Memaparkan catatan dengan label merapu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label merapu. Papar semua catatan

7 Okt 2011

tipu

Asap berkepul serupa awan. Berarak indah memukau mata.

"kalau benar hari esok naik harga lagi, aku berhenti. Khalas.  noktah," berdegar-degar bunyinya.

Lagi sekali Samad menipu dirinya sendiri. Esoknya langsung jauh dari berhenti, tapi rokok murah pula di cari buat galang ganti. Cukup seminggu dia punya selera dengan rokok murah kurang tembakau rasa kelat itu sudah tumpul. Dicari juga rokok mahal bertembakau padu itu. Mahal pun mahallah.

Tidak sanggu membiarkan tekaknya loya jika tidak diasap rokok. Tidak selesa sistem penghadaman campur tidak berjalan lancar jika makan, mulut tidak dicuci dengan asap rokok.

Skrip yang sama diulang siar. Pui.


15 Sep 2011

Puaskan Hatimu

Saya sangat jarang tidak berpuas hati dengan hidup saya. Sangat jarang tidak bermakna saya tidak pernah tidak berpuas hati. Mungkin pernah dan pernah lebih dari sekali. Mungkin juga banyak berkali-kali, tapi saya cuba lupakan supaya saya tidak menyusahkan hati saya.

Sejujurnya, terlintas perkara ini di dalam batu fikiran saya kerana saya baru saja tidak berpuas hati. Saya berfikir perkara ini agak lama, tetapi tidaklah sampai tidak kenyang makan dan hilang nikmat tidur.

Setelah habis sebatang rokok, saya buang rasa itu dalam tong sampah.

Kita selalu tidak berpuas hati kerana sesuatu perkara itu tidak selari dengan keinginan kita, tidak selari dengan nafsu kita. Jadi, kita sentiasa tidak senang. Hati kita tidak senang. Jadi untuk itu saya akan berpuas hati saja dengan apa yang saya terima. Sekurang-kurangnya saya masih ada masa untuk tersenyum dari mencuka bermasam muka.

P/s: "Saya" dalam repekan di atas tidaklah melambangkan diri saya. "Saya" dalam repekan di atas juga tidak mewakili sesiapa sahaja. "Saya" dalam repekan di atas adalah semata-mata saya. "kita" dalam baris kata diatas juga tidak melambangkan anda dan saya. "kita" dalam baris kata diatas adalah semata-mata "kita"

8 Ogo 2011

pilihan

dalam kehidupan ini, kita sering terpaksa memilih. katakan apa sahaja, kita sememangnya dicipta untuk memilih. kita terpaksa memilih apa yang mahu dimakan, memilih baju yang mahu dipakai, memilih teman hidup misalnya.

dan sepanjang hidup saya yang baru setahun jagung ini, saya juga sering terpaksa membuat pilihan. jujur saya katakan, saya sebenarnya tidak suka membuat pilihan. kerana memikirkan pilihan yang baik sangat memenatkan kepala batu saya. saya bukan orang yang suka berfikir. jadi, terkadangkala saya biarkan sahaja orang yang saya percayai yang membuat pilihan. bagi saya itu lebih mudah. biar mereka saja yang berfikir.

tetapi sejak saya semakin besar, saya terpaksa juga dengan rela mengatur pilihan saya sendiri. kerana saya mula sedar , setiap pilihan pasti ada akibat yang akan menyusul. dan buruk baik akibat itu, semuanya akan ditelan saya sendiri juga.


percayalah, membuat pilihan bukannya mudah. mungkin bagi orang lain ia mudah. tetapi tidak bagi saya. kerana, saya takut memilih pilihan yang bukan untuk saya. saya takut salah memilih. jadi saya pejamkan mata , saya gapaikan tangan. mana yang dulu lekat yang itu saya ambil. selalunya begitulah. dan selalunya tiada masalah. dan saya harap akan datang tetap tiada masalah. harap-harap.


29 Jul 2011

kekasih

dulu dia selalu mengejar, sekarang dia pula yang mahu lari. hidup sebenarnya jangan ribut-ribut. jika sampai masanya, memang tidak ke mana.


entah kenapa jiwa samad tidak tentu hala. mahu dibuka kunci pintu, kunci motosikal yang di bawa keluar. mahu mandi, sejadah pula yang diletak di atas bahu. samad runsing dengan dirinya.

hari ini hari yang serba sial buat samad.

"kau ni , kenapa mat," kawannya karim menegur sewaktu dia membuang khayal di koridor asrama.

samad senyum sahaja. rakannya karim duduk disebelahnya, bersama-sama menonton pohon-pohon agam berbunga kuning berjoget-joget ditiup angin. angin petang itu tidak menentu, sekejap ribut ke barat, sekejap ribut ke timur. angin ini serupa dengan jiwa samad, serba tidak menentu. dari timur berbalam-balam kilat ditengah awan yang membusut hitam.

"aku kadang-kadang cemburu tengok orang lain," samad seperti tak cukup nafas. kata-katanya tersekat di rengkung. dia cuba menelan-nelan buah halkumnya. tapi tidak kemana. sejak azali buah halkum memang sudah di situ.

karim hairan. kenapa dengan kawannya samad ini. macam perempuan bermadu pula hendak bermain cemburu. dia tidak faham kata-kata rakannya itu, tapi tidak pula dia menggeleng. cuma tangannya sahaja liar memicit jerawat galak yang tumbuh di pipi kanan. sekali picit, pup jerawat pecah. isi jerawat yang bersekali dengan darah itu diseka dengan lengan baju.

haahhh...samad melepaskan nafasnya yang tersekat tadi.

digonggong sebatang rokok cap winston perisa ringan. di biar tidak bercucuh. samad rasa macho apabila bercakap dengan rokok melekat dimulut. serupa dengan pelakon gangster filem dari hollywood fikirnya.

"yelah, orang lain ke hulu ke hilir berkepit dengan awek, aku apa ada?" mata dibeliakkan kepada karim.

karim senyum, sebenarnya dia mahu ketawa. tapi ditahan-tahan untuk menjaga hati rakannya itu. samad pula meraba-raba pipinya. rambut yang tercacak itu disisir dengan jari.

"aku hensem juga kan karim," samad memandang karim meminta jawapan yang maha jujur. wajahnya serius. nyaris-nyaris kening kiri dan kanan bertemu di atas hidung.



bersambung >>>>>(macam tak sambung da ni...haha)


22 Jul 2011

orang kita



hati mereka sangat halus. saya serius, saya tak tipu.

sk bukit lanjan, 11.23 pagi, 22 julai 2011(sebenarnya gambar diambil pada 20 hb)


18 Jul 2011

poket doremon

sewaktu kecil, saya pernah mempunyai poket ajaib yang serupa dengan doremon miliki. amat senang kehidupan saya sewaktu itu. segala masalah pasti langsai. saya boleh hidup macam raja. tiada masalah mengekori saya setiap hari, jika ada saya seluk dalam poket doremon dan sekelip mata, masalah hilang.


saya fikir lagi, sewaktu saya sedang menjelajah ke zaman dinasor dengan mesin masa.....

kadang-kadang hidup tanpa masalah bosan juga jadinya. tanpa buang masa saya buang poket doremon dalam laut. harap-harap jangan ada siapa yang jumpa lagi.

esoknya saya hadapi masalah, saya tersenyum sahaja. masalah tak selesai pun saya tak kisah. barulah kehidupan namanya.


p/s: masalah terbesar gua sekarang rph tak siap-siap lagi...demmm

10 Mei 2011

tanpa tajuk 1

semalam mencari hidup,
hari ini mencari hidup,

oh,
kita sering terlupa,
selepas hidup ada apa?

22 Apr 2011

kelas.


ruang empat segi ini
sepi kembali,
menunggu penghuni esok,
yang akan datang,
dan akan pergi.

21 Mac 2011

nota kecil untuk libya

bersatu kembali saja kawan,
musuh yang satu ini lebih wajib ditentang,
jangan biar mereka semua bebas terbang,
pada ruang yang mereka larang,

lastik burung-burung tempur mereka dengan buah bedil yang yang paling tajam.

19 Mac 2011

anak 3

sejuk malam itu menikam-nikam tubuh kudin. kesejukan sebegitu rupa, ditambah pula duduk terlalu lama merupakan beban yang sangat berat buat tubuh tuanya. kakinya diluruskan. senapang patah perlahan-lahan di sandarkan pada busut anai-anai. lutut yang sudah tua itu di ketuk-ketuk dengan penumbuk kanan. kudin mengeluh berat.

