2 Jul 2012

Gentar

Hari ini, sewaktu pulang dengan kereta dari makan malam di sebuah kedai makan di Pantai Dalam, saya dan beberapa sahabat yang lain terserempak dengan mata-mata gelap yang membuat sekatan jalanan. Betul-betul di hadapan Bangsar South. Kelip lampu neon yang biru itu terlihat sejak dari kejauhan lagi.

Ketika itu, saya duduk di belakang, jadi saya buat-buat tenang saja. Rakan saya yang dihadapan itu kalut mencapai tali pinggang keledar. Yang duduk di bahagian penumpang hadapan itu paling kalut, atau dia gagal menyembunyikan kekalutannya itu, sebab dia seorang sahaja tidak memakai tali pinggang keledar. Rakan saya yang memandu memang siap memakai tali pinggang keledar sejak dari awal lagi. Tali itu ditarik kasar, tapi tersekat kerana memang ia dicipta terkunci apabila disentak kuat.

Lalu saya dan rakan yang lain di belakang ketawakan dia semahunya. Wajahnya benar-benar cuak. Ini saya tidak tipu. Mujur ada tiga biji kereta lagi sedang beratur dihadapan hendak melalui sekatan itu. Kalau tidak, pasti dia kena saman.

Saya bukan mahu cerita apa sangat sebenarnya. Juga tidak mahu kompelin pasal sekatan jalan itu. Kerana  pada saya, itu memang tugas pihak polis untuk menjaga keselamatan. Mungkin (sekatan jalan itu) mereka mencari penjahat atau memang sengaja diadakan sekatan begitu, supaya orang macam kami yang tak suka pakai tali pinggang keledar dan ingkar undang-undang ini akan automatik memakai tali pinggang keledar dan patuh pada undang-undang jalan raya.

Saat tersedar ada sekatan jalan raya itu, saya terfikir, saya terbayang. Jika yang saya nampak dihadapan saya itu bukan sekatan jalan, sebaliknya kematian. pasti saya lebih gentar dari sekadar melihat sekatan jalan. Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Tetapi malang. Tidak dapat dibayangkan.

Lihat, rakan saya memandu kereta tenang sahaja kerana dia memang telah bersedia. Memakai tali pinggang keledar walaupun dia sebenarnya tidak tahu pun kami akan menempuh  roadblock hari ini. Tetapi rakan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar itu memang cuak dan gentar. Kerana dia tidak bersedia dan takut terkena hukuman oleh mata-mata itu  nanti. Mujurlah dia sempat walaupun sudah di saat-saat akhir.

Disaat hujung kehidupan kita baru sibuk mahu menambah amal dan ibadat. 

Saya tidak mahu kata orang lain. saya mahu kata pada diri saya sendiri. Saya sendiri sering terfikir, saya masih muda dan apa salahnya masa yang muda ini saya enjoy puas-puas. Apa yang terjelma dalam fikiran saya ini membayangkan semacam saya tahu hidup saya ini pasti akan sempat menempuh umur tua. Padahal, entah-entah esok ajal saya sudah sampai. 

Cuba bayangkan, sedang kita memandu dilebuh raya. Tiba-tiba kita terpandang sebatang papan tanda. Kita baca, dan rasa ianya memang ditujukan pada kita.

KEMATIAN ANDA, 100 METER

Apa rasa dalam jiwa anda. Ingat lebuh raya tak boleh buat pusingan U. Samakah kegentaran jiwa kita mengingat mati dengan kegentaran ketika hendak melalui sekatan jalan polis dengan tidak memakai tali pinggang keledar + cukai jalan tamat tempoh + tiada lesen memandu.