24 Jun 2011

perempuan

saya tersenyum tatkala saya menulis tajuk entri ini. saya tidak tahu kenapa. tetapi apa yang saya tahu, bagai ada satu perkara yang sukar untuk dijelaskan..

"apa perempuan ini, siapa perempuan dalam hidup anda."

soalan ini jika ditanya kepada saya sewaktu di bangku sekolah rendah. dengan pantas saya akan menjawab, perempuan ini emak saya, arwah nenek saya, kakak-kakak saya, anak-anak saudara perempuan saya dan makcik-makcik jiran saya. saya yakin mereka semua adalah perempuan. dan sewaktu itu, merekalah perempuan dalam hidup saya. mungkin ini jawapan paling tepat yang saya akan berikan, kerana tiada perempuan selain mereka yang paling saya kenal.

tetapi jika soalan ini ditanya pada saat saya menulis entri ini. sesiapa yang bertanya pasti akan kecewa kerana saya hanya tersenyum dan berkhayal umpama berada di dimensi yang saya seorang boleh meneroka. dan sesiapa yang bertanya itu akan tidak saya hiraukan buat beberapa ketika.

dan pasti menambah kecewa kepada yang bertanya, setelah menunggu begitu lama jawapan saya masih sama.

perempuan ini adalah emak saya, arwah nenek saya, kakak-kakak saya, anak-anak saudara perempuan saya dan makcik-makcik jiran saya. (saya menjawab dengan tersenyum-senyum kerana jawapan ini masih belum sempurna)


22 Jun 2011

interlok,seman,cing huat dan maniam

Gua rasa sangat beruntung kerana baru-baru ini gua berjaya juga membaca novel interlok yang belum dipinda. Gua baca dan gua berjaya membuat kesimpulan bahawa novel ini adalah novel yang terbaik untuk menggambarkan interaksi kaum di Malaysia (Tanah Melayu, semenanjung emas, tanah selatan ) sewaktu sebelum merdeka, sewaktu penjajahan jepun dan sampailah waktu kemerdekaan.

Pesan gua, kalau nak baca sesebuah buku itu, bacalah habis sampai kulit bertemu kulit. barulah kita akan boleh membuat kesimpulan yang tepat. jangan kerana satu perkataan yang tidak ingin/suka kita dengari kita menghukum sesuatu karya itu sebagai rasis.

Pesan gua lagi, pelajarilah sejarah. Dengan sejarah kita akan lebih mengenali diri kita sendiri. dengannya juga tidaklah mudah kita bertindak semberono tanpa usul periksa.

gua fikir novel interlok karya abdullah husain yang gua baca ini akan gua simpan, akan gua simpan buat anak-anak gua baca, kerana bagi gua ia lebih autentik, tulin dan jujur dalam menceritakan perkara yang sebenar. gua bukan mahu bersifat rasis, tetapi cubalah kita berlapang dada dan menerima karya ini dengan hati yang terbuka. kesedaran itu perlu.

masakan seorang sasterawan negara menulis caca marba. tapi kalau mahu juga dipinda, apa gua boleh buat. pindalah. pindalah semahunya.



nota kaki: klik sini

21 Jun 2011

kematian



tik.

tik..

tik...

Lambat-lambat jarum jam itu bergerak dari satu saat ke satu saat. Maka terasa lambat juga masa bergerak. Samad mengeluh, lelah di hatinya dilepaskan sambil menggaru-garu pipi yang tidak gatal. Pada saat itu dia cuba berfikir. Tetapi fikirannya bercelaru dengan soalan-soalan yang tiada jawapan. Puas sudah dia mencari, tetapi hasilnya seperti itu juga. Soalan-soalan itu berpusing-pusing di dalam benaknya seperti gasing yang tidak mahu berhenti.

"bila la dunia nak kiamat?"

Akhirnya usaha mencari jawapan itu hanya menemukan soalan ini. Soalan yang tidak menjawab soalan-soalan sebelumnya. Hanya menambahkan sesak di dadanya sahaja. Seketika dia terus diam di muka pintu itu. Tidak bergerak-gerak. Soalan ini difikir dalam-dalam.

Tiba-tiba samad menggelengkan kepala. Ada suara kecil mengetuk fikirannya. Suara kecil itu menyedarkan dirinya. Soalan itu tidak wajar untuk dicari jawapan. Malah tidak wajar dipersoal sekalipun. Ada penyesalan pada wajah samad. Samad benar-benar menyesali. Samad mengutuki dirinya, akalnya terlalu rapuh, mudah benar tersesat jalan sebegitu rupa.

koh.

koh..

koh...

Bunyi batuk itu membuatkan Samad segera bangun dan berlari ke dalam rumah. Terus sahaja dia ke dapur. Lantai papan bergegar dihentak kaki Samad. Tergesa-gesa dia menuang air masak ke dalam gelas. Tergesa-gesa juga dia ke hadapan rumah menatang dulang yang berisi air dan ubat-ubatan.

"aku nak mati," tersekat-sekat suara Pak Abu

Samad diam. Samad membantu ayahnya untuk duduk. Badan Pak Abu yang semakin susut itu menggambarkan derita yang ditanggungnya. Dalam susah payah mahu duduk itu Pak Abu terus berkumam mulutnya berkata-kata.

"aku nak mati," ulang pak abu.

"jangan kau susah-susah jaga aku, biar saja aku mati," biji matanya yang layu dibulat-bulatkan dan dipakukan tepat ke wajah Samad.

Samad diam juga. Diam itu saja yang Samad boleh berikan kepada ayahnya sebagai jawapan. Ubat batuk disuapkan ke mulut Pak Abu. Payah-payah Pak Abu menelannya. Air kosong disuakan tidak habis diminum. Pak Abu kembali berbaring. Dia terlena dan tidak batuk-batuk lagi. Samad tersenyum dan terus ke dapur menanak nasi.

tik.

tik..

tik...


Malam telah datang tanpa dipinta-pinta. Dan malam itu Samad ditemani bulan yang terang di depan rumahnya. Dia duduk di tangga rumahnya sambil mengira untung nasib dirinya. Ayahnya masih lena di ruang tamu. Sejak beberapa bulan yang lalu ruang tamu itulah menjadi tempat tidurnya. Tidak pernah beralih-alih sejak itu.

Samad bangun perlahan-lahan. Dia ke dapur. Sekejap kemudian dia ke ruang tamu semula menatang sedulang hidangan.

"ayah, bangun yah, makan sikit."

Malam itu Pak Abu berselera sekali. Habis bubur nasi itu dilahapnya. Malahan bertambah pula. Wajah Samad ceria melihat Pak Abu. Samad fikir ayahnya sudah kembali sihat. Diam-diam Samad bersyukur pada tuhan. Moga-moga ayahnya dapat sihat seperti sediakala.

tik.

koh...

tik..

koh......

tik...


Samad berlari masuk ke ruang tamu. Dada Pak Abu berombak menahan batuk, bubur nasi yang dimakannya tadi turut terkeluar bersama. Ada darah merah mengalir dari mulut ayahnya . Samad gelisah. Puas di sapu dengan minyak panas tetapi batuk Pak Abu belum mahu reda.

Samad berlari ke tanah. Dukun Ali perlu dicari. Dukun itu harapannya kini.

"tolong saya tok, ayah saya tenat sangat dah tu,"

Dukun Ali cepat-cepat bersiap-siap. Sebungkus kain kuning di bawa bersama. Mereka bersama-sama meredah malam yang bersuluh cahaya bulan itu. Dukun ali termengah-mengah membuntuti Samad yang berjalan laju hampir hendak berlari itu.

tik.

koh...kohh

tik..

kohh...kohhh

tik..

Dukun Ali mengeleng-geleng kepalanya. Tidak pasti kerana kepenatan atau kerana kasihan melihat keadaan Pak Abu yang semakin tenat itu.

"teruk dah ayah kamu ni, tapi tidak mengapa. Dengan ilmu aku ni, kau tak perlu risau mat,"

Samad terpegun dengan kata-kata Dukun Ali itu. Dukun Ali mengurut-urut janggut putihnya. Dia kelihatan sedang berfikir.

"ambilkan aku semangkuk besar air." arah dukun ali.

Samad terus menurut tanpa membantah. Dukun ali memulakan upacaranya. bungkusan kain kuning dibuka. Kemenyan mula di bakar. Asap kemenyan itu mula memenuhi ruang rumah. Dukun ali membaca menteranya. Samad mendengar dengan teliti tetapi dia gagal memahami butir bicara dukun tersebut.

Dukun ali mencelupkan sesuatu ketulan batu berwarna putih ke dalam mangkuk. Kemudian air itu diminum dan terus disembur kepada pak Abu. Kepala pak abu disembur, kaki disembur, seluruh badan pak abu disembur.

Tidak semena-mena batuk pak abu pun reda. Samad mula kagum dengan kehebatan dukun Ali. Dukun ini benar-benar hebat fikir samad. Kalau begini, awal-awal lagi sudah Samad membawa ayahnya berubat dengan dukun Ali.

" kau ambil air dalam mangkuk ini, campur dengan air biasa, mandikan ayah kau nanti kemudian sesudah itu balut dengan selimut badan ayahmu itu," arah Dukun Ali.

Samad hanya mengangguk. sedikit senyuman terukir pada bibirnya.

"ayah saya akan sihat ke tok?"

"kau jangan risau, ayah kau pasti sihat," janji dukun ali.

mereka diam.

"kau nampak ini, kau tahu apa ini" dukun menunjukkan ketulan putih tadi

"macam isi kelapa tok,"

"apa kamu fikir isi kelapa boleh buat berubat, apa isi kelapa ada kesaktian, kalau kau mahu tahu ini serpihan tengkorak orang matti dibunuh," dukun ali tersenyum.

Samad terangguk-angguk kepalanya. Dukun Ali benar-benar hebat. Samad mulai mengaguminya.

"kau mahu ilmu apa, pengasih, santau, ilmu kebal, semua aku boleh ajarkan. tetapi kau mesti sanggup menghadapi dugaannya," tambah dukun ali lagi.

"tok pakai ilmu kebal ke."

"kalau aku boleh ajar masakan pula aku tidak ada ilmu itu. ah sudahlah aku mahu balik,"

"saya hantarkan tok,"

"tak usah, kau jaga ayah kau,"

Pak Abu sudah dimandikan dan diselimuti dengan selimut tujuh lapis. Samad duduk di sisi ayahnya. sekejap saja ayahnya sudah terlena. Samad gembira melihat ayahnya tidak batuk lagi. Malam itu samad dapat tidur dengan sangat lena sehingga subuh menjelang.

tik.

tik..

tik...




bersambung>>>>