"kau nak jadi apa abu? penat-penat aku berhabis duit sekolahkan kau sampai masuk U. tapi, tak sempat habis U, kau balik rumah, nak berenti. mudah jawapan kau, kau dah ada keputusan muktamad kononnya."

abu diam dan tunduk memandang nasi di dalam pinggan. perlahan-lahan kepal nasi itu disumbat ke dalam rongga mulutnya. mak limah di sisi diam sahaja, tak berani hendak bersuara.

"sekarang kau mahu jadi apa, tahu pula balik rumah hendak memerut. bukan kau pandai nak bagi seringgit dua dekat aku,"

baran kudin pada petang itu tidak tertahan-tahan lagi. semuanya dihamburkan. abu serupa tadi juga, merenung kosong ke dalam pinggan, menyumbat mulut dengan nasi yang sudah hilang rasa enak.

kudin menampar pipi yang dijamah nyamuk. tamparannya tersasar, nyamuk terbang dan cuma pipinya sahaja yang sakit. dia bingkas bangun berdiri. kaki, pinggang dan tangan di kejang-kejangkan. berbunyi segala sendi yang ada ditubuhnya.

matanya meliar menjamah seluruh ceruk kebunnya. kelihatan, semuanya ditutupi kegelapan. kudin menyuluh dengan lampu picit ke setiap penjuru pagar. haram seekor binatang perosak pun tidak berbayang. kerbau tidak ada. babi pun tidak ada. beruk dan kera apatah lagi.

"babi betul...barangkali binatang ini semua sudah tahu aku menunggu di sini malam ini," kudin berbicara sendiri.

rokok pucuk di pasang pada bibirnya. hisap dan hembus. asap rokok itu berputar-putar dan semakin hilang dihembus angin malam. dan ingatan kudin turut berputar-putar kembali.


bersambung>>>

12 Mac 2011

anak 2

ingatan kudin beralih pula pada kelaku buruk anaknya yang dikasihinya itu. dalam kemarahan dan benci yang ditunjukkannya, ternyata pada hakikatnya dia amat mengasihi anak lelakinya. biar seburuk mana tingkah seorang anak kasih seorang ayah mana yang akan padam. tidak sekali-kali.

kudin mula terkenang-kenang lembaran masa lalu yang pasti tidak boleh diulang kembali. dia akui dia bukan seorang bapa yang mampu menaburkan kemewahan kepada anaknya. dia cuma seorang penoreh getah yang hari-harinya terpaksa bergelumang dengan seribu macam dugaan hidup.

tetapi, itu tidak bermakna kudin tidak berusaha. siang malam dia cuba mencari biaya untuk kehidupannya anak beranak.

kudin bukan orang yang berpelajaran. dia tidak tahu membaca jauh sekali menulis. kejahilan dirinya itu telah menyedarkan kudin mengenai hidup. kudin telah belajar dari kemiskinan ilmunya itu. dan kudin tidak mahu anaknya juga miskin harta dan ilmu sepertinya.

oleh itu, soal pelajaran anaknya menjadi persoalan pokok dalam hidup kudin, terutamanya ilmu agama. biar dia tidak makan tidak mengapa, biarlah dia hanya memakai baju bertampal, asalkan keperluan anaknya mencukupi. walaupun, tidaklah semewah anak-anak datuk yang kaya raya. tapi keperluan pendidikan anaknya itu sedaya upaya diusahakan. setakat mana yang mampu digapainya.

tetapi, tidak pula bermakna kudin seorang ayah yang memanjakan anak. kudin percaya jika anaknya berbuat salah, anaknya itu perlu dihukum. dan dia mahu dia sendiri yang akan menjatuhkan hukuman.

kerana kudin juga percaya, kasih dan sayang tidak selalu enak dan nyaman. adakalanya kerana kita kasih dan sayang kita terpaksa menyakiti. kudin genggam fikirannya itu kemas-kemas sepanjang hidupnya.

permulaan hidup kudin sebagai seorang bapa ternyata sangat indah, walaupun di dalam serba kekurangan. melihat seorang insan yang bergelar anak membesar di dalam perlindungannya adalah suatu perkara yang sangat membahagiakan. anaknya adalah anak yang baik. juga seorang anak yang bijak.

setiap hari selepas sujud kepada tuhan (lima kali sehari) kudin memanjatkan doa supaya tuhan memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kepada anaknya. dunia dan akhirat. kudin berdoa bersungguh-sungguh. bagi kudin kesejahteraan hidup anaknya adalah kesejahteraan hidupnya juga. begitulah sebaliknya.

deruman kapcai abu memecah kesunyian pondok buruk mereka sekeluarga. kudin memandang tajam wajah anaknya itu. abu yang kusut masai tersengih menampakkan barisan giginya yang kekuningan.

"assalamualaikum..." abu melaung dari anak tangga.

"waalaikumusalam.." sayup-sayup mak limah menyahut dari dalam rumah.

kudin yang berada di muka pintu terus melangkah ke dalam. bersandar pada tiang seri rumahnya dan terus memamasang api pada rokok pucuknya.

tiba-tiba rasa marah itu memuncak kembali. anaknya, abu yang melintas di hadapannya langsung haram tidak dipedulikan.


bersambung>>>


26 Feb 2011

jom

udara sepoi-sepoi bertiup. samat dan kudin bertenggek di pinggir sungai kelang yang layak digelar longkang. masing-masing termenung dan merenung jauh. sayup-sayup suara azan asar berkumandang membuatkan mereka hanyut di dalam dunia separa sedar buat seketika.

diseberang sana kelihatan seekor burung gagak menyelongkar isi tong sampah yang melimpah-limpah isinya. gagak itu sesekali bising memarahi seekor anjing tua yang mengganggunya. si gagak bising dengan suara paraunya dan si anjing tua menyalak lelah. mereka berkelahi. dua tiga ekor kucing kurap melarikan diri dari pergaduhan itu.

suara gagak dan anjing itu akhirnya ditenggelami suara kenderaan yang lebih bising.

"mat..kau tahu tak beza kita dengan anjing dan gagak tu,"

"entah...."

"binatang tu tak diwajibkan sembahyang,,, jom pegi sembahyang...hehe" kudin ketawa kecil.

"haha...makan dalam doh.." ujar samat seraya menepuk kepala kudin dua kali.

mereka berjalan beriringan ke masjid jamek.


13 Feb 2011

pemimpin dari kota

berita ini bertiup seluruh kampung serupa ribut membadai. sungguh cepat berita ini merebak. seperti wabak taun di musim banjir, dari kedai kopi hingga ke pondok di tengah paya tempat anak muda melepas gian, semuanya sudah tahu. seluruh penduduk kampung sudah memperkatakannya, anak-anak kecil yang belum bersunat juga tahu perkara ini. tiada pengecualian.

"waibi kita meninggal semalam," bersungguh don dollah bercerita. matanya dibulat-bulatkan.

"aku tahu dah, hari semalam kan? sebab mende waibi meninggal?" tanya kadir jipang mahu tahu lebih dari sekadar tahu.

"otak gagal berfungsi kata orang," atan kicap pula menyampuk tanpa diminta.

semua mengangguk, mengiakan kata-kata atan kicap itu.

datuk waibi ini memang baik orangnya. asalnya orang kampung sebelah. tapi, jarang-jarang beliau datang juga menjenguk kampung ini. tapi kampung ini tetap sepeti dulu. yang ada itu memang ada. tapi sekadar ada, lagipun itu memang sepatutnya ada.

keesokan hari, ramai orang kampung ini ke kampung sebelah. mahu sama-sama solat jenazah di sana. masuk waktu zohor semuanya selesai. arwah waibi sudah selamat di dalam tanah. dan orang kampung cepat-cepat pulang.

ada pula khabar angin yang lain bertiup. angin ini bukan angin ribut. ini angin semilir. lembut dan perlahan ia bertiup mengetuk gegendang telinga. berita yang enak didengar. berita ini datangnya dari tok empat kampung ini sendiri.

"lagi tiga hari pemimpin dari ibu kota akan datang ke kampung kita,"

"kenapa tok?" tanya seorang belia yang sedang asyik mengatur buah dam haji.

"katanya dia akan menguruskan pilihan raya kecil memilih pengganti arwah waibi kita," tok ketua menghirup teh kosong yang berasap perlahan-lahan.

"masakan....cepat sangat tok?"

