23 Ogo 2014

Tembikai

Angin membadai kencang dari timur. Membadai dari tengah perut lautan sulu yang pastinya sedang bergelora ganas. Dingin angin itu dengan kasar menyusup dari celah tingkap yang tidak dapat ditutup rapat dek kerana dimakan tagar, menyebabkan asbak yang diperbuat daripada tin milo itu jatuh ke lantai menghamburkan isi perutnya. Habuk rokok dan puntung bergolek-golek disapu angin. Pintu dapur sudah dua tiga kali dihempas angin yang liar itu. Karim masih diam beku di depan rumah. Bunyi bising di dalam rumah dibiarkan sahaja. Dia termenung dan merenung. Merenung ke hadapan rumah. Merenung jauh melimpasi padang bola yang bertiang beruti dari kayu terisai yang disatukan dengan wayar bumi berwarna hijau kasar. Jauh lagi melimpasi semak dipinggir padang itu, melimpasi pantai di balik padang, malah melimpasi laut hingga seberang.

Akhirnya, awan hitam yang bergumpal di perut langit tidak lagi dapat menahan isi perutnya. Rintik hujan turun dengan penuh patuh akan aturan dari tuhan. Setitik, dua titik, tiga titik dan lalu terus melebat dan memutih. Padang dan semak di hujung itu terus kabur ditelan lebatnya hujan yang mencurah. Angin yang bertiup garang yang merenjis hujan ke depan rumah itu akhirnya mengalahkan asyik mabuk karim bermenung. Dia bangun, mahu menutup pintu dapur, mahu mengemas asbak yang terburai isi perutnya, mahu menadah air yang tiris dan lalu mengunci diri di dalam bilik dan sambung bermenung.

"Ustaz!!"

Karim tidak dengar. Lebat hujan menulikannya.

"ustaz!!"

Buat kedua kali yang lebih lantang dan terang. Karim menjenguk ke bawah kulung. Seorang muridnya sedang kebasahan dan kesejukan.

"ha, ada apa wiwi,"

"Tembikai,"

"apa,"

"tembikai ustaz,"

"haa, oh, bawa naik atas,"

Anak kecil itu terketar-ketar memanjat tangga. Sebiji buah tembikai sederhana besar dipeluk erat.

"Kau jual?"

Wiwi menggeleng. Dia menyeka titis hujan yang menganggu matanya dengan punggung tangannya.

"Siapa kasi?" soal Ustaz Karim lagi.

"aku kasi ustaz, hadiah hari guru," wiwi tersenyum, menyerlahkan gigi putihnya yang tidak tersesusun dengan baik.

"terima kasih,"

Tembikai bertukar tangan. Dan semerta wiwi meminta diri.dia berlari-lari lalu menghilang dalam celah rintik hujan yang semakin lebat. Karim tiba-tiba sebak. Pilu pukul-memukul hatinya. Jauh dari fikirannya yang si wiwi akan datang dalam hujan ini kerana ingin menghadiahkannya sebiji tembikai. Ombak keharuan melanda pesisir jantungnya. Nyaris-nyaris dia kebasahan dengan air atanya sendiri.

Bersambung...


3 Feb 2014

warung kopi

Malam 29 Muharam. Hari terakhir dalam bulan muharam seperti tercatat dalam almanak islam. Malam nan gelap dan pekat. Sepekat kopi likat di Warung Kopi Haji Ibrahim. Malam hitam tanpa suluh bulan dan kerlip bintang adalah sejenis malam gelap yang menggerunkan. Angin syahdu yang berhembus dari timur bersemilir ke arah barat membawa hawa sejuk hujan dari tanah timur duga Haji Ibrahim. Di desa ini tidak hujan, tetapi tajam hawa sejuknya mencengkam tembus ke tulang hitam.

Kopi pahit yang panas berasap diletak di depan Samad. Samad tidak endah. Tiada terima kasih buat berbahasa. Haji ibrahim tak kisah. Mungkin samad teruja pada gambar di perut televisyen. Mata Samad tertancap kemas pada wajah pembaca berita di perut televisyen. Begitu juga Haji Ibrahim. Menjilati perut televisyen itu dengan sesungguh-sungguh hati. Wanita berambut potongan pendek itu mengatakan tentang kenaikan harga barang disebabkan oleh pemotongan subsidi. Bukan disebabkan kenaikan harga barang.

