Memaparkan catatan dengan label aku membebel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aku membebel. Papar semua catatan

2 Jul 2012

Gentar

Hari ini, sewaktu pulang dengan kereta dari makan malam di sebuah kedai makan di Pantai Dalam, saya dan beberapa sahabat yang lain terserempak dengan mata-mata gelap yang membuat sekatan jalanan. Betul-betul di hadapan Bangsar South. Kelip lampu neon yang biru itu terlihat sejak dari kejauhan lagi.

Ketika itu, saya duduk di belakang, jadi saya buat-buat tenang saja. Rakan saya yang dihadapan itu kalut mencapai tali pinggang keledar. Yang duduk di bahagian penumpang hadapan itu paling kalut, atau dia gagal menyembunyikan kekalutannya itu, sebab dia seorang sahaja tidak memakai tali pinggang keledar. Rakan saya yang memandu memang siap memakai tali pinggang keledar sejak dari awal lagi. Tali itu ditarik kasar, tapi tersekat kerana memang ia dicipta terkunci apabila disentak kuat.

Lalu saya dan rakan yang lain di belakang ketawakan dia semahunya. Wajahnya benar-benar cuak. Ini saya tidak tipu. Mujur ada tiga biji kereta lagi sedang beratur dihadapan hendak melalui sekatan itu. Kalau tidak, pasti dia kena saman.

Saya bukan mahu cerita apa sangat sebenarnya. Juga tidak mahu kompelin pasal sekatan jalan itu. Kerana  pada saya, itu memang tugas pihak polis untuk menjaga keselamatan. Mungkin (sekatan jalan itu) mereka mencari penjahat atau memang sengaja diadakan sekatan begitu, supaya orang macam kami yang tak suka pakai tali pinggang keledar dan ingkar undang-undang ini akan automatik memakai tali pinggang keledar dan patuh pada undang-undang jalan raya.

Saat tersedar ada sekatan jalan raya itu, saya terfikir, saya terbayang. Jika yang saya nampak dihadapan saya itu bukan sekatan jalan, sebaliknya kematian. pasti saya lebih gentar dari sekadar melihat sekatan jalan. Saya cuba bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Tetapi malang. Tidak dapat dibayangkan.

Lihat, rakan saya memandu kereta tenang sahaja kerana dia memang telah bersedia. Memakai tali pinggang keledar walaupun dia sebenarnya tidak tahu pun kami akan menempuh  roadblock hari ini. Tetapi rakan saya yang tidak memakai tali pinggang keledar itu memang cuak dan gentar. Kerana dia tidak bersedia dan takut terkena hukuman oleh mata-mata itu  nanti. Mujurlah dia sempat walaupun sudah di saat-saat akhir.

Disaat hujung kehidupan kita baru sibuk mahu menambah amal dan ibadat. 

Saya tidak mahu kata orang lain. saya mahu kata pada diri saya sendiri. Saya sendiri sering terfikir, saya masih muda dan apa salahnya masa yang muda ini saya enjoy puas-puas. Apa yang terjelma dalam fikiran saya ini membayangkan semacam saya tahu hidup saya ini pasti akan sempat menempuh umur tua. Padahal, entah-entah esok ajal saya sudah sampai. 

Cuba bayangkan, sedang kita memandu dilebuh raya. Tiba-tiba kita terpandang sebatang papan tanda. Kita baca, dan rasa ianya memang ditujukan pada kita.

KEMATIAN ANDA, 100 METER

Apa rasa dalam jiwa anda. Ingat lebuh raya tak boleh buat pusingan U. Samakah kegentaran jiwa kita mengingat mati dengan kegentaran ketika hendak melalui sekatan jalan polis dengan tidak memakai tali pinggang keledar + cukai jalan tamat tempoh + tiada lesen memandu.






11 Mei 2012

Tegur

Seruan yang baik adalah perlu diberikan kepada sesiapa sahaja tanpa perlu memilih bulu. Sama ada mereka yang menaiki motokar mewah, sama ada mereka yang menunggang motosikal kecil maupun besar, sama ada mereka yang mengayuh basikal tua di jalanan, mereka yang mengatur langkah di trotoar, mereka yang menghirup udara sejuk di pejabat berhawa dingin, mereka yang bekerja sendiri, mereka yang menyapu sampah di kaki lima....sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja yang bernafas dan diberi izin hidup di bumi Allah ini, layak diberi nasihat dan memberi nasihat yang baik, maka tegurlah dan dengarlah. Seterusnya terimalah yang baik itu.

8 Mei 2012

Catatan seorang Samad

Sekadar cerita.

Namanya samad, baru seumur jagung. Tapi ronta jiwa remajanya telah membawanya ke satu acara yang mencorak satu lakaran baru dalam catan sejarah negara. Sewaktu dia sedar dari lena pada pagi yang bening itu, dia terus melangkah keluar dari kepompong ketakutan yang memasung dirinya selama ini. Tanpa persiapan, tanpa rakan, dia melangkah keseorangan menyusur jalan berdebu yang lengang pada pagi itu.

"ada roadblock dekat mid. tak boleh lalu dekat situ. dekat muzium negara ada juga." kata seorang kenalan ketika dia singgah bersarapan di sebuah kedai makan.

Samad angguk kepala. Kuah mee kari dihirup terasa jelira kerana perutnya benar-benar lapar ketika itu.

"teruk betul kan, kau ni nak kemana mat?" tanya kenalannya itu. 

"pesta buku, PWTC,"

"oh,"

Masa bergerak terlalu pantas untuk dikejar. Masa itu terus berputar-putar pada paksinya, bila bermula dan  bila pula akan berakhir, tiada yang tahu, tanpa garis penamat.

Samad merenung jarum jam tangan, hampir pukul sembilan. Dia cepat-cepat membeli token berwarna biru pada mesin yang baru pertama kali dia guna, agak kekok juga pada mulanya. Mujur tiada kelibat orang lain yang menunggu giliran di belakangnya. Jadi, silap tekan dan kekekokan yang terzahir pada perlakuannya itu tidaklah menjadi bahan ketawa orang lain melainkan dirinya sendiri sahaja. Ternyata, hati kecilnya benar-benar ketawa besar terhadap dirinya.

