26 Jan 2011

dari masjid jamek ke kerinchi....antara gua, tok kenali dan seorang dia

umat manusia berpusu-pusu di stesen lrt putra masjid jamek. ramainya orang di situ macam sebusut anai-anai yang berpindah di musim banjir, sesak dan padat.

dicelah-celah umat manusia yang tak terpermanai banyaknya itu berdirinya seorang gua dan tok kenali. gua dan tok kenali menunggu dengan sabar. seperti kata pepatah orang melayu lama, sabar penghilang penat, tekun membawa dekat.

yang ditunggu tiba juga walaupun lewat kehadirannya itu. pintu terbuka luas dan manusia di dalamnya berpusu-pusu keluar. gua dan tok kenali perlahan-lahan cuba menempatkan diri di dalam perut lrt putra yang sedia sarat dengan umat 1malaysia. akhirnya gua dan tok kenali berjaya juga mencuri tempat yang terhad di dalam kenderaan awam bertaraf negara maju itu.

sebelum lrt ini mula memutarkan rodanya, gua dan tok kenali cepat-cepat mencari tempat berpaut. kami berjaya. dan gua tersenyum nipis penuh kebanggaan.

tetapi gua tiba-tiba hilang jiwa untuk berpaut dengan selesa. begitu juga dengan tok kenali. ianya adalah kerana kedudukan kami telah mengepung satu susuk tubuh yang telah menyesakkan aturan degupan jantung dan pernafasan gua.

pinggangnya ramping, rambutnya ikal mayang, ahhh, gua tak mahu cerita lebih, serius waktu tu iman gua yang nipis hampir mahu melayang.

Lrt ini adakalanya bergoncang berlebih-lebihan. dan perkara ini betul membuatkan gua hairan, apa ada batu ke atas landasan ni? soal gua pada diri sendiri sambil berusaha bersungguh-sungguh dari terpeluk susuk tubuh yang kecil molek di hadapan gua itu. tok kenali hampir pitam menahan diri. apa mahu buat, ke depan terpeluk susuk tubuh yang comel, berundur ke belakang terlanggar saudari mat salleh miskin kain.

cerita diringkaskan.

gerabak lrt yang membawa kami tiba di stesen kl sentral. dan di sini adalah penamat kepada cerita siksa kami berdua. ramai yang berlabuh di stesen ini dan kurang pula yang mahu turut serta bersama kami meneruskan perjalanan menuju ke stesen kerinchi.

ruang sempit kini semakin lapang. susuk tubuh menggiurkan yang dari tadi terkepung oleh kami berdua telah beroleh peluang untuk mengalaskan punggungnya. dia berpaling ke arah gua dan tok kenali . helaian rambutnya yang wangi itu menyapa wajah gua dengan mesra.

si susuk tubuh kini bertentang mata dengan kami. dia tersenyum manis. gua kalah dalam pertarungan mata itu. mahu terburai dan rabak isi perut gua ketika itu. tok kenali tersenyum sinis memandang gua. dia menahan, gua juga cuba menahan.

"stesen kerinchi, next station university" suara manis gadis interkom berkumandang. pintu terbuka dan kami berdua terus melompat keluar.

ketawa yang disimpan di rongga perut tadi pecah berderai, terburai.

tok kenali diri : mati-mati aku ingat dah batal air semayang aku tadi. hahaha

gua : hahaha, body shape cam pempuan kot.kuikui

tok kenali diri : rambut rebonding tu yang tak bleh blah tu. janggut dia terbaik punya...haha

kami ketawa seenaknya.

TAMMAT

19 Jan 2011

pantun

sejak akhir-akhir ataupun secara lebih terperinci di dalam lingkungan dua minggu ini jiwa saya sering berada di dalam situasi yang tidak tentu hala.

seperti kata orang-orang tua dulu yang pandai beralas kata, bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk, dibuang sayang. begitulah keadaan diri saya ketika ini. otak saya umpama limbur bercampur baur antara dua kemahuan.

setelah difikirkan dalam-dalam di dalam batu jemala kepala saya ini, saya mendapatkan keputusan bahawa keadaan yang serba-serbi kusut ini adalah disebabkan tekanan dunia kapitalis yang sering memerah kering segala apa yang ada di dalam kocek seluar umat kelas bawahan seperti saya.

namun, setelah difikirkan lebih mendalam....

keputusan ini bukanlah kesimpulan yang mutlak. kerana saya baru tersedar keputusan itu semata-mata adalah keputusan yang dibuat oleh akal saya yang bertuankan nafsu semata-mata. hanya mahu mencari salah (menyelak kain) orang lain tanpa mahu memeriksa kelemahan diri saya sendiri.

masalah hidup saya di dalam dua minggu ini saya terjemahkan di dalam beberapa rangkap pantun yang diambil dari sebuah buku bertajuk Kurik Kundi Merah Saga:

hisap ROKOK dalam kelambu,
terbit asap menjadi abu,
saya umpama golok kayu,
tetak tak lut gadai tak laku,

serindit bulunya bengkok,
bengkok sampai ke jari kaki,
minta sirih diunjuk ROKOK,
ampun maaf, saya nak berhenti,

orang sasau buat kerja,
hisap ROKOK asap berkepul,
kalau pisau kurang baja,
makin diasah makin tumpul,

burung tekukur terbang ke jeddah,
bubuk padang sehelai tak layu,
sirih sekapur tanda penyudah,
ROKOK sebatang bercerai lalu.

notakaki: serius kunfius nak berenti ke tidak...haha

11 Jan 2011

pukul 1 pagi

Aku bukan kumbang rakus,

Dan kau bukan bunga indah,

Cukuplah,

Noktah…

Kita cuma manusia.


notakaki:

jiwang yang amat...

kumbang suka makan daun, tak suka makan bunga.

6 Jan 2011

gone gamaknya....


satu ketika dulu di sebuah daerah di pahang tengah .

"tembak mat! peluru keh dah abis ni"

"kejap la...keh nak isi balik peluru ni, lekat pulok doh..."

suasana pada ketika itu tersangat genting. kami sudah kehabisan peluru. tembakan pihak musuh pula tak pernah kenal erti berhenti. batang kelapa tumbang tempat kami berlindung ini pasti tidak akan kekal lama. kami perlu bertindak segera. seharusnya begitu. kalau tidak kami berterusan tinggal terperangkap di celah batang kelapa yang kian rapuh ini.

pap!pap!pap!

peluru pihak musuh terus menghujani kami. gua terbongkok-bongkok mengintai di sebalik tunggul kelapa yang sudah reput dimamah anai-anai.

"dekme makin dekat mat, kaweh riso dah ni."

"di lari dulu. kang keh follow belakang."

musuh mula datang dari depan. dari dua arah. dari kanan dan kiri kami. semakin lama, mereka semakin mara ke hadapan. dan ketakutan mula memuncak dalam diri gua. tiba-tiba, mamat rakan seperjuangan gua yang tidak kenal erti gentar dengan lipas itu melompat keluar dari celah batang kelapa itu. gua terkejut. mulut gua ternganga luas seolah bertanya "kenapa kau buat tindakan bangang ini"

"lari chu! di lari dulu....biar kaweh tembak deme ni belaka...."

mat menolak kasar badan gua. serius, diri gua pada ketika itu terpisah diantara dua kemahuan. sama ada terus tinggal di sini berjuang dengan rakan gua atau terus lari menyelamatkan diri.

tanpa gua sedari, kaki gua terus laju berlari. meninggalkan mamat. gua sempat menatap wjah mamat. ada titisan murni air mata di pipinya.

gua lari dan lari. tanpa gua sedari gua sedang diekori.

"woiii, berhenti,'' sayup-sayup jeritan kedengaran menegah langkahan kaki gua. gua cuba memandang belakang.


pap!pap!pap!

gua ditembak. malahan terus dikepung. musuh-musuh semuanya ketawa gembira. mamat juga tergelak besar. gua jadi hairan.
-
-
-
-
-
-
-
-
"babi la..main tembak betul-betul, keh tak tembak pun deme lagi," gua gosok kesan bintat di tangan , buntut dan belakang gua. hampir sepuluh bedilan semuanya. penangan buah cenderai memang perit. getahnya habis melekat di seluruh pakaian gua.

"nasib la, sapa suh nak main jugak. kan dah kena.... dah la terkencing dalam seluar...hahaha," abang gua gelak sakan.

gua berlari balik rumah. malu nak cerita, tapi serius..mata gua berair setitis dua.
buluh bedil gua sorok bawah lantai rumah. gua masuk rumah perlahan-lahan.

"mak nak minum milo," ujar gua pada mak gua yang sibuk menggentel adunan tepung dan pisang batu terlebih masak. barangkali hendak dibuat cekodok pisang.

"eh, anak mak dah balik perang ye, pergi tukar seluar tu dulu. basah dah mak tengok" mak gua tersenyum mesra.

terubat rasa kecewa gua kalah dalam medan petempuran tadi bila terdengar suara lembut mak gua. gua pasang tekad dalam hati esok gua cari buah cenderai yang paling besar dan paling bagus untuk menuntut bela kekalahan gua hari ini. gua pandang jauh ke langit. seolah-olah gua nampak gua akan menang hari esok. tiba-tiba gua tersenyum


notakaki:

keh/kaweh : saya

di : kamu/awak

deme : mereka/awak semua

bintat : kesan merah seperti digigit semut api.