"puihhh," tiba-tiba Samad meludah kahak kental. Tekaknya mual disumbat kata-kata wanita berambut pendek di perut televisyen.

"sama saja la tu, subsidi dikurangkan harga barang naik la," matanya yang bundar seperti ikan ujie rashid itu merenung satu-satu wajah di warung kopi itu. Seolah-olah menghantar kiriman cabaran kepada sesiapa yang mahu mematahkan  hujahnya.

Ada ketawa kecil dari depan kedai, dari atas pangkin tempat gelanggang mengadu tentera hitam putih berkepala botak.

"hekhek," ketawa si Sudin.

Ahhh, Sudin Pungkar. Sudin bukan penjilat buntut kerajaan dan bukan juga pentaksub pembangkang. Manusia ini otaknya ada batu api, Pantang tengok orang marah lagi suka dia mencurah minyak. Pantang tengok orang putus harap lagi dipatahkan tiang-tiang semangat yang bersisa. Pantang ada orang membuka gelanggang dia buka pencak tanpa diundang. Semua itu dilihatnya kelakar. Lebih lagi si Samad ini. Perengus nombor satu di kampung terpencil ini. Dari peduk bawa ke teluk semua orang kenal Si Samad. Lagilah suka si sudin menghulur umpan.

Jarang-jarang si Samad melapor diri di warung ini. Kalau bukan kerana musim angin timur yang mengandung hujan ini, pasti batang hidung Samad tidak nampak di warung ini. Pasti siangnya dia bercumbu dengan batang getah dan malam menenun layar mimpi di rumah. Kepenatan.

"Inilah otak kolot, mengharapkan subsidi sahaja, sampai ke anak cucu menoreh getah ajelah kamu kalau macam tu pemikirannya,"

Tanam getah nak bantuan, tebang getah nak bantuan, anak sekolah bantuan, itu ini nak bantuan... semua nak mudah,"

Peluru tabur mengena. Samad pandang tepat ke mata sudin, kening kanan bertemu kening kiri, berkerut-kerut. Sudin buat tak endah. Dia ketawa hekhekhek dan terus sahaja menyusun bala tentera botaknya. Lawan beradunya pula seperti takut-takut pada renungan si Samad.

"sudah tanggungjawab kerajaan menjaga nasib rakyat sudin," Haji Ibrahim tumpang sekaki diskusi hal negara yang tiada solusi kalau setakat diomong di warung kopi.

kalau asyik bebankan rakyat serah pada orang yang sudi, negara kita negara demokrasi," lembut dan penuh kelunakkan haji ibrahim menyambung.

Samad serupa terminum adrenalin perisa ketum. Tenaga untuk berhujah naik bertingkat-tingkat.

"haaah...kamu dengar tu Sudin. Itu tanggungjawab pemerintah, lagi pula, kita ni bayar cukai, kita berhak tahu, kita ada suara, kerajaan bermewah dengan duit negara boleh pula, tapi nikmat subsidi untuk rakyat nak diambil, mana keadilannya,"

"Bila masa kamu bayar cukai pula Samad, rokok kamu tu pun rokok seludup, tanah pun menumpang, motor buruk kamu tu entah ada entah tidak roadtaxnya...hekhekhek" Sudin ketawa mengilai. Dua tiga yang lain ada juga mahu terpecah hilainya. Tapi cepat pula mereka menyumbat tawa itu di dalam perut mereka kembali. Takut nanti ketawa mereka mengundang marah si Samad.

Samad mengunci gigi. Geram sungguh dia mendengar ketawa hekhekhek sudin. Wajah sudin itu sudah dia lihat seperti pelan getah. Mahu sahaja dia menoreh-norehnya dengan pisau penorehnya yang paling tajam.

Pang!!! dia menampar meja, dua tiga yang lain menepi. Cawan kopi terlungkup macam tempurung.

"aku balik dulu Haji, tak guna layan dia ni," Samad tinggalkan duit dengan tamparannya itu.

Sudin terus ketawa hekhekhek.

Sudah reda geli geletek di hatinya barulah dia bersuara semula.

"aku pun nak baliklah haji, letih aku ketawa hari ni. kira haji."

"semua lima ringgit"

"hah, mahalnya,"

"harga gula naik,"

"baru dua posen naik"

"GST enam persen"

"melampau,"

"nak bayar tak nak?"

"masuk buku,"

Sudin tak ketwa hekhekhek lagi. Kesal.