuk pulang ke rumah. Ada banyak perkara lagi yang perlu dilunaskan. Halangan terbesarnya sekarang ialah Ibunya yang berkerjaya surirumahtangga sepenuh masa dan ayahnya yang berkerja sebagai penoreh getah berkemahiran tinggi. Kedua ibu bapanya juga sangat pakar di dalam memberi leteran dan nasihat yang meruntun jiwa kelakian Zulkadri. Perkara ini sangat merisaukan Zulkadri. Dia tidak mahu menjadi anak yang durhaka. Zulkadri tidak mahu menjadi tanggang, juga malin kundang apatah lagi pinokio si hidung panjang. Runsing kepala batu Zulkadri.

Pukul 5.00 petang Zulkadri tiba di rumah, setelah memusing ke seluruh kampung sebanyak 11 kali buat terakhir kalinya. Ada beberapa jam lagi sebelum rancangannya akan dilaksanakan. Ibu dan bapanya masih belum di khabarkan tentang rancangannya itu. Zulkadri berdiri tegak menghadap muka pintu rumahnya. Belum mahu masuk. Tetapi dia perlu masuk.


belum habis....

15 Apr 2010

sembang kosong

Aku baru turun dari bas. Kaki aku baru cecah muka bumi jerantut. Sengal dan pijar kat kaki aku tak hilang lagi. Pinggang aku terasa lenguh. Struktur lebuhraya pantai timur yang tidak rata hampir-hampir meranapkan struktur tulang pinggang aku. Aku menggerakkan badan ke kiri, ke kanan. Enak rasanya berbuat begitu. Aku usha kiri, aku usha kanan. Lengang dan hambar. Menurut pengalaman aku, stesen bas ni cuma meriah hanya pada tiga hari iaitu hari jumaat, hari sabtu dan hari ahad. Sabtu dan ahad kerana hari itu hari cuti dan hari jumaat kerana selalunya budak sekolah yang duduk dekat asrama akan balik kampung. Maka penuhlah wajah-wajah remaja di stesen bas ini.

Tapi hari ini tiada sesiapa. Aku tak kisah suasana hambar dan suram macam ni. Aku lebih suka. Lebih aman dan tenteram. Aku melangkah dari tepi bas. Ke sebatang pokok yang besar berbunga kuning betul-betul dekat tepi stesen bas. Aku duduk. Cuba untuk menyelesakan diri. Aku cucuh sebatang rokok. Cuba untuk menikmati setiap saat yang ada. Tiba-tiba...

"cait..."aku melompat dan terkejut. Seekor semut berkaler hitam dari spesies yang aku tak tahu telah mencabuli bontot dan kaki aku. Sakitnya cuma sebentar, cuma gatalnya yang berkekalan lebih lama. Baru aku nak layan blues di bawah pokok besar berbunga kuning dah ada makhluk yang potong stim.


Aku capai beg corak askar aku. Sambil itu, sekilas aku terpandang sarang semut hitam yang dah penyek kena penangan punggung aku. Banyak nyawa rakyatt semut itu yang melayang. Aku terus berlalu, meninggalkan cerita malang semut-semut itu. Aku menuju ke bangku-bangku yang tersedia kosong. Aku bersila panggung sambil menonton apa-apa sahaja yang lalu lalang di hadapan aku. Tiba-tiba sekali lagi....

"lu tunggu sapa," sorang apek tua tegur aku sambil menjolok tulang rusuk aku. Aku terkejut. Dia tersenyum dan terus duduk dekat sebelah aku. Juga bersila panggung. Pada ketiak kirinya terselit surat khabar berbahasa cina.

"tunggu bas balik kampung la." aku jawab. Berbunyi seperti apek tua itu juga.

"lu kampung mana?" dia tanya lagi. Tangan dan matanya sibuk membelek tiket nombor ekor. Mungkin baru beli.

"kampung saya dekat pulau tawar," aku cuba bersopan santun dengan orang yang lebih dewasa.

"oh..." dia mengangguk dua tiga kali.

Diam seketika.Sayup-sayup kedengaran enjin bas ke Benta menderu meninggalkan kawasan stesen bas. Apek tua itu sibuk menyelak surat khabar. Tak tahu apa yang di bacanya. Laju sangat dia belek. Tak mungkin dia boleh baca selaju tu. Habis setiap muka surat khabar itu dibeleknya. Dia kembali bersuara.

"Lu tau tak?" soal apek tua pada aku. Muka dia agak serius.