4 Jan 2011

samad, pakcik kordi dan papan keranda

langit cerah tengah hari itu. angin siang yang bertiup sepoi-sepoi mengurangkan suhu persekitaran yang sedang hangat membakar.

di tengah hawa panas bulan mac yang terik itu kelihatan samad sedang menunggang motorsikal berjenama yamaha kebanggaannya. dia mahu kemana? itu persolannya.

"aku mahu ke rumah Pakcik Kordi" bisik hati kecil samad yang berjiwa besar. ya...itu jawapan pada persoalan kita tadi.

tetapi mengapa rumah Pakcik kordi? lagi satu persoalan timbul dari jawapan tadi.

tanpa lengah-lengah, hati kecil samad yang berjiwa besar itu memberi jawapan.

"aku mahu meminjam 'coban'." hati samad yang kecil itu berbisik lagi. semakin besar hatinya itu.

Perjalanan ke rumah pakcik kordi yang tidak terlalu jauh itu membawa samad melintasi sebuah kedai kopi. kedai kopi ini khabarnya antara kedai kopi yang sangat tersohor di dalam kampung halaman samad ini.

ada suara menyapa samad. dan suara itu datang kedai kopi yang tersohor itu. samad berpaling lantas tersenyum.

"woi mat, lepak la dulu ngeteh ni ha. nak kemana laju sangat tu,"

samad tidak pandai menolak. dia akhirnya berlabuh di kedai itu. wajah pakcik kordi malap buat seketika dari tempurung kepala samad.

masa terus berlalu. dari secawan teh beralih ke secawan kopi. dam sudah berpapan diulang main. matahari yang tadi tegak di puncak langit sudah jatuh senget ke barat.

"he eleh, aku kan nak pergi rumah pakcik kordi tadi,"hati kecil samad menegetuk fikirannya.

samad bingkas bangun. meminta diri untuk pergi.

"dah kalah main dam terus nak blah, tak jantan la macam ni," kawan samad berkata dengan nada mengejek. mulut dimuncungkan mengatasi hidungnya yang pesek.

samad tersenyum. samad terus membawa dirinya menuju rumah pakcik kordi. akhirnya menjelang waktu asar, samad tiba juga di rumah pakcik kordi yang hidupnya sebatang kara itu.

"assalamualaikum," laung samad bersungguh-sungguh.

"walaikumussalam," sayup-sayup bergetar suara pakcik kordi menjawab salam.

pintu rumah terbuka luas. samad mengintai-intai di mana pakcik kordi berada. yang kelihatan hanya utas-utas jala yang bergantungan memenuhi ruang rumah yang kecil itu.

"ada kat mana pak kordi?" laung samad lagi.

"aku kat bawah rumah ni, mari la sini," pakcik kordi menjawab.

kelihatan pakcik kordi sedang terbongkok-bongkok menyusun kepingan papan yang diketam licin di bawah lantai rumahnya.

"kamu mat, nak apa?" ucap pakcik kordi sambil terbongkok-bongkok keluar dari bawah rumahnya.

"nak pinjam coban, coban keh patah. boleh tak?" samad tersenyum manja menyatakan permintaannya itu.

"ada kat atas tu, jom la ke atas," ujar pakcik kordi. nafasnya agak lelah. pekerjaan menyusun kepingan papan yang ringan tadi mungkin terasa sangat berat oleh kudrat tua pakcik kordi.

mereka berjalan beriringan.

"susun papan mende tadi?" samad cuba beramah mesra.

"nak buat keranda." ringkas jawapan pakcik kordi.

"keranda sape? sape mati? tak dengar orang umum pun dekat masjid" samad terkejut. dahinya berkerut memikirkannya. mana mungkin dia tak tahu berita kematian ini.

"bukan keranda sape-sape pun. keranda aku sendiri. senang nanti, aku ni bukan ada sedara, hidup sebatang kara. lagipun aku pun dah tua, macam buah kelapa lah. selalunya yang gugur dulu kelapa tua, tapi zaman sekarang ni kelapa muda pun gugur awal, kalau orang jolok" pakcik kordi tersenyum memandang samad sambil menghulurkan coban buluh.

"masa muda macam kau ni la nak cari bekal ke kubur banyak-banyak. jangan nanti bila masuk kubur bawak kain kapan dengan keranda je." tambahnya lagi.

samad tersenyum tawar. coban itu disambutnya.

tiba-tiba hatinya berasa gerun, terasa maut itu berada dekat dengan dirinya. dia meminta diri untuk pulang. matahari pula terus tergelincir ke barat. sayup-sayup kedengaran suara azan mengajak manusia menuju kejayaan. kata-kata pakcik kordi tadi samad paku teguh di dalam dinding hatinya, cari bekal banyak-banyak. moga tidak hangat-hangat taik ayam.

notakaki:

coban= sejenis alat untuk menyirat jala(tempat lain aku tak tahu panggil apa)

cerita ini hanya rekaan semata-mata.