25 Mac 2011

kanak-kanak

kanak-kanak adalah makhluk tuhan yang tidak pandai menipu. tutur dan laku mereka disimpuli dengan keikhlasan yang tulus. tidak palsu.tidak pula plastik. saya akuinya sesungguh hati saya.

"cikgu ni hensemlah,"

saya tersenyum.

sebab itu saya akui ketulusan hati kanak-kanak ini dengan tidak ragu-ragu lagi.


notakaki: gua sewaktu sekolah rendah selalu kelentong cikgu kata mahu ke tandas tapi merayau-rayau cari belalang kunyit di padang.

21 Mac 2011

nota kecil untuk libya

bersatu kembali saja kawan,
musuh yang satu ini lebih wajib ditentang,
jangan biar mereka semua bebas terbang,
pada ruang yang mereka larang,

lastik burung-burung tempur mereka dengan buah bedil yang yang paling tajam.

19 Mac 2011

anak 3

sejuk malam itu menikam-nikam tubuh kudin. kesejukan sebegitu rupa, ditambah pula duduk terlalu lama merupakan beban yang sangat berat buat tubuh tuanya. kakinya diluruskan. senapang patah perlahan-lahan di sandarkan pada busut anai-anai. lutut yang sudah tua itu di ketuk-ketuk dengan penumbuk kanan. kudin mengeluh berat.

"kau nak jadi apa abu? penat-penat aku berhabis duit sekolahkan kau sampai masuk U. tapi, tak sempat habis U, kau balik rumah, nak berenti. mudah jawapan kau, kau dah ada keputusan muktamad kononnya."

abu diam dan tunduk memandang nasi di dalam pinggan. perlahan-lahan kepal nasi itu disumbat ke dalam rongga mulutnya. mak limah di sisi diam sahaja, tak berani hendak bersuara.

"sekarang kau mahu jadi apa, tahu pula balik rumah hendak memerut. bukan kau pandai nak bagi seringgit dua dekat aku,"

baran kudin pada petang itu tidak tertahan-tahan lagi. semuanya dihamburkan. abu serupa tadi juga, merenung kosong ke dalam pinggan, menyumbat mulut dengan nasi yang sudah hilang rasa enak.

kudin menampar pipi yang dijamah nyamuk. tamparannya tersasar, nyamuk terbang dan cuma pipinya sahaja yang sakit. dia bingkas bangun berdiri. kaki, pinggang dan tangan di kejang-kejangkan. berbunyi segala sendi yang ada ditubuhnya.

matanya meliar menjamah seluruh ceruk kebunnya. kelihatan, semuanya ditutupi kegelapan. kudin menyuluh dengan lampu picit ke setiap penjuru pagar. haram seekor binatang perosak pun tidak berbayang. kerbau tidak ada. babi pun tidak ada. beruk dan kera apatah lagi.

"babi betul...barangkali binatang ini semua sudah tahu aku menunggu di sini malam ini," kudin berbicara sendiri.

rokok pucuk di pasang pada bibirnya. hisap dan hembus. asap rokok itu berputar-putar dan semakin hilang dihembus angin malam. dan ingatan kudin turut berputar-putar kembali.


bersambung>>>

12 Mac 2011

anak 2

ingatan kudin beralih pula pada kelaku buruk anaknya yang dikasihinya itu. dalam kemarahan dan benci yang ditunjukkannya, ternyata pada hakikatnya dia amat mengasihi anak lelakinya. biar seburuk mana tingkah seorang anak kasih seorang ayah mana yang akan padam. tidak sekali-kali.

kudin mula terkenang-kenang lembaran masa lalu yang pasti tidak boleh diulang kembali. dia akui dia bukan seorang bapa yang mampu menaburkan kemewahan kepada anaknya. dia cuma seorang penoreh getah yang hari-harinya terpaksa bergelumang dengan seribu macam dugaan hidup.

tetapi, itu tidak bermakna kudin tidak berusaha. siang malam dia cuba mencari biaya untuk kehidupannya anak beranak.

kudin bukan orang yang berpelajaran. dia tidak tahu membaca jauh sekali menulis. kejahilan dirinya itu telah menyedarkan kudin mengenai hidup. kudin telah belajar dari kemiskinan ilmunya itu. dan kudin tidak mahu anaknya juga miskin harta dan ilmu sepertinya.

oleh itu, soal pelajaran anaknya menjadi persoalan pokok dalam hidup kudin, terutamanya ilmu agama. biar dia tidak makan tidak mengapa, biarlah dia hanya memakai baju bertampal, asalkan keperluan anaknya mencukupi. walaupun, tidaklah semewah anak-anak datuk yang kaya raya. tapi keperluan pendidikan anaknya itu sedaya upaya diusahakan. setakat mana yang mampu digapainya.

tetapi, tidak pula bermakna kudin seorang ayah yang memanjakan anak. kudin percaya jika anaknya berbuat salah, anaknya itu perlu dihukum. dan dia mahu dia sendiri yang akan menjatuhkan hukuman.

kerana kudin juga percaya, kasih dan sayang tidak selalu enak dan nyaman. adakalanya kerana kita kasih dan sayang kita terpaksa menyakiti. kudin genggam fikirannya itu kemas-kemas sepanjang hidupnya.

permulaan hidup kudin sebagai seorang bapa ternyata sangat indah, walaupun di dalam serba kekurangan. melihat seorang insan yang bergelar anak membesar di dalam perlindungannya adalah suatu perkara yang sangat membahagiakan. anaknya adalah anak yang baik. juga seorang anak yang bijak.

setiap hari selepas sujud kepada tuhan (lima kali sehari) kudin memanjatkan doa supaya tuhan memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kepada anaknya. dunia dan akhirat. kudin berdoa bersungguh-sungguh. bagi kudin kesejahteraan hidup anaknya adalah kesejahteraan hidupnya juga. begitulah sebaliknya.

deruman kapcai abu memecah kesunyian pondok buruk mereka sekeluarga. kudin memandang tajam wajah anaknya itu. abu yang kusut masai tersengih menampakkan barisan giginya yang kekuningan.

"assalamualaikum..." abu melaung dari anak tangga.

"waalaikumusalam.." sayup-sayup mak limah menyahut dari dalam rumah.

kudin yang berada di muka pintu terus melangkah ke dalam. bersandar pada tiang seri rumahnya dan terus memamasang api pada rokok pucuknya.

tiba-tiba rasa marah itu memuncak kembali. anaknya, abu yang melintas di hadapannya langsung haram tidak dipedulikan.


bersambung>>>


2 Mac 2011

anak

sejuk malam itu menikam-nikam hingga ke tulang hitam. embun mula menitik-nitik membasahi bumi yang diselimuti gelap malam. kegelapan malam dan kesunyian itu mula memagut-magut jiwa kudin.

kesunyian, keseorangan adalah penderitaan yang amat dalam untuk dilihat mata kasar. dan jika dibiarkan boleh memunah jiwa. kudin sendiri tidak mahu kesunyian. tidak mahu keseorangan. tapi hari ini dia terpaksa juga. dirinya sudah lelah untuk bersabar. sabarnya sudah musnah dimakan api amarah.

kudin memasang telinga. sekali sekala cengkerik dan sang pungguk bersahutan. tetapi sedikitpun tidak menghiburkan dan mengubat kesunyian Kudin. kesunyian terus bertambah sunyi, malahan bercampur seram.

kudin diam di celah busut tua betul-betul ditengah kebun getah yang diusahakannya dengan sepenuh hatinya itu. matanya tertancap kemas ke arah pagar kayu leban yang terpacak utuh di hadapannya. sekejap-sekejap dia memicingkan matanya. namun mata tuanya hanya mampu melihat latar malam yang penuh dengan warna hitam.

kudin tidak akan lepaskan sesiapa pun kalau ada yang mahu memokah pagar kayu leban dan memulas pucuk anak getahnya malam ini. anak getahnya yang di beli dengan harga RM 2.80 itu di sayanginya lebih dari dirinya sendiri. itulah nekad kudin malam ini, tiada belok-belok lagi.

kudin merenung langit malam yang tiada berbulan. renungan kosong itu membawa ingatannya kepada perbualannya dengan isterinya petang tadi.

"aku malu ada anak serupa si abu itu," berat kudin melepaskan keluhannya.

mak limah cuma diam. mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.



bersambung>>