"soal memilih pemimpin tidak boleh dilengahkan."

semua belia yang ada di situ tercatuk-catuk kepala mereka. mengangguk tanda setuju. dalam kepala tok empat macam-macam perkara mahu diajukan kepada pemimpin dari ibu kota. titi usang di paya perlu diganti dengan titi yang dituang konkrit. jalan berlubang-lubang serupa kena panau perlu diturap. tidak kurang seratus dua akan masuk poket mereka sewaktu kempen pilihan raya kelak. anak-anak belia senyum lebar.

inilah masanya fikir tok empat. inilah kesempatannya.hari ini mereka bersedih. dan hari esok mereka gembira kembali. yang mati tetap akan pergi. yang masih hidup perlu teruskan sisa yang ada, fikir tok empat lagi.

tiba-tiba hati tok empat tersentuh. alangkah kejamnya dunia. tapi inilah hakikatnya. songkok di atas kepala yang miring dibetulkan kedudukannya. teh kosong dihirup sehingga kering.

dalam kepalanya, bermain-main apa yang hendak diajukan kepada pemimpin dari kota besar pada hari esok. anak-anak muda belia pula terus asyik mengira hari, menunggu pemimpin besar dari kota singgah ke kampung mereka.



nota kaki: entahlah. klik sini

26 Jan 2011

dari masjid jamek ke kerinchi....antara gua, tok kenali dan seorang dia

umat manusia berpusu-pusu di stesen lrt putra masjid jamek. ramainya orang di situ macam sebusut anai-anai yang berpindah di musim banjir, sesak dan padat.

dicelah-celah umat manusia yang tak terpermanai banyaknya itu berdirinya seorang gua dan tok kenali. gua dan tok kenali menunggu dengan sabar. seperti kata pepatah orang melayu lama, sabar penghilang penat, tekun membawa dekat.

yang ditunggu tiba juga walaupun lewat kehadirannya itu. pintu terbuka luas dan manusia di dalamnya berpusu-pusu keluar. gua dan tok kenali perlahan-lahan cuba menempatkan diri di dalam perut lrt putra yang sedia sarat dengan umat 1malaysia. akhirnya gua dan tok kenali berjaya juga mencuri tempat yang terhad di dalam kenderaan awam bertaraf negara maju itu.

sebelum lrt ini mula memutarkan rodanya, gua dan tok kenali cepat-cepat mencari tempat berpaut. kami berjaya. dan gua tersenyum nipis penuh kebanggaan.

tetapi gua tiba-tiba hilang jiwa untuk berpaut dengan selesa. begitu juga dengan tok kenali. ianya adalah kerana kedudukan kami telah mengepung satu susuk tubuh yang telah menyesakkan aturan degupan jantung dan pernafasan gua.

pinggangnya ramping, rambutnya ikal mayang, ahhh, gua tak mahu cerita lebih, serius waktu tu iman gua yang nipis hampir mahu melayang.

Lrt ini adakalanya bergoncang berlebih-lebihan. dan perkara ini betul membuatkan gua hairan, apa ada batu ke atas landasan ni? soal gua pada diri sendiri sambil berusaha bersungguh-sungguh dari terpeluk susuk tubuh yang kecil molek di hadapan gua itu. tok kenali hampir pitam menahan diri. apa mahu buat, ke depan terpeluk susuk tubuh yang comel, berundur ke belakang terlanggar saudari mat salleh miskin kain.

cerita diringkaskan.

gerabak lrt yang membawa kami tiba di stesen kl sentral. dan di sini adalah penamat kepada cerita siksa kami berdua. ramai yang berlabuh di stesen ini dan kurang pula yang mahu turut serta bersama kami meneruskan perjalanan menuju ke stesen kerinchi.

ruang sempit kini semakin lapang. susuk tubuh menggiurkan yang dari tadi terkepung oleh kami berdua telah beroleh peluang untuk mengalaskan punggungnya. dia berpaling ke arah gua dan tok kenali . helaian rambutnya yang wangi itu menyapa wajah gua dengan mesra.

si susuk tubuh kini bertentang mata dengan kami. dia tersenyum manis. gua kalah dalam pertarungan mata itu. mahu terburai dan rabak isi perut gua ketika itu. tok kenali tersenyum sinis memandang gua. dia menahan, gua juga cuba menahan.

"stesen kerinchi, next station university" suara manis gadis interkom berkumandang. pintu terbuka dan kami berdua terus melompat keluar.

ketawa yang disimpan di rongga perut tadi pecah berderai, terburai.

tok kenali diri : mati-mati aku ingat dah batal air semayang aku tadi. hahaha

gua : hahaha, body shape cam pempuan kot.kuikui

tok kenali diri : rambut rebonding tu yang tak bleh blah tu. janggut dia terbaik punya...haha

kami ketawa seenaknya.

