Memaparkan catatan dengan label betul-betul merepek.merapu tahap dewa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label betul-betul merepek.merapu tahap dewa. Papar semua catatan

2 Jul 2012

Gentar

Hari ini, sewaktu pulang dengan kereta dari makan malam di sebuah kedai makan di Pantai Dalam, saya dan beberapa sahabat yang lain terserempak dengan mata-mata gelap yang membuat sekatan jalanan. Betul-betul di hadapan Bangsar South. Kelip lampu neon yang biru itu terlihat sejak dari kejauhan lagi.

Ketika itu, saya duduk di belakang, jadi saya buat-buat tenang saja. Rakan saya yang dihadapan itu kalut mencapai tali pinggang keledar. Yang duduk di bahagian penumpang hadapan itu paling kalut, atau dia gagal menyembunyikan kekalutannya itu, sebab dia seorang sahaja tidak memakai tali pinggang keledar. Rakan saya yang memandu memang siap memakai tali pinggang keledar sejak dari awal lagi. Tali itu ditarik kasar, tapi tersekat kerana memang ia dicipta terkunci apabila disentak kuat.

Lalu saya dan rakan yang lain di belakang ketawakan dia semahunya. Wajahnya benar-benar cuak. Ini saya tidak tipu. Mujur ada tiga biji kereta lagi sedang beratur dihadapan hendak melalui sekatan itu. Kalau tidak, pasti dia kena saman.

Saya bukan mahu cerita apa sangat sebenarnya. Juga tidak mahu kompelin pasal sekatan jalan itu. Kerana  pada saya, itu memang tugas pihak polis untuk menjaga keselamatan. Mungkin (sekatan jalan itu) mereka mencari penjahat atau memang sengaja diadakan sekatan begitu, supaya orang macam kami yang tak suka pakai tali pinggang keledar dan ingkar undang-undang ini akan automatik memakai tali pinggang keledar dan patuh pada undang-undang jalan raya.

Saat tersedar ada sekatan jalan raya itu, saya terfikir, saya terbayang. Jika yang saya nampak dihadapan saya itu bukan sekatan jalan, sebaliknya kematian. pasti saya lebih gentar dari sekadar melihat sekatan jalan. Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Tetapi malang. Tidak dapat dibayangkan.

Lihat, rakan saya memandu kereta tenang sahaja kerana dia memang telah bersedia. Memakai tali pinggang keledar walaupun dia sebenarnya tidak tahu pun kami akan menempuh  roadblock hari ini. Tetapi rakan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar itu memang cuak dan gentar. Kerana dia tidak bersedia dan takut terkena hukuman oleh mata-mata itu  nanti. Mujurlah dia sempat walaupun sudah di saat-saat akhir.

Disaat hujung kehidupan kita baru sibuk mahu menambah amal dan ibadat. 

Saya tidak mahu kata orang lain. saya mahu kata pada diri saya sendiri. Saya sendiri sering terfikir, saya masih muda dan apa salahnya masa yang muda ini saya enjoy puas-puas. Apa yang terjelma dalam fikiran saya ini membayangkan semacam saya tahu hidup saya ini pasti akan sempat menempuh umur tua. Padahal, entah-entah esok ajal saya sudah sampai. 

Cuba bayangkan, sedang kita memandu dilebuh raya. Tiba-tiba kita terpandang sebatang papan tanda. Kita baca, dan rasa ianya memang ditujukan pada kita.

KEMATIAN ANDA, 100 METER

Apa rasa dalam jiwa anda. Ingat lebuh raya tak boleh buat pusingan U. Samakah kegentaran jiwa kita mengingat mati dengan kegentaran ketika hendak melalui sekatan jalan polis dengan tidak memakai tali pinggang keledar + cukai jalan tamat tempoh + tiada lesen memandu.






15 Okt 2011

Bukan milik kita

Saya tak mahu cakap (baca: tulis) pusing-pusing. Dahulu saya pernah punya sehelai baju unik. Jika saya pakai baju itu saya akan rasa diri sayalah paling menawan di seantero glob bumi ini. Baju itu tidak mahal. Malah tiada jenama pun seingat saya. Saya membelinya bersama 2 helai baju yang lain. RM 5 saya dapat tiga helai baju yang boleh tahan kualiti bersekali dengan reka bentuk yang unik. Antara tiga helai yang saya beli itu, yang sehelai itulah juga yang paling saya sayangi. Scene "bundle" di temerloh ketika itu memang tidak pernah menghampakan cita rasa saya.

Tapi hayat baju yang sehelai ini tidak lama dengan saya. Ibu saya ambil buat lap air milo tumpah di dapur. Saya pertikai juga mulanya. Mengamuk juga saya. Tapi lama-lama saya diam. belajar untuk pasrah.

Tadi saya cakap (baca:tulis) tak mahu pusing-pusing. Tapi saya kira, saya kena pusing-pusing juga.  

Dahulu, tidak terlalu lama saya ada sepasang kasut nike air. Bukan saya beli. Abang ipar saya kasi. Mungkin mahu ambil hati saya sebagai adik ipar lelaki bongsu (boleh dikata mempunyai pengaruh kuat kepada ibu saya untuk membuat keputusan). Saya terima dengan hati terbuka barang mahal plus percuma ini. Saya gembira, saya tidak tipu, saya betul-betul gembira ketika itu walaupun saya bukan penggemar/pemakai kasut tegar. Silap juga abang ipar saya memberi kasut kerana saya bukan lah sejenis makhluk yang suka memakai kasut. Tapi saya tetap sayang kasut itu kerana menghargai pemberian abang ipar saya itu. Belajar bersyukur kata ustaz saya.

Tapi hayat kasut yang sepasang itu tidak lama dengan saya. Kasut itu hilang kerana kelalaian saya sendiri. Saya letakkan di luar bilik dan akhirnya PUFFF , kasut itu hilang begitu sahaja. Dua tiga hari juga saya bising. Merepek tak tentu hala. Memaki hamun orang yang mengambil kasut saya itu dengan penuh bersemangat.  Tapi lama-lama saya tersedar saya silap memaki hamun orang saya sendiri tak tahu siapa. Dan akhirnya saya diam juga. Saya cuba belajar memaafkan.

Semalam saya beli teh ais bungkus. Tiba-tiba saya mengidam mahu minum teh ais yang dibungkus. Saya turuti idaman perut saya itu. Sewaktu menjinjit plastik teh ais itu saya sudah cuba gambarkan dalam otak  benak saya betapa enaknnya teh ais itu. Rasa sejuknya, rasa susunya dan rasa tehnya yang kaww itu akan bercampur baur di dalam mulut saya dan meluncur lemah gemalai melalui saluran esofagus saya. Seketika suhu badan saya akan ikut turun dan jiwa saya akan ikut sama tenang dan senang. Oh...

Tapi air teh ais bungkus itu tidak sempat pun saya hirup. Dia jatuh ke lantai dan plastik jernih itu pecah bersepai, maka berhamburanlah segala air teh itu di atas lantai. Saya merapu juga mula-mula. Berkeluh-kesah kerana tidak dapat menikmati hidup saya dengan air teh ais itu. Akhirnya saya diam kerana sedar malam itu saya keseorangan di bilik. Saya cari surat khabar Kosmo lama dan saya lap air teh ais yang tumpah  itu. Bukan rezeki saya. 

Lebih dua tahun yang lepas saya ada nenek, dan dialah seorang saja nenek yang saya sempat lihat. Dia ibu kepada emak saya. hampir dua puluh tahun juga dia melihat saya membesar dan saya melihat dia semakin tua. Sampai satu masa, Sampai sudah ketetapan, maka nenek saya pergi meninggalkan saya untuk meneruskan perjalanan hidupnya di alam yang lain pula. Lalu saya berfikir nyawa juga bukan milik saya, baju yang saya pakai bukan milik mutlak saya, makanan yang saya makan juga bukan milik mutlak saya, air yang saya minum juga bukan milik mutlak saya.

"Kepunyaan Allah lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi...'' (surah Al-baqarah: 284)


Kalau mahu meminta mintalah kepada Allah, kalau mahu memberi berilah kerana Allah.



P?S: Ini merapu. Mahu lebih kefahaman klik sini

24 Jun 2011

perempuan

saya tersenyum tatkala saya menulis tajuk entri ini. saya tidak tahu kenapa. tetapi apa yang saya tahu, bagai ada satu perkara yang sukar untuk dijelaskan..

"apa perempuan ini, siapa perempuan dalam hidup anda."

soalan ini jika ditanya kepada saya sewaktu di bangku sekolah rendah. dengan pantas saya akan menjawab, perempuan ini emak saya, arwah nenek saya, kakak-kakak saya, anak-anak saudara perempuan saya dan makcik-makcik jiran saya. saya yakin mereka semua adalah perempuan. dan sewaktu itu, merekalah perempuan dalam hidup saya. mungkin ini jawapan paling tepat yang saya akan berikan, kerana tiada perempuan selain mereka yang paling saya kenal.

tetapi jika soalan ini ditanya pada saat saya menulis entri ini. sesiapa yang bertanya pasti akan kecewa kerana saya hanya tersenyum dan berkhayal umpama berada di dimensi yang saya seorang boleh meneroka. dan sesiapa yang bertanya itu akan tidak saya hiraukan buat beberapa ketika.

dan pasti menambah kecewa kepada yang bertanya, setelah menunggu begitu lama jawapan saya masih sama.

perempuan ini adalah emak saya, arwah nenek saya, kakak-kakak saya, anak-anak saudara perempuan saya dan makcik-makcik jiran saya. (saya menjawab dengan tersenyum-senyum kerana jawapan ini masih belum sempurna)