"tak tahu?" jawab aku pendek.

"Siapa orang paling kaya sekarang kat Malaysia?" dia tanya aku sambil angkat kening. Soalan ini aku rasa aku boleh jawab.

"Robert Kwok," aku jawab sambil garu kepala. Aku tak pasti sangat jawapan aku betul ke salah. Apek tua angguk kepala, tanda setuju.

"Lu rasa, dalam seploh Billionaire kat malaysia, berapa orang, orang Melayu?" dia tanya aku soalan cepumas pulak. Aku angkat bahu tanda tak tahu.

" sorang saja maaa.." jari telunjuknya diacu-acu ke udara.

Aku masih terdiam. Membiarkan apek tua terus bersuara.

"Tapi lu jangan bimbang la, wa rasa orang melayu sekarang sudah ramai kaya wo..lagi ramai yang kaya pada bangsa lain... tapi dia orang tak masuk senarai saja." katanya sambil tersenyum. Aku juga tersenyum. Entah betul entah tidak. Penyedap hati barangkali.

Aku dan apek tua sama-sama terdiam. Tiba-tiba buat kali ketiga...

"lu ada rokok tak, gua nak sebatang.." pinta apek tua sambil menadah tangan kanan ke arah aku. Aku angguk dan hulur kotak rokok Dunhill 14's yang dah penyek.
Aku senyum manis. Aku teringat kata-kata ketua warden asrama aku dulu masa aku sekolah menengah. 'Tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima,' terngiang-ngiang suara ketua warden kat telinga aku..

dah habis...

P/s: tiada kena mengena dengan sesiapa

4 Apr 2010

lubang-lubang masyarakat

Cuti hujung minggu ini aku balik kampung. Sengaja balik, aku berhajat nak tengok projek abang-abang aku sodok tanah ayah aku. Menurut mak aku, brader-brader aku nak tanam getah.Menggantikan usaha ayah aku yang terbengkalai 3 tahun lepas. Terbengkalai kerana kekurangan dana dan kudrat. Menurut brader-brader aku sebelum getah besar, mereka berencana nak tanam pisang dahulu.

Udara di kampung cukup hangat. Dalam kehangatan itu tiba-tiba sahaja hujan akan turun. kemudian hangat kembali. Memetik kata-kata berita kaji cuaca di selamat pagi malaysia "Cuaca sekarang tidak menentu".

Lepas zohor, dalam kehangatan petang yang memang sedap kalau layan tidur di bawah kipas angin berkelajuan lima itu, aku tabahkan hati untuk pergi melihat kawasan tanah yang brader-brader aku sodok itu. Setelah meredah jalan ladang yang berliku aku sampai juga ke destinasi yang dituju. Boleh tahan cina Jerantut yang mengendali jentera tolak ni bekerja. Baru semalam mula kerja hari ini sudah hampir semua keluasan tanah diratahnya. Udara dekat kawasan ni lagi hangat. Almaklumlah, semua pokok dah menyembah bunyi. Cahaya matahari menikam-nikam kulit aku dan brader-brader aku. Panas bukan main. Ditambah pula dengan api yang sedang marak membakar batang-batang kayu dan daun. Memang terasa macam di panggang. Sesekali angin dari barat bertiup. Angin itu tidak menyejukkan sedikit pun, malahan makin memberi kuasa kepada sang api untuk terus marak. melihat api yang mejulang tinggi itu, membuat aku terfikir bagaimana pula panas neraka jahanam nanti.

Cukup setakat itu cerita perihal ladang, cuaca dan api. Bukan ini isi yang utama. Sekadar penghias cerita yang berjela-jela.

Oleh kerana hawa yang sangat panas itu. Abang aku yang tertua telah bertitah kapada aku.

"cu...ambik duit ni, pergi beli air nyior.." sambil menghulurkan kpingan kertas berwarna daun.

Aku buat muka pelik. Siapa pula yang berjual air kelapa dalam kampung aku ini, otak aku ligat berfikir. Duit yang dihulur belum aku sambut.

"nak beli kat mana..ada orang jual ke?" tanya aku. Benar-benar tidak tahu dan ingin tahu.

"lah...tak tahu ke. Kan ada budak meniaga kat depan sekolah rendah tu. betul-betul kat tiang trafik light tu.." jelas abang aku yang kedua tertua.