TAMMAT

19 Jan 2011

pantun

sejak akhir-akhir ataupun secara lebih terperinci di dalam lingkungan dua minggu ini jiwa saya sering berada di dalam situasi yang tidak tentu hala.

seperti kata orang-orang tua dulu yang pandai beralas kata, bak membelah kepayang muda, dimakan mabuk, dibuang sayang. begitulah keadaan diri saya ketika ini. otak saya umpama limbur bercampur baur antara dua kemahuan.

setelah difikirkan dalam-dalam di dalam batu jemala kepala saya ini, saya mendapatkan keputusan bahawa keadaan yang serba-serbi kusut ini adalah disebabkan tekanan dunia kapitalis yang sering memerah kering segala apa yang ada di dalam kocek seluar umat kelas bawahan seperti saya.

namun, setelah difikirkan lebih mendalam....

keputusan ini bukanlah kesimpulan yang mutlak. kerana saya baru tersedar keputusan itu semata-mata adalah keputusan yang dibuat oleh akal saya yang bertuankan nafsu semata-mata. hanya mahu mencari salah (menyelak kain) orang lain tanpa mahu memeriksa kelemahan diri saya sendiri.

masalah hidup saya di dalam dua minggu ini saya terjemahkan di dalam beberapa rangkap pantun yang diambil dari sebuah buku bertajuk Kurik Kundi Merah Saga:

hisap ROKOK dalam kelambu,
terbit asap menjadi abu,
saya umpama golok kayu,
tetak tak lut gadai tak laku,

serindit bulunya bengkok,
bengkok sampai ke jari kaki,
minta sirih diunjuk ROKOK,
ampun maaf, saya nak berhenti,

orang sasau buat kerja,
hisap ROKOK asap berkepul,
kalau pisau kurang baja,
makin diasah makin tumpul,

burung tekukur terbang ke jeddah,
bubuk padang sehelai tak layu,
sirih sekapur tanda penyudah,
ROKOK sebatang bercerai lalu.

notakaki: serius kunfius nak berenti ke tidak...haha

11 Jan 2011

pukul 1 pagi

Aku bukan kumbang rakus,

Dan kau bukan bunga indah,

Cukuplah,

Noktah…

Kita cuma manusia.


notakaki:

jiwang yang amat...

kumbang suka makan daun, tak suka makan bunga.

6 Jan 2011

gone gamaknya....


satu ketika dulu di sebuah daerah di pahang tengah .

"tembak mat! peluru keh dah abis ni"

"kejap la...keh nak isi balik peluru ni, lekat pulok doh..."

suasana pada ketika itu tersangat genting. kami sudah kehabisan peluru. tembakan pihak musuh pula tak pernah kenal erti berhenti. batang kelapa tumbang tempat kami berlindung ini pasti tidak akan kekal lama. kami perlu bertindak segera. seharusnya begitu. kalau tidak kami berterusan tinggal terperangkap di celah batang kelapa yang kian rapuh ini.

pap!pap!pap!

peluru pihak musuh terus menghujani kami. gua terbongkok-bongkok mengintai di sebalik tunggul kelapa yang sudah reput dimamah anai-anai.

"dekme makin dekat mat, kaweh riso dah ni."

"di lari dulu. kang keh follow belakang."

musuh mula datang dari depan. dari dua arah. dari kanan dan kiri kami. semakin lama, mereka semakin mara ke hadapan. dan ketakutan mula memuncak dalam diri gua. tiba-tiba, mamat rakan seperjuangan gua yang tidak kenal erti gentar dengan lipas itu melompat keluar dari celah batang kelapa itu. gua terkejut. mulut gua ternganga luas seolah bertanya "kenapa kau buat tindakan bangang ini"

"lari chu! di lari dulu....biar kaweh tembak deme ni belaka...."

mat menolak kasar badan gua. serius, diri gua pada ketika itu terpisah diantara dua kemahuan. sama ada terus tinggal di sini berjuang dengan rakan gua atau terus lari menyelamatkan diri.

tanpa gua sedari, kaki gua terus laju berlari. meninggalkan mamat. gua sempat menatap wjah mamat. ada titisan murni air mata di pipinya.

gua lari dan lari. tanpa gua sedari gua sedang diekori.

