26 Feb 2011

jom

udara sepoi-sepoi bertiup. samat dan kudin bertenggek di pinggir sungai kelang yang layak digelar longkang. masing-masing termenung dan merenung jauh. sayup-sayup suara azan asar berkumandang membuatkan mereka hanyut di dalam dunia separa sedar buat seketika.

diseberang sana kelihatan seekor burung gagak menyelongkar isi tong sampah yang melimpah-limpah isinya. gagak itu sesekali bising memarahi seekor anjing tua yang mengganggunya. si gagak bising dengan suara paraunya dan si anjing tua menyalak lelah. mereka berkelahi. dua tiga ekor kucing kurap melarikan diri dari pergaduhan itu.

suara gagak dan anjing itu akhirnya ditenggelami suara kenderaan yang lebih bising.

"mat..kau tahu tak beza kita dengan anjing dan gagak tu,"

"entah...."

"binatang tu tak diwajibkan sembahyang,,, jom pegi sembahyang...hehe" kudin ketawa kecil.

"haha...makan dalam doh.." ujar samat seraya menepuk kepala kudin dua kali.

mereka berjalan beriringan ke masjid jamek.


13 Feb 2011

pemimpin dari kota

berita ini bertiup seluruh kampung serupa ribut membadai. sungguh cepat berita ini merebak. seperti wabak taun di musim banjir, dari kedai kopi hingga ke pondok di tengah paya tempat anak muda melepas gian, semuanya sudah tahu. seluruh penduduk kampung sudah memperkatakannya, anak-anak kecil yang belum bersunat juga tahu perkara ini. tiada pengecualian.

"waibi kita meninggal semalam," bersungguh don dollah bercerita. matanya dibulat-bulatkan.

"aku tahu dah, hari semalam kan? sebab mende waibi meninggal?" tanya kadir jipang mahu tahu lebih dari sekadar tahu.

"otak gagal berfungsi kata orang," atan kicap pula menyampuk tanpa diminta.

semua mengangguk, mengiakan kata-kata atan kicap itu.

datuk waibi ini memang baik orangnya. asalnya orang kampung sebelah. tapi, jarang-jarang beliau datang juga menjenguk kampung ini. tapi kampung ini tetap sepeti dulu. yang ada itu memang ada. tapi sekadar ada, lagipun itu memang sepatutnya ada.

keesokan hari, ramai orang kampung ini ke kampung sebelah. mahu sama-sama solat jenazah di sana. masuk waktu zohor semuanya selesai. arwah waibi sudah selamat di dalam tanah. dan orang kampung cepat-cepat pulang.

ada pula khabar angin yang lain bertiup. angin ini bukan angin ribut. ini angin semilir. lembut dan perlahan ia bertiup mengetuk gegendang telinga. berita yang enak didengar. berita ini datangnya dari tok empat kampung ini sendiri.

"lagi tiga hari pemimpin dari ibu kota akan datang ke kampung kita,"

"kenapa tok?" tanya seorang belia yang sedang asyik mengatur buah dam haji.

"katanya dia akan menguruskan pilihan raya kecil memilih pengganti arwah waibi kita," tok ketua menghirup teh kosong yang berasap perlahan-lahan.

"masakan....cepat sangat tok?"

"soal memilih pemimpin tidak boleh dilengahkan."

semua belia yang ada di situ tercatuk-catuk kepala mereka. mengangguk tanda setuju. dalam kepala tok empat macam-macam perkara mahu diajukan kepada pemimpin dari ibu kota. titi usang di paya perlu diganti dengan titi yang dituang konkrit. jalan berlubang-lubang serupa kena panau perlu diturap. tidak kurang seratus dua akan masuk poket mereka sewaktu kempen pilihan raya kelak. anak-anak belia senyum lebar.

inilah masanya fikir tok empat. inilah kesempatannya.hari ini mereka bersedih. dan hari esok mereka gembira kembali. yang mati tetap akan pergi. yang masih hidup perlu teruskan sisa yang ada, fikir tok empat lagi.

tiba-tiba hati tok empat tersentuh. alangkah kejamnya dunia. tapi inilah hakikatnya. songkok di atas kepala yang miring dibetulkan kedudukannya. teh kosong dihirup sehingga kering.

dalam kepalanya, bermain-main apa yang hendak diajukan kepada pemimpin dari kota besar pada hari esok. anak-anak muda belia pula terus asyik mengira hari, menunggu pemimpin besar dari kota singgah ke kampung mereka.



nota kaki: entahlah. klik sini