Aku mengangguk tanda sudah faham. Duit yang dihulur pun bertukar tangan. Aku terus menapak pergi. Perjalanan untuk ke tempat yang dimaksudkan oleh kedua abang aku itu tidak sejauh mana. Sebatang rokok dunhill dihisap, aku sudah berada di hadapan gerai jual air kelapa itu.

" Assalamualaikum," aku memberi salam sambil tersengih dan mengangkat tangan kanan. Tangan kiri aku masih memegang puntung rokok yang bersisa.

"waalaikumussalam..." hampir serentak ketiga-tiga pemuda yang berteduh di bawah payung besar berwarna hijau putih itu memulangkan ucap selamat kepada aku. Dihadapan kedai mereka berlonggok tiga tandan buah kelapa. Aku mengagak kelapa itu dari spesies kelapa pandan. Tidak salah lagi memang ketiga-tiga pemuda ini berjual air kelapa.

"ada lagi air nyior, Gasket?" soalan bodoh sengaja ditanya oleh aku kepada salah seorang pemuda itu yang bernama Gasket. Aku tersengih.

"aok...boleh tanye lagi...ni ha penuh lagi dua tong ni" ujar Gasket sambil tangannya mengacu ke arah tong air di hadapannya.

"bagilah air nyior empat bungkus...ni keropok ni jual sekali ke?" aku bertanya dan mereka mengangguk. Juga hampir serentak.

"bagi la empat ringgit" pinta aku.

Gasket pun sibuk membungkus air dan keropok sambil dibantu oleh sorang rakannya. Rakannya yang seorang lagi sedang asyik menyedut asap tembakau sambil tangan kanan lincah bermain game ular di dalam telefon mudah alihnya. Sambil menuggu tempahan aku disiapkan aku memandang sekeliling. Melihat kedudukan gerai jualan mereka ini. Betul-betul di bibir jalan raya. Betul-betul menumpang di bawah tiang lampu isyarat. Satu-satunya lampu isyarat di kampung aku yang hanya berwarna merah apabila ada budak sekolah pulang dari sekolah menyeberangi jalan.

"pasal korang berniaga sini, bukan ke banyak gerai kosong dekat hujung sana?" tangan aku menunjuk ke arah yang dimaksudkan. Arah itu ialah simpang utama masuk ke kampung aku. Disitu juga menjadi tapak pasar malam pada hari rabu. Tiada bezanya dengan disni. Betul-betul di tepi jalan utama untuk ke Jerantut dan Jengka. Malahan lebih selesa lagi. Siap dengan bumbung dan ruang untuk berjualan.

"gerai tu smua dah ada nama dah," Gasket menjawab pertanyaan sambil meletakkan bungkusan air betul-betul dihadapan aku. Suaranya agak mendatar. Ada nada kekecewaan.

"bior betul...aku tengok kosong je, takde pun orang meniaga." soal aku, tiada niat mengcungkil rahsia. Sekadar mahu tahu.

" Nak penuh gone weh. Gerai tu semua dah ada tuan. Tapi tuan nak nama je. Siapa nak pakai kena sewa dengan dorang. Gerai tu kroni-kroni yang punya. Dorang nak cari duit mudah je. Padahal dorang tak sewa pun dengan MDJ. Penguatkuasa MDJ pun lembab stokin. Tau cangkul masuk kocek jek!" panjang lebar rakan Gasket berkhutbah. Nama gelarannya Hasan Puwaka.

Aku terdiam sejenak. Barangkali ada benarnya kata-kata Hasan Puwaka itu.

"oh, macam tu" aku sekadar mengiakan luahan rasa seorang peniaga muda yang kuat semangatnya itu.

Aku menghulurkan wang sebanyak lapan ringgit. Barang jualan bertukar tangan. Aku terus meminta diri.

"balik dulu, assalamualaikum" ucap aku,

"waalaikumussalam," jawab mereka sambil menganggukkan kepala.

Sambil menunggang motorsikal aku menyedut sedikit air kelapa buat membasah tekak. Tiba-tiba aku teringatkan Gasket dan rakan-rakannya. Aku menggelengkan kepala apabila terkenang kata-kata Hasan Puwaka tadi. Sampai bila yang ada kroni sahaja yang akan mendapat bantuan. Sepatutnya yang benar-benar layak dan mahu berusahalah perlu dibantu.

Aku terus menunggang perlahan motorsikal melalui jalan yang berlubang-lubang macam bentuk muka bumi bulan. Sampai bila jalan ini akan terus berlubang, aku tak tahu.

Tammat