"woiii, berhenti,'' sayup-sayup jeritan kedengaran menegah langkahan kaki gua. gua cuba memandang belakang.


pap!pap!pap!

gua ditembak. malahan terus dikepung. musuh-musuh semuanya ketawa gembira. mamat juga tergelak besar. gua jadi hairan.
-
-
-
-
-
-
-
-
"babi la..main tembak betul-betul, keh tak tembak pun deme lagi," gua gosok kesan bintat di tangan , buntut dan belakang gua. hampir sepuluh bedilan semuanya. penangan buah cenderai memang perit. getahnya habis melekat di seluruh pakaian gua.

"nasib la, sapa suh nak main jugak. kan dah kena.... dah la terkencing dalam seluar...hahaha," abang gua gelak sakan.

gua berlari balik rumah. malu nak cerita, tapi serius..mata gua berair setitis dua.
buluh bedil gua sorok bawah lantai rumah. gua masuk rumah perlahan-lahan.

"mak nak minum milo," ujar gua pada mak gua yang sibuk menggentel adunan tepung dan pisang batu terlebih masak. barangkali hendak dibuat cekodok pisang.

"eh, anak mak dah balik perang ye, pergi tukar seluar tu dulu. basah dah mak tengok" mak gua tersenyum mesra.

terubat rasa kecewa gua kalah dalam medan petempuran tadi bila terdengar suara lembut mak gua. gua pasang tekad dalam hati esok gua cari buah cenderai yang paling besar dan paling bagus untuk menuntut bela kekalahan gua hari ini. gua pandang jauh ke langit. seolah-olah gua nampak gua akan menang hari esok. tiba-tiba gua tersenyum


notakaki:

keh/kaweh : saya

di : kamu/awak

deme : mereka/awak semua

bintat : kesan merah seperti digigit semut api.

12 Nov 2010

pagi masih dara p4

samad hampir terlupa dia telah berjanji untuk menghantar rakannya ke stesen bas. dia segera pulang ke rumah untuk mengambil helmet. laju-laju dia menunggang terus ke kedai makan tempat rakannya menunggu.

"minta maaf la..aku lambat sikit...lama dah ko tunggu?"

"takde hal, aku baru habis makan," kawannya mengesat mulut yang masih basah dengan tisu berwarna merah jambu.

"ko ada rokok tak?" samad bertanya sewaktu menghulurkan helmet kepada rakannya. rakannya tersenyum kambing.

"aku dah lama berhenti hisap..ko hisap lagi ke?" rakannya bertanya. mukanya serius.

samad menjawab soalan itu dengan senyuman dan mengangguk lemah. rakannya sedia di belakang sebagai pembonceng. satu, dua tiga dan empat, gear di masukkan rapat-rapat. meluncur laju mereka berdua di celah-celah kereta yang bersesak-sesak di atas jalan raya yang semakin hangat di panah mentari.

"aku turunkan ko kat sini je la, malas aku nak masuk dalam tu" ujar samad sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

"beres bos, dekat dah pun...terima kasih mat," ujar rakannya itu terseyum serupa kambing.

rakan samad perlahan-lahan berlalu pergi ke tengah-tengah orang yang bersesak di stesen bas itu. meninggalkan samad keseorangan di atas motosikalnya yang cabuk. pandangan samad menerobos langit yang tidak lagi kebiru-biruan. langit yang tadi cerah dan terik ini semakin redup. awan-awan tebal berkepul-kepul mula bergerak menutupi wajah matahari. hujan akan turun fikir samad. samad berlalu cepat dari stesen bas itu. takut-takut dia kehujanan sebelum sempat mencari tempat berteduh.

di celah kesesakan itu, samad ternampak sebuah kedai serbaneka di bahu kiri jalan. samad berhenti.

"rokok winston dua puluh light..."sambil menghulurkan kertas berwarna merah.

"rokok tak ada la dik," makcik bertudung putih menjawab penuh sifat keibuan.

samad pelik. dahi berkerut dan mulutnya hampir melopong.

"biar betul mak cik?" samd masih belum percaya.

"buat apa mak cik nak tipu, rak pun dah tak ada haa.." tangan di acukan ke ruangan dibelakangnya yang kosong. kebiasaannya disitu ada rak untuk meletakkan rokok.

sekali lagi samad kecewa. dia keluar dari kedai serbaneka itu dengan hati yang berbulu. dunia semakin terbalik fikirnya. kenapa terlalu sukar, bukankah selama ini terlalu mudah? tanya samad kepada seekor kucing terbiar yang ada loceng kecil di lehernya. kucing itu berlalu tanpa menjawab pertanyaannya.

sepanjang bangunan itu tersusun beberapa baris kedai runcit. samad mencuba nasib di situ. masuk dan keluar beberapa kali. dan dia terus kecewa berkali-kali.

langit semakin gelap. awan semakin sarat menakung air dan bila-bila masa sahaja akan pecah. samad terus berlalu dari barisan bangunan yang telah mengecewakan nafsunya itu. anak-anak hujan mula menikam wajahnya. samad cuba maju ke hadapan. tapi hujan semakin lebat. dia mengalah dan berteduh di bawah sebuah jejambat.

"lebat hujan ni ya," seorang lelaki lingkungan 60 an tiba-tiba bersuara.

samad menoleh ke kiri dan ke kanan. tiada manusia lain. hanya dia dan lelaki itu. ditemani suara hujan yang mencurah dan suara kenderaan yang terus-terusan memenuhi jalan raya. samad mengangguk. senyuman dilemparkan. memang dengan dialah lelaki tua itu cuba berbicara. mereka berdua sama-sama bersandar pada tiang jejambat itu. masing-masing terus tenggelam dalam lamunan masing-masing. tiada apa yang mahu di bualkan fikir samad. lelaki tua itu menanggalkan baju hujannya dan meletakkannya pada tempat duduk motosikalnya. dia merenung wajah samad yang sedang merenung kereta yang lalu lalang itu.

"anak belajar di kuala lumpur ni?" tanya lelaki tua itu.

"a,ah," pendek jawapan Samad.

mereka diam sekali lagi. lelaki tua itu duduk. dia membuka sebuah bekas plastik berwarna biru yang di ambil dari raga motosikal. di dalamnya terdapat beberapa ketul karipap. dia menggigit separuh bahagian dari seketul karipap. perlahan-lahan dia mengunyahnya lumat-lumat.

"ambillah," lelaki tua itu menyuakan bekas plastik berwarna biru itu kepada samad.

samad tersenyum. cuba menolak dengan cara yang paling sopan.

"ambillah," lelaki tua itu masih mendesak.

samad tersenyum lagi. dia mengalah. sebiji karipap diambil dan akhirnya berada di dalam mulutnya. belum sempat karipap itu melewati rengkungnya. tiba-tiba, ketagihan itu datang lagi.

"pakcik...pakcik ada rokok tak...?"

lelaki tua tiba-tiba kaget....



bersambung...


4 Nov 2010

kita hamba

kita manusia,
mana pernah puas dengan pakaian seribu jenama,
mana pernah puas dengan makanan seribu rasa,
mana pernah puas dengan segala seribu harta dunia
mana pernah puas dengan seribu kali jatuh cinta,
walau terpaksa mencuba
seribu jalan
seribu cara
seribu tipu daya,

bukan manusia kita
jika tidak begini,

oh,
kita terlupa,
rupanya kita juga hamba,
patutnya kita begitu,
tidak begini.







29 Okt 2010

pagi masih dara p3

samad menapak gagah ke arah kaunter yang cantik di sudut ruang kedai itu. dari air, jajan, minyak hitam sampailah ke permainan ding dang, semuanya ada dijual di stesen minyak ini. meriah betul dengan barang dagangan. samad melihat tanda nama pada dada gadis cashier itu. tuminah. samad angguk kepala dua tiga kali. gadis cashier senyum tak henti-henti.

"winston dua puluh, merah," sambil tangan kanannya meraba dompet yang disimpan di poket belakang seluar.

"takde," ujar gadis itu dengan pelat indonesia yang masih menebal.

"Takde?,"

gadis itu mengangguk. bibirnya msih menguntum senyuman.

"habis tu, apa yang ada?"

"semua tak ada, " ujar gadis itu. kedua-dua tangannya digelengkan ke kiri dan ke kanan. senyuman yang dilemparkan semakin manis.

samad bungkam. diam seribu kata. dia melangkah keluar dari kedai itu. udara di luar semakin panas. bau petrol menyengat hidungnya. dia memandang ke langit. matahari semakin garang menyuluh bumi. kereta dan seribu macam lagi kenderaan semakin galak keluar masuk di stesen minyak itu. masuk meneguk minyak dan berlalu pergi silih berganti.

samad menghidupkan motorsikalnya. mula-mula perlahan, laju, semakin laju, laju lagi. dan lagi


bersambung