21 Mei 2011

nelayan

Gua baru balik dari sekitar kawasan puchong. Pergi ke daerah yang agak asing bagi gua, termasuk rakan-rakan gua yang lain. tiada niat lain kehadiran kami ke sini. Kami mahu jadi pemancing. Mahu merasa sesuku hidup sebagai seorang nelayan.

Kami pergi berempat dengan tiga batang joran. Satu nisbah yang tidak kena. Tetapi itu bukan masalah bagi pemancing amatur seperti kami. Kami baru cuba mahu merasa nikmatnya dan sedapnya memancing ini. (ini harapan gua sejak hari jumaat)

Perjalanan yang separa jauh membawa kami ke suatu kawasan yang ditembok atap zink Berwarna hijau setinggi 3 meter. Di tepi jalan kiri dan kanan sarat dengan sampah sisa domestik. Lampin, tin susu, bantal peluk, dan segala bagai lagi.

Kami tidak percaya dan gua percaya anda juga tidak akan percaya di sebalik tembok zink hijau inilah terletaknya sebuah tasik kecil yang kami buru. Sudah bersua dengan apa yang dicari tetapi misi kami belum sempurna selagi umpan tidak dicampak ke tengah tasik. Segala umpan yang enak bagi ikan-ikan tasik ini kami sediakan. Sesuku bungkus roti gardinea luput tarikh dan cacing kuala lumpur yang kurus pasti enak buat ikan-ikan ini. Semuanya dilemparkan ke tengah tasik. Dan seterusnya, jadilah kami penunggu yang sabar lagi setia.

Matahari betul-betul menjadi sahabat kami pada hari itu. Empat jam menemani kami tanpa jemu. Gua kira 4 jam ini adalah 4 jam yang sangat bermakna. Bermakna bagi gua , bermakna juga bagi matahri.

Empat jam gua di panggang hitam, dan ternyata gua pulang dengan tangan kosong. Kalau gua mahu isi tangan gua dengan hasil tangkapan, tiada gunanya sebab gua fikir lampin pakai buang dan beg plastik bukan boleh dimasak kicap atau dimasak tiga rasa. Jadi gua buang ke tepi.

Tetapi sewaktu memandang sekumpulan gagak yang berlagak seperti bangau di tengah-tengah tasik itu. Akal singkat gua terfikir. Kalau gua mahu pulang tangan kosong, silakan. Tetapi apa salahnya gua ambil ibroh (perkataan orang arab) dari misi gua yang tak seberapa ini. Jadi gua nukilkan di bawah antara pengajaran atau ibrohnya (ala-ala jawab kertas pendidikan Islam) :

1. Sabar itu sebahagian dari iman.
2. Sabar itu indah.
3. Jika mahu tahu luasnya padang tanyalah belalang
4. Jagalah alam sekitar, alam jika diurus dengan ketamakan beginilah jadinya.

Tengah gua berfikir-fikir tentang pengajaran kelima. Tiba-tiba sekumpulan 7 orang kanak-kanak berlari dihujung tasik berdekatan sebuah tali air yang agak deras alirannya. Tanpa segan silu, mereka terus terjun menikmati air tasik yang hitam itu.

"takde otak ke budak-budak ni. engkau terjun dalam sisa najis korang sendiri tahu tak," jerit batin gua.

Gua geleng kepala. Kasihan anak-anak kecil ini. Jadi gua akhiri entri gua kali ini dengan pengajaran ke 5.

5. Alam sekitar ini bukan hanya untuk kita, ianya juga untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Jangan sampai cucu kita memaki hamun kita dengan apa yang kita tinggalkan untuk mereka.

SEKIAN



"segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaannya. dan sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji"
(surah al Hajj 22:64)


16 Mei 2011

ketagihan

karim seorang penulis blog yang tidak punya nama. dia suka menulis kerana dia suka menulis. itu sahaja. tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang.

dan pada satu hari, dia mula menulis satu cerita mengenai pergolakan jiwa seorang perokok. pergolakan jiwa seorang perokok yang melambangkan jiwanya sendiri. kerana karim juga seorang perokok. ceritanya yang baru ditulis itu kira-kira berbunyi begini :



2 hari saudara semua. dua hari kalau perut tidak disumbat nasi, boleh merana menahan lapar. dalam dua hari ini seorang kekasih setia pasti berendam dengan rindu gelora jika tidak bersua mata.

2 hari yang terasa begitu lama. 2 hari berpisah jiwa dan raga.
sudah dua hari Popo tidak bersua dengan kekasih hatinya. ahh..kekasih mana yang sanggup berjauhan padahal setiap hari berjumpa. Popo sebenarnya sudah tiada tertahan. dua hari dalam hidup popo yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

popo pejam mata rapat. cuba berfikir-fikir. cuba mencari cahaya di dalam kegelapan matanya itu. nafasnya mendesah laju.

otak popo diracuni barangkali. kekasih apa itu, kekasih yang sanggup meracuni diri. itu bukan kekasih. jauh sekali teman. tinggalkan sahaja.

popo sedar. popo juga percaya. tetapi ada satu perkara yang tidak kena.......



karim berhenti menulis. dia kematian idea. karim menyandarkan badan pada kerusi dan dia menghidupkan sebatang sigaret. dengan sigaret yang masih tersepit di celah jarinya. karim kembali menyambung tulisan hingga ke akhir:



.........................popo akhirnya sedar rokok itu banyak membinasakan hidupnya. jika benar sekalipun rokok itu pernah menemani hampir separuh dari usianya. maka separuh usianya itu telah dirosakkan oleh rokok-rokok itu. sia-sia dan kosong semata-mata.

dengan bersaksikan kotak-kotak rokok kosong yang bergelimpangan, habuk-habuk rokok yang bersisa di atas meja. popo bersumpah pada dirinya bahawa dua hari yang menyeksakan ini akan menjadi dua tahun, menjadi dua dekad, menjadi dua abad ...kalauboleh sampai mati hidupnya berpisah dengan rokok. itu satu keputusan yang padu telah disolusikan oleh popo.



karim tersenyum. siap juga tulisannya itu. dengan bangga karim meraikannya dengan sebatang lagi rokok. ya, hanya perokok mengenal perokok.




notakaki: dua hari der...ingat senang ke.

12 Mei 2011

popo

"saat kita berpisah, kau genggam erat tangan ku, ....."

radio transistor buruk itu berhenti berbunyi. lampu led merah tidak menyala. malam kembali sunyi. Popo bangun dari lantai papan. bersila menghadap radio transistor itu. ditepuk-dua tiga kali radio itu. haram jadah tidak berbunyi. bateri dikeluarkan dan terus dicampakkan ke tengah-tengah sungai pahang.

sebuah bot mudik ke hulu. rumah rakit itu teroleng-oleng di pukul gelombang.

popo baring kembali. dia menangis. tangisnya ditekan-tekan di dalam hati. supaya tiada siapa yang dapat mendengar.

"popo, popo, jom balik nak, nanti abah beli lai ci kang kat pasar malam." suara parau memanggil popo dari tebing sungai pahang.

"popo nangis pun tak guna, dah takdir Tompok nak mati hari ni, mari balik nak" ini suara ibunya pula memujuk.

popo bangun perlahan-lahan. air mata yang bersisa diseka dengan lengan baju tidur gambar ben 10. popo nampak bulan pada perut langit. dalam imaginasi popo, popo tengah nampak tompok berlari-lari riang dengan neil armstrong dekat permukaan bulan, main tuju selipar. tersedu-sedu popo tahan diri dari menangis lagi.

ayah popo cempung popo. mak popo kesat muka popo pakai tuala good morning.

"alangkah indahnya bulan malam ni," bisik popo.




10 Mei 2011

tanpa tajuk 1

semalam mencari hidup,
hari ini mencari hidup,

oh,
kita sering terlupa,
selepas hidup ada apa?

surat khabar (akhir)

Udara petang itu benar-benar hangat. rumah beratap zink ini sudah serupa dengan ketuhar. memanggang batang tubuh pak abu sekeluarga. hangatnya mencucuk kulit. keringat yang mengalir tidak berhenti ternyata tidak dapat menyejukkan tubuh.

matahari telah jatuh senget sedikit ke barat. tetapi pancaran tetap terik.

ali menghayunkan sebatang lidi, pada hujung lidi itu diikatkan sehelai perca kain panjang. tompok dari tadi terhendap-hendap di belakang tin cat yang dijadikan pasu bunga. ali tersenyum, dia semakin galak menghayunkan lidi berperca kain itu, mengumpan tompok yang sudah tidak sabar-sabar itu.

tompok menerkam seperti seekor harimau menerkam rusa di rimba banat. tetapi tersasar. tangan ali lebih incah dari anak kucing yang masih lagi menyusu kantung susu ibunya itu.

"ali, mari baca surat khabar ni,"

"kejap abah,"

"mari, hantar tompok ke dapur, biar dia menyusu dengan mak dia."

diam. tiada sahutan lagi. sedar-sedar, ali muncul di muka pintu beranda. terus duduk menghadap ayahnya. mak minah juga keluar ke beranda rumah. tidak tahan dia menahan panas di dalam rumah. angin yang berpuput lembut di beranda ini sedikit menyamankan ketiak dan tubuhnya yang melekit kepanasan.

mereka sekeluarga berkumpul di ruang beranda yang kecil itu. pak abu bersandar pada sudut kanan pintu, memutar rokok pucuk yang segan-segan mahu berasap pada mulutnya. mak minah dan kakak ali duduk betul-betul di muka pintu, masing-masing berkipas dengan helaian surat khabar lama. ali duduk ditengah-tengah lantai beranda menekuni helaian surat khabar. abangnya yang darjah enam itu pula tiada di sini, sesudah mengisi perut dengan nasi terus dia kembali sekolah untuk kelas tambahan.

"L . I . W . A . T" perlahan-lahan ali mengeja.

"abah, liwat tu apa bah?" ali bertanya kepada ayahnya.

Pak abu diam. dia memandang mak minah. mak minah juga diam sepertinya. apa soalan yang ditanya ni. mahu cerita atau apa. belum masanya fikir pak abu.

" baca yang lain lah ali, " arah pak abu.

helaian-helaian kertas itu diselak-selak lagi. selepas dua tiga helai ali berhenti pada satu muka surat. dia mengamati satu gambar dan mula mengeja aksara-aksara yang tercetak pada muka surat itu.

"video seks apa bah, ni ada gambar orang macam tak pakai baju?" soalan lain terpacul pada mulut ali.

Pak abu pandang mak minah, mak minah pandang pak abu. soalan ali tidak dijawab.

"ali dengan kakak pergi angkat baju dekat ampaian, kering dah rasanya" arah mak minah.


ali dan kakaknya bingkas bangun dan berlari ke belakang rumah.

"apa surat khabar ni tulis cerita macam ni, esok aku tak beli dah surat khabar ni," nekad pak abu.

"tapi bang kalau abang tak beli surat khabar, saya nak balut nasi lemak pakai apa nanti."

pak abu hanya mampu terdiam.

TAMMAT


nota kaki :
Politik tanpa akhbar ibarat kerajaan tanpa tentera dan tentera tanpa senjata. keputusan sport toto, result bola dan waktu semayang boleh la percaya. lain-lain berita tu baca banyak kali der. akal yang ada, gunalah untuk menilai yang betul dan salah...


6 Mei 2011

surat khabar 2

wajah pagi di kampung yang terasing ini sangat berbeza dengan kota-kota besar. ternyata di kampung ini tiada pekikan kenderaan yang meraung-raung memuntahkan asap yang menyesakkan. tiada juga umat manusia yang berpusu-pusu, berkejar-kejaran mengejar hidup. kampung ini jauh dari semua lakonan itu.

yang ada hanyalah wajah tenang anak-anak kecil yang menuju ke sekolah. membelah kesejukan pagi untuk secangkir ilmu. mungkin ada kalanya mereka terkejar-kejar, tapi apalah sangat yang hendak dikejarkan. takkan lari sekolah itu jika dikejar sekalipun.

"hari ni lambat benar kau hantar nasi lemak abu?"

"anak aku buat hal pagi-pagi tadi, tak mahu ke sekolah pula, puas dipujuk baru mahu pergi," pak abu menyahut soalan pak ndak itu.

bakul nasi lemak ditaruh pada meja di depan warung. pada sudut kiri meja itu ada sebuah rak. tersusun helaian naskah surat khabar pada rak itu. seperti kebiasaan, seperti hari-hari sebelumnya. pak abu mencapai satu naskah bagi setiap keluaran yang berlainan. utusan satu , kosmos satu, berita hairan satu.

"masuk sekali dalam duit nasi lemak ye, pak Ndak." ujar pak abu sambil melipat-lipat helaian surat khabar itu. Pak ndak tokey warung kopi itu tersenyum sambil menganggukkan kepala.

surat khabar itu pak abu kepit di celah ketiak. dia sudah berkira-kira mahu meninggalkan warung itu. takut-takut , nanti terlewat sampai ke kebun untuk menoreh.

"kau ni abu, beli surat khabar sampai dua tiga jenis buat apa. membazir saja aku tengok. "

kata-kata lebai karim ini mematikan langkah pak abu. pak abu cuba untuk mengukir senyuman.

"hey abu, setahu aku kau ni bukan pandai membaca pun. kau beli banyak-banyak buat apa. nak buat sarung buah pisang ke. kah kah kah?" sampuk din cabang pula.

din cabang dan lebai karim ketawa besar. kata-kata din cabang itu benar-benar menggeletek hati mereka.kopiah lebai karim entah tercampak kemana sudah. pak abu sudah bertukar air mukanya. kurang senang dengan kata-kata itu. juga kurang senang dengan ketawa yang terbarai itu.

"aku beli untuk anak-anak aku, anak-anak aku tahu membaca."

pak abu pun pergi tidak menoleh lagi. ketawa mereka terus berbunga. dalam menahan senak ketawa itu din cabang berkata lagi.

"anak ngan bapak bukan 2 kali 5 je ke..kah kah kah," mereka ketawa dan terus ketawa.

pak Ndak yang melihat dari jauh hanya mampu menggeleng kepala.


bersambung>>>>

3 Mei 2011

surat khabar.

Pak abu membuka jendela pagi dengan melihat langit timur yang baru mahu membuka mata. jalur-jalur cahaya itu menembusi dedaun kelapa yang melambai-lambai malas dihembus angin pagi yang sejuk.

pak abu menghirup nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan-lahan. terasa lapang hidupnya saat itu. masalah tentang hidupnya terasa seperti terbang satu persatu.

" bang, tengok si ali ni, tak mahu ke sekolah dengan kasut lama. cantikkan lagi kasut dia tu....bla...bla," suara mak minah berleter di dapur. mulutnya terkumat-kamit tak mahu henti-henti.tetapi, tangannya dan matanya, ligat pula mencanai lempeng di atas kuali.

si ali mencangkung di atas lantai. kepala batunya itu disorokkan antara dua kepala lutut. ada sendu tangis kedengaran.

"nanti, nanti dah jual getah abah beli baru.." janji yang sama dijual.

dan seperti biasa anak kecil ini tetap percaya pada setiap janji itu. bagi anak kecil ini janji sepasang kasut baru sudah cukup memenuhi angan-angannya. sudah cukup memujuk anak ini untuk bangun, kembali bersemangat untuk pergi ke sekolah. nasib anak bongsu memakai lebihan abang akak, itu biasa.

mak minah tetap bising mulutnya. itu tak kena, ini tak kena. tapi tangan dan seluruh aggota tubuhnya ligat bekerja. beg si kecil diletak di muka pintu, bekal si ayah dibungkus, bekal si anak dibungkus, nasi lemak untuk jualan siap tersedia, bantal hapak yang bergelimpang di ruang tamu diselit-selit di muka jendela biar dijamah panas mentari, yang senget ditegakkan, yang kotor dibasuh, yang buruk dibuang, yang berkulit dikupas. (sebenarnya terlalu banyak tugas seorang mak minah yang bergelar suri rumah ini, penat jika mahu ditulis satu persatu).

"ali...mari kita ke sekolah." lemah lembut suara pak abu.

anak bongsunya itu baru darjah dua. kecil tubuhnya. berbeza benar dengan abang dan kakaknya yang di tahun 4 dan 6 itu. apatah lagi kalau dibandingkan dengan tiga abangnya yang sedang bergelut di sekolah menengah. semuanya bertubuh. orang tua-tua kata kalah bersaing barang kali. apa yang kalah dan apa yang disaingkan pak abu tak pasti.

"ali pun nak basikal juga." perlahan sahaja suara ali. tapi suara itu menghiris-hiris jantung pak abu.

"nanti bila abang dah masuk sekolah menengah tahun depan, ali naik basikal dengan akak pegi sekolah ye..."

ali mengangguk lemah, pintanya mati disitu sahaja. pak abu pula tersenyum tawar.




bersambung>>>>


notakaki: gua tak tau cerita ni akan bersambung atau tak...demm!!