26 Ogo 2011

merepek

kata rakan saya, kita berjalan di dunia ini, sebenarnya berjalan menuju mati. Dan ternyata kata-kata yang padu ini, hanya sedikit terkesan di hati saya. saya terus melangkah dan berjalan tanpa ragu-ragu, tanpa hati-hati.

dan kini perjalanan menuju mati saya ini telah melangkah masuk ke bulan ramadhan yang entah ke berapa dalam hidup saya. untuk kali yang entah ke berapa ini, saya telah menempuh lebih dua puluh hari yang lapar. saya tahan tekak dan perut saya dari hidangan di siang hari, tetapi mata telinga mulut dan seluruh anggota saya masih serupa sebelum ramadhan datang. tak perlu cerita, tidak elok memburukkan diri sendiri.

dan saya kayuh dan kayuh kaki dalam perjalanan menuju mati ini. saya ternampak seorang buta menyanyi lagu di sebuah pasar ramadhan dekat-dekat bukit kerinchi. ada bekas kecil pada ribanya. untuk manusia pemurah meletakkan wang tanda simpati. saya raba poket kecil seluar saya, ada wang lebih. saya jenguk bekas kecil itu sekali lagi. saya jolok wang saya semakin dalam ke dalam seluar. orang lain ada lagi yang akan menghulur fikir saya.

apabila hari-hari yang saya langkahi ini semakin bertemu senja. saat magrib mahu menjelang. saya mula sibuk melangkah lagi, mula mencari juadah mahu berbuka. mencari hidangan yang mahu saya sumbat dalam perut saya yang berbunyi diketuk nafsu ini.

dan juga ternyata, semakin saya melangkah, ramadhan yang pemurah ini semakin hampir saya tinggalkan/juga mungkin ramadhan yang meninggalkan saya.

hari semakin segelap ruang kamar yang tidak berlohong. saya tunggu supaya hari kembali terang. saya merancang bila hari kembali terang dengan sinaran matahari yang segar saya mahu pulang ke kampung. gembira.

ada baki beberapa hari lagi ramadhan mahu pergi. dihambat syawal yang selalunya meriah. ada manusia yang gembira . gembira kerana syawal yang meriah akan mengisi perut dengan aneka juadah enak. gembira kerana kembali boleh berbuat dosa.

kendatipun begitu,ada yang sedih, sedih kerana bulan penuh rahmat ini akan pergi. mahu menanti ramadhan yang akan datang sudah tentu belum pasti bertemu, ada juga yang sedih tidak dapat bertemu bazar ramadhan lagi, tidak dapat iftar percuma di masjid lagi...berbagai rasa sedih dan gembira, serabut bercampur baur.

perjalanan menuju mati terus bergerak walaupun saya berhenti melangkah. dan ketika saya tersedar. saya cuba mengejarnya. ternyata sukar, jantung lelah dan perut senak dipenuhi juadah berbuka tadi.

perkara biasa menjelang habis ramadhan untuk bertemu syawal ialah manusia mula memohon maaf, perkara yang batin mahupun yang zahir. saya juga tidak mahu kelihatan aneh, jadi saya mahu memohon maaf.

maaf kerana saya menulis semerepek ini. mungkin mabuk minum air soya ketika berbuka. akhirul kalam, saya ulangi, maafkan saya dan selamat hari raya.(rasa terlalu awal untuk mengucapkannya)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan