Memaparkan catatan dengan label merapu tahap dewataraya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label merapu tahap dewataraya. Papar semua catatan

6 Ogo 2012

Sangka

Samad ke bazar ramadhan buat kali pertamanya pada hari ke lima belas ramadhan. Buat hari yang telah lepas dia lebih suka berbuka di masjid, berbuka dan berkongsi rasa bersama abang-abang dari negara asing yang beragam warna kulit. Di sana dia belajar keadilan islam. Dia belajar bahawa islam itu bukan agama untuk manusia melayu berkulit kuning sepertinya sahaja. Islam itu agama untuk yang putih, coklat, hitam dan seluruhnya.

Bazar ramadhan seperti gambaran dalam fikiran sesiapa sahaja pasti melakarkan satu catan yang penuh sesak, berasap, sesak, padat, berasak-asak dan meriah. Sepanjang laluan dari hujung ke hujung bazar penuh dan melimpah dengan aneka makanan berwarna warni dan beraroma enak yang menarik nafsu yang sedang berpuasa. 

"kau tengok hujung sana," tangan Samad diacu kepada satu arah.

"mana?'' soal rakannya

"sana itu, kau nampak mamat yang bawa plastik bungkusan yang banyak itu, kuat betul makan" Samad memuncungkan mulutnya.

Rakannya menyorot pandangan ke arah yang ditunjukkan Samad.

"tidak baik kau berkata begitu, barangkali dia ada ahli keluarga yang ramai untuk diberi makan." rakannya berkata.

Samad mencebik. Manusia yang dikata itu hilang di celah sesak manusia yang berasak-asak. Mereka berjalan lagi. Tidak lama, mereka keluar dari padat bazar ramadhan itu ke arah parkir kenderaan di tepi jalan besar.

Tiba-tiba langkah Samad terpaku pada trotoar. Rakannya hairan lalu bertanya kenapa. Samad tidak menjawab, cuma mulutnya dimuncungkan pada hujung jalur laluan pejalan kaki itu. Rakannya berpaling. Dengan tersenyum rakannya berkata.

"itulah kau, suka berburuk sangka dengan orang lain," kawannya tertawa nipis.

Susuk tubuh yang dikata Samad kuat makan itu sedang  memberi bungkus-bungkus makanan pada gelandangan yang meminta sedekah ditepi jalur pejalan kaki. Tanpa dipaksa-paksa, Samad berasa malu dengan serela hatinya. Sesal dihatinya kerana berburuk sangka dengan tidak tentu hala.

Sayup-sayup kedengaran suara dari penjual bazar ramadhan.

"air buah blender, air buah blender, mihun sup pun ada.."

TAMMAT


13 Ogo 2011

kekasih 3 (epilog)

Membina rumah tangga itu memang satu pekerjaan yang mulia. Tanya saja, siapa saja hampir pasti mahu berumah tangga. Ya, mahu hidup berteman, berkongsi penat lelah menyusur perjalanan hidup di bumi. Tapi, rumah tangga bukan sekadar berkongsi kebahagian. Tabiat manusia, kita suka kepada perkara-perkara yang muluk saja. Sedangkan selepas terdirinya sebuah rumah dan tangga, kita sebenarnya membina ruang yang perlu diisi dengan tanggungjawab. Tidak kena cara, rumah dan tangga yang dibina itu boleh runtuh dihempap tanggungjawab yang tidak dijangka. Maka berkecailah harapan yang muluk-muluk itu. Hampa.


Hujan rintik renyai pada malam yang malas itu. Malam jumaat. Samad belum mahu pulang ke rumah. Dia lebih enak memanaskan kerusi di satu sudut kedai kopi. Berseorangan menghembus asap sigaret. Berteman segelas teh tarik buih lebih. Sekejap-sekejap matanya berkalih ke muka tivi. Bosan.

"weh," pinggang samad dicucuk lembut.

Samad terkejut dan berpaling. Rasa mahu marah padam semerta dan terlukis senyuman paling manis, mesra.

Karim, rakan lama. Dahulu sama-sama muda, dan kini telah sama-sama memanjat usia.

"sorang?"

"a'ah, sorang, ko?"

"aku dengan orang rumah, tu ha, mengidam nak makan mi goreng mamak pula,"

"oh,"

Lambat-lambat isteri Karim datang ke meja mereka.

"kahwin tak jemput aku,"

"lost contact la, kau yang tukar nombor telefon, ni limah bini aku"

Samad terseyum. Diam seketika.

"cikgu juga?"

"junior kita dulu, haha," Karim ketawa nipis. Ada kisah yang mencuit hatinya.

"kau, apa cerita, kahwin belum?"

Samad diam bisu kata-kata. Masa seketika menjadi beku. Lidah menjadi kelu. Teh tarik buih lebih dihirup tinggal separuh. Sebatang sigaret dinyalakan. Asap berkepul berputar-putar. Masa kembali turut sama berputar. Kisah lama samad kemam kembali.

Samad getap gigi tahan geram dalam hati. Mukanya merah padam. Marah yang ditahan-tahan dari dulu sudah melimpah-limpah keluar. Hari ini Samad sudah bertekad adalah hari penamat. Hari keramat.

"kau ni siapa hah, kenapa kau kacau bini aku,"

Jantan miang diam.

Samad terketar-ketar menahan marah. Jantan miang memandang samad yang sedang hilang punca itu. Bahasa pujuk rayu yang indah sudah hilang. Hormat juga sudah lebur digulai api nafsu.

"dia kekasih saya, saya yang pilih dia. saya dah bosan hidup dengan ab.......,"

Pang!!!!. itu makanan kepada kata-kata pedih seperti itu. Samad tidak sedar tangannya melayang selaju itu. Warga kedai makan itu diam membisu. Dua tiga pelanggan lelaki yang terkejut bangun berdiri. Menunggu jurus samad yang seterusnya. Jika berbahaya, mereka masuk. Sedia menahan tidak kira siapa salah siapa benar. Selera makan mereka jangan diganggu dengan gelanggan tempur seperti ini.

Samad pandang sekeliling. Marahnya bertukar malu. Merah wajahnya bertambah likat. Sampai di sini fikir samad. Noktah telah hampir untuk kita bersama. Penghujung hayat bukan destinasi kita.

Asbak sudah penuh dengan puntung rokok. Teh tarik buih lebih yang kering sudah diganti dengan Segelas Milo tabur.

"begitulah ceritanya, anak kami yang seorang itu aku yang jaga, ada giliran dia ambil juga bawa berjalan, hari ni giliran dia"

Samad hampir mahu menangis. Karim tumpang sedih. Limah juga beri wajah simpati. Anak kecil Karim sudah pasti belum mengerti bahawa hidup ini bukanlah dipenuhi dengan janji-janji muluk yang boleh menggulaikan jiwa semata.

Sabarlah, mungkin esok masih ada. Kata-kata karim terlekat di fikirannya. Samad juga berharap begitu.


SEKIAN



p/s : gua pun tak tahu macam mana boleh jadi cerita macam ni. celaka, cerita apa ni.....Apapun, berkongsi itu maknanya bersedia untuk memberi dan bersedia untuk menerima....heheh


9 Ogo 2011

kekasih 2

bercinta monyet memang selalunya manis. manis macam coklat cadbury. manisnya habis dilahap serupa monyet tak makan 10 hari. di kekah sampai tinggal sampulnya sahaja. kosong, lopong. akhirnya, cinta yang disangka manis itu kosong. jadi cinta yang kebulur.


samad terguling-guling di atas katil. sekejap meniarap. sekejap mengiring. sekejap terlentang. macam ada duri semalu menyucuk punggung di atas tilam penyek itu. tangan tak lekang, mata tak pandang, selain telefon genggam.

sekejap-sekejap dia tersenyum lebar menyeringai gigi menguning. sekejap-sekejap ketawa kecil tetahan-tahan macam enjin mesin padi semput. sekejap-sekejap itu, sekejap ini. seronok benar nampaknya.

"kau ni kenapa, sewel apa bulan-bulan puasa ni?" karim baling fail mqa tebal dua 4 inci kepada samad.

dalam leka dalam dunia gila di atas tilam penyek itu, samad sempat juga mengelak. fail mqa terkena ke dinding. isinya hampir melimpah keluar. samad tersengih. dia ketawa kecil dua tiga nafas. dua tiga titik liur berbau bubur lambuk waktu berbuka tersembur keluar.

" sibuk la, aku tengah senang hati ada je kau nak kacau daun," samad tak pandang kepada karim. matanya sibuk dengan telefon genggam. bila mesej nak masuk fikirnya. tak sabar benar gayanya.

karim geleng kepala. karim hidupkan komputer riba. lama baru monitor mahu menyala. tetikus jenama cliptec digoyang-goyang. badan karim ikut sama bergoyang. layan filem enemy at the gates dahulu baru ada jiwa mahu buat kerja. esok kalau ada budak-budak nakal dalam kelas aku bidik kepala mereka macam vasily zaytsev tembak kepala nazi fikir karim.

samad tak peduli dengan karim. dia terus berguling di atas tiilam penyek. sekejap-sekejap senyum, sekejap ketawa semput.

"lawa kau petang ni, takkan pergi pasar ramadhan melawa macam nak pergi jumpa perdana menteri,"

"aku nak buka puasa kat luar,"

"sorang?'

"apa barang sorang, dengan gadis la," samad senyum sinis.

"ohhh, baru dapat pahala lebih ye dop," karim tembak peluru 5 mm kaliber tepat ke jantung samad.

tapi sayang, samad pakai baju kebal. peluru seperti itu ibarat gigitan anak nyamuk baru belajar cara nak hisap darah. sikit pun tak terkesan. samad sudah mangli.

samad seronok berbuka puasa bersama gadis. gadis juga begitu. senyum tak sudah dari awal menunggu berbuka sampai penuh senak perut dengan ayam kentaki. cuit-cuit , gurau senda, gesel-gesel, memang itulah nikmat bercinta.

sebelum puasa, semasa puasa, sesudah puasa. sama saja untuk samad dan gadis yang sedang bercinta sejati sampai cucu cicit itu. semuanya manis-manis saja, tiada yang pahit. semanis kurma katanya. semanis tebu juga, habis jus, hampas samad luah jauh-jauh. samad senyum dalam hati, supaya gadis tak tahu. esok-esok, hampas yang diluah gadis itulah juga.


bersambung>>>>>

24 Jul 2011

hero

"with great power comes great responsibility"


ayat di atas ni hero-hero sahaja yang boleh guna. jadi ayat ini bukan ditujukan untuk saya, kerana saya bukanlah seorang hero, dan mungkin tidak akan menjadi seorang hero. anda juga mungkin tidak...har har

ringkas cerita...

saya pernah meletakkkan beberapa watak fiksi ataupun realiti sebagai hero dalam hidup saya. saya mengagumi kehebatan mereka serta kalau boleh mahu jadi seperti mereka. punya kuasa seperti mereka. punya bakat seperti mereka...

di awal usia saya, saya meletakkan doremon sebagai hero. doremon satu watak fiksi yang hebat. saya teruja dengan kehebatan poketnya. kebaikkan hatinya kepada nobita. ketakutannya kepada tikus juga memberi kesan. kesukaanya kepada kueh dorayaki menyebabkan saya suka makan kuih gelang yang dimasak oleh ibu saya. dan kesan yang paling besar, saya jadi sukar bersolat maghrib, kerana tayangannya pada waktu yang sangat mudah menggugah iman saya. jadi, seringkali saya dihambat ibu supaya bersolat dahulu (dengan ibu masih boleh berunding). tapi jika dengan ayah, pasti penyangkut baju membaham belakang tubuh saya.


di awal remaja, semasa tingkatan satu, saya meletakkan kurt cobain sebagai orang yang saya puja. entah kenapa, saya tidak tahu. mungkin kerana perwatakan memberontak itu sangat cocok dengan jiwa saya ketika itu. walaupun saya hidup selepas zaman kehebatannya, tetapi tempias yang dibawanya mengena juga kepada jiwa saya. itulah kuasa yang dimilikinya

dunia berubah, dan jiwa saya pun berubah.

memasuki fasa kedua di sekolah menengah saya kembali menjadi anak yang sukakan kartun. saya mula memuja lakaran-lakaran pada kertas putih. oleh itu saya kembali menggilakan dunia komik dan kartun. lakaran-lakaran kartunis dari jepun sangat hebat untuk menyebabkan saya ketagihan kepada karya mereka. dua watak yang saya gilakan, Monkey d. Luffy dan naruto. budak getah / monkey d. luffy sangat menarik perhatian saya. kehebatannya berlawan dengan musuh, menukar lawan menjadi kawan, kuat makan, bulat tekadnya dan hidunya sebagai lanun, menyebabkan saya sering bermimpi menjadi sepertinya. mahu punya kapal sendiri, belayar dengan rakan-rakan di lautan luas, menjejak harta karun. itu cita-cita saya suatu masa dahulu.

usia saya bertambah, dan hampir semua yang di atas menjadi simpanan memori yang semakin lapuk. sudah lama saya tidak menonton doremon. kesemua kaset-kaset nirvana yang pernah saya beli telah rosak, maka telah dibuang. komik naruto dan budak getah yang pernah saya beli juga sudah bersepah entah ke mana. ada yang masih elok, ada yang carik barik dilunyai anak saudara saya yang hobinya merenyuk kertas. saya tidak marah, saya fikir semasa saya kecil mungkin saya lebih nakal dari itu. cerita naruto/budak getah masih berterusan sampai sekarang. tetapi saya sudah malas ambil hal, tetapi jika ada rakan-rakan yang bercerita saya tumpang dengar juga.

itulah, mereka yang pernah jadi hero kepada saya, tetapi tidak pernah kekal. saya mula berfikir, siapa pula yang mahu saya herokan selepas ini.

mungkin bapak-bapak menteri. mereka juga hero bukan? mereka bersusah payah memperjuangkan nasib rakyat jelata (celaka betul, saya ketawa ketika menulis ayat ini).


11 Jan 2011

pukul 1 pagi

Aku bukan kumbang rakus,

Dan kau bukan bunga indah,

Cukuplah,

Noktah…

Kita cuma manusia.


notakaki:

jiwang yang amat...

kumbang suka makan daun, tak suka makan bunga.

14 Okt 2010

sesat di kuala lumpur 3






jenazah yang terkujur kaku di tengah-tengah ruang rumah yang sempit itu diperhatikan dengan teliti. jenazah itu memang benar sudah tidak bernyawa. pucat lesi.

lebai kordi menundukkan badan meminta diberikan laluan untuk lebih hampir dengan jenazah itu. saudara mara si mati yang sedang duduk di sisi jenazah itu beralih kebelakang memberi laluan kepada lebai kordi. lebai kordi menyelak kain selimut untuk melihat wajah si mati itu. wajahnya pucat dan lesi. ibarat darahnya sudah kering sama sekali.

lebai kordi mengalihkan pandangan kepada haji sameon dan sudin. dia cuma menganggukkan kepala. sameon dan sudin faham dengan anggukan itu. mereka datang kepada lebai kordi dan sama-sama mengangkat jenazah ke sebuah bilik di belakang ruang tamu itu. tidak terlalu berat. tidak juga terlalu ringan jenazah itu. beratnya sama seperti jenazah lelaki normal yang lain.

"letak dalam ni" arah lebai kordi yang menjadi kepala disitu.

sudin membetulkan pinggangnya. pinggangnya sudah berumur. tidak lagi sehebat zaman dia melibas bola takraw dahulu. dia duduk sebentar di atas kerusi yang ada di sudut bilik itu. berehat sebentar untuk menghilangkan rasa lenguh.

haji sameon pula, sibuk menarik getah paip. mereka semua diam. dan itulah yang sebaiknya. lebai kordi pula perlahan-lahan membuka kain selimut yang membaluti tubuh pemuda itu.bermula dari atas kepala ke paras pusat ditarik perlahan-lahan. sudin dan haji sameon memerhatikan dengan tekun.

"astagfir........" tidak sempat lebai kordi menghabiskan istigfarnya. dia terjelepuk di atas lantai.

mata lebai kordi terbelalak. wajahnya penuh dengan kejutan. kopiah putih terjatuh di sisi tempat mandi jenazah itu. dia msih sedar. cuma dia benar-benar terkejut. haji sameon dan sudin turut sama terkejut. sudin yang lenguh-lenguh pinggang tadi terus melompat ke sisi lebai kordi seraya bertanya dengan nada suara yang masih juga terkejut.

"kenapa lebai..."

"astagfirullah...astagfirullah," lebai kordi terus beristigfar. tangannya ditunjuk ke arah tempat mandi jenazah itu.

haji sameon yang berada di muka pintu masih memegang getah paip. matanya ditala ke arah sudin yang memangku lebai kordi. sudin membalas sorotan mata haji sameon. dia menangkat bahu tanda dia juga tidak betul-betul pasti apa yang terjadi. haji sameon melepaskan getah paip ke lantai di melangkah cepat ke kolah mandi mayat itu. dia mahu tahu apa yang mengejutkan lebai kordi yang memang selalu tenang itu. dua tiga langkah dia sudah sampai di sisi kolah

"astagfirullah al azim," haji sameon beristigfar panjang. dia berundur dua tiga langkah dan tersandar di dinding rumah yang usang itu. agak lama dia begitu.

husin berasa semakin aneh. kenapa kedua-dua rakannya ini terkejut seperti hilang separuh nyawa. dia bangun dan meninggalkan lebai kordi tersandar di dinding. lebai kordi sudah hampir pulih semangatnya. dia menjenguk ke dalam bekas mandi mayat itu. dan dia juga turut sama terkejut seperti dua rakanya tadi. dia tersandar pada dinding berhampiran tingkap yang tertutup.

agak lama mereka begitu. masing-masing diam membisu. hampir lima minit. mereka saling berpandangan. mahu percaya atau tidak apa yang dilihat oleh mata mereka yang semakin tua itu. lebai kordi menundukkan kepala dan mengambil nafas panjang.

"kau nampak apa yangg aku nampak?"

sudin dan haji sameon mengangguk hampir serentak. tidak menjawab.

"apa nama budak ni tadi?" tanya lebai kordi tadi merujuk kepada jenazah yang sedang kaku itu.

"Ali, lebai" sudin menjawab ringkas.

"betul budak ni laki-laki?" lebai kordi bertanya lagi. tegas dan kental soalan itu.

"betul lah lebai, laki-laki. saya kenal sangat budak ni sebelum dia pergi kuala lumpur dahulu, tapi, tak tahu boleh jadi macam ni....." sudin menggeleng kepala.

haji sameon masih terkejut di tepi dinding. lebai kordi menggeleng kepala juga. lebai kordi bangun lemah dari duduknya. menuju ke bekas mandi mayat itu. dia telah beroleh semangat kembali. dua ketul daging di dada pemuda (jika masih boleh dikatakan pemuda) ditutup kembali dengan kain selimut.

"benarlah kata orang, kita mudah sesat di kota besar. dan pemuda ini telah sesat di kuala lumpur,"

sudin menarik paip getah dan mereka menguatkan semangat menguruskan jenazah itu seperti sepatutnya jenazah lelaki diuruskan.


notakaki:
kita hidup kerana kita akan mati,



27 Sep 2010

rumah gila rumah

benarkan aku bertapak disini,
berselimut embun
bertilam aspal,
berbantal lengan,

aku hanya mahu disini,
aku bukan mahu dilempar simpati,
aku mahu hidup sendiri
hidup kalian,
aku tidak mahu peduli,

percayalah!
rumah aku di sini.
kalau boleh
untuk seribu tahun lagi,

25 Sep 2010

uuuccdfvtfvgrrrrrrr..hmffftuihhhh...arghhhh

teguk air,
makan biskut,
baca surat khabar,

ada berita dari gaza,
anak kecil tertembak peluru sesat,
mereka kata,
itu semua isu kemanusiaan,
benarkah?
terus baca...

teguk air,
makan biskut,
baca surat khabar,

ada berita dari sungai kotor di ibu kota,
sungai itu beranak lagi katanya,
mereka kata,
itu semua masalah sosial,
terus baca....

teguk air,
makan biskut,
baca surat khabar,

air habis,
biskut habis,
akhirnya,
surat khabar jadi alas makan mi segera,
makan apa agaknya saudara di palestin...


notakaki: mi segera kegemaran saya adalah mi maggi perisa asam laksa.
palestin bukan hanya isu kemanusiaan, tapi isu agama kita Islam....

21 Sep 2010

teknik main peranan

wanita berwajah sedih itu masih menangis. dia terus meratap pada jasad yang sudah terkapar di atas tanah kering berdebu itu. diam dan kaku sahaja sahaja jasad itu. jasad itu semakin sejuk. ia tidak akan bangun dan tidak terganggu oleh ratapan wanita itu yang meraung kesedihan itu.

datang satu ketika, wanita berwajah sedih itu sudah letih menangis dan meratap. barangkali dia sudah sedar dari ketakutannya itu, yang hidup pasti akan mati. dia cuba bertenang dan membuang pandangan matanya yang marah pada lelaki yang terduduk lemah diatas tanah berdebu itu. wajahnya penuh kekesalan. mata lelaki kesal itu terpaku pada tanah. lelaki ini tidak sanggup bertentang mata dengan wanita berwajah sedih.

"kenapa man? kenapa?" wanita bersuara lemah. seakan merayu. seakan meminta.

rayuan itu lemah. tapi lelaki itu masih diam. dia tiada jawapan untuk soalan yang ringkas itu.

"kau kejam Man!" kali ini tinggi suara wanita berwajah sedih itu. lelaki itu mengangkat kepalanya. pandangan mereka bertaut. tapi tidak lama. lelaki itu benar-benar tidak sanggup menatap wajah wanita itu.

"aku tak tahu salmah..."suara lelaki itu sebak hampir menangis. pisau panjang di tangannya dilepaskan ke tanah. darah merah memakat ditangannya sudah mahu beku.

dia bingkas bangun. cuba mengagahkan kaki untuk berdiri.

"aku....." dahi berkerut. dia seakan terlupa sesuatu. lama dia terdiam.

suasana sepi. tiba-tiba.


"CUTTT!!!!!!!.....apa kamu ni S. Kasdan. takkan lupa skrip lagi, ni dah kali ketiga dah ni" Marah benar Mamat Kalut.


*****************************************#**********************************************



barangkali, hidup ini benar satu drama lakonan. kalau benar begitu, bawalah watak itu, jiwailah watak itu sehabis baik.....

notaketiak: esaimen terus menjadi mimpi malam aku. sekadar mimpi memang takkan siap...kahkahkah

20 Sep 2010

dunia semua ni

11.45 malam

aku singgah bilik sebelah. mereka semua masih bersungguh menyiapkan esemen. aku cuma datang melawat. tak boleh jadi, hati aku berbunyi. semua dah nak siap. aku pasang tekad kemas-kemas. aku pun nak siap esemen juga. biarlah malam ini menjadi saksi esemen aku berjaya disiapkan.

12.30 tengah malam

mata aku dah kelabu. aku cucuh sebatang rokok. hisap dalam-dalam sambil tenung bulan terang. rokok habis sebatang dan mata masih kelabu. aku teguk air watecooler. biar air tu lama main dalam mulut baru aku telan. mata aku kembali pada skrin laptop. tapi aku tak sentuh esemen. aku bukak fesbuk, jenguk ym. sekadar itu sahaja. pastu aku kembali kepada esemen.

1.45 pagi

"tup,tap,tup tap...."
berbunyi-bunyi keyboard aku tekan. esemen tak siap-siap juga. tiba-tiba member bilik sebelah datang. "siap belum?" dia tanya. "sikit lagi" aku jawab. beliau blah. dan aku kembali sendiri hanya berteman esemen yang tak siap.

2.15 pagi

tiba-tiba perut tak selesa. ada yang perlu dibuang. keluar sahaja aku dari bilik aku terkejut. mulut aku ternganga luas. semua bilik dah gelap. semua dah tidur. tiba-tiba semangat aku nak buat esemen jatuh mendadak. betul-betul down. aku melangkah lemah ke tandas.

2.35 pagi.

"lantak la apa nak jadi. aku kena tidur jugak" jiwa aku memberontak. sayup-sayup terdengar bisikan dekat telinga. "lepas subuh ko sambung la keje tu". aku tersenyum apabila terdengar bisikan itu. bantal biru bertompok air liur basi aku pandang penuh nafsu.


"selamat malam esemen"

22 Jul 2010

jiwanya ada taman

kehidupan ini barangkali satu metamorfosis. barangkali juga metamorfosis itu satu bentuk kehidupan. Kehidupan kita berubah dari satu tahap ke satu tahap yang lain. Dan ironinya, manusia itu sendiri berubah. kita berubah macam lipas dan rama-rama yang bermetamorfosis. mula jadi ulat. lalu jadi pupa. lalu baru terbang bebas di dunia. tapi sayang sekali hidup rama-rama, rupanya cantik tapi nyawanya pendek. Barangkali untung sedikit kalau jadi lipas, walaupun jelek dipandang, namun istimewa, sukar mati walaupun sudah kudung kepala .

tapi kita manusia. mana sama metamorfosis kita sama serangga. kita punya jalan hidup yang lain. tapi yang nyata, semua kita sentisa berubah. siapa saja boleh berubah. yang muda jadi tua, ada yang papa jadi kaya, yang tiada jadi berkuasa,yang hina jadi mulia, yang ingat jadi lupa.

nordin beredar perlahan dari tempat dia mengcangkung menonton jalur-jalur merah jingga memanjat langit dari timur. hampir setiap pagi, nordin melihat jalur-jalur merah jingga ini. sudah jadi acara wajib bagi pagi nordin. cuma kadang-kadang temujanji mereka diganggu sang awan hitam dan rakan karibnya hujan yang datang mencurah di pagi hari. tiada lagi jalur-jalur merah jingga pada pagi tersebut. suasana suram, gelap dan sejuk. suram gelap dan sejuk itu petanda nordin akan jadi malas bangun dan akan terus setia dengan tilamnya sahaja.

rokok yang masih banyak bersisa dibaling ke tepi. di baling bersama pemikirannya yang meracau tadi. meracau tentang hidup. meracau tentang metamorfosis.

dengan tuala yang sudah berdaki, dia mengorak langkah ke tandas. mahu mandi, mahu gosok gigi, mahu macam-macam lagi dan dia perlu cepat. dia perlu mengejar kelas pagi ini. pukul lapan akan bermula kelas. tidak kurang dan tidak lebih. pukul lapan. jika sampai awal, nordin akan bahagia, andai terlewat pasti bahaya.

sewaktu menggosok gigi nordin diganggu lagi dengan ingatannya tentang metamorfosis. nordin pandang tepat pada reflek dirinya di dalam cermin.

"mahu jadi apa," soalnya. tapi ternyata tiada suara yang keluar. tiada suara juga yang menjawab kembali.

"puhhh,'' nordin meludah semua fikirannya itu ke dalam sinki. mengalir bersama air ludahnya berbaur dengan buih-buih ubat gigi. nordin membersihkannya. terus menuju ke pancuran air. seketika kedengaran deburan air diselangi nyanyian kecil rakan-rakan yang sama-sama akan terlewat ke kelas.

Nordin bersiap ala kadar baju biru muda lengan pendek, seluar hitam, songkok hitam, tali leher belang-belang, ubat ketiak jenama rexona. semua sudah sedia melekat pada tubuhnya. teman sebiliknya, sudah tiada. sudah ada di kelas barangkali. Nordin melihat jam pada telefon genggamnya. sudah lewat 5 minit pukul lapan. Nordin lewat lagi. bergegas dia mnekan punat lif. tapi nordin bukan seorang yang mahu masuk ke perut lif itu. ada 13 tingkat lagi yang berebut lif yang sama. mahu tidak mahu, nordin menapak sahaja menuruni tangga. dan terus melangkah laju-laju ke kelasnya.

nordin selamat tiba ke kelas walaupun agak lewat. sang pensyarah tersenyum sahaja melihat nordin. tidak perlu ditanya kenapa. jika ditanya sekalipun seribu alasan boleh diberi nordin. biarkan sahaja anak muda yang sudah boleh mengenal hitam dan putih ini. lambat laun dia pasti berubah. itulah fikiran sang pensyarah.

pelajaran diteruskan. Nordin semakin hanyut. rakan dikiri dan kanan juga sedang berperang sepertinya. melawan mata yang mahu kantuk bukan perkara enteng. orang yang benar-benar hebat sahaja mampu melawan kantuk mata ini, nordin cuba menyelak halaman buku catatannya. cuba melakar apa yang patut. matanya berbalam-balam. tangannya sudah tidak bergerak. kaku sahaja. dan akhirnya kepala jatuh juga di atas meja. sudah tidak sedar akan wujudnya dunia sekitarnya.

tiba-tiba, ada suara menyapanya.

"cikgu, cikgu...jangan rotan kami," hampi mahu menangis suara kecil itu.

nordin tersedar lamunannya. satu-satu mata murid darjah tiga yang lewat itu ditenungnya. matanya dikecilkan. wajahnya sengaja dibengisakan.

"kenapa lambat datang sekolah ni,?" soal nordin. rotan panjang dua hasta sengaja diacu ke udara untuk menakutkan ketiga0tiga budak yang belum bersunat itu.

tapi mereka diam sahaja. masing-masing takut pada rotan cikgu nordin.

"cakap pada cikgu, kenapa kamu semua lewat.?" satu persatu perkataan itu disebut nordin dan penegasan diberikan pada perkataan lewat.


dua dari anak kecil itu mula merah matanya. bergenang dengan air mata. menunggu masa mahu tumpah. anak yang seorang lagi yang masih tenang menjawab soalan nordin, walaupun tenang, masih tergagap.

"tayar basikal pancit cikgu. sebab tu lambat," tunduk sahaja ke tanah anak kecil ini. malu-malu mahu bertentang mata dengan cikgu nordin yang punya rotan halus panjang dua hasta.

cikgu nordin tersenyum sahaja. ditenung mata budak-budak itu dalam-dalam.

"dah pergi masuk kelas, esok jangan lambat lagi," arah nordin sambil berlalu pergi menuju ke setor tukang kebun.

anak-anak kecil itu terus berlari menggalas beg serupa sekampit guni beras yang sangat berat. tiba-tiba anak kecil yang berani menjawab soalan sudin itu separuh menjarit ke arah nordi.

"esok hari sabtu, tak sekolah cikgu," bertambah laju mereka berlari. pecah berderai ketawa mereka.

nordin berpaling. terus tersenyum.

"hai...budak-budak," nordin terus teringat dia juga begitu dulu. sering terlewat. selalu terlambat.

nordin terus menalakan langkahnya ke arah tukang kebun yang sedang sibuk dengan urusan perkebunannya.

"pekena sarapan sigaret dengan brader john(nama tukang kebun) bagus juga pagi-pagi macam ini" bisik hati nordin.

sayup-sayup kedengaran alunan lagu sekolah dari pembesar suara sebelum murid-murid memulakan pelajaran sesi pagi. nordin bersama brader john pula sedang asyik menghembus asap tembakau yang putih seputih awan komulunimbus. seputih jiwa nak-anak kecil tadi.

nordin tersenyum sahaja.

noktah.

notakaki:
jangan jadi macam nordin....kehkeh.

16 Jul 2010

lapan ratus mahu seribu

1
ada wang kurang lapan ratus mahu satu ribu,
bapak yb kasi dengan wajah terharu,
katanya kasihan sama anak bini kamu,
hidup melarat sebab kerja tak menentu,

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
kata bapak yb, itu lebih dari membantu
syukur pak yb
syukur kata pak abu

ada wang kurang lapan ratus mahu seribu,
anak yang sulung kata mahu beli buku,
yang tengah kata mahu bayar yuran sebelum hari rabu,
yang kecil merengek mahu minum susu,
geleng kepala pak abu,

2
pak abu masih macam dulu,
wang kurang lapan ratus mahu seribu,
sudah habis beli buku
beli susu.
pak abu tongkat dagu,
teringat bapak yb yang datang rumah tiga tahun lalu.

13 Jul 2010

Haltet den Dieb! (bahasa jerman ni)

ambillah saja,
orang bukan tahu,
dinding dan lantai batu,
ah,
persetan,
mereka semua bisu.
dosa, balasan hari akhirat,
ah,
persetan lagi,
taubat bila-bila boleh buat,
kau masih muda remaja, berbunga-bunga.........

tapi ada Tuhan, kawan,
Tuhan maha tahu,
konfem
kau memang tak boleh main tipu,
taubat sahaja kawanku,
ajalmu kau sendiri tak tahu,
nanti kau malu sampai ke bulu-bulu,


notakaki:

elaun mungkin boleh jadi ubat, manamungkin kalau sudah duit sendiri mahu lagi mengambil duit orang lain.
kepada elaun, cepat sikit masuk.

sotong kering

semua boleh jadi ini zaman,
ketul besi pun boleh jadi burung di awan,
apa pula nak pelik,
kalau,
sotong kurita pun boleh jadi tuhan,

10 Jul 2010

aku lapar

tolong,
tolong tunjukkan aku kawan,
tanah yang langitnya adalah gula kapas,
buminya kek secret recipe perisa blueberry,
sungai yang airnya air twister perisa oren,
pasirnya nasi kukus lauk ayam rempah,

tolong,
mari tolong tunjukkan aku
bumi yang orang tidak menyuap untuk makan.
tidak meneguk untuk minum,
tidak melangkah untuk berjalan.

tolong
tolong khabarkan pada aku,
hidup ini semudah pejam dan celiknya mata.
semudah bergelak ketawa
seindah bermain couter strike setiap masa,

tolong,
tolong percayakan aku kawan,
hidup biarlah jadi orang yang tidak tahu apa-apa
kerana semakin kita tahu rahsia
semakin kita tidak berbahagia.

lalalalu
ada yang menegurku,
kawan...
hidup tak semudah itu....
mati juga tak semudah itu...


nota kaki: entri ditulis sesudah bermandi darah (beberapakalimatihidupsemula) bermain counter strike dengan beberapa pejuang yang tidak pernah merokok.

1 Jul 2010

saja-saja

salam alaik,


Saya sudah hampir terlupa bahawa saya sudah punya sebuah blog. Kehidupan di kampung sewaktu cuti semester hampir memabukkan saya dengan ketenangan. jadi saya tidak punya masa untuk melepak di alam siber ini.

Orang kata, kalau sudah punya kekasih maka sayangilah ia. Tapi saya tidak punya manusia yang bergelar kekasih untuk disayangi. Blog ini juga bukan kekasih saya. Tapi sekurang-kurangnya buat masa ini, dengan blog ini saya boleh membuatkan saya melakukan sesuatu yang ada kalanya bermakna dan ada kalanya tidak membawa erti apa-apa. Oleh itu, saya perlu menghargai blog saya ini dengan memperlakukan ia seadanya. cukup soal ini.

Baru petang tadi, ada seorang member telah mengetuk fikiran saya dengan suatu perkara yang nampak remeh (bagi saya kerana saya bukan manusia yang suka berfikir). Oleh itu, member saya ini kerap kali cuba mengajak saya untuk berfikir. Sewaktu itu kami sama-sama sedang menyumbat perut dengan makanan di kantin institut. Kata member saya:

"Kita patut mencintai dan menyayangi alam SEMULA JADI"

Saya membenarkan katanya. Memang itulah yang sepatutnya saya lakukan. Saya juga percaya, manusia yang hari-hari mencampakkan sampah ke sungai dan manusia yang hari-hari menuai balak di hutan juga turut akan membenarkan kata-kata member saya ini.

Member saya itu mengangguk dua, tiga kali dan tersenyum nipis. Dia menghirup teh o ais yang masih berbaki dan mula mengunyah seketul ais. Selesai semua itu dia kembali mengajak saya berfikir.

"tapi betul ke alam SEMULA JADI?" soalan yang aneh ditanya kepada saya.

sejenak saya terkedu memikirkan soalan yang sudah tentu ada jawapan itu. Dan seketika kemudian saya tersenyum.

"betul la ek, kalau alam SEMULA JADI tak tepat, sebab alam ini bukan tercipta secara semulajadi, alam ni ada penciptanya. Dan pencipta alam ini adalah Allah. Jadi frasa yang lebih tepat adalah Alam Ciptaan Allah,"

Tiada ulasan dari member saya itu. dia menangguk-angguk kepada saya dan terus asyik dengan hidangannya itu. saya tersengih.

Maka itu lah bahasa. Alat yang menghubungkan manusia. Dan boleh jadi juga penyebab kepada sengketa sekiranya bahasa yang ada tidak digunakan sebaiknya.
Pepatah-pepitih orang dolu-dolu,,,,Kerana pulut santan binasa, kerana mulut ramai yang masuk .......

habis sudah.