3 Mei 2010

mengejar dan dikejar

"stesion masjid jamek" lemah gemalai suara wanita dari pembesar suara. Memberi petanda pada setiap penumpang bahawa anda perlu turun jika ini destinasi anda. Ramai yang faham walaupun suara itu samar-samar.

Ismadi turun dari kenderaan awam yang bernama timang-timangan lipan kota itu. Terbuka sahaja pintu perut lipan gergasi itu, Ismadi terus melangkah keluar bersama-sama penumpang yang lain. Berpusu-pusu ibarat semut melarikan diri dari banjir gula yang maha dahsyat. Masing-masing dengan hal masing. Nafsi-nafsi. Tiada peduli hal orang lain. Tiada masa untuk bertegur sapa dan beramah mesra.

Ismadi berjalan sepantas mungkin. Laju langkahan kaki Ismadi. Dia betul-betul hendak cepat lagaknya. Sekejap-sekejap dia melihat jam tangannya yang dipakai ditangan. Sudah tentulah ditangan. Manusia berakal yang mana yang memakai jam tangan di tapak kaki. Jam itu sudah menunjukkan pukul empat suku. Kini Ismadi sudah di luar stesen. Sudah agak terasing dari kesibukan manusia yang berpusu-pusu. Ismadi memasang sebatang rokok di bibirnya. Dalam detik itu juga, dari seberang jalan kedengaran azan menandakan masuk waktu asar bagi wilayah persekutuan dan tempat-tempat yang sewaktu dengannya. Jelas dan terang suaranya. Jelas dan terang tujuan azan itu dilaungkan. Jelas dan terang juga maksudnya walaupun dilaungkan di dalam bahasa arab. Ismadi benar-benar faham.

Sekali lagi Ismadi menatap jam tangannya. Dia menggeleng kepala. 'tak sempat' sayup-sayup ada suara di dalam hati ismadi. Dia perlu pergi ke bank. Kad banknya telah patah, jadi tidak boleh menjalankan urus niaga dengan mesin ATM. Dia perlu juga ke kaunter bank. Dia benar-benar perlukan wang. Tiga ringgit di dalam poketnya tidak mungkin boleh bertahan sampai minggu depan. 'Lepas keluar duit barulah sembahyang' entah dari mana ismadi mendengar bisikan itu. Dari hatinya barangkali.

Puntung rokok dilepaskan ke atas lantai dan dipijaknya lumat-lumat. Dia sudah ada keputusan. Dia perlu keluarkan duit dahulu. Dan seperti majoriti manusia yang ada disekitarnya. Dia terus berkejaran mengejar matlamat hidup masing-masing. Ismadi terus melangkah laju dan maju.

10 meter di hadapannya ialah pintu bank. Ada tulisan 'buka' pada pintunya. ismadi tersenyum. Langkahnya tidak lagi selaju tadi. Langkahnya sudah tenang. Masuk dan memulakan urusan perbankkan.

hampir pukul lima, ismadi selesai dengan urusan banknya. Dia pelanggan terakhir yang berurusan. Poketnya kini sudah kembung kembali. Tidak banyak, tapi cukuplah untuk hidup. Ismadi berjalan tenang keluar dari bank. Di hadapannya jalan. di seberang jalan itu ada kedai seven eleven. 'alangkah indah hidupku saat ini jika dapat meneguk air seratus' hati ismadi berkata-kata.

Dia pandang kiri dan terjenguk-jenguk ke kanan. Lampu isyarat trafik masih hijau untuk kenderaan dan merah untuk pejalan kaki sepertinya. Kenderaan tidak putus-putus melaluinya. Ismadi semakin kurang sabarnya. Kenikmatan meneguk air seratus tergambar-gambar dalam kotak fikirannya. Dengan kelajuan paling pantas yang mampu dicapainya disertai pertimbangan yang kurang, ismadi cuba menyeberangi jalan yang sedang dibanjiri arus lalu lintas itu. Ismadi berharap dia akan selamat ke sana.

Harapan tinggal harapan. Hajat ismadi tidak kesampaian. Dalam perjuangannya di jalanan itu, dia tewas. Dia telah ditabrak kereta. Kereta buatan nasional. Kereta waja. Sesuai dengan namanya, sudah tentu tubuh badan kereta itu juga sekeras besi waja. Dan tiada terlawanlah kekerasan tubuh Ismadi yang tidak cukup makan itu.

Ismadi melambung jauh. Melambung ke belakang kereta bernama waja itu. Badannya terlentang diatas jalan raya yang suam-suam kuku itu. Nyawanya masih ada. belum putus. Matanya terbelalak memandang langit petang yang semakin keruh dan kusam. Orang ramai semakin ribut disekelilingnya. Telinganya juga dapat menangkap bunyi jeritan ambulan. Tapi dia tidak bergerak. Seluruh tubuhnya terasa sudah mati.

Tiba-tiba dia terasa bahunya ditepuk. Ada wajah manusia muncul dalam pandangan matanya. Manusia itu dikenalinya. sangat dikenali. Manusia itu berkata-kata.

"weh ismadi, bangun.. semayang asar....ko ni...lima minit punya baring pun boleh tido ke?" Kamarudzaman rakan ismadi mengejutkannya dari lena.

Ismadi tersentak. Dia mengangkat kepala dan duduk berlunjur. ada anak-anak peluh mengalir dari dahinya. Pandangannya menjalar kepada rakannya yang sedang melangkah ke dewan solat utama Masjid Jamek.

"Weh Kamarudzaman, jam pukul berapa?" tanya Ismadi separuh menjerit. Menjerit kepada Kamarudzaman yang semakin menjauh.

"4.20 ..cepat la kata nak pegi bank. pukul 5.00 bank tutup dah..."jawab Kamarudzaman juga separuh menjerit.

Ismadi bangun lekas-lekas. Terus melangkah untuk mengambil air sembahyang. Dalam langkahan itu Ismadi terfikir, manusia mengejar hidup, dan tanpa manusia itu sedar, manusia juga sedang dikejar maut.

habis dah kot,

2 ulasan:

  1. Benda yang paling dekat dengan kita ialah mati...
    (Imam Al-Ghazali)

    BalasPadam