Suasana tenang sewaktu dia menunggu gerabak LRT itu tiba. Dia memandang-mandang sekeliling stesen itu. Di sudut kanan matanya, ada sekumpulan anak muda belia berbangsa melayu, barangkali hampir sebaya sahaja dengan dirinya. Berwajah bersih, tenang walau ada sedikit kerut gusar pada wajah mereka. Masing-masing ada sejemput janggut, masing-masing juga menggalas beg pada bahu mereka. Pada sudut kiri matanya pula ada tiga orang gadis berbangsa cina, berbaju kuning yang punya potongan yang sama. Corak cetakan pada hadapan baju juga serupa. 

Gerabak putih yang ditunggu akhirnya sampai dan berhenti. Samad bangun dan berdiri. Saat pintu gerabak disorong terbuka. Samad terduduk kembali. Terlalu padat untuk dia mencari tempat di dalam gerabak itu walaupun sekadar tempat untuk berdiri. Lima anak muda belia itu juga duduk kembali. Sama juga dengan gadis cina yang bertiga itu.

"Dari mana pakcik?"

"dari ganu, anak dari mana?"

"dekat sini je,"

"oh, kijo?"

"dok, belajar lagi, mari dengan apa pak cik?"

"dengang bas,"

Laungan dari lautan manusia itu menyebabkan perbualan Samad dan pak cik berbaju kuning yang berasal dari terengganu itu terhenti. Pak cik dari terengganu itu turut serta bersorak bersama dengan yang lain. Samad berundur agak menjauh dari manusia yang ribu-ribu itu. Dia duduk pada sebuah motor yang diparkir di bawah stesen LRT masjid Jamek itu. Di sebelahnya, juga di hadapannya ada sekumpulan anggota polis sedang berkawal. Muda-muda wajah mereka dan katang-katang pula badan mereka. Samad senyum, dan abang-abang polis itu juga senyum, tetapi seorang anggota polis yang sudah beruban dan berperut boroi  serta bercalit tiga di bahu merenung Samad dengan ekor mata yang tajam, penuh curiga.

"minum bang," kata Samad sambil mengangkat tinggi bekas airnya.

Polis muda mengangguk dan tersenyum lagi sekali. Samad menyalakan sebatang rokok, asap itu dihembus perlahan-lahan. Dua orang anggota polis yang sedang duduk berehat di satu sudut bangunan stesen itu juga menghembus asap yang sama dengan asap hembusan samad.

Letih duduk di sudut bangunan itu, Samad mula berlegar-legar dicelah manusia yang bersesak-sesak itu. setelah letih bersesak-sesak begitu, dia mula mencari tempat melabuhkan punggung.

"dari mana bang?" tanya Samad saat mula dia meletak punggung di tepi seorang pemuda yang berjaket kulit.

"dari sabak bernam," pekat telor jawanya.

"jauh tu bang, pukul berapa sampai sini,?"

"dalam pukul sembilan tadi, kau dari mana,"

"dekat sini je bang,"

Samad sangat suka duduk-duduk dalam kumpulan manusia yang besesak-sesak ini. Mereka mudah mesra. Barangkali kerana ada persamaan matlamat, mungkin juga sama dalam jalur pemikiran. Lama juga mereka bertukar buah fikiran. 

Lepas sebatang rokok terpadam, sebatang pula rokok menyala. Dalam sesak ribu manusia yang berbaju kuning itu Samad berjalan lagi. Meredah lautan manusia yang tidak terpermanai itu. Letih berjalan barangkali,Samad duduk kembali. Sedang dia duduk itu, dia dihampiri seorang lelaki yang layak dipanggil abang olehnya.

"dari mana bang?" tanya samad

"balakong, kau?"

"dekat sini je, pantai dalam, abang memang nak datang event ni ke?"

"aku pemerhati bebas, saja datang, tengok-tengok, hahaha,"

"sama la dengan saya," samad ketawa juga.

Sedang asyik bersembang itu, tiba-tiba mata mereka terasa pedih. Dan orang yang ramai-ramai itu mula bergerak menuju ke hujung jalan yang menjauh dari stesen lrt masjid jamek. Ini pengalaman pertama kata brader dari balakong itu sambil mengesat-ngesat matanya yang berair. Tin pemedih mata melayang lagi dan lagi.

Dalam air mata yang mengalir itu samad tersenyum. Tersedar, sudah lama matanya tidak menangis selebat ini.

Celaka, aku tak suka menangis kata hati Samad sambil memikirkan perutnya yang lapar kerana belum makan tengah hari lagi. Barangkali Samad menyangka datang ke majlis perhimpunan ini akan diberi makan-makan percuma seperti majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan memerintah. Berlalulah Samad dari kepulan asap pemedih mata itu untuk mencari kedai 711 buat membeli roti.

TammaT

2 Feb 2012

Lembu

Ini tiga kisah yang terangkum dalam sebuah cerita. Bermula dari masyarakat bawahnya ke tengah masyarakat dan akhirnya menuju ke atas kepala masyarakat (baca rakyat). 

1
Zainal bin Din. Orang yang bangsat pada permulaan hidupnya. Sebatang kara. Tiada harta. Tiada sebutir tanah pun di dunia ini yang boleh dia letakkan punggungnya dan boleh pula dia menjerit dengan megah dan bangga bahawa tanah pelapik punggung itu miliknya.

Namun perkara ini tidak pernah mematikan semangatnya untuk hidup dan berusaha ke arah meneruskan kehidupan. Jadi sebagai lambang kesungguhan semangatnya itu, dia tidak pernah hidup meminta-minta.

Tetapi, takdir tuhan tiada siapa yang dapat menjangka. Ada juga manusia yang baik hati dan elok budi pekerti  telah sudi mengupah dia menoreh getah di sebuah kebun disamping duduk menjaga seekor lembu jantan dan seekor lembu betina dengan habuan yang diterimanya berupa wang tunai dalam matawang ringgit malaysia 700 untuk tiap-tiap bulan. Majikan yang baik di mata masyarakat itu juga bermurah hati memberi dia tinggal di pondok buruk di tengah kebun getah yang sunyi dan berpagar semak samun itu.

Maka pekerjaan menoreh dan mengembala lembu ini menjadi titik mula kepada kehidupan Zainal yang lebih cerah. Mulalah dia memulakan tugas itu dengan penuh amanah dan tiada pula terlintas di dalam kepala otaknya untuk mencuri tulang atau berbuat tuang.

Episod kehidupannya yang baharu ini telah memberinya banyak pelajaran-pelajaran yang berguna untuk hidup. Dia mula belajar menyimpan wang untuk dibuat guna pada masa akan datang. Oleh sebab dia telah berkerja bergelumang dengan pokok getah dan lembu, selok-belok pekerjaan berkaitan dengan getah dan lembu juga dipelajarinya dengan sepenuh hati. Zainal bin Din belajar mengenai teknik-teknik menoreh, juga belajar mengenai baka lembu yang baik. Dan, dalam kesibukan melunaskan pekerjaannya itu tiadalah dia lupa untuk membuat rencana hidupnya pada masa depan supaya lebih cerah dan gemilang.

Sepuluh tahun kehidupannya berlalu dengan pantas. Hasil berjimat-cermat dan merencana masa depan yang bijak. Dia kini sudah ada sebidang tanah. Juga mempunyai lembu yang berkembang biak dengan banyak dari baka yang baik.

Pekerjaannya dulu ditinggalkan dengan cara yang baik, dan majikannya pula tidaklah merasa berat hati untuk melepaskannya kerana majikannya sendiri sudah suka hati melihat pekerjanya sudah boleh berdiri hidup di atas kaki sendiri.

Lembunya beranak-pinak dengan baik dan mendapat pula permintaan yang banyak. Zainal sudah tidak betah menguruskan perusahaannya dengan tulang empat keratnya semata. Maka dia pun mengupah anak-anak muda yang sudi bekerja menjaga dan menguruskan hal ehwal perniagaan lembunya itu.

Maka, nama Zainal bin Din tersohor di daerahnya sebagai penternak lembu yang berjaya dan baik hati.

2

Sinaran cemerlang matahari pada pagi yang damai itu menusuk mata Samad. Dia segera terbangun kerana sinaran itu menganggu pejam matanya serta tidur lenanya. Lekas pula dia bangun dari atas tilam mencapai tuala. Terus ke tandas membersihkan tubuh dan otaknya.

"Mat, pergi ke pasar ye, tak larat dah mak nak makan sambal hari-hari. Beli lauk sikit." ujar Sofea Jean, ibu Samad tanpa memandang Samad.

Samad diam. Mulutnya sibuk mengunyah cempedak goreng yang panas berasap. 

"Abah mana mak?" Samad pula bertanya. Permintaan ibunya tadi tidak pula di beri jawab.

"tak balik surau lagi

Boleh tak pergi pasar ni, beli lauk sikit," Sofea Jean mahu juga jawapan dari anaknya Samad. 

"kebetulan, nak ke bandar hari ni, Mat beli kat pasar besar je la,"

"ada duit ?" tanya Sofea Jean

"ada," biji cempedak dikunyah-kunyah lumat seperti kacang goreng oleh samad.

Dahan kecil pada pokok besar berbunga kuning di hadapan pasar besar Jerantut itu melambai-lambai malas ditiup angin. Sekuntum bunga kuning itu gugur dan jatuh ke atas aspal yang panas. Lintang pukang ditiup angin kenderaan yang lalu lalang dan akhirnya punah dilenyek tayar sebuah lori membawa ayam di dalam bakul yang berwarna hijau.

"mau beli apa adik?" tanya seorang lelaki berbadan agak sedap yang juga sedang sedap mengasah pisau pemotong daging. Bunyi besi dan batu yang bergesel itu membuatkan Samad mengerutkan dahi.

Samad terjenguk-jenguk. Di depan gerai menjual daging itu. Lembu ada, kerbau pun ada.

"daging ada lagi bang?"

"ada, nak berapa kilo,"

"daging lembu ada, nak sekilo,"

"boleh,"

"berapa ringgit?"

"lapan belas ringgit,"

Samad diam. 

" bagi setengah kilo je lah bang,"

"okey,"


Samad menjinjit plastik merah yang berisi daging. 

"Nak makan sedap kena abih duit," kata samad pada dirinya sendiri. Dalam otaknya pula terbayang-bayang daging masak kicap yang lembut dan enak itu. 

Maka harga yang daging yang semahal itu pun segera hilang dari otak kecilnya itu.


3


Di dada akhbar berbunyi berita dari bandar besar di ibu kota. Ada projek berimpak besar sedang dicanang dan dirancang. Esok-esok rakyat malaysia boleh makan daging tanpa perlu belanja duit yang banyak lagi. Anak-anak kecil dari golongan pertengahan dan bawahan boleh mendapat sumber protein yang sama banyak dengan orang berduit banyak. Sebab, projek berimpak tinggi ini dapat menampung dan mencukupi permintaan, maka harga daging juga boleh diturunkan. Juga boleh membenihkan ladang penternakan satelit sebagai industri sokongan. Juga memutuskan kebergantungan negara kepada import lembu dari negara australia.

Demikianlah, apa yang Pak Samad faham dari ucapan-ucapan si pembaca pemberita dari kotak tibi itu.

"tapi mana ada lembu yang duduk dalam kondo," ludah Pak Samad.

Demikianlah fikir-fikir yang diluahkan Pak Samad sambil meludah ke tanah. Siaran berita itu ditukar. Vcd orang bergusti diputarkan. Maka bersoraklah Pak Samad dan rakannya sambil melupakan penat berburuh pada siang hari.

 Mahu tidak mahu, jika panjang umur, susah hari esok tetap perlu ditempuhi. 


TAMMAT

nota: cerita adalah rekaan semata-mata



2 Nov 2011

Mereka mahu merdeka


Mereka salah tanggapan tentang hak kita sebagai manusia. Jadi dek mabuk oleh salah tanggapan itu mereka mahu "hak" mereka diiktiraf. Jadi perlu ada pihak yang membetulkan salah tanggap mereka ini. Tetapi untuk mengiktiraf "hak" mereka itu saya fikir itu tidak wajar. Memetik kata-kata Ketua Dewan Pemuda Pas.

gambar diculik dari sini


“Secara analoginya boleh saya contohkan seperti memandu kereta. Sungguh pun kereta itu milik kita yang sah, pula kita telah membayar road tax dan insuransnya, maka atas nama kebebasan lalu kita bebas untuk memandu laju tanpa menghirau peraturan lalu lintas.Ini sangat merbahaya terutama pemanduan dengan had kelajuan melampau seperti 160 kmj di selekoh tajam yang bertanda 20 kmj.Awas! Ini bukan lagi bebas tetapi babas"

(Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi. harakah daily)


Gambar diculik dari laman sosial facebook

Sudah sunatullah kejadian alam yang diciptakan Allah ini, setiap yang dijadikan ada pasangannya. Pasangan yang betul-betul maksud saya. Yang saling melengkapi. Malam dan siang, lapar dan kenyang, malas dan rajin, lelaki dan perempuan. ini lumrah.

Kalau hari sentiasa malam tidak mahu menjelmakan siang, itu masalah.

Kalau kita makan tapi sentiasa lapar, tidak pernah kenyang dan cukup. itu perut tong sampah namanya.

Kalau sentiasa malas tak pernah nak rajin walau sekecil hama. Ini kena fikir sendirilah, mesti ada juga sesetengah perkara yang kita rajin.(saya yang malas belajar ini pun ada kerajinan yang lain iaitu rajin tidur: ini merepek jangan ambil pot)

Kalau lelaki pula mesti ada keinginan untuk berkongsi hidupnya dengan perempuan (rujuki surah Ali-Imran:14 dan surah An-Nisa' : 1). Jika lelaki mahu berkongsi hidupnya dengan lelaki juga, pada pandangan saya ini bukan hak malahan adalah penyakit. Dan jangan risau malah bimbang kerana setiap penyakit ada ubatnya. Bagi penyakit ini saya rasa ubatnya ada di Hospital Tampoi. ha ha ha (saya bergurau)

Namun begitu, di dalam kejelekan perkara yang dibuat oleh kumpulan ini, jangan pula mencaci maki mereka (rujuki surah Hujurat : 11). Kerana mungkin masih ada ruang untuk mereka tersedar dan pulang ke pangkal jalan. Sama-sama kita berdoa mereka diberi hidayah. Moga akhir kalam kita semua diakhiri dengan menyebut nama Allah.

wallahu a'lam
kalau rajin klik sini

SEKIAN

15 Okt 2011

Bukan milik kita

Saya tak mahu cakap (baca: tulis) pusing-pusing. Dahulu saya pernah punya sehelai baju unik. Jika saya pakai baju itu saya akan rasa diri sayalah paling menawan di seantero glob bumi ini. Baju itu tidak mahal. Malah tiada jenama pun seingat saya. Saya membelinya bersama 2 helai baju yang lain. RM 5 saya dapat tiga helai baju yang boleh tahan kualiti bersekali dengan reka bentuk yang unik. Antara tiga helai yang saya beli itu, yang sehelai itulah juga yang paling saya sayangi. Scene "bundle" di temerloh ketika itu memang tidak pernah menghampakan cita rasa saya.

Tapi hayat baju yang sehelai ini tidak lama dengan saya. Ibu saya ambil buat lap air milo tumpah di dapur. Saya pertikai juga mulanya. Mengamuk juga saya. Tapi lama-lama saya diam. belajar untuk pasrah.

Tadi saya cakap (baca:tulis) tak mahu pusing-pusing. Tapi saya kira, saya kena pusing-pusing juga.  

Dahulu, tidak terlalu lama saya ada sepasang kasut nike air. Bukan saya beli. Abang ipar saya kasi. Mungkin mahu ambil hati saya sebagai adik ipar lelaki bongsu (boleh dikata mempunyai pengaruh kuat kepada ibu saya untuk membuat keputusan). Saya terima dengan hati terbuka barang mahal plus percuma ini. Saya gembira, saya tidak tipu, saya betul-betul gembira ketika itu walaupun saya bukan penggemar/pemakai kasut tegar. Silap juga abang ipar saya memberi kasut kerana saya bukan lah sejenis makhluk yang suka memakai kasut. Tapi saya tetap sayang kasut itu kerana menghargai pemberian abang ipar saya itu. Belajar bersyukur kata ustaz saya.

Tapi hayat kasut yang sepasang itu tidak lama dengan saya. Kasut itu hilang kerana kelalaian saya sendiri. Saya letakkan di luar bilik dan akhirnya PUFFF , kasut itu hilang begitu sahaja. Dua tiga hari juga saya bising. Merepek tak tentu hala. Memaki hamun orang yang mengambil kasut saya itu dengan penuh bersemangat.  Tapi lama-lama saya tersedar saya silap memaki hamun orang saya sendiri tak tahu siapa. Dan akhirnya saya diam juga. Saya cuba belajar memaafkan.

Semalam saya beli teh ais bungkus. Tiba-tiba saya mengidam mahu minum teh ais yang dibungkus. Saya turuti idaman perut saya itu. Sewaktu menjinjit plastik teh ais itu saya sudah cuba gambarkan dalam otak  benak saya betapa enaknnya teh ais itu. Rasa sejuknya, rasa susunya dan rasa tehnya yang kaww itu akan bercampur baur di dalam mulut saya dan meluncur lemah gemalai melalui saluran esofagus saya. Seketika suhu badan saya akan ikut turun dan jiwa saya akan ikut sama tenang dan senang. Oh...

Tapi air teh ais bungkus itu tidak sempat pun saya hirup. Dia jatuh ke lantai dan plastik jernih itu pecah bersepai, maka berhamburanlah segala air teh itu di atas lantai. Saya merapu juga mula-mula. Berkeluh-kesah kerana tidak dapat menikmati hidup saya dengan air teh ais itu. Akhirnya saya diam kerana sedar malam itu saya keseorangan di bilik. Saya cari surat khabar Kosmo lama dan saya lap air teh ais yang tumpah  itu. Bukan rezeki saya. 

Lebih dua tahun yang lepas saya ada nenek, dan dialah seorang saja nenek yang saya sempat lihat. Dia ibu kepada emak saya. hampir dua puluh tahun juga dia melihat saya membesar dan saya melihat dia semakin tua. Sampai satu masa, Sampai sudah ketetapan, maka nenek saya pergi meninggalkan saya untuk meneruskan perjalanan hidupnya di alam yang lain pula. Lalu saya berfikir nyawa juga bukan milik saya, baju yang saya pakai bukan milik mutlak saya, makanan yang saya makan juga bukan milik mutlak saya, air yang saya minum juga bukan milik mutlak saya.

"Kepunyaan Allah lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi...'' (surah Al-baqarah: 284)


Kalau mahu meminta mintalah kepada Allah, kalau mahu memberi berilah kerana Allah.



P?S: Ini merapu. Mahu lebih kefahaman klik sini

22 Jun 2011

interlok,seman,cing huat dan maniam

Gua rasa sangat beruntung kerana baru-baru ini gua berjaya juga membaca novel interlok yang belum dipinda. Gua baca dan gua berjaya membuat kesimpulan bahawa novel ini adalah novel yang terbaik untuk menggambarkan interaksi kaum di Malaysia (Tanah Melayu, semenanjung emas, tanah selatan ) sewaktu sebelum merdeka, sewaktu penjajahan jepun dan sampailah waktu kemerdekaan.

Pesan gua, kalau nak baca sesebuah buku itu, bacalah habis sampai kulit bertemu kulit. barulah kita akan boleh membuat kesimpulan yang tepat. jangan kerana satu perkataan yang tidak ingin/suka kita dengari kita menghukum sesuatu karya itu sebagai rasis.

Pesan gua lagi, pelajarilah sejarah. Dengan sejarah kita akan lebih mengenali diri kita sendiri. dengannya juga tidaklah mudah kita bertindak semberono tanpa usul periksa.

gua fikir novel interlok karya abdullah husain yang gua baca ini akan gua simpan, akan gua simpan buat anak-anak gua baca, kerana bagi gua ia lebih autentik, tulin dan jujur dalam menceritakan perkara yang sebenar. gua bukan mahu bersifat rasis, tetapi cubalah kita berlapang dada dan menerima karya ini dengan hati yang terbuka. kesedaran itu perlu.

masakan seorang sasterawan negara menulis caca marba. tapi kalau mahu juga dipinda, apa gua boleh buat. pindalah. pindalah semahunya.



nota kaki: klik sini

23 Apr 2011

gebeng dan nasi lemak.

nasi lemak merupakan makanan yang boleh menyatukan bangsa. sebut saja namanya, cina, india mamak, benggali pasti kenal dan pasti pernah menyumbat perut mereka dengan nasi lemak. sekalipun tidak semua menggemarinya, tetapi saya yakin pasti ada. pasti ada.

tidak keterlaluan jika dinamakan nasi lemak ini sebagai makanan perpaduan. sama juga dengan roti canai, yong tau fu...dan seangkatan dengannya.

saya sebenarnya sudah lupa sejak bila saya mulai kenal dengan nasi lemak ini. dan kelupaan ini membuktikan dua perkara, pertama memungkinkan saya seorang yang pelupa dan kedua, mungkin sudah terlalu lama saya mengenali nasi lemak sehingga saya terlupa saat pandang pertama itu berlaku.

walau apa pun yang dikatakan tentang nasi lemak, saya tetap dengan pendapat saya. nasi lemak bukan masalahnya. masalah sepatutnya diletakkan pada yang melantak nasi lemak. kanak-kanak sekarang hanya tahu makan dan membesarkan tubuh badan (mungkin tidak semua). nasihat saya kepada adik-adik di sekolah, buang peluh anda. jangan disimpan lama-lama. berlarilah ke sana kemari. nikmati sepenuhnya zaman kanak-kanak anda dengan sepenuh hati.

walaupun begitu saya bukan membangkang keputusan melarang penjualan nasi lemak. saya sedar dan saya tahu kerajaan melalui kementerian bertanggungjawab menjalankan sesuatu perkara kerana memikirkan kepentingan rakyat seperti saya.

kerajaan memang mahu melahirkan generasi muda yang sihat. dan saya harap generasi muda di Gebeng juga akan sihat seperti rakyat malaysia yang lain.


takut-takut bila ke gebeng 10 tahun akan datang, kita sudah tidak berjumpa lagi dengan nasi lemak. takut-takut wilayah Gebeng nanti akan jadi serupa wilayah chernobyl di Ukraine. harapan dan doa saya moga tidak jadi seperti itu.


nota tapak kaki: baru gua perasan dah lama gua tak makan nasi lemak. asyik-asyik nasi goreng thai..demmm!!!!

16 Jul 2010

lapan ratus mahu seribu

1
ada wang kurang lapan ratus mahu satu ribu,
bapak yb kasi dengan wajah terharu,
katanya kasihan sama anak bini kamu,
hidup melarat sebab kerja tak menentu,

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
kata bapak yb, itu lebih dari membantu
syukur pak yb
syukur kata pak abu

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
anak yang sulung kata mahu beli buku,
yang tengah kata mahu bayar yuran sebelum hari rabu,
yang kecil merengek mahu minum susu,
geleng kepala pak abu,

2
pak abu masih macam dulu,
wang kurang lapan ratus mahu seribu,
sudah habis beli buku
beli susu.
pak abu tongkat dagu,
teringat bapak yb yang datang rumah tiga tahun lalu.

1 Jul 2010

saja-saja

salam alaik,


Saya sudah hampir terlupa bahawa saya sudah punya sebuah blog. Kehidupan di kampung sewaktu cuti semester hampir memabukkan saya dengan ketenangan. jadi saya tidak punya masa untuk melepak di alam siber ini.

Orang kata, kalau sudah punya kekasih maka sayangilah ia. Tapi saya tidak punya manusia yang bergelar kekasih untuk disayangi. Blog ini juga bukan kekasih saya. Tapi sekurang-kurangnya buat masa ini, dengan blog ini saya boleh membuatkan saya melakukan sesuatu yang ada kalanya bermakna dan ada kalanya tidak membawa erti apa-apa. Oleh itu, saya perlu menghargai blog saya ini dengan memperlakukan ia seadanya. cukup soal ini.

Baru petang tadi, ada seorang member telah mengetuk fikiran saya dengan suatu perkara yang nampak remeh (bagi saya kerana saya bukan manusia yang suka berfikir). Oleh itu, member saya ini kerap kali cuba mengajak saya untuk berfikir. Sewaktu itu kami sama-sama sedang menyumbat perut dengan makanan di kantin institut. Kata member saya:

"Kita patut mencintai dan menyayangi alam SEMULA JADI"

Saya membenarkan katanya. Memang itulah yang sepatutnya saya lakukan. Saya juga percaya, manusia yang hari-hari mencampakkan sampah ke sungai dan manusia yang hari-hari menuai balak di hutan juga turut akan membenarkan kata-kata member saya ini.

Member saya itu mengangguk dua, tiga kali dan tersenyum nipis. Dia menghirup teh o ais yang masih berbaki dan mula mengunyah seketul ais. Selesai semua itu dia kembali mengajak saya berfikir.

"tapi betul ke alam SEMULA JADI?" soalan yang aneh ditanya kepada saya.

sejenak saya terkedu memikirkan soalan yang sudah tentu ada jawapan itu. Dan seketika kemudian saya tersenyum.

"betul la ek, kalau alam SEMULA JADI tak tepat, sebab alam ini bukan tercipta secara semulajadi, alam ni ada penciptanya. Dan pencipta alam ini adalah Allah. Jadi frasa yang lebih tepat adalah Alam Ciptaan Allah,"

Tiada ulasan dari member saya itu. dia menangguk-angguk kepada saya dan terus asyik dengan hidangannya itu. saya tersengih.

Maka itu lah bahasa. Alat yang menghubungkan manusia. Dan boleh jadi juga penyebab kepada sengketa sekiranya bahasa yang ada tidak digunakan sebaiknya.
Pepatah-pepitih orang dolu-dolu,,,,Kerana pulut santan binasa, kerana mulut ramai yang masuk .......

habis sudah.

23 Feb 2010

Cikgu Raman

Dahulu.

Dekat kampung aku ada seorang cikgu. Semua orang panggil dia cikgu. Malahan orang yang tidak pernah belajar dengan dia pun, turut panggil dia cikgu. Termasuklah aku. Aku tak pernah belajar dengan dia. Dia pun tak pernah mengajar aku. Tapi aku masih panggil dia cikgu. Cikgu Raman(Abdul Rahman). Orang yang belajar dengan cikgu Raman kata, dia ajar bahasa Inggeris. Bila dia speaking, memang terbaik.

Sebab apa aku tak pernah belajar dengan dia?. Sebab dia sudah menamatkan perkhidmatan sewaktu aku baru mengenal apa itu kalam dan apa itu kitab. Tapi jarang-jarang, dia datang juga ke sekolah. Barangkali dia rindu untuk mengajar. Tapi guru besar tak suka, cikgu-cikgu lain pun tak suka. Tapi kami murid-murid suka kalau cikgu Rahman datang. Dia suka sembang. Setiap soalan kami. Pasti ada jawapannya dari mulut dia. Yang pasti jawapan dia pasti berbeza dari jawapan orang-orang lain. Oleh itu, kami sentiasa tertawa dengan jawapan Cikgu Raman yang lain dari orang lain itu. Bila kami asyik bersembang dengan cikgu raman mesti cikgu lain marah. Cikgu-cikgu lain suruh Cikgu Raman balik rumah.

Dekat dalam kampung orang pun ramai tidak suka Cikgu Rahman. Orang kata Cikgu Raman suka kejar anak dara orang. Kenapa dia buat macam itu,?? Hanya tuhan yang tahu.
Tapi apa yang aku tahu dan orang kampung aku tahu, otak Cikgu Raman tiga suku. Dan kenapa jadi macam itu. Hanya tuhan yang tahu. Apa yang aku tahu, orang kata Cikgu Raman putus cinta, makan hati berulam jantung. Parah dan hilang pedoman. Lalu terus jadi macam itu.


Sekarang.


Aku sudah lama tidak dengar khabar. Sudah lama kelibat cikgu Raman aku tak nampak. Tapi aku pasti dia masih ada. Sakit barangkali. Barangkali usia yang lanjut membataskan pergerakannya untuk merayau kemana-mana dan juga, untuk mengejar anak-dara orang.

Konklusi

Hebat betul bila sudah jadi cikgu. Walaupun otak dah tiga suku orang masih memanggil cikgu sebagai cikgu. Walaupun badan dah dikandung tanah jasa cikgu akan terus dikenang. Hormati guru kita.

3 Jan 2010

jangan Buang anak merata-rata

Aku tengok dan aku perhati memang dah lama perkara ni. Memang cukup pelik perangai rakyat malaysia. suka buang mende merata-rata. kalau setakat puntung rokok tu mungkin tak jejas kot alam sekitar sebab aku buang ikut dan je mende alah tu. Tapi kalau sampai tahap buang anak dalam tong sampah, longkang, tepi jalan, dalam semak... ni bukan orang dah ni...apa nak jadi dengan rakyat malaysia sekarang ni, aku pun dah tak tahu.. dulu ada nama anak buluh betong je..orang kata tu anak bunian...tapi sekarang ni anak tong sampah DBKL, anak sungai kelang pun dah ada..banyak pulak bunian mengawan sekarang ni ek..

Itu satu cerita, kisah tentang orang buang anak sebab takut pekung di dada pecah, busuk nama keluarga.anak yang tiada keturunan itu akan menghancurkan nasab keluarga. kejam memang kejam, tapi nak dibandingkan lagi satu penyakit rakyat malaysia ni, aku rasa yang kedua lagi kejam. penyakit apa.? penyakit suka mencampakkan anak sendiri ke dalam tong sampah neraka. Aku tengok budak-budak zaman sekarang ni, cukup bebas, mak bapak budak-budak ni macam tak pernah tekankan soal akhlak ke,bersuka ria seenak-enaknya, minum arak, seks bebas berleluasa dimana-mana. Kalau nak cari muka budak-budak muda dekat masjid dan surau cukup payah. yang senang ditemui hanyalah pakcik-pakcik, atuk-atuk dan seangkatan denganya.

memang kita tengah hanyut dengan nikmat keduniaan sehingga tak sedar musuh islam terus ketawa terbahak-bahak melihat kebodohan kita.

15 Dis 2009

riang ria bola sepak Malaysia

beberapa minggu ini banyak cerita dan peristiwa yang menggumbirakan peminat bola sepak Pahang dan malaysia. yang pertama pasuka Pahang tak jadi turun liga perdana dek kerana negeri pahang mempunyai sultan yang berjiwa rakyat. Aku tabik spring kat sultan pahang. Apa negeri lain nak kata, kata je la. Ada aku kisah. yang paling terbaru, malaysia berjaya melayakkan ke final bola sepak sukan sea laos. Korang memang buat aku bangga la. tak sia-sia aku beranak kat malaysia. Klau dapat emas lagi cun.

kepada pasukan Pahang berusaha la sungguh-sungguh untuk saingan liga musim depan. Dan untuk team Malaysia bawah 23 kat laos, bahan je vietnam tu, hari kalah tu pun sebab pengadil lupa pakai cermin mata.

8 Nov 2009

cerita rusa dengan kijang

Aku memang dah jangka dah keputusan perlawanan malam tadi akan berpihak pada N.Sembilan. Bukan apa berdasarkan prestasi semasa pun dah boleh nampak kekuatan sang rusa...Sebenarnya, aku fikr banyak kali nak tulis entri ni....ye r.. negeri Pahang peringkat kumpulan pun dah kantoi...jadi aku tak berkeinginan untuk merapu secara berlebihan...
Apa yang aku nak tekankan disini ialah, pihak persatuan bola sepak negeri kena la prihatin sikit dengan perangai penyokong-penyokong yang kadang-kadang diluar kawalan ...kita datang tengok bola, bukan nak sambut tahun baru cina nak bakar mercun semua tu...aku rasa moral player pun down nak main kalau nak sepak bola tiba-tiba tersepak mercun...Lagi satu aku respek kat semua player yang memang profesional, walaupun ada dua tiga kerat yang dah panas. Free kick indra memang power la... hairuddin pun perform gak malam tadi.

Apa-apa pun kepada yang menang tahniah diucapkan, yang kalah boleh cuba lagi tahun depan.
Majulah sukan untuk negara.

3 Nov 2009

Pengemis ke..

Ada satu cerita tentang ,,,,,


.....Suasana pagi minggu itu agak tenang. Mamat keluar berjalan perlahan ke arah hentian bas yang terletak berhampiran dengan Masjid Ar-Rahman. Ketika sampai di hentian bas itu, hanya ada seorang anak muda sahaja yang sedang setia menunggu bas yang masih belum tiba. Anak muda itu duduk betul-betul di hujung bangku hentian bas itu. Raut wajah anak muda itu bersih, tenang. Berkopiah putih, berbaju melayu dan berseluar slack warna hitam. Memang sederhana penampilannya.

"budak API kot", fikir Mamat.

Bas masih belum sampai. Mamat memandang ke arah anak muda itu. Kelihatan dia seperti sedang khusyuk membaca sesuatu. Terdengar suara seorang anak muda itu, yang hampir-hampir kepada berbisik. Mengalunkan bacaan Al-quran. Anak muda itu seakan tersedar ada orang sedang memerhati tingkah dan lakunya. Anak muda itu berpaling ke arah Mamat dan tersenyum. Mamat juga tersenyum dan menganggukkan kepalanya, seakan-akan memberi galakan kepada apa yang dilakukan anak muda itu. Anak muda itu meneruskan bacaannya. Mamat terus mendengar dan mendengar ayat-ayat yang dibaca.

Bas masih belum sampai-sampai. Mamat melihat jam pada telefon bimbit. Baru 10 minit berlalu. Selalunya, bas akan tiba setiap 30 minit. Itu yang tertulis di atas kertas. Tapi realiti sebenar, selalunya lebih lama dari itu. Mamat tidak kisah sangat tentang waktu pada hari itu. Hari itu Mamat bukan ada mengatur temujanji dengan sesiapa, tidak perlu terlalu tergesa-gesa fikir Mamat. Mamat menjeling ke arah anak muda tadi. Dia masih meneruskan bacaannya. Kini mereka bukan lagi berdua disitu. Sudah ramai yang bersama-sama mereka menunggu bas. Orang yang lalu lalang melintasi hentian bas itu juga semakin ramai.

Bas mungkin akan sampai sekejap lagi. Dalam kesibukan orang yang lalu lalang. Tiba-tiba, ada seorang gadis berhenti di hadapan anak muda yang sedang membaca Al-quran itu. Mamat menyedarinya dan terus memerhati. Pada mata Mamat, gadis itu tampak hebat, bergaya. Berkaca mata hitam dan baju juga berjenama. Dan seperti kebanyakan gadis di kota ini, dia juga seksi. Mamat tersenyum sinis.

"orang kaya", fikir Mamat.

Gadis itu menyeluk ke dalam beg tangannya yang besar itu. Memang besar. Mungkin banyak harta karun di dalamnya. Gadis itu mengeluarkan beg duit yang entah berjenama entah apa. Dari beg duit itu, si gadis hebat dan bergaya itu mengeluarkan beberapa keping wang berwarna biru. Dia membongkok sedikit, tersenyum dan meletakkan duit itu betul-betul di atas Al-quran yang dibaca anak muda itu. Mamat terkejut. Anak muda itu juga terkejut. Dan mungkin anak muda itu lebih terkejut. Sebelum gadis hebat dan bergaya itu sempat melangkah. Si anak muda menutup mashaf Al-quran, cepat bangun dan bertindak. Anak muda menghulurkankan kembali helai-helai wang itu dan berkata;

"Saya bukan pengemis"

Helai-helai wang itu masih tidak bersambut. Mamat masih setia sebagai pemerhati. Masa terus berlalu. Kelihatan berat tangan gadis itu menyambut kembali wang miliknya itu.

Bas yang ditunggu tiba tepat pada masanya. Mamat, anak muda dan beberapa yang lain menaiki bas meninggalkan gadis hebat dan bergaya yang masih terpinga-pinga. Bas terus bergerak ke hentian-hentian yang masih menunggu, memenuhkan perutnya yang masih banyak yang kosong.





p/s: aku pun tak tahu nak pesan apa...lu pikir la sendiri...

1 Okt 2009

rumah terbuka..

aku rase budaya rumah terbuka ni memang baru lagi kot tanah melayu ni...zaman-zaman dulu aku rasa mana ada rumah-rumah terbuka ni..semuanya tertutup rapi. tapi kalau orang nak datang masa raye ke, bila-bila masa pun boleh

jadi kenapa diadakan satu kata majmuk RUMAH TERBUKA, betol la kata orang-orang tua sekali ombak datang sekali tu jugak pantai berubah, zaman dah maju dunia pun dah berubah. Budaya rumah terbuka ni terpaksa diadakan mungkin kerana budaya orang zaman sekarang yang sentiasa tertutup rumahnya sekiranya tiada sebarang perayaan. jadi waktu hari raya macam sekarang la berlumba-lumba orang mengadakan rumah terbuka...tak faham aku, kalau tak raya mesti dia orang tutup rumah dia orang serapat yang boleh...sampai jiran sebelah rumah tak pernah bertegur sapa, tak pernah beramah mesra...apa nak jadi dengan satu Malaysia...

16 Sep 2009

satu malaysia merempit di Formula satu...

pagi tadi sekitar pukul empat, aku mula melayari jaringan internat. aku bukak Kosmo punya laman web...aku baca dan belek-belek, (walaupun surat khabar atas talian ni tak boleh belek pun)..aku terpandang satu tajuk yang bunyik macam best..satu bunyik yang memang dah selalu aku dengar sejak akhir-akhir ni...satu malaya la...pasal tu tobat aku dah tak heran dah...tapi tajuk surat khabar tu kata "1Malaysia F1 Team kebanggaan Malaysia:.

yang ni, taubat aku terkejut, memang power la PM malaysia. apa kata orang??? kalau ada duit semua benda boleh jadi..tu la lumrah donia..
kalau ikut apa yang ditulis kat dalam KOsmo.. diaorang kata ramai la ahli korporat yang sama akan melabur dalam projek ni.antaranya Datuk Seri Tony Fernandes, Datuk Kamarudin Meranun dan S.M Nasarudin S.M Nasimuddin..kalau kereta tu konfem-konfem dah Proton yang buat...tapi aku takut nanti F1 tak menang tapi ada pulak yang bankrupt sebab tak cukup duit nak tanggung perbelanjaan...semua orang dah tahu kan gergasi automotif dunia cam toyota dengan bmw pun dah menyerah kalah...


apa pun aku salah seorang yang juga warga tanah bertuah ni berharap benda ni akan membantu menaikkan imej negara...tak kisah dari sudut atau aspek apa pun janji ada manfaatnya...jangan esok sekadar buang duit je...lepas tu jadi modal anak-anak muda dengan pak cik-pakcik tua nak mencarut kat kedai kopi kat kampung-kampung yang usang dan terbiar...

3 Sep 2009

buang duit..

cuti mid sem baru ni, aku balik kampung dengan penuh keinsafan. al maklum la tarikh kepulangan aku ke desa tercinta bersamaan dengan hari pertama umat islam berpuasa.

tapi apa yang aku nak cerita ni tak ada pertalian mahupun perkaitan pun dengan bulan ramadhan ni...aku masa tu dalam perjalanan ke rumah mak saudara aku...dalam perjalanan tu aku akan lalu satu sekolah, sekolah kampung je. kurang murid plak tu. kalau tak silap aku masa aku sekolah rendah dlu murid kat sekolah ni sekitar 20 orang je.

jadi yang aku pelik ada satu papan tanda pemberitahuan tentang satu projek pembinaan...aku pikir nak bina apa kat kampung ni...aku baca punya baca, rupa-rupanya nak tambah blok pulak sekolah ni.....tak ke buang duit tu, blok-blok yang sedia ada pun dah banyak kosong, nak tambah lagi kekosongan yang sedia ada...alahai, membazir duit umat malaya lagi

27 Jul 2009

integriti

Hari ini aku menghadiri perhimpunan bulanan IPGM tempat aku mencari ilmu nih. ...kalau tak silap aku perhimpunan kali ini bertemakan menatang yang bernama INTEGRITI..pada pendapat aku perkataan INTEGRITI ni lebih kurang la dengan perkataan JUJUR dan AMANAH. aku rasa macam dorang ni saja bagi penjenamaan semula la pada istilah-istilah ni. saja nak bagi nampak macam moden sikit kot. aku nampak semua sifat-sifat yang terangkum di bawah INTEGRITI ni semuanya sifat-sifat yang baik dan kalau kita amati betul-betul semuanya dah diajar di dalam ajaran agama Islam.
pada hemat aku kalau nak bagi seluruh rakyat malaysia ni berINTEGRITI dalam setiap aktiviti dan perlakuan mereka, kenalah tarbiah dengan ilmu agama ni betul-betul.....sebab apa kalau kita nak awasi setiap orang dengan polis...mungkin boleh....tapi yang polis tu pulak siapa nak jaga....senang cakap macam ni la....bila kita ni dah faham betul-betul ajaran agama islam yang sebenar ni, maka secara automatiknya memang kita tak akan buat dah perkara yang menyalahi syarak sebab kita akan rasa Allah sentiasa memerhatikan segala perbuatan kita
akhir kata kalau kita jaga Allah, pasti Allah akan jaga kita.

gajah hilang gading>>>>>>>

hari ini...memang hari yang malang buat semua rakyat pahang yang mencintai pasukan bola sepak pahang itu sendiri. masakan tidak pahang kini telah sah tersingkir ke liga perdana . hanya tuhan yang tahu betapa remuknya hati aku....lepas ni konfem pasukan Pahang dah tak glamor dah. Pasukan yang pernah dijolokkan gelaran sebagai Real madrid Malaya dah tersungkur di medan pertempuran. aku rasa nak menyumpah je. tapi jauh disudut hati aku masih mengharapkan pasukan pahang akan bangkit suatu hari nanti...........amin