14 Jul 2010

jalan para pemuda (jangan bersedih) 3

nordin sudah hilang sabarnya. Belum sempat motor berhenti, terus saja dia melompat. Senget-senget brader rosli menahan dari terjatuh. tanpa memerhati sekeliling, dia terus melilau ke sana ke mari mencari fail merahnya. Brader rosli cuma memerhati dari motor. Dibiarkan sahaja Nordin mencari sendirian. anak muda memang begitu, gelojohnya bukan main.

Berulang-ulangkali Nordin membelek tempat yang sama. tidak juga berjumpa benda yang dicari. Nordin mula garu-garu kepala yang tak gatal. Dia duduk tersandar pada tembok. barangkali sudah mula putus usaha. sayu saja matanya memandang ke arah brader rosli yang masih menunggu di motorsikal. Nordin cuba senyum. tapi kelat sahaja senyumannya.

brader rosli pasang rokok. terus perlahan-lahan menghala ke arah Nordin.

"macam mana ?jumpa?"

Nordin diam sahaja. cuma kepalanya sahaja yang menggeleng.

Rokok?"

nordin capai kotak yang dihulur. dia pasang sebatang dan sedut dalam-dalam. Rosli biarkan nordin dalam dunianya seketika. dia juga berkira-kira bagaimana mahu memberi semangat kepada anak melayu yang sudah layu ini. sekeliling tempat itu Rosli perhati. Jalan, sebagaimana fungsinya jalan, sentiasa sibuk dengan kenderaan. tapi tidak sesak dan tidak lenggang. tidak jauh dari mereka, seorang pak cik pertengahan usia beruniform alam flora terbongkok-bongkok mengais sampah yang ada di tepi jalan. agak lama Nordin menekuni lelaki itu.

"ko dah tanya pak cik tu?"

"tanya apa bang?" soalan dijawab dengan soalan.

"tanya kot-kot dia ada nampak fail ko tu la."

"ha,ah....lupa nak tanya,"

"nanti aku pergi tanya, ko tunggu sini, biar orang berpengalaman buat kerja...aku hisap rokok dulu tau sebelum ko...haha,'' rosli ketawa sambil berlari-lari itik ke arah pakcik yang sedang leka mengais-ngais sampah itu,

'' assalamualaikum pakcik,'' tangan dan salam dihulur,

"alaikumussalam," tangan bersambut mesra.

"minta maaf la dik, tangan kotor sikit, ada apa ni?"

''tumpang tanya sikit pakcik, pakcik ada jumpa fail kaler merah tak masa menyapu kat sana tadi?"

"fail kaler merah?" pakcik pencakar sampah buat-buat mata terbelalak. terkejut gamaknya.

"ha'ah..."

"kejap,..aku cuba ingat..." berkerut-kkerut dahi pakcik pencakar sampah tersebut.

rosli sabar saja menunggu.

"rokok pakcik?" rosli menghulurkan sigaret kepada pakcik itu. kasihan rosli melihat pakcik yang sudah tua itu berkerut tambah berkedut dahinya cuba menyusun semula ingatan mengenai sesuatu yang bernama fail merah. rokok bersambut.

"ingat tak pakcik?" tanya rosli sekali lagi lantaran melihatkan pakcik pencakar sampah itu terkial-kial cuba memasang api pada rokok. angin pada pukul 12 tengah hari itu luar biasa derunya. pakcik tua diam saja. usahanya masih pada rokok yang masih belum mahu bernyala.
agak lama masa berlalu begitu.

''haaa...baru aku ingat, aku dah campak dalam tong kat situ tadi. tapi lori sampah dah angkut dah pergi tempat lupus sampah." ceria saja wajahnya. barangkali gembira dapat membantu orang. asap sigaret perlahan-lahan keluar dari celah mulutnya. sesekali menampakkan giginya yang jarang-jarang kerna banyak yang telah tumbang dek usianya yang juga barangkali hampir tumbang.

"yeke pakcik?" rosli tidak tahu untuk mahu gembira atau untuk berasa kecewa.

rosli memandang ke arah nordin. tangannya melambai-lambai ke arah nordin memanggil anak muda itu ke arah mereka. nordin bingkas bangun. wajahnya sedikit ceria, berharap lambaian rosli itu membawa berita gembira.

"ada jumpa tak bang?"

"pak cik ni kata dia dah buang dalam tong tu, dah hantar masuk lori sampah."

nordin tercengang mendengarkan khabaran itu. sama seperti brader rosli tadi, mahu gembira atau mahu kecewa.

''habis tu macam mana, kat mana tempat pelupusan tu pakcik," terus saja nordin bertanya kepada pakcik itu..

ringkas cerita. mereka berdua menuju ke tempat pelupusan sampah itu. sebelum itu mereka singgah di sebuah masjid. nordin dan rosli solat zohor dan terus buat solat hajat. barangkali mahu minta tolong pada tuhan dimudahkan kerja, supaya ditunjukkan jalan keluar dari masalahnya. panjang doa nordin selepas solat hari ini. mahu saja dia menangis, tetapi brader rosli yang ada ditepinya menidakkan untuk dia menangis. dia simpan air mata kemas-kemas. mana boleh lelaki menangis disaksikan lelaki lain. hilang jantan fikirnya lagi.

selepas makan nasi yang ala kadar sahaja hidangannya disebuah warung kecil ditepi masjid, mereka terus maju ke tempat pelupusan sampah seperti yang diberitahu oleh pakcik pencakar sampah itu tadi. Pakcik pencakar itu tadi ditinggalkan dengan ucap terima kasih yang berbanyak-banyak tidak terhingga. tetapi pakcik itu menolak ucap terima kasih itu, katanya.

"tak payah lah terima kasih, kecil punya hal lah," ujar pakcik itu sambil menyedut rokok yang masih berbaki.

hampir-hampir kurang lima belas minit pukul empat petang mereka tiba juga ke tempat yang dituju. sampah menimbun-nimbun. pandang ka barat sampah, ke timur juga sampah. pendek kata, ,mereka dikelilingi sampah dan sampah. nordin pandang ke langit, ada juga dua tiga keping sampah yang terbang berpusing-pusing ditiup angin petang. udara yang dihirup juga udara sampah.
barangkali semua manusia dewasa ini tiada pekerjaan lain lagi melainkan menghasilkan sampah saban hari. kalau tidak, masakan boleh ada sampah yang sebanyak ini.

nordin memandang sekeliling tapak pelupusan ini. pokok-pokok hijau juga tidak mahu hidup di pinggiran tapak pelupusan ini. pokok-pokok telah berhijrah barangkali. mencari kawasan penghidupan yang lebih selesa udaranya.

nordin dan rosli menutup hidung. mereka mula bergerak ke arah jentera berat yang sedang melenyek sampah supaya lebih padat. bila lebih padat maka ada lebih banyak ruang untuk lebih banyak sampah. sesekali mereka terjengket-jengket melangkah. takut-takut terpijak cairan berlendir kekuning-kuningan yang entah apa jenisnya.

sedang asyik terjengket-jengket, terkepit-kepit melangkah, bahu nordin ditepuk dari belakang. nordin terkejut. rosli ikut sama terkejut. mereka melompat ke hadapan, dan terus berpaling ke belakang dan memasang kuda-kuda, laksana pendekar melayu zaman purbakala mahu bertaruh nyawa di medan pertempuran. mahu bertentang mata dengan makhluk yang mengejutkan mereka.

"assalamualaikum" ujar makhluk itu.


bersambung...

notakaki:budak bawah umur dilarang baca, terdapat banyak adegan merokok di dalam